WEDNESDAY, SEPTEMBER 21, 2011
Kupasan Terbuka Tentang Jemaah Tabligh
Labels: Agama, Jemaah Tabligh, Masyarakat
PENGENALAN
Seorang sahabat meminta saya untuk memerhatikan sebuah artikel yang umumnya menolak Jemaah Tabligh. Sebelum kita lanjutkan penelitian ke dalam artikel itu, terlebih dahulu saya ingin tegaskan di sini salah satu saranan dakwah Tajdid Sebenar/ Tajdid Segar yang saya pegang sejak sekian lama iaitu :
1. menerima dan menyokong apa yang baik dan berkesan,
2. menolak apa yang salah, lemah atau melemahkan, dan
3. mendiamkan apa yang belum diketahui kedudukannya
daripada sesiapa sahaja, termasuklah Jemaah Tabligh.
InsyaAllah saya akan memberi pertimbangan yang seadil mungkin dalam menyiapkan jawapan ini, dengan berusaha untuk tidak bersikap taksub dan terburu-buru dalam menerima ataupun menolak.
KATA PENULIS :
Disebabkan method dakwah mereka yang tidak betul, maka berlaku penolakan penduduk setempat kepada Jemaah Tabligh ini.
PANDANGAN SAYA :
Umumnya method dakwah para pekerja Tabligh baik, tapi tentunya ada kekurangan dan kesalahan pada beberapa sudut. Jemaah-jemaah lain pun begitu juga.
KATA PENULIS :
Pada 16 Oktober 1965, telah diadakan pertemuan besar-besaran para Alim Ulama’ seluruh negeri India , bertempat di Kirla , India . Pertemuan ini telah mengadakan perbahasan tentang kewujudan gerakan Jemaah Tabligh yang dirasakan telah cukup lama menimbulkan keresahan masyarakat Islam.
Hasil pertemuan Ulama tersebut telah menyatakan bahawa kelompok Jemaah Tabligh ini adalah SESAT LAGI MENYESATKAN. Keputusan ini telah diambil setelah para Ulama’ melakukan penelitian dan pengkajian secara adil dan saksama pada beberapa kitab-kitab, risalah dan edaran-edaran yang tersebar dikalangan Jemaah Tabligh dan ditulis oleh pemimpin-pemimpin mereka.
PANDANGAN SAYA :
Saya tidak punya maklumat tentang pertemuan ini. Jadi tidak diketahui ulama mana yang terlibat, sebesar/seramai mana ulama yang dikatakan “alim ulama dari seluruh negeri India ” dan dari aliran apakah para ulama itu. Ulama sufikah? Sekularkah? Salafi Wahhabikah? Anti-demokrasikah? Liberalkah? Maklumat yang disertakan oleh penulis sangat minima, jadi kita tidak dapat memberi komen yang sesuai.
Keputusan bahawa Jemaah Tabligh sebagai “sesat lagi menyesatkan” itu juga nampaknya sangat berat. Tapi yang pasti, sejak 1965 itu sehingga sekarang, dakwah jemaah ini memang begitu subur tumbuhnya di India . Dewasa ini, yang nampak lantang menghukum sesat kepada Jemaah Tabligh dan Ikhwanul Muslimin, malah dicop sebagai bukan daripada Islam ialah sebahagian ulama Salafi Wahhabi.
Sefaham kita juga, tidak sedikit juga nama-nama besar dalam kalangan umat Islam ini yang tidak menghukum “sesat lagi menyesatkan” ke atas jemaah ini. Oleh itu sebaiknya kita imbangkan keputusan pertemuan 1965 itu dengan para ulama yang tidak menghukum “sesat lagi menyesatkan” itu.
KATA PENULIS :
Diantara beberapa alasan yang dikemukakan oleh para Ulama tersebut ialah:-
Berdasarkan pengkajian dan penelitian yang mendalam dari beberapa kitab, edaran dan risalah yang ditulis oleh pemimpin Jemaah Tabligh, telah ditemukan ada kemiripan diantara fahaman Jemaah Tabligh dengan fahaman WAHABI.
Seperti anti-taqlid terhadap imam-imam mujtahid, orang-orang yang sudah meninggal tidak dalam mendengar orang yang masih hidup, mengingkari Karomah Awliya dan lain-lain yang kesemuannya bertentangan dengan fahaman AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH.
