CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Wednesday 6 July 2011

SOLAT..tiada TOMAKNINAH..sahkah???


1. Setiap hari kita melakukan ibadah. Ia adalah kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah Azza wa Jalla. Ada ibadah yang khusus seperti solat, zakat serta puasa, dan ada ibadah yang umum seperti mencari nafkah, berkeluarga dan belajar dengan syarat niatnya kerana Allah SWT. Ini kerana tujuan penciptaan manusia itu sendiri adalah untuk beribadah kepadaNya.

2. Maknanya seluruh kehidupan kita ini boleh menjadi ibadah kepada Allah Azza wa Jalla. Firman Allah SWT dalam surah al-An’aam ayat 162 bermaksud:
Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah (pemilik) sekelian alam.
  

3. Terdapat pelbagai tujuan seseorang melakukan ibadah. Ada yang inginkan syurga Allah SWT, ada yang takutkan neraka dan terdapat juga yang beribadah kerana ingin mendapat keredhaanNya. Nabi SAW pula melakukan ibadah sebagai tanda syukur kepada Allah Azza wa Jalla. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA, dia berkata:

Adalah nabi SAW apabila solat, dia akan berdiri hingga memberi kesan pada kakinya. Aku berkata: Ya Rasulullah, engkau lakukan perkara ini sedangkan engkau telah diampunkan dosa yang terdahulu dan akan datang? Nabi SAW menjawab: Wahai ‘Aisyah, tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur? (Riwayat Muslim)
                  
4. Persoalannya ialah adakah amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT atau tidak? Yang kemudiannya kita beroleh pahala daripada amalan tersebut. Ia juga berkaitan dengan bara’ah dzimmah (tertunai tanggungjawab) dan dianggap telah melaksanakan perintah Allah, lalu selamat daripada dosa. Oleh sebab itu perbincangan tentang rukun dan syarat sah sesuatu ibadah adalah sangat penting, seperti niat, mestilah muslim, dan sebagainya. Umpamanya syarat mestilah muslim dalam ibadah, firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 39 bermaksud:
Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah seperti fatamorgana (kilauan sinaran panas di tanah rata) yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (Demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah daripada amalannya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya dan (ingatlah) Allah amat segera hisabNya.

5. Namun kita mengabaikan sesuatu yang tidak disebut secara khusus dalam pengajian rukun dan syarat, bukan kerana para ulama’ terlupa dan tertinggal, tetapi kerana ia adalah kemestian bagi setiap amal ibadah yang kita kerjakan. Menyebutnya dalam setiap ibadah akan menjadikannya berulang-ulang. 

Berulang-ulang pada bukan tempatnya adalah sesuatu yang tidak berfaedah, dan perkara yang tidak berfaedah akan ditinggalkan dalam disiplin ilmu feqh. Kerana solat ada rukun dan syarat-syaratnya yang tersendiri yang berbeza dengan zakat, puasa dan haji. Tetapi perkara yang kita abaikan ini mesti ada dalam solat, zakat, dan seluruh ibadat yang kita kerjakan.   

6. Para ulama’ menyebut perkara ini sebagai syarat diterima sesuatu amal ibadah. Jika tiada perkara ini maka tidak akan diterima oleh Allah Azza wa Jalla. Dalam hal ini terdapat dua syarat utama iaitu ikhlas dan menepati syara’.

7. Syarat pertama: ikhlas kerana Allah
Maksudnya ialah segala perkataan dan perbuatan dalam ibadah sama ada zahir dan batin adalah semata-mata kerana Allah Azza wa Jalla. Kita solat bukan kerana manusia, kita mengeluarkan zakat bukan untuk menunjuk-nunjuk, kita menunaikan haji bukan untuk dipanggil dengan gelaran tuan haji dan kita membuat kebajikan bukan kerana riya’ dan sum’ah. Datangkanlah keikhlasan dalam setiap amal ibadah yang kita lakukan. Firman Allah SWT dalam surah al-Syura ayat 20 bermaksud:
Barangsiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakiNya; dan barangsiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu, dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa nabi SAW bersabda:
Allah SWT berfirman: Aku paling kaya (tidak memerlukan) perkongsian daripada seseorang yang melakukan sesuatu amalan, yang padanya dikongsikan dengan selain Aku, nescaya Aku akan meninggalkannya dan rakan kongsinya. (Riwayat Muslim)

8. Syarat kedua: menepati syara’:

Setiap amal ibadah yang kita lakukan mesti menepati syara’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Kaedahnya ialah mesti mengikut sebagaimana yang diajarkan oleh nabi SAW. Maknanya, dalam perkara ibadah kita tidak boleh mengikut cita rasa sendiri, kita juga tidak boleh berhujjah ia telah diamalkan oleh datuk nenek kami. 

