Kata ulama, jika kita berselisih-faham, berbalah atau bersengketa tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada agama. Pasti masalah akan selesai. Namun dalam banyak perkara, ‘kembali kepada agama’ bukan menyelesai masalah, tapi lebih kepada menambah masalah!
Perenggan di atas agak kontroversi bukan?
Jangan cepat panik…jangan cepat merasa ’lain macam’. Sila baca sampai habis artikel ini dahulu.
Oh ya, untuk meredakan sedikit ‘darah tinggi’ yang mungkin sudah mulai naik, saya sampaikan 1 KHABAR GEMBIRA agar ia turun kembali :
————————————————————-
PAKEJ DVD TAJWIDPRO telah mengalami evolusi HARGA BARU! – LEBIH MURAH!
Dari RM90 menjadi RM 60 dan KINI : RM 45!!
Miliki ‘mutiara ilmu tajwid paling berharga’ untuk mendapatkan bacaan bertahap PRO seperti Imam Masjidil Haram sekarang di : www.tajwidpro.com
————————————————————-
Nak tahu kenapa kali ini saya menulis perkara kontroversi pula?
TAK SOLAT SEBAB ‘LAIN MAZHAB’
Pernah dengar tak masalah ini : ada antara jemaah yang tidak bertegur sapa, tidak mahu solat belakang individu x kerana tak baca qunut subuh & masalah tidak mengiktiraf masjid ’A’ kerana imamnya baca zikir lepas solat?
Macam selalu kedengaran bukan?
Di Christchurch, saya mendapat tahu ada 1 kes, seorang umat islam kita yang meninggal dunia tidak mahu disembahyangkan mayatnya hanya kerana dia dianggap ’orang syiah’.
Kata mereka : syiah bukan ahli sunnah. Maka kita tak wajib solatkan mereka!
Tapi ada pula yang lain bilang : saya lihat ketika tunaikan haji, berduyun-duyun jemaah ’syiah’ dari Iran tawaf bersama kita… macammana pula tu?
APA MASALAH DALAM KEFAHAMAN AGAMA KITA?
Saya mendapati, ramai yang memiliki anggapan ’kembali kepada agama, selesai masalah’. Tetapi bila mereka mula ’kembali kepada agama’, masalah mula bertambah. Adakah agama kita yang salah?
Sudah tentu tidak bukan? Sebabnya Allah sendiri jamin kebenarannya melalui kata-kata jaminanNya - ’walam yaj’al lahuu ’iwaja qoyyima’ : dan kami tidak jadikan didalamnya (Al-Quran) sebarang bengkang-bengkok, semuanya lurus, benar dan tepat belaka!’ : Kahfi, 1 & 2.
Maka di mana silapnya?
Saya yakin, kelemahan berlaku bila kita ’kembali kepada agama’ yang menyebabkan kita semakin keliru, bersengketa dan berpecah berpunca dari – kefahaman kita tentang ’agama’ itu sendiri yang terbahagi kepada 3 masalah besar iaitu :
1 – Salah prioriti dalam memahami ’apa tujuannya saya beragama’ & ’apa yg perlu saya ambil dari agama’.
2 – Perbezaan pendapat dalam memahami interpertasi teks (Quran & Sunnah) ke konteks kehidupan.
3 – Masalah nilai : sebut ‘akhlak’ dalam memahami warna-warni agama.
Dari 3 masalah di atas (InsyaAllah, saya akan perincikannya dalam artikel lain), umat islam kita telah mula berpecah dan bertelagah. Ia bukan setakat ’ribut dalam cawan’ yang boleh dikontrol, tetapi menjadi ’ribut dalam ummah’ yang tak terkontrol!
Saya akan menyenaraikan antara masalah ’dalam agama’ yang menyebabkan kita berpecah di bawah. Tetapi saya perlu fahamkan pembaca dahulu iaitu : saya hanya menyenaraikan, bukan menyokong mana-mana fakta/kumpulan itu benar atau tidak, sama ada di pihak A atau B. Dan peranan saya yang lebih besar ialah di akhir artikel ini : membantu memberi JALAN PENYELESAIAN.
MASALAH ’DALAM AGAMA’ YANG SELALU KITA DENGAR…..
1 – Dalam sejarah agama, kita akan bersengketa tentang fakta pembunuhan cucu Rasul yang dikasihi : Saidina Hussein. Macam-macam pendapat yang membela dan mengingkari ’siapa dalang pembunuhnya’.
2 – Masalah syiah : sesat, kafir atau sebahagian dari Islam?
Haaaa….. ini memang soalan panas. Ketika saya di Mesir dahulu, ada beratus buku ditulis untuk ’melondeh’kan penyelewengan syiah. Dan bila dah ada buku ’menyerang’ sebegitu, sudah tentu ada ratusan buku mempertahankan syiah dicetak.
Kata orang yang menganggap syiah sesat, mereka berhujah ’Syiah kutuk para sahabat, mereka ada Quran sendiri, Taqiyyah dan bermacam kesesatan lagi!
Tapi ada pula yang membela ’Kalau betul sesat, takkanlah mereka boleh selamba je tunaikan haji kat Mekah? Enta kata syiah sesat sebab enta dapatkan info sebelah pihak saja. Cuba bersikap objektif dan lihat hujah kami pula….’
Bagi saya, jawapan paling pasti ialah : Wallahu A’lam Bissowab. Tapi dahulu, saya pernah juga mendengar khabar, jika 10 ulama ahli sunnah berlawan hujah dengan 1 ulama (ayatollah) syiah, susah 10 ulama tu nak menang! Hmmm…… Sekali lagi, No comment. Wallahu A’lam bissowaab.
3 – Tarekat : sesatkah, bid’ahkah atau benarkah?
Ini satu lagi masalah yang semakin membarah di masyarakat kita. Saya amat merasai kekuatan ’ribut’ persengketaannya kerana saya dari Negeri Sembilan : negeri yang agak kuat ’roh’ tarekat.
Pernah juga saya memiliki pendapat skeptikal terhadap amalan mereka. Peliklah, majlis ’haul’-lah, perlu ’bai’ah’-lah, ada zikir khusus, banyak perbuatan bid’ah-lah dan bermacam lagi. Tapi itu dahulu. Pendapat sepihak yang lebih bersifat bias & menurut emosi saja.
Kini,saya lebih bersederhana selepas meneliti kedua-dua hujah. Lebih-lebih lagi bila di Mesir, saya mendapati ratusan masjid-masjid tarekat ’tumbuh segar’ & begitu ramai ulama Al-Azhar menganggotai Tarekat. Takkanlah mereka yang hebat-hebat & dalam-dalam ilmu agamanya itu senang-senang menyokong kumpulan yang ’bidah & sesat’? Tentu ada kebenaran disebalik tohmahan yang dilemparkan, betul tak?
Tambahan pula, ada seorang rakan yang mengingatkan saya : Asraff, kadang-kadang, kita ni sedap-sedap je membidahkan orang yang tiap hari kerjanya berzikir, ingat Allah & puji Rasul…. Kita ni dah hebat sangat kah? Mereka ada ’berguni-guni’ zikir nak dihadapkan depan Allah & ’berkarung-karung’ selawat untuk dapatkan syafaat Rasul, tapi kita?
4 – Definisi bi’dah : anda ingin maksud ’Full HD – High Definition’ atau Half HD?
MasyaAllah. sekarang kalau kita lihat di sesetengah aliran kumpulan mereka yang mendalami agama, mereka cepat sahaja mengatakan ‘Perbuatan ini ‘bid’ah’, dan semua bidah itu sesat, dan segala kesesatan itu akan ke neraka akhirnya’.
Sekali imbas, Nampak macam betul dan murni apa yang dikatakan itu, lebih-lebih lagi ianya disandarkan kepada kalam hadis Rasul yang suci tentang bid’ah.
Soalnya sekarang, apakah maksud paling tepat bagi bid’ah? Adakah ia bermaksud ’semua perkara yang tiada ’hadis sahih & pasti Rasul buat’ dianggap bid’ah, atau ia hanya bermaksud : semua perkara yang melanggar pokok-pangkal ibadah mahdah yang dipersetujui seperti mengatakan solat asar 5 waktu dll dianggap bid’ah. Sementara amalan lain yang ada sandaran, walaupun pada ayat Al-Quran & hadis yg umum maksudnya terkeluar dari definisi Bid’ah.
Mana satu yang anda pilih? Terpulang kepada anda. Ada beratus buku yang memperincikannya, dan ada berpuluh ustaz yang boleh anda jadikan rujukan.
5 – Masalah Fekah : perlu mazhab atau tidak?
Ya tak ya juga….’ Fikir saya. Tapi bila dilihat lebih teliti kepada kumpulan yang benar-benar ingin terbuka ini, maaf cakap, mereka juga ada ’mazhab’ ulama-ulama pilihan mereka.
Kenapa saya kata begitu? Sebabnya mazhab ialah pegangan kita untuk memilih teknik ulama mana yang lebih selesa digunapakai untuk menentukan halal-haram dll. Anda boleh memilih teknik yang digunapakai oleh Imam Syafie dalam menentukan hukum berdasarkan kefahamannya terhadap interpertasi AlQuran sunnah. Anda juga boleh saja memilih ulama lain seperti Imam Ahmad ibn Hambal, Imam Abu Hanifah atau Imam Malik.
Atau anda boleh pilih imam yang lebih kontemporari spt Ibn Taimiyyah atau Syeikh Yusuf Qardawi.
Kenapa saya kata ’memilih?’ Sebabnya mudah. Kita takkan ’terlepas’ dari mengikuti pendapat ulama dalam memahami agama. Tak mungkin kita dengan ’hebat’nya membuat keputusan ’saya ingin mengkaji sendiri Al-Quran dan hadis tanpa menurut pandangan mana-mana ulama sebab saya ingin bebas mazhab!’, sedangkan pada masa sama, anda merujuk tafsir Qurtubi (pendapat & ilmu imam Qurtubi dalam memahami Quran) & Sahih Bukhari (hadis plihan Imam Bukhari paling sahih berdasarkan penilaiannya).
Mudah cerita, kalau benar nak diperhalusi golongan bebas mazhab ini, mereka pun sebenarnya secara tak langsung ada mazhab, bukannya dari 4 yang popular itu, tetapi lebih kepada ’mazhab’ pendapat imam2 yang mereka pilih & mereka gemar sahaja.
Benar juga kata-kata seorang rakan usrah saya di Mesir dulu. Agak pedas juga sindirannya. Jika anda seorang yang ’mudah terasa’, saya nasihatkan jangan baca. Baik anda terus langkau ke fakta berikutnya.
Sindirannya begini : jika kita benar-benar ingin mencapai tahap ’bebas mazhab’, jadi macam Imam Syafie dulu. Belajar dengan ratusan ulama besar, hafal Quran & ingati berpuluh ribu hadis dulu. Then, buat kitab sendiri & karang tafsir sendiri.. Kalau setakat ’hadis 40 matan Arbain pun terkial-kial nak hafal, jangan mimpilah nak mengisytihar ’saya bebas mazhab!’
6 – Hadis – sahih ke dhaif?
Jika dalam ilmu hadis,perbezaan pendapat dalam menentukan kesahihan hadis sampai sekarang tak habis-habis.
Benar, ulama hadis telah sedaya-upaya mengumpulkan hadis yang paling sahih. Dan mereka telah mewariskan’sunan Sittah & sunan Tis’ah’ kepada kita. Jika mahu lebih berautoriti, pegang sahaja kepada sahihain – ’Bukhari & muslim’.
Tetapi dalam yang disepakati itupun, mereka masih berbeza pendapat. Masih ada yang kata ’hadis in sahih, ini daif dan ini daif jiddan’. Kemudian, akan ada ulama lain menyanggahnya dengan mengatakan ’tidak, hadis itu memang sahih’. Jangan hairan pula, mereka yg berbalah pendapat dlm tentukan kesahihan hadis ini bukannya orang biasa, tapi semuanya syeikhul hadis. Tahap ’pro’ dalam hadis.
Jika anda tak percaya kata-kata saya ini, cuba tuntut ilmu hadis secara serius di fakulti hadis di mana-mana universiti hingga tahap Ph.d dan ’talaqqi hadis’ dari pakar Syeikhul hadis di negara arab. Jangan menuntut ilmu di kuliah ceramah magrib isyak saja sebab selalunya para ustaz ini selalunya menyampaikan ilmu yang bersifat’end user’, bukannya berbincang asal-usul ilmu yang lebih bersifat teknikal.
Benar. itulah jalan selamat yang saya setuju 100%. Tetapi saya bilang semula – ’tahu tak, ada ulama yg berpendapat : dalam kitab sahih Bukhari pun ada hadis dhaif’. Sehingga syeikh saya di Mesir dulu pernah berpesan : hati-hati beli kitab hadis Bukhari Muslim di pasaran. Silap beli, kitab Bukhari anda hadisnya tak cukup! Bukannya salah cetak, tapi memang sengaja hadis tertentu tidak dicetak sebab kata mereka ’hadis ini pun tak sahih!’
Wallahu A’lam.
7. Akidah : kita ni ahli sunnah orientasi mana? Asya’irah ke? Maturidiah ke? or……
Memang benar akidah kita pokok pangkalnya syahadah dan rukun iman yang enam itu. Perkara ini, semua orang bersepakat. Tetapi, bila mentafsirkan ’sifat-sifat Allah’ dan interpertasi rukun Iman, kita sudah mula bersilat lidah dan membesarkan khilaf.
Pertanyaan saya : anda di golongan pendapat mana?
8. Politik : Apa sistem terbaik? Demokrasi, negara teologi atau negara islam?
Dalam politik jika nak diperincikan, masalahnya takkan habis. Banyak sangat khilafnya. Ada yang kata demokrasi haram, khilafah itulah yang perlu diperjuangkan dan ada yang kata sebaliknya. Demokrasi itu harus dalam islam, cuma ia perlu dipandu dengan sistem syura ulama. Kemudian baru-baru ini pula, ungkapan ’negara islam’ sudah ditukar kepada ’negara berkebajikan’.
Itu masalah pertama. Masalah kedua pula ialah, timbul kumpulan yang mahukan keadilan dan ketelusan ditegakkan tetapi nampaknya mereka ini masih terkial-kial mencari definisi ’keadilan’ mana yang hendak diikut. Keadilan berdasarkan agamakah? sama ratakah? kaumkah? atau kelompok tertentu saja?
Itu belum masuk lagi masalah ketirisan, kronisme, kezaliman, penyelewengan selamba wang rakyat dan cakap tak serupa bikin. Masalah ini bukan setakat di Malaysia tapi hampir keseluruhan negara umat islam.
Kalau tak percaya, cuba lihat indeks negara paling stabil & adil ekonomi, sosial dan politiknya. Senarai ’top-ten’hanyalah nama negara ’bukan islam’ seperti Denmark , New Zealand dll. Mana negara ’islam’ yang boleh dijadikan contoh?
Maaf cakap, negara kita yang dirasakan serba tak adil itulah yang menduduki tempat terbaik diantara semua negara islam!
9. Badan dakwah : 1 sahaja atau banyak?
Bila ada antara kita yang mahu tumpukan usaha dalam dakwah, selalunya akan timbul isu lain pula. Akan ada perbalahan dalam menentukan ’kumpulan dakwah mana lebih baik’. Akan ada ahli NGO yang akan mengatakan’teknik dakwah kami yang terbaik dan terbukti berkesan’.
Kemudian, timbul pula masalah perebutan ahli sehingga ada sampai ke tahap ’tak boleh masuk kumpulan A’. Ini bukan telahan dongeng saya. Ia memang terjadi. Kalau tak percaya, cuba masuk dan rapati ahli-ahli bawahan mana-mana pertubuhan NGO dakwah kita. Anda akan terperanjat dengan kelakuan tidak rasional sebahagian ahlinya.
Bukankah lebih baik dari tuduh-menuduh dan salah-menyalah, kita mula berpakat dan saling hormat-menghormat?
‘Synergy’ kata orang putihnya.
Ta’aawun, kata bahasa Al-Qurannya.
10. Golongan ’tuan v.s golongan ’muda’.
Perbezaan pendapat antara dua golongan ini telah wujud sejak sebelum merdeka lagi. Kalau dulu, golongan tua adalah mereka yang bersekolah ’pondok’ & membaca kitab kuning, manakala golongan muda adalah mereka yang belajar agama di luar negara dan mendapat tempias angin perubahan tokoh-tokoh pembaharu di sana.
Kini, nama mereka sudah berbeza tetapi pangkal perbahasannya masih lebih kurang sama. Golongan muda yang sudah di’upgrade’ namanya kepada intelektual agama yang berstatus Ph.D dihujung namanya nampaknya lebih agresif dengan hujah-hujah intelektual yang amat memikat.
Walaupun sekali imbas hujah mereka kelihatan kuat, tetapi pendapat ’orang lama’ yang lebih berteraskan amalan jangan dipandang remeh. Mereka juga ada sandarannya sendiri.
Jika ditanya saya, yang mana satukah yang benar?
Saya akan bertanya kembali si penyoal 3 soalan : siapa ustaz yang mengajar anda agama, siapa ulama yang anda ikuti pandangannya dan apa buku agama yang sering anda baca?
Kemukakan dahulu jawapan anda dan selepas itu, barulah saya akan jawab soalan tersebut….
PENYELESAI MASALAH.
Masalah perpecahan kita bukan setakat 10 itu saja. Bahkan banyak lagi. Cuma mata saya sudah mengantuk untuk menulis kesemuanya. Maklumlah, artikel ini ditulis jam 3 pagi pada suhu 2 darjah celcius. Pada situasi sebegini, yang terbaik ialah, panaskan badan dalam selimut dan mula bermimpi indah-indah!
Tapi rasanya, saya perlu sumbangkan sesuatu untuk menyelesaikannya kerana masalah label-melabel, bid’ah-membid’ah, salah-menyalah & sikap diskredit golongan/pendapat lain yang SEMUANYA berpaksikan agama sudah sampai di tahap kronik.
Anda fikirkan saja apa yang terjadi kepada kekuatan umat islam jika ada orang kita yang baru nak berjinak2 dlm agama, dia pergi masjid, cari alim-ulama & joint persatuan dakwah ’A’. Hasratnya murni tetapi ini yang dia dapat : ilmu yg bukan mendekatkannya kepada Allah, tetapi ilmu yg menjadikan dia merasa ’saya yang betul, yang lain salah’, mengkelas & menyalahkan orang lain.
Bayangkan jika ia terus berpanjangan. Porak-peranda ’nama baik’ agama kita. Hancur kredibliliti umat islam sekarang. Jadi ’buih’ semua orang islam yang berjumlah 1.75 bilion itu.
Kalau ia tidak diselesaikan, rasanya tok-sah ceritalah nak bekerjasama sesama persatuan. (di malaysia, sy diberitahu, persatuan dan NGO cina jumlahnya beribu dan sangat aktif berbanding persatuan islam/melayu kita yang dahlah sedikit, tak begitu kuat dan saling tidak support-menyupport antara satu sama lain).
Tok-sah ceritalah tentang hasrat nak wujudkan persatuan pelobi kuat yahudi spt AIPAC,
dan,
Tok-sah ceritalah perkara lebih panjang seperti hasrat nak kalahkan yahudi dll jika sesama kita pun dah tak bertegur-sapa hanya disebabkan soal kecil ‘dia sembahyang tak baca doa qunut’….
Kesemua yang saya nyatakan itu adalah presenting problem. So, apakah real problemnya?
Antaranya ialah 3 jawapan yang telah disenaraikan di atas. Dan berita baiknya ialah, kali ini saya ingin berkongsi dengan anda jawapan kepada soalan 3 iaitu : akhlak kita dalam menanggapi perbezaan.
BUKU WAJIB BACA UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH NOMBOR 3.
Baiklah, kita sudah habis berbicara tentang diagnosis masalah & akibatnya. Kini sampai ke bahagian ’ubat & perskripsinya’ pula.
