CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Friday, 23 September 2011

Bill Gates paling kaya..Asas Ekonomi Islam?


Bill Gates paling kaya di AS


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Status ekonomi AS yang tidak menentu sejak kebelakangan ini tidak menghalang pengasas gergasi perisian komputer Microsoft, Bill Gates mengungguli tempat teratas individu terkaya di AS selama 18 tahun berturut-turut.



Senarai tersebut yang di keluarkan oleh majalah Forbes kelmarin, turut menyenaraikan 400 orang terkaya di negara kuasa besar berkenaan.

Menurut majalah tersebut, nilai kekayaan pengasas bersama Microsft itu pada tahun ini ialah AS$59 bilion (RM185.82 bilion), bertambah sebanyak AS$5 bilion (RM15.74 bilion) sepanjang tahun ini berbanding setahun lalu.


Perkembangan itu meletakkan pelabur, Warren Buffet di tempat kedua dengan nilai kekayaan sebanyak AS$39 bilion (RM122.83 bilion).

Orang ketiga terkaya di AS ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Oracle, Larry Ellison dengan kekayaan berjumlah AS$33 bilion (RM103.93 bilion), bertambah AS$6 bilion (RM18.89 bilion) berbanding tahun lalu.


Spekulator mata wang George Soros pula berada di tempat ketujuh.


Beliau buat kali pertama berada dalam kedudukan 10 orang terkaya di negara tersebut.

Forbes menganggarkan kekayaan Soros bernilai AS$22 bilion (RM69.28 bilion).

Turut tersenarai dalam 10 orang paling kaya AS tahun ini ialah waris kepada pengasas rangkaian pasar raya Wal-Mart Stores Inc., Sam Walton.

Dalam senarai tersebut, Forbes menyatakan sebanyak 262 individu mengalami peningkatan nilai kekayaan, 72 pula menurun manakala 18 individu berada di dalam senarai 400 orang terkaya di AS buat pertama kali.

Terdapat 42 wanita yang turut tersenarai termasuk pengacara terkenal, Oprah Winfrey pada tangga ke-139, dengan anggaran kekayaan bernilai AS$2.7 billion (RM8.50 bilion). - AP
Add starShareShare with noteKeep unreadSend to

    Asas Ekonomi Islam, Apa Istimewa?



    CATATAN SANTAI IH: Kuliah Eko IH (siri 3)
    ASAS-ASAS ekonomi Islam, apa Istimewanya? Istimewanya, bolehlah dirumuskan kepada 3 perkara atau 3 gabungan.

    Satu: Gabungan antara perkara yang tetap dengan perkara berubah.

    Dua: Gabungan antara dua maslahah iaitu maslahah individu dan maslahah umum.

    Tiga: Gabungan antara maslahah kebendaan dan keperluan kerohanian.

    Huraian Satu:
    Ekonomi Islam dari usul merupakan “Iqtisad Ilahi”, atau ekonomi bertunjangkan sistem Tuhan. Dari segi pelaksanaan merupakan “Iqtisad wada’ie” iaitu ekonomi yang menggabungkan antara asas tetap dengan perkara pelaksanaan berubah.

    Asas yang tetap iaitu segi asas-asas yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Usul-usul ini tidak berubah walaupun berlakunya perubahan tempat dan masa.
    Asas berubah dan berkembang iaitu cara pelaksanaan berdasarkan usul-usul tetap yang boleh berubah kerana faktor persekitaran, tempat dan masa. 

    Ia dikenali sebagai “sistem ekonomi Islam” seperti ijtihad Saidina Umar bin Khatab. Ijtihad yang menganggap tanah pembukaan di Syam dan Iraq sebagai milik negara dan tidak lagi menyerahkan tanah tersebut kepada individu pembukanya, sebagai harta rampasan perang iaitu Ghonimah.

    Dari keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa ekonomi Islam terdiri dari 3 aspek terpenting:
    1. Ekonomi Islam iaitu ekonomi Ilahi dari segi ideologi dan wada’ie dari segi pelaksanaannya.
    2. Ekonomi Islam sesuai untuk semua tempat, masa dan tidak terikat dengan peringkat tertentu dari segi sejarah.
    3. Peraturan ekonomi Islam berlainan dengan kelainan tempat dan masa, ia tidak terikat dalam bentuk dan saiz tertentu.
    Dari sini adalah satu kesilapan jika sekiranya ada suara-suara yang ingin mengembalikan ekonomi Islam seperti zaman khulafa Al-Rasyidin sedangkan zaman kita bukanlah zaman khulafa’ al-Rasyidin. Kerana masalah baru yang timbul memerlukan ijtihad dan pelaksanaan yang berlainan dengan zaman-zaman sebelumnya.

    Perubahan pelaksanaan mungkin boleh berlaku dalam satu masa tapi berlainan tempat. Umpamanya pelaksanaan di Malaysia mungkin berlainan di negara-negara lain. Memang pelaksanaan ekonomi Islam pada zaman khulafa merupakan contoh berdasarkan asas syarak, tetapi ia bersesuaian pada masa itu. Apabila pertumbuhan telah berkembang, maka pelbagai bentuk dan saiz yang memerlukan kepada kaedah dan cara metodologi yang baru.

    Perbezaan-perbezaan pelaksanaan dibolehkan asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip syariat asas bagi sistem ekonomi Islam. Segala bentuk ijtihad yang ingin dikeluarkan mestilah merujuk kepada syariat Islam dan hukum berkaitan dengannya.

    Huraian Dua:

    Gabungan antara dua maslahah iaitu maslahah individu dan maslahah masyarakat memerlukan keseimbangan diantara keduanya, disamping kepentingan negara. Negara perlukan pendapatan tinggi melalui hasil kekayaan sumber asli, cukai, zakat pinjaman, dan pengagihan saksama di kalangan masyarakat bagi memenuhi keperluan asas mereka. 

    Seseorang itu bebas memiliki harta tetapi ia terikat dengan kepentingan umum yang perlu ditunaikan.
    Keseimbangan antara dua kepentingan ini amat penting bagi menjamin taraf hidup dan jaminan sosial yang kuat. Umat Islam merupakan umat sederhana, seimbang dan pertengahan dalam semua bidang hidup. 

    Kepentingan ekonomi dalam setiap individu dan masyarakat, sewajibnyanya ada keseimbangan. Iaitu mengikut keutamaan dari segi dharuri, Hajiyyat dan Tahsinat. Dan juga menjaga kuliyyat al-khamsah iaitu agama, diri, akal, keturunan dan maruah.

    Ekonomi Islam tidak menjadikan kepentingan individu sebagai matlamat dan menafikan hak-hak kepentingan umum, bukan seperti ekonomi kapitalis. Atau bukan hanya mementingkan aspek kepentingan umum sehingga menolak kepentingan individu dalam menikmati taraf hidup sempurna, seperti yang berlaku kepda ekonomi sosialis.

    Ekonomi Islam adalah menjaga perseimbangan antara kedua kepentingan tersebut seperti ungkapan dalam al-Quran, firman Allah yang bermaksud: “Kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya” (al-Baqarah 279)

    Huraian Tiga:

    Manusia diciptakan oleh Allah SWT mempunyai sifat sukakan harta kekayaan. Al-Quran telah menceritakan perkara itu dengan firmanNya yang bermaksud:

    “Dan dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: 

    Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-anak, harta benda yang banyak berpikul-pikul, daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang hebat lagi terlatih dan binatang-binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah) Allah telah menyediakan tempat yang sebaik-baiknya untuk kembali (iaitu syurga).” (Al-Imran 14)

    “Dan sesungguhnya manusia sangat bakhil kerana terlalu sayangkan harta.”(al-Aadiyaat 8)

    Kedua-dua ayat ini menjelaskan mengenai sifat manusia terlalu sayangkan harta benda, yang menyebabkan mereka telah lalai dalam proses membina diri melalui tazkiyatun nafs. Berlaku tidak keseimbangan antara amalan kerohanian dengan pencarian harta kekayaan. 

    Mereka terlalu asyik mencari harta kekayaan sehingga lupa untuk bersyukur kepada Allah melalui sembahyang, berdoa, bersedekah dan melakukan amalan kebajikan untuk masyarakat dan negara.

    Allah sangat gembira jikalau hambaNya yang mempunyai harta kekayaan tetapi ianya tidak melalaikan dari sentiasa mengingati Allah.

    Firman Allah bermaksud: “Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari mengingati Allah, daripada membayar zakat. Mereka takut kepada satu hari pada hari itu hati dan penglihatan menjadi goncang.”(an-Nur 37)

    Oleh kerana manusia dijadikan oleh Allah yang mengandungi unsur-unsur kerohanian dan kebendaan, ia memerlukan perseimbangan antara kedua-duanya. Islam mencantumkan aspek kerohanian dan material kehidupan ini dengan begitu lengkap dan kukuh. Yang menjadi sumber kekuatan bersama bagi menuju kesejahteraan dan kebahagian hidup manusia. 

    Pemisahan antara dua aspek ini akan mengakibatkan kepincangan hidup manusia.

    Pada hakikatnya, tidak ada pembahagian dan pemisahan antara aspek kerohanian dan material dalam Islam. Kedua-duanya hendaklah selari dan seimbang. Oleh itu masyarakat Islam akan mencapai kejayaan sekiranya mereka mencapai tahap semaksima dari segi kerohanian dan memenuhi keperluan asas kehidupan dengan sempurna dan lengkap secara seimbang. Keperluan, asas yang diperlukan oleh manusia adalah terdiri dari aspek pekerjaan, tempat tinggal sempurna, makan-pakai cukup dan pendidikan bagi mengembangkan bakat yang sedia ada dalam setiap individu.
    Saranan:
    Ini, antara saranan-saranan bagi menjayakan ilmu Ekonomi Islam
    • Merumus semula metodologi ilmu ekonomi Islam yang sesuai pada konteks masa kini, berdasarkan persekitaran, masa dan tempat.
    • Melaksanakan perbelanjaan perbandingan antara sistem ekonomi lain dengan ekonomi Islam dari segi ideologi, cara pelaksanaan dan keistimewaaannya.
    • Mengkaji segala khazanah ilmu silam berkaitan dengan fiqh muamalat, dan mengeluarkan pendapat-pendapat bagi menyediakan satu sukatan pelajaran yang sempurna.
    • Menyediakan para cendiakawan Muslim pakar dalam bidang ekonomi dengan memberi galakkan kepada mereka bagi membuat penyelidikan.
    • .Menubuhkan pusat-pusat penyelidikan ekonomi, menggalakkan kerjasama dalam bidang penyelidikan ilmu ekonomi antara universiti-universiti dan mengkaji tesis M.A dan PhD dalam bidang ekonomi.
    Sekian, Wallahu aklam. Bersambung lagi.

    Catatan Santai Ibnu Hasyim 
    Kuliah Eko IH (siri 3)
    alamat: ibnuhasyim@gmail.com 
    KL 14 Sept 11.

    No comments:

    Post a Comment