Masih banyak yang perlu kita semak dalam kehidupan seharian kita tentang amal ibadah yang kita kerjakan. Sebahagiannya adalah amalan turun temurun yang bercampur dengan adat setempat. Kita wajib belajar dan bertanya jika tidak mengetahui kerana kesannya adalah amalan kita tidak akan diterima.
Sesiapa melakukan satu amalan yang bukan daripada kami, maka ia ditolak (tidak diterima). (Riwayat Muslim)

Kita tidak boleh solat maghrib lebih atau kurang daripada tiga rakaat. Seorang yang bermusafir untuk melakukan maksiat tidak dibenarkan untuk melakukan jama’ qasar. Ini kerana kita mengikut apa yang diajarkan oleh nabi SAW. Ibn Rejab (795H) berkata:   

Hadith ini (di atas) adalah sumber utama daripada Islam, ia seumpama kayu ukur secara zahirnya bagi setiap amalan. Sebagaimana hadith ‘innama al-a’mal bi al-niyat’ kayu ukur secara batinnya bagi setiap amalan. Sebagaimana semua amalan yang bukan kerana Allah SWT, maka tiada pahala bagi yang melakukannya, begitu juga semua amalan yang tidak menepati perintah Allah dan RasulNya maka ia akan ditolak (tidak diterima). Barangsiapa yang mengadakan sesuatu yang baru dalam agama yang Allah dan RasulNya tidak izinkan, maka ia bukan daripada agama sedikit pun. (Ibn Rejab, Jami’ al-Ulum wa al-Hikam)

Nabi SAW menegaskan kepada kita agar sentiasa mengikut sunnahnya dan sunnah para sahabat selepasnya, sabdanya bermaksud:
Ke atas kamu sunnahku dan sunnah al-khulafa’ al-rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku, gigitlah dengan gigi geraham (berpegang dengan kuat). (Riwayat Tirmizi)

Ibn al-Qaiyim (751H) berkata:
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan ikhlas dan mengikut (nabi SAW) sebagai sebab kepada diterimanya amalan. Jika tiada, maka tidak akan diterima amalan. (Ibn al-Qaiyim, al-Ruh)  

9. Kesimpulannya, amal ibadah yang tidak cukup syarat-syaratnya adalah sia-sia. Dalam kehidupan yang terbatas dan amalan yang terlalu sedikit, pastikan ia tidak sia-sia dan ditolak oleh Allah SWT. Terimalah amalan kami ya Robb.



Quran...Sebutan Huruf Dan Kaitan Solat.


Isu Kedua...Murid Tak Boleh Bezakan BUNYI... HURUF yang hampir tempat keluar hurufnya ( mahrojnya ).

Contohnya : huruf  'AIN
dengan ALIF...
huruf QOF dengan KAF
...huruf  KHO dengan GHOIN
...huruf DAL dengan ZAL juga ZAI...

Isu Ketiga...Murid Keliru dengan TITIK huruf.

Contoh : huruf KHO (titik atas) dengan JIM ( titik bawah )...GHOIN dengan FA.

Kadang kala.. murid...terus terusan membaca dengan bunyi yang salah...terutama AIN dengan ALIF...walaupun sudah hampir nak khatam QURANnya.

Isu Keempat : panjang pendek MAD ASLI...Mad Basic.

Inilah isu paling GENTING...guru kena banyak SABAR...banyak makan masa belajar...sebab murid membaca...hentam keromo sahaja...terutama jika belajar dari guru lain...yang mengajar murid mengaji ...dengan cara baca BERAMAI RAMAI...dua tiga empat murid ...sekali harung diajar...murid inilah yang bagi saya naik angin TAUFAN kadang kadang...dah baca QURAN lebih separuh...tetapi panjang pendek MAD ASLI nya...LINTANG PUKANG.

Kalau baca Suroh Al Fatihah...MAD ASLInya tak betul...rasa rasanya...SOLAT tuh TAK SAH...sama macam tak solat juga.

Tetapi saya sedar...teknik lama / Baghdadi ini...tak seperti kaedah IQRA'...dipandang ketinggalan zaman...ibubapa nak anak mereka cepat KELUARkan bunyi...bila balik dari mengaji Quran...kalau tiada bunyi anaknya itu...maka GURU QURAN itu dicop TAK PANDAI...yang penting anak tuh boleh bunyikan ...kenal huruf..kenal baris...atau tidak ...TAK dipedulikan...BERSAMBUNG InsyAllah...

by 

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Waktu Subuh

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.

Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Waktu Maghrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.

Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Qiamullail

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.

Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.

Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.
Wallahualam.

No comments:

Post a Comment