CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Thursday, 8 September 2011

Kitab Al Ghazali 3 dan 4.





3. Khususnya dari cerita Nabi Musa a.s.


Marilah kita sekarang kembali kepada ceruk yang kita pilih untuk menerangkan cara simbolik (perumpamaan) ini.  Ilmu tentang penafsiran pandangan (hati) menentukan kepada kita tentang nilai tiap-tiap jenis simbol atau perumpamaan itu.  Ini adalah kerana "Pandangan (hati) itu ialah sebahagian daripada Nubuwah (Kenabian)". Apabila dipandang dalam mimpi atau pandangan hati,  matahari itu diibaratkan sebagai raja kerana cahayanya meliputi segala-galanya.Bulan diibaratkan sebagai menteri kerana melalui bulan itulah cahaya matahari dapat dipancarkan kepada dunia semasa matahari tidak ada (waktu malam). Ini bererti melalui menteri inilah pengaruh raja itu dapat dirasai oleh rakyat jelata yang tidak pernah melihat raja itu.Orang yang bermimpi melihat dirinya memakai cincin dan dengan cincin itu ia mengecap (mementerai) mulut lelaki dan rahsia-rahsia perempuan,  maka mimpi itu ditafsir atau dita'birkan sebagai azan Subuh di bulan Ramadhan.
Orang yang bermimpi  melihat dirinya mencurahkan minyak zaiton kepada pohon zaiton ditafsirkan bahawa perempuan hamba yang dinikahinya itu ialah ibunya,  tetapi ia tidak tahu menahu yang perempuan hamba itu adalah sebenarnya ibunya.
Cara menta'birkan atau mentafsirkan simbol-simbol atau perumpamaan-perumpamaan tidaklah terhad,  dan saya tidaklah hendak menghuraikannya satu persatu.Apa yang dapat saya katakan ialah sebagaimana adanya perkara-perkara di Alam Tinggi itu yang dibaratkan atau disimbolkan sebagai matahari adanya bulan dan bintang,  maka yang lain itu pun ada juga simbol-simbolnya apabila titik perkaitan itu sesuatu yang lain daripada cahaya.
Misalnya jika di kalangan perkara yang wujud di Alam Tinggi itu ada satu perkara
  • yang tetap tanpa berubah,
  • besar tanpa berkurangan;
  • yang dirinya limpahan ilmu dan kemuliaan turun ke dalam hati sebagaimana air yang mengalir ke lembah;
maka itu diisyaratkan atau disimbolkan dengan gunong.Jika sesuatu yang menjadi penerima anugerah kemuliaan itu ada berbagai-bagai peringkat maka;  maka sesuatu itu disimbolkan dengan lembah.  Jika kemualiaan-kemuliaan itu sampai ke dalam hati manusia,  berpindah dari hati ke hati;  maka hati-hati itu di simbolkan juga dengan lembah.  Kepala lembah itu menunjukkan hati Nabi-nabi,  Aulia-aulia dan Ahli-ahli Ilmu;  dan ini diturunkan pula oleh orang-orang selepas daripada mereka tersebut.
Oleh itu,  jika lembah-lembah ini lebih rendah dari lembah yang pertama itu dan diairi dari lembah yang pertama itu,  maka lembah pertama itu adalah lembah "yang benar"  kerana disimbolkan dengan kebenaran dan kelebihannya.  Akhirnya lembah yang paling rendah dan airnya datang dari  peringkat yang terakhir dan terendah daripada lembah "yang benar" itu;  dan sewajarnyalah dengan itu diairkan dari "tepi lembah yang benar"itu dan bukan dari bahagian tengah dan  yang paling dalam.
Jika ruh Nabi-nabi itu diibaratkan sebagai lampu yang bernyala-nyala;  yang dinyalakan oleh ilham atau wahyu ("Kami telah wahyukan engkau dengan ruh daripada Qudrat Kami" - Al-Qur'an),  maka simbol atau perumpamaan punca nyalanya itu ialah api.  Jika ada orang yang mendapat ilmu dari Nabi-nabi itu hidup dengan hanya menerima secara tradisi (kebiasaan) sahaja apa yang mereka terima dari Nabi-nabi itu,  maka mereka itu ibaratkan sebagai "suluh api"atau "tahi bintang".  Mereka  ini tidak menyiasat dengan lebih lanjut lagi pengajaran Nabi-nabi itu.  Tetapi ada orang yang pintar,  yang dikurniakan ilham dan pengalaman Keruhanian.   Mereka ini mendapat seolah-olah apa yang didapati oleh Nabi-nabi mereka.  Mereka ini disimbolkan sebagi "hamba panas api" kerana seseorang itu tidak mendapat panas api jika hanya mendengar sahaja perihal api itu.  Orang-orang yang merasai atau mendapat panas api ialah orang yang hampir dengan api itu.
