CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Saturday 2 July 2011

Aurangzeb : Dibenci oleh BRITISH.


***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Imam Abu Ya'la meriwayatkan daripada Abu Bakar As-Siddiq r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu mengucapkan 'Laa ilaaha illallah' dan 'istighfar'. Perbanyakkanlah bacaan dua kalimat itu kerana iblis mengatakan, "Abu membinasakan manusia dengan dosa-dosa, dan mereka membinasakan aku dengan 'Laa ilaaha illallah' dan 'istighfar'. Ketika aku melihat mereka membacanya, maka aku akan membinasakan mereka melalui hawa nafsu, hingga mereka menyangka bahawa mereka berada dalam petunjuk."
***

KETIKA saya dalam darjah lima sekolah rendah dulu (1973), dalam mata pelajaran Tawarikh (Sejarah), antara tokoh diperkenalkan adalah Akbar (menggunakan tajuk Akbar Agung atau Akbar the Great). Beliau adalah maharaja ketiga dinasti Moghul yang memerintah pada 1556-1606 Masihi selepas Babur (Zahiruddin Shah) dan Humayun.

Ketika mula memerintah Akbar digambarkan sebagai seorang Muslim yang taat. Beliau dapat meluaskan tanah taklukan Moghul tetapi selepas lama berkuasa Akbar yang kononnya mahu menyatupadukan rakyatnya memulakan satu ajaran baru yang dinamakan Din Ilahi, dicatatkan sebagai menggabungan ajaran Islam, Hindu dan beberapa agama lain. Beliau digantikan anaknya Jehangir (1606-1627M).

Kemewahan yang melimpah-luah tergambar dengan pembinaan Taj Mahal di Agra, sebuah bangunan perkuburan istimewa oleh pemerintah kelima dinasti Moghul,Shah Jahan (1628-1658). Beliau mula mengarahkan pembinaannya pada 1631 Masihi sebagai kenangan buat isteri kedua yang paling dicintainya Mumtaz Mahal. Taj Mahal hanya siap 22 tahun selepas Mumtaz meninggal dunia. Pembinaannya membabitkan 20,000 tukang-tukang pakar.

Bangunan perkuburan yang diiktiraf sebagai salah satu daripada benda ajaib di dunia itu menggunakan 28 jenis batu marmar bernilai tinggi sepenuhnya; keunikannya dikatakan warnanya berubah mengikut waktu. Di dalam Taj Mahal kedapatan makam Shah Jahan dan Mumtaz, lambang percintaan dua sejoli; yang mungkin kisahnya mahu diabadikan oleh pasangan romantis dari serata dunia yang berkunjung ke sini.

Shah Jahan digantikan anaknya, Aurangzeb (1659-1707 M). Sesudah Aurangzeb pemerintah-pemerintah semakin lemah yang tidak dapat mempertahankan kelanjutan kerajaan Moghul.

Sekalipun kerajaan Moghul mencatat kegemilangan dalam pelbagai bidang terutama pembinaan dengan karya-karya arkitektur yang indah dan mengagumkan misalnya bangunan masjid berlapiskan mutiara, istana hebat dan perkuburan menakjubkan seperti Taj Mahal, ada beberapa faktor kelemahannya yang menyebabkan kehancurannya pada tahun1857.

Ahli sejarah menyatakan antara faktornya adalah:

1.Berlaku stagnasi dalam pembinaan kekuatan angkatan bersenjata sehingga tidak dapat memantau gerak langkah tentera Inggeris di wilayah-wilayah pantai. Begitu pula kekuatan pasukan daratnya semakin kurang handal, terutama dalam menggendalikan persenjataan buatannya sendiri.

2. Kejