CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Sunday 3 July 2011

Kapitan Melayu Melaka.


Lama bonar disimpan perihal Sejarah Asal Masjid Kampung Ulu, Melaka. Selepas 15 tahun, kajian yang tak dapat Ijazah Doktor Falsafah (Tamadun Islam) pengkhususan Tamadun Melayu Islam, Pak Sedaro nak dodahkan Sejarah Datuk Aroom, Kapitan Melayu Melaka yang membina Masjid Kampung Ulu pada 1670 (bukannya 1728 sepertimana laporan Wikipedia).

Di riwayat secara lisan hinggalah keturunan ke-9, secara turun temurun dan berasas bukti dan fakta Peta Belanda dan Arkib Negara Holland; bahawasanya seorang pedagang dan saudagar kaya, juga seorang pelayar yang berjiwa besar telah belayar dari Wilayah Tiongkok dengan mengibarkan panji-panji putih berlambang dari Wilayah Tiongkok. Bersama insan ini ialah kain-kain sutera, tembikar, bahan letupan, kertas, dan pelbagai khazanah keluaran Tanah Besar Cina untuk ditukar dengan timah, rempah ratus, perhiasan dan sebagainya.

Setelah belayar berbulan lamanya, mereka tiba di perairan Selat Melaka yang ketika itu dalam keadaan begitu dahsyat, dek kerana ribut taufan. Akhirnya kapal dagang Tiongkok ini dipukul tsunami besar dan akhirnya tenggelam.

Berakhirnya ribut dan kembali reda seperti sediakala, penduduk kampung di pantai Klebang keluar beramai-ramai dan melihat limpahan barangan yang bertaburan di gigi pantai. Ternyata mungkin kapal-kapal yang begitu banyak di laut, musnah dek ribut yang amat dahsyat. Dalam kegamatan itu, sekumpulan anak-anak kecil menjumpai sekujur tubuh yang tidak sedarkan diri dan memberitahu kepada ibu bapa mereka yang sedang sibuk mengutip hasil daripada kapal karam.

Mereka mendapati seorang pemuda Cina sedang diambang maut, lalu diangkat dan diusung tubuh ini ke rumah ketua kampung. Anak Cina ini pengsan selama 5 hari sejak dijumpai, dan kelihatan semakin pulih. Di suatu pagi, sewaktu Azan Subuh, pemuda Cina ini tersedar daripada geringnya dan terus bertanya soal suara laungan yang didengarinya. Diberitakan semasa dia tidak sedarkan diri, setiap 5 kali sehari, anak Cina ini seakan terdengar alunan suara yang sering terngiang-ngiang di telinganya. Alunan suara yang dimaksudkan ialah Panggilan Jihad AZAN. Setelah diterangkan kepada anak Cina ini, bahawa itulah kaedah memanggil dan menjemput ummah Melayu untuk bersolat, maka Allah pancarkan Nur Iman dan Islam kepadanya. Lantas, anak Cina ini memeluk Islam.

Maka diisytiharkan bahawa anak Cina yang dijumpai itu ialah Tan Seek Tiong yang dinamakan dengan nama Islamnya, Harun. Dalam banyak penulisan sejarah, manusia ini juga dikenali sebagai Haroom, Arom, Aroom, bergantung kepada siapa yang menyebutnya. Tan Seek Tiong atau Harun @ Aroom berkahwin dengan Cik Zainab setelah menjadi penduduk contoh, dipercayai dan dihormati. 

Almarhum diberikan amanah sebagai pemimpin kepada sekumpulan Melayu yang hidup waktu itu, hingga beliau pernah dinobatkan sebagai Pemimpin Orang Melayu. Datuk Aroom mempunyai 4 zuriat iaitu Sulong, Samsudin, Puteh dan Surin.

Pada tahun 1641, semasa Portugis masih memerintah Melaka sejak 24 Ogos 1511, Datuk Aroom dan pasukannya dikhabarkan telah bersekutu dengan Belanda sehingga Belanda berjaya menakluki Melaka dari tangan Portugis. Sebagai tanda terima kasih Belanda kepada Datuk Aroom, penjajah Belanda telah melantik beliau sebagai Kapitan Melayu Melaka dan dianugerahkan tanah di Sungai Pahat dan Bukit Beruang.

Sifat pemerintahan penjajah Belanda ialah mesra Agama serta menggalak pembinaan rumah ibadah, telah memungkinkan Daruk Aroom di beri tanah untuk membina masjid yang kemudian dinamakan Masjid Kampung Ulu yang diperbuat daripada kayu yang dibawa dari Cina. Apabila masjid ini siap pada 1670, maka terkibarlah BENDERA kemegahan "Gagah Perkasa" sehingga diturunkan pada 1962 yakni selepas 292 tahun. Datuk Aroom adalah Pengasas Mercu Tanda Obor Islam selepas lumpuh sejak 24 Ogos 1511.

Anaknya Datuk Samsudin bin Aroom telah dilantik sebagai Kapitan Melayu Kedua, ketika ayahnya sudah tua dan uzur. Shamsudin telah membaiki Masjid Kampung Ulu pada 1741, dengan menggantikan papan lantai serta dinding masjid daripada kayu dan batu-batan yang diperbuat di Kampung Batu Bata.

Datuk Aroom juga telah diberi tanah untuk menempatkan waris keturunannya, pegawai-pegawai masjid, para hamba, serta pengikutnya, yang kemudiannya dinamakan sebagai Kampung Ulu, Kampung Keling dan Kampung Kuli. Datuk Aroom meninggal dunia dan dikembumikan di Bukit Beruang bersempadanan Sungai Putat, dan kemudian dijadikan makam berbatu nisan dari Aceh yang dikelilingi Datuk Samsudin, Datuk Budiman, Datuk Mohamad @ Ahmad.

No comments:

Post a Comment