Jika peringkat pertama Nabi-nabi itu ialah peralihan mereka masuk ke Alam Ketuhanan Maha Tinggi,  jauh dari kekacauan dan gangguan deria dan sangkanya dan khayalan,  maka peringkat itu disimbolkan dengan "lembah suci".  Dan jika "lembah suci" itu tidak boleh dilalui kecuali selepas ditanggalkan kedua-dua alam (Alam Nyata dan Alam Ghaib) dan wajah ruh itu telah menghadap kepada Yang Maha Tunggal sahaja,  maka simbol atau ibarat menanggalkan kedua belah kasut oleh orang yang mengerjakan ibadat Haji di Mekah,  di kala dia menggunakan pakaian keduniaannya dan memakai pakaian Ihram dan menghadapkan mukanya ke kaabah.
Sekarang marilah kita berpindah kepada perkara Hadirat Ilahi itu lagi sekali dan bercakap tentang simbol-simbolnya.  Jika Hadirat itu mempunyai "sesuatu"  di mana Ilmu-ilmu Ketuhanan dirakamkan pada luh-luh hati yang boleh menerima ilmu-ilmu itu,  maka "sesuatu"  itu disimbolkan pula dengan pena.  Hati yang padanya terakam ilmu-ilmu itu diibaratkan sebagi luh atau kitab atau buku.  Jika "sesuatu" yang memegang pena itu supaya ia dapat menulis,  maka "sesuatu" itu disimbolkan sebagai tangan.
Jika Hadirat yang meliputi tangan, ruh, pena dan kitab itu disusun secara teratur,  maka Hadirat itu disimbolkan dengan bentuk atau bayangan.  Jika bentuk manusia itu mempunyai susunan tertentu maka ianya juga adalah seperti diciptakan "menurut bayangan atau bentuk Yang Penyayang".  Di sini ada perbezaan antara ayat "menurut bayangan Yang Penyayang"  dengan ayat  "menurut bayangan Allah".
Kerana sayangnya itulah Allah menyebabkan Hadirat itu berupa dalam "bayangan" itu,  kerana sayangNya,  Allah kurniakan Adam satu "bentuk" atau "bayangan"  yang meliputi setiap jenis yang ada dalam seluruh alam ini,  hinggakan seolah-olah Adam itu terdiri daripada semua perkara dalam alam ini atau salinan ringkasan alam ini.  Bentu Adam ("bayangan" ringkasan ini) dirakamkan dengan tulisan Allah.  Maka jadilah Adam itu tulisan Allah,  yang bukan berbentuk huruf,  seperti juga perkataan atau kalamNya di luar sempadan lingkungan bunyi dan suara;  dan penaNya di luar sempadan lingkungan buluh atau besi;  dan tanganNya bukan daripada daging dan tulang.  Jika tidak ada kasih sayang atau rahmat Tuhan ini,  maka setiap anak Adam tidak akan berupaya hendak mengenal Allah.
Orang yang mengenal dirinya,  akan kenal pada TuhanNya.  Inilah kesan kasih sayang Allah.  Adam diciptakan "menurut bentuk yang penyayang"  bukan  "menurut bentuk Allah".  Oleh itu Hadirat Allah itu bukanlah sama dengan Hadirat Yang Penyayang,  bukan sama dengan hadirat Kesultanan, bukan sama dengan hadirat Ketuanan.  Kerana itulah Allah memerintahkan kita supaya memohon perlindungan dari tuan manusia,  ruh manusia,  tuhan manusia - (Al-Quran).   Jika tanggapan ini tidak dapat membawa pengertian bahawa "Allah menciptakan manusia menurut bayangan (bentuk) Yang Penyayang,  maka secara bahasanya (nahu) ayat itu tidaklah betul.  Tentulah dikatakan sahaja "menurut bayanganNya".  tetapi ayat itu menurut pendapat Imam Bukhari,  berbunyi  "menurut bayangan Yang Penyayang".
Untuk membezakan antara Hadirat Kesultanan dan Hadirat Ketuanan(Rab),  itu memerlukan penerangan dan perbincangan yang sangat panjang.  kita tinggalkan dahulu perkara itu.  Cukuplah dengan contoh cara sombolik yang kita terangkan itu.  Sesungguhnya perbincangan tentang perkara tersebut tidaklah ada batas dan hadnya.
Jika saudara tidak dapat menerima atau susah menerima kias atau perumpamaan tersebut,  maka senangkanlah hati saudara dengan ayat Al-Quran ini yang bermaksud;
"Diturunkan dari langit itu hujan;  dan mengalir air hujan itu dalam lembah-lembah menurut keupayaan lembah-lembah itu".
Dari ayat ini dapatlah ditafsirkan bahawa dimaksudkan dengan air itu ialah "ilmu pengetahuan" dan lembah-lembah itu ialah "hati-hati manusia".