PANDANGAN SAYA :
Kemiripan itu tidak jelas sebesar mana. Adakah kesemua sudut, ataupun sebahagian besar, ataupun sebahagian kecil, ataupun dalam beberapa perkara sahaja. Jika kemiripannya itu sedikit, banyak juga jemaah-jemaah lain yang punya sedikit kemiripan tapi tidak pula jatuh hukum “sesat lagi menyesatkan” pada mereka.
Jika kita katakan mereka anti-taqlid, pengasas Tabligh iaitu Maulana Muhammad Ilyas sendiri bermazhab Hanafi. Pada saya kurang tepat jika dikatakan mereka anti-taqlid, tetapi lebih kepada saling meraikan. Maklum sajalah gerakan mereka tersebar ke seluruh dunia dan pertemuan-pertemuan mereka sering sahaja melibatkan para karkun (penggerak Jemaah Tabligh) dari pelbagai mazhab. Takkanlah setiap kali waktu solat hendak dibuat paling kurang 4 kali bergilir-gilir kerana ada 4 mazhab? Habis waktu di situ sahajalah.
Namun begitu saya tidak menafikan yang jemaah ini terdorong untuk mencontohi perlakuan umat zaman Salaf (tetapi bukan berfaham Salafi Wahhabi) kerana mereka seboleh-bolehnya mahu mencontohi para sahabat dalam sebahagian sunnah-sunnah besar, sunnah-sunnah kecil mahupun sunnah-sunnah yang seni-seni. Sebab itu kita lihat Jemaah Tabligh lebih suka mengalunkan azan tanpa lagu, solat tanpa melafazkan niat di mulut, berzikir dengan suara rendah dan ringkas selepas solat berjemaah dan lain-lain.
Sungguhpun begitu, berbeza dengan sikap para penganut faham Salafi Wahhabi, Jemaah Tabligh bersikap meraikan orang lain yang melakukan hal-hal sedemikian dan tidak menghukumnya sebagai bid’ah yang mendatangkan dosa.
Tentang orang-orang yang meninggal tidak dapat mendengar orang-orang yang hidup, saya tidak kira ia benar. Lihat sahaja dalam kitab-kitab dan buku-buku mereka, penuh dengan pelbagai peristiwa aneh, tidak sekadar orang mati dapat mendengar orang hidup.
Mengengkari karamah para aulia’? Yang ini lagi pelik! Bagaimana boleh keluar kenyataan sebegini kerana kitab-kitab rujukan utama Jemaah Tabligh penuh dengan kisah-kisah karamah para wali? Paling mudah, teliti saja kitab mereka yang paling popular iaitu Fadhaail Amal.
Kata penulis : “…dan lain-lain yang kesemuannya bertentangan dengan fahaman AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH.”
Kita tidak tahu kerana setakat ini tidak disebutkan dengan terperinci.
KATA PENULIS :
Kenyataan ini tidaklah menghairankan kerana jika diteliti lebih jauh, ternyata guru kepada pendiri gerakan ini adalah pengikut gerakan WAHABI di Arab Saudi. Abu Hassan Ali Al-Nadwi dalam kitabnya Dini Da’watu halaman 44 berkata
” Sesungguhnya pendiri Jemaah Tabligh ini telah dididik oleh gurunya Rasyid Ahmad Al-Janjuhi”.
Muhammad Ilyas sendiri dalam kitab Malfudhot nya halaman 123 berkata ” Guruku Al-Janjuhi adalah seorang quthub pembimbing pada zamannya dan mujaddid bagi umatnya”.
PANDANGAN SAYA :
Mari kita menilai pernyataan ini. Dalam buku “Maulana Muhammad Ilyas” karya Syed Abul Hasan Ali an-Nadwi, An-Nadwi sendiri menulis :
“Suatu ketika beliau (bapa Muhammad Ilyas iaitu Maulana Muhammad Ismail) meminta Maulana Rashid Ahmad Gangohi (Janjuhi) mengajarnya tentang SULUK (satu jalan kerohanian yang dipakai oleh kaum sufi, yang tentunya bertentangan dengan fahaman para Wahhabi), Maulana Rashid Gangohi mengulas : “Engkau tidak memerlukannya.
Engkau telah mencapai matlamat yang sepatutnya dicapai melalui jalan ini. Ini adalah seumpama seorang yang telah membaca Quran berkata bahawa dia perlu membaca buku asas bahasa Arab kerana dia belum bermula dari situ.” (ms 10)
Berdasarkan maklumat ini, Maulana Rashid Gangohi seorang pengikut jalan sufi dan pengajar suluk, yang umumnya kedua-duanya bertentangan dengan fahaman Wahhabi.