Saya ada membaca satu buku yang cukup bagus bertajuk ’DAHULUKAN AKHLAK DIATAS FIKIH’ yang dikarang oleh cendekiawan agama-psikologi Indonesia : Jalaluddin Rakhmat.
Buku itu saya beli ketika berkunjung ke Pesta buku Indonesia pada tahun 2007 lepas, dan hingga sekarang saya menganggap, ia adalah antara koleksi buku ’wajib baca’ yang perlu dimiliki oleh semua yang ingin mencari jawapan kepada persoalan di atas.
Mungkin ada yang bertanya ’Ustaz, takda buku karangan ulama besar lainkah yang boleh ustaz cadangkan?
Bukan tiada bahkan banyak sebenarnya. Tetapi, kelebihan buku ini ialah, segala contoh masalahnya lebih kurang sama dengan masalah yang kita hadapi. Bak kata orang : satu rumpun. Lagipun gaya bahasanya dekat dengan kefahaman ’bahasa’ kita berbanding buku bahasa arab yang bahasanya anda faham-faham sahajalah : sukar difahami serta bukunya pula sukar dicari terjemahannya.
Banyak persoalan di atas dikupas baik oleh Kang Jalal – gelaran lain bagi pengarangnya. Bahkan, lebih banyak kemusykilan itu dijawab dengan penuh intelektual dan berbasiskan realiti olehnya pengarang.
Jika mahukan buku ini, anda tidak perlu ke Indonesia bagi mendapatkannya. Cukup dengan berkunjung ke Kedai buku Fajar Ilmu Baru di Jalan Masjid India, K.L dan insyaAllah ia berkemungkinan besar wujud di situ.
Tetapi, bagi lebih memudahkan anda. Saya berikan buku ini free saja dalam bentuk ebook dan anda boleh dapatkannya dari link ini :
http://lacarepa.blogspot.com/2011/01/download-dahulukan-akhlak-diatas-fiqih.html
Cuma saya harap seperti yang dipesan oleh penulis blog : tolong jangan komersialkan ebook ini bagi menghormati hakcipta penulisnya. Gunakannya sebagai wasilah dakwah dan jalan untuk lebih mencerahkan pandangan.
Satu lagi pesanan : walaupun saya banyak membaca buku Kang Jalal, tetapi tidak semua pendapatnya saya bersetuju. Ada juga yang pelik dan sangat aneh seperti pendapatnya dalam buku ’Islam & Pluralism’.
Boleh dikatakan, lebih banyak pandangan pelik dari pandangan baik dalam buku itu. Namun perkara ini tidak menghairankan bagi Kang Jalal kerana disebalik kewibawaannya sebagai intelektual muslim kontemporari Nusantara, beliau juga dilihat sebagai ’penyokong syiah’.
Oleh itu saya nasihatkan, jika anda tidak punya kefahaman agama mendalam, lebih baik jangan download ebook selain ebook yang dicadangkan di atas. Takut-takut, dari tujuan asal menjernihkan fikiran, akan berakhir dengan ’mencelarukan’ fikiran pula.
Walaubagaimanapun, bagi ebook ’Dahulukan Akhlak di atas Fikih’, saya berikan endorsement ini : Bacalah dan anda akan merasa ’kenyang’ dengan pendapatnya. Bacalah dan pandangan anda terhadap agama akan semakin terang.
Dan, jika anda punya buku lain yang boleh menyumbang kepada penyelesaian masalah di atas, saya berharap, jangan lupa untuk kongsi-kongsikannya di ruangan komentar di bawah. Mana tahu, perkongsian ikhlas anda menjadi sebab untuk Allah menutup segala kesalahan-kesalahan lepas.
Sharing is caring. Moga Allah juga akan ’take care’ kita…..
Itu yang saya doa dan harapkan. Amin Ya Robbal Aa’lamin.
P.s : 1 berita baik : dlm banyak2 disiplin ilmu agama, 1 bidang sahaja yang boleh dianggap ’tiada masalah besar’ iaitu Tajwid & Qiraat.
.
No comments:
Post a Comment