4.   Pengesahan benarnya tentang tanda zhohir dan nampak:  satu misalan


Dari contoh perumpamaan dan cara itu,  janganlah saudara anggap pula saudara telah mendapat kebenaran dari saya untuk membolehkan saudara menyingkirkan bentuk zhohir yang nampak ini,  atau menyangka  telah batal apa yang zhohir itu.  Seolah-olah misalnya saya mengatakan Nabi Musa itu tidak memakai kasut,  tidak sebenarnya menerangkan perkataan "tanggalkan kasutmu".  Semoga Allah melindungi saudara daripada anggapan dan sangkaan yang salah dan silap itu.Hanya orang-orang bathiniah (kebatinan) sahaja yang membatalkan tanda-tanda zhohir itu.  Mereka memandang satu alam sahaja iaitu Alam Ghaib dan mereka tidak tahu perimbangan yang ada antara yang zhohir dengan yang batin.  Inilah segi atau aspek yang mereka tidak ambil tahu.
Sebaliknya orang-orang yang membatalkan yang ghaib dan memandang yang zhohir sahaja adalah orang-orang Hasuwiyah (Kebendaan).  Dengan lain perkataan memujaradkan (abstrak) dan mengasingkan yang zhohir dari keseluruhannya ialah orang-orang kebendaan,  dan barangsiapa memujaradkan batin ialah orang kebatinan dan barangsiapa menyambung dan memperkaitkan yang ghaib dan yang zhohir itu,  maka dialah orang yang sempurna dan benar.  Kerana itulah Nabi Muhammad SAW.  pernah bersabda yang bermaksud;
"Al-Qur'an itu mempunyai yang zhohir dan yang batin,  yang awal dan akhir".
Saya terangkan bahawa Nabi Musa a.s.  benar-benar tahu dan mengerti tentang perintah  "tinggalkan kasutmu" itu yang membawa pengertian zhohir dan batin.  Beliau mematuhi perintah itu secara zhohir iaitu dengan menanggalkan kasutnya dan secara batinnya iaitu dengan menanggalkan dua alam tersebut (Alam Nyata dan alam Ghaib).
Di sini saudara lihat ada perhubungan antara kedua-dua itu;
  • perkaitan perkataan zhohir dengan idea(tanggapan) batin,
  • perbezaan antara kedudukan yang benar dan yang salah,
bolehlah kita huraikan seperti berikut;Seorang hamba mendengar sabda Nabi yang bermaksud;
"Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang di dalamnya ada anjing (atau gambar)"
Tetapi hamba itu terus juga memelihara anjing di rumah itu kerana katanya bahawa sabda Nabi itu bukanlah bermaksud yang lahir itu,  tetapi maksud sebenarnya ialah  "halau anjing kemarahan dari rumah hati kerena kemarahan itu menghalang ilmu yang datang dari cahaya kemalaikatan,  kerana marah itu adalah iblis hati".
Seorang yang lain pula mematuhi perintah itu secara lahirnya(zhohirNya),  dan kemudian berkata;  "Anjing itu bukanlah sebab bentuk zhohirnya,  tetapi ialah sebab tanggapan anjing pada segi batinnya iaitu ganas dan cerobohnya.  Jika rumahku yang zhohir tempat badanku duduk lagi mesti dibersihkan dari anjing yang zhohir,  maka tentulah lebih lagi perlu dan pentingnya rumah hatiku iaitu iaitu tempat manusia ku sebenarnya dibersihkan dari sifat-sifat anjing,  dalam tanggapan keruhanian".