Gangoh itu nama sebuah tempat di India . Pada zaman Maulana Muhammad Ilyas, Gangohi terkenal sebagai pusat kesufian. Kata An-Nadwi lagi : “ Pada masa itu Gangoh adalah TEMPAT TINGGAL PARA SUFI dan ulama, yang memberikan Muhammad Ilyas faedah yang begitu banyak khususnya di bidang keilmuan dan pendidikan.” (ms 15)
Penulis sendiri memetik kata-kata Maulana Muhammaf Ilyas : “Guruku Al-Janjuhi adalah seorang quthub pembimbing pada zamannya..” Petikannya ini turut membuktikan jalan kesufian Muhammad Ilyas kerana istilah “QUTUB” dan kepercayaan terhadapnya sangat sinonim dengan para sufi dan pengikut mereka. Bahkan istilah “qutub” umumnya ditolak oleh para Salafi Wahhabi. Maulana Muhammad Ilyas sendiri banyak dipengaruhi Tariqat Chistiyyah dalam amalan kerohaniannya.
Setakat ini nampaknya belum ada hujah yang kukuh untuk kita bersetuju bahawa Jemaah Tabligh ini “sesat lagi menyesatkan”. Namun begitu, masih banyak lagi hujah-hujah penulis yang akan kita lalui, dan tidak mustahil akan kita temui hujah-hujah yang kuat.
KATA PENULIS :
Kemudian timbul persoalan, siapakah Rasyid Ahmad Al-Janjuhi yang menjadi guru kepada pendiri gerakan ini. Didalam kitab Fatawa Al-Rosyidiyah halaman 237, kitab bagi kumpulan fatwa Rasyid Al-Janjuhi , ia berkata,:
” Orang-orang yang telah menuduh Muhamad Bin Abd Wahab sebagai orang yang sesat. Padahal dia adalah orang yang soleh, pengamal hadis dan penentang bid’ah”.
PANDANGAN SAYA :
Jika sahihlah maklumat ini, setakat ini nampaknya inilah hujah penulis yang agak baik untuk menyokong pandangannya. Namun begitu, kita kena faham kedudukannya bahawa Maulana Rashid Gangohi tidak pernah bergiat dalam Jemaah Tabligh, malah tidak sempat melihat pun aktiviti jemaah ini kerana dia MENINGGAL DUNIA SEBELUM JEMAAH TABLIGH DIASASKAN.
Ringkasnya, dia tidak ada kaitan dengan jemaah ini.
Maulana Rashid Gangohi juga bukanlah satu-satunya guru Maulana Muhammad Ilyas. Muhammad Ilyas berguru dengannya hanya pada zaman remaja selama 9 tahun. Rashid Gangohi meninggal ketika Muhammad Ilyas berusia 20 tahun.
Selepas itu Muhammad Ilyas berguru pula dengan beberapa orang guru lain seperti Maulana Khalil Ahmad (Saharanpuri), Maulana Mahmud Al-Hassan, Shah Abdul Rahim Raipuri dan Maulana Ashraf Ali Thanawi (“Gerakan Islam Tradisional di Malaysia” karya Dr. Abdul Rahman Haji Abdullah, ms 2.
Tajuk buku ini juga menunjukkan Tabligh ialah sebuah gerakan Islam TRADISIONAL, bukannya berfaham Salafi Wahhabi).
Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna yang mengasaskan Ikhwanul Muslimin pada asalnya berguru dengan Syeikh Hasafi, seorang guru tariqat tetapi kemudiannya dia berkhilaf dengan syeikhnya lalu menubuhkan Ikhwanul Muslimin.
Tidak wajarlah kita menghukum Syeikh Hasani mempengaruhi Ikhwan kerana beliau tidak pernah pun terlibat dengan Ikhwan. Begitu juga dalam kes Maulana Rashid Gangohi dengan Maulana Muhammad Ilyas.
Maka hujah ini juga tidaklah memadai untuk kita bersetuju dengan penulis.
Sebagai tambahan, kita petik tulisan An-Nadwi : “Perhubungan yang selalu (antara Muhammad Ilyas) dengan GURU-GURU TARIQAT yang lain dan juga pengikut-pengikut Maulana Gangohi (kerana Maulana Gangohi sudah meninggal dunia) terus dijagainya pada masa itu.” (ms 20)
Petikan ini jelas menunjukkan pandangan Maulana Muhammad Ilyas terhadap golongan tariqat yang bertentangan dengan sikap kaum Wahhabi terhadap tariqat.
KATA PENULIS :
Pada halaman 41, Rasyid Al-Junjuhi berkata ” Sesungguhnya Al-Maulana Muhamad Ismail (penyebar gerakan WAHABI di India) adalah seorang yang alim, bertaqwa, penentang bid’ah, pengamal Al-Quran dan As-Sunnah dan pembimbing ummat.
PANDANGAN SAYA :
Perkataan “penyebar gerakan WAHABI di India” itu juga ditulis dalam KURUNGAN. Adakah semua penentang bid’ah itu mesti berfaham Salafi Wahhabi?
KATA PENULIS :
Pada halaman 105, Rasyid Al-Junjuhi telah mengeluarkan fatwanya ” Ziarah Awliya’ seperti tradisi yang berlaku, sebenarnya diperbolehkan pada kurun awal Islam, tetapi kemudian tidak diperbolehkan dimasa kini. Demikian juga dengan peringatan Maulid Nabi SAW.
PANDANGAN SAYA :
Tentang Maulana Rashid Gangohi, sudah kita bahaskan di atas tadi dan ternyata ia tidak menguatkan pendirian penulis. Boleh rujuk semula di atas.
KATA PENULIS :
Guru lain yang memberikan bimbingan kepada pendiri gerakan Tabligh ini adalah Ahmad Al-Ambitawi Al-Saharanpuri dan Al-Syaraf Ali Al-Tahanawi. Kedua-dua mereka adalah pengikut fahaman WAHABI.
PANDANGAN SAYA :
Siapa boleh beri hujah kukuh mengatakan apabila kita berguru dengan seseorang itu, maka sudah semestinyalah kita akan berpegang dengan fahaman guru tersebut? Saya pasti, tidak ada sesiapa yang sanggup memberikan sandaran-sandarannya.
Aristotle berguru dengan Plato, tetapi dia banyak berkhilaf dengan ajaran gurunya. Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Al-Munqiz min Adh-Dhalal, Arsitotle membid’ah dan mengkufurkan pegangan Plato dan guru Plato iaitu Socrates. Hasan al-Banna berkhilaf dengan gurunya Syeikh Hasani. Imam Abu Hasan Asya’ari berkhilaf dengan gurunya yang berfaham mu’tazilah. Dan banyak lagi contoh-contoh lain.
Saya sendiri pernah mengambil ilmu daripada beberapa orang guru berfaham Salafi Wahhabi, tetapi tidak pula saya menjadi berfaham Salafi Wahhabi, malah dikenali sebagai salah seorang yang gigih menolak kesalahan dan kelemahan mereka.
Saya kira Ahmad Al-Saharanpuri yang dimaksudkan oleh penulis itu ialah Maulana Khalil AHMAD SAHARANPURI.
Jika benar, dia seorang berfaham sufi. An-Nadwi menulis : “… dengan demikian beliau (Muhammad Ilyas) dapat menyempurnakan beberapa peringkat suluk di bawah pengawasan MAULANA SAHARANPURI.” Takkanlah guru suluk berfaham Wahhabi?
KATA PENULIS :
Berdasarkan fakta, ramai pengikut Jemaah Tabligh yang meninggalkan kewajipan keluarganya untuk keluar rumah berdakwah.
PANDANGAN SAYA :
Saya tidak bersetuju jika digunakan istilah “ramai”. Sefaham saya, hanya segelintir yang berbuat demikian. Kita tidak boleh menghukum jemaah berdasarkan kesalahan segelintir pekerja jemaah itu.
Yang saya perhatikan, jemaah Tabligh sudah berusaha melakukan yang terbaik. Antara langkah yang diambil ialah keluarga-keluarga jemaah yang ahli keluarga mereka yang lelaki keluar ke jalan Tabligh, hendaklah saling mengambil berat. Mereka juga dikehendaki menziarahi keluarga sahabat mereka yang ditinggalkan untuk dipastikan kecukupkan makanan, perlindungan dan urusan seharian.
Kita sering mencemuh mengatakan yang keluarga-keluarga yang ditinggalkan ini tidak dipantau pun oleh keluarga-keluarga lain. Kita tidak nafikan hal itu satu kesalahan. Namun peranan kita sendiri di mana? Menurut saranan dalam dakwah Tajdid Sebenar, tidak kira keluarga jemaah mana pun yang ahli keluarganya PERGI MELAKUKAN KERJA-KERJA AGAMA, kita penduduk sekitar hendaklah mengambil berat makan minum, urusan seharian dan keselamatan mereka.
Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Kita mencemuh si suami/ lelaki yang meninggalkan keluarganya untuk pergi bekerja pada jalan Allah, dan mencemuh ahli-ahli mereka yang tidak pergi kerana mengabaikan pemantauan, sedangkan KITA SENDIRI tidak membantu pun keluarga yang ditinggalkan itu.
Apalah salahnya kalau keluarga Tabligh ditinggalkan, kita yang beraliran Naqsyabandiyyah ini membantu hal ehwal makan minum dan sakit demam mereka? Apalah salahnya kalau keluarga Ikhwanul Muslimin ditinggalkan, kita yang Tabligh ini membantu mereka? Apalah salahnya jika keluarga Parti Islam ditinggalkan, kita yang tidak mengikut mana-mana jemaah ini membantu mereka? Apalah salahnya kalau keluarga Jemaah An-Nur Said Nursi ditinggalkan, kita yang berfaham pondok tradisional ini membantu?
Malangnya sikap kebanyakan kita, oleh kerana mereka bukan satu jemaah dengan kita maka kita letakkan urusan itu kepada jemaah mereka sahaja. Lebih malang lagi apabila kita asyik melontarkan cemuhan apabila keluarga yang ditinggalkan itu tidak terurus.
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.” (Al-Maaidah : 2)
Menurut Ibnu Hazm, mujtahid Abdalus yang bermazhab Zahiri, jika ada seseorang mati kelaparan dalam sebuah kampung umat Islam, pemerintah hendaklah menyiasat jiran-jirannya, keluarga terdekatnya, orang yang bertanggungjawab ke atasnya, dan seisi kampung. Jika tidak diperolehi, maka seluruh kampung akan dikenakan denda diat sebagai ganti nyawa. Begitulah beratnya tanggungjawab kita walaupun berbeza jemaah.
KATA PENULIS :
Yang lebih menyedihkan, ramai diantara mereka yang keluar untuk berdakwah, tapi ternyata TIDAK MEMILIKI ILMU PENGETAHUAN agama yang cukup. Sehingga terjadi penyesatan kepada orang-orang yang mendengar ceramah dan bayan Jemaah Tabligh ini.
PANDANGAN SAYA :
Mengapa pada Jemaah Tabligh, hal kekurangan ilmu ini lebih jelas untuk kita kenalpasti? Kerana method dakwah mereka juga. Ahli-ahli Jemaah Tabligh DILATIH UNTUK BANYAK BERBICARA. Hal ini memang bagus tetapi kebiasaan banyak bercakap dalam keadaan tidak ada ilmu agama yang memadai, menyebabkan sering tercetus perkataan-perkataan yang salah, lemah ataupun mengelirukan. Banyak antara mereka yang mudah membuka mulut dan akan bercakap apa sahaja yang terlintas dalam fikiran. Kata orang : “Banyak cakap, banyaklah salahnya.” Maksud pepatah ini ialah kita hendaklah berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata, bukannya tidak berkata-berkata.
Sebenarnya mereka dilatih untuk berkata-kata dalam perkara-perkara asas terutamanya tentang 6 Prinsip Jemaah Tabligh. Jika kita perhatikan betul-betul, sebenarnya mereka mengulang-ulang benda yang sama. Oleh kerana sudah bertahun mengulang benda yang sama, gaya bahasa dan penyampaian mereka jadi menarik. Orang-orang yang baru mendengar bicara mereka akan mudah tertarik hati, tapi lama-kelamaan barulah disedari bahawa kehebatan mereka berkata-kata hanyalah kerana mereka mengulang-ulang memperkatakan perkara yang sama. Jadi kebanyakan ahli-ahli Tabligh hanya mahir benda-benda yang diulang-ulang itu.
Pernah beberapa kali saya menyelitkan hal-hal seperti isu Palestin, isu Xinjiang, astronomi, perubatan Islam, ilmu perbandingan agama, isi kitab-kitab agama dunia, sejarah dunia, ilmu hakikat, ilmu perbandingan jemaah, politik Islam, perbandingan aliran, ilmu perisikan, tasawuf, hiburan Islami, budaya, membanteras ajaran sesat dan sebagainya, ternyata pengetahuan mereka sangat cetek.
Mereka tidak mampu untuk berkongsi idea dalam hal-hal yang tidak mereka ulang-ulangi itu lalu mencari-cari jalan untuk membawa medan dialog kepada apa yang mereka mahiri dalam Tabligh sahaja. Adalah satu dua orang yang mampu berkongsi semula, itupun dalam satu dua bidang sahaja.