Orang yang mematuhi kedua-duanya itu sekaligus,  maka itulah orang yang sempurna.  Maka  inilah apa yang dimaksudkan
"Orang yang sempurna itu ialah orang yang tidak membiarkan cahaya ilmunya memadam cahaya ketaatan".
Begitu juga dia tidak pernah dilihat membiarkan dirinya meninggalkan syariat,  meskipun kebatinannya telah cukup sempurna.  Orang yang meninggalkan syariat itu sebenarnya telah silap dan ini ada berlaku kepada beberapa orang yang menganggap dirinya Sufi yang mengatakan dibolehkan membuang syariat seperti menggulung tikar sahaja,  sehingga ada yang mengatakan sembahyang tidak perlu kepadanya lagi kerana ia sentiasa sembahyang dalam hatinya.
Tetapi ini berlainan daripada kesesatan golongan orang-orang Abahiyah (orang-orang sesat yang dipengaruhi oleh pemikiran-meikiran kristian)  yang mempermain-mainkan kata falsafah seperti seseorang mengatakan;  "Allah tidak memerlukan kerja-kerja (amalan) kita".  dan dia tidak mahu langsung membuang marah dan nafsu ammarah yang ada padanya kerana pada kepercayaannya dia tidak diperintahkan untuk membuang marah dan nafsu yang engkar itu.  Sesungguhnya golongan yang akhir itu ialah yang paling jahil dan bodoh.  Tetapi bagi kesilapan golongan yang pertama itu,  ibarat kuda yang bagus yang terpelecok kakinya,  kesilapan orang-orang sufi yang telah diselewengkan oleh syaitan dari jalan yang lurus.
Kita kembali semula kepada perbincangan kita berkenaan "menanggalkan kasut" itu.  Perkataan zohir itu menyedarkan maksud batinnya iaitu menanggalkan duaan alam.  Simbol yang zhohir itu ialah benda benda sebenarnya dan pemakaiannya kepada maksudnya yang batin itu ialah hakikatnya.  Mereka yang mengenal ini adalah jiwa-jiwa yang telah mencapai peringkat kaca lutsinar (kaca yang boleh tembus pandangan ke sebalik atau tembus sinaran cahaya).   Kita akan kaji maksud ini sekarang.
Pada khayalan atau sangkaan (imaginasi),  benda yang zhohir yang menjadi bentuk simbol itu,  adalah keras dan kasar.  Ia melindungi maksud batinnya.  Ia terselit antara kita dengan cahaya yang tidak nampak itu.  Tetapi apabila benda kasar itu menjadi kaca lutsinar,  maka cahaya itu akan terus menerus tembus ke sebaliknya bahkan cahaya itu tidak terpadam oleh hembusan angin.  akan kita ceritakan tentang kaca lutsinar ini.  Sementara itu,  ingatlah bahawa alam rendah dan kasar pada pandangan Ambiya Allah,  telah menjadi seperti naungan "KACA" lutsinar,  dan"Misykaat (ceruk) cahaya";
  • penapis yang menapis keluar dengan terang rahsia-rahsia Ketuhanan;
  • batu locatan menuju Alam Tinggi.
Maka tahulah kita bahawa simbol yang zhohir ini adalah benar dan ada;  dan dibelakngnya terletak rahsia.  Ini pun serupalah boleh dipakai kepada simbol-simbol "Gunong",  "Api" dan lain-lain itu.

No comments:

Post a Comment