Sememangnya skop kerja Jemaah Tabligh agak kecil. Jika kita renungkan betul-betul, perjuangan mereka ada banyak persamaan dengan gerak kerja dakwah Nabi Isa dan para hawari, bukannya gerak kerja Nabi Muhammad dan para sahabat. Gerak kerja Jemaah Tabligh tertumpu pada bermusafir, berdakwah dari muka ke muka, berbicara yang baik-baik, banyak beribadah, banyak berzikir, banyak berdoa, membaca Al-Quran dan seumpamanya yang banyak persamaan dengan dakwah Nabi Isa dan para hawari.
Gerak kerja Rasulullah dan para sahabat jauh lebih besar. Tidak hanya melakukan apa yang dilakukan oleh Jemaah Tabligh. Rasulullah seorang yang mahir dalam tafsir mimpi, politik dalam negeri dan antarabangsa, pemerintahan, seni beladiri, ilmu peperangan, ilmu perisikan, penggunaan media sebagai kaedah dakwah, ilmu perubatan Islam, ilmu perbandingan agama, hiburan Islami, sejarah umat manusia, alam semesta dan lain-lain. Jemaah Rasulullah pada zaman itu mengambil dan memperjuangkan ilmu-ilmu di atas.
Silalah membandingkan antara gerak kerja Nabi Isa dan para hawari dengan gerak kerja Nabi Muhammad dan para sahabat.
Kesimpulan bahagian ini, mana-mana jemaah pun umumnya mempunyai pengikut yang tidak memadai ilmu agama mereka. Cuma hal ini menjadi masalah kerana suka dan mudahnya para karkun untuk mengeluarkan kata-kata berbanding pengikut jemaah-jemaah lain.
KATA PENULIS :
Keputusan para Ulama’ ini juga telah difatwakan oleh Ulama’ AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH terkenal di India pada masa itu, seperti Syeikh Adam, Mufti India Bahagian Selatan dan Syeikh Al-Qothbay, Mufti Malibari India dan lain-lain.
Walhasil, kewujudan gerakan ini telah banyak meyebarkan kerosakan daripada kebaikkan yang diciptakannya.
Sumber Rujukan:
KITAB AJARAN, FAHAM DAN AMALIYAH ASWAJA.
Serial Tanya Jawab Panduan Bagi Warga dan
Pengurusan Nahdlatul Ulama(NU)
Oleh Ustaz H. Muhibbul Aman Ali dan
Disahkan oleh KH Abdurrohman Syakur (Rois Cabang Nahdlatul Ulama Kabupaten Pasuruan)
juga Disahkan oleh KH Masduqi Mahfudz (Pengurus Wilayah NU Jawa Timur)
juga Disahkan oleh KH Abdul Mujib Imron, SH (Anggota Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia )
Al-Faqir Ilallah
2 Rabi’ul Awwal 1432H
PANDANGAN SAYA :
Dalam hal ini, pegangan saya tetap dengan satu lagi saranan Dakwah Tajdid Sebenar iaitu dalam mencari kebenaran… janganlah kebesaran nama, ketinggian pangkat, banyaknya gaji, ramainya jumlah pengikut, hebatnya rupa, besarnya serban, panjangnya janggut, melimpahnya harta, banyaknya pengiktirafan, berlambaknya karya dan lain-lain menjadi kayu ukur utama. Itu semua umumnya bukanlah bukti kebenaran sesuatu hal.
Tamat bahagian pertama. Masih ada 12 bahagian yang akan kita kupas insyaAllah.
Abu Zulfiqar Amsyari
17 September 2011
*Saya bukan seorang karkun, malah sering memberi kritikan membina sama ada secara berdepan, kuliah ataupun tulisan ke atas Jemaah Tabligh, tetapi sebenarnya saya mula mendapat kesedaran beragama melalui jemaah ini. Pada asalnya saya selesa hidup sekular dan jauh dari agama. Saya ada bergaul dengan orang-orang Parti Islam, Ikhwanul Muslimin, warga pondok, Al-Arqam, JIM, ABIM, tariqat dan lain-lain, tetapi entah bagaimana dengan kuasa Tuhan saya terbuka hati untuk berubah ketika bergaul dengan orang-orang dari Jemaah Tabligh.
http://alexanderwathern.blogspot.com/2011/09/menilai-semula-dakwaan-ke-atas-jemaah.html
No comments:
Post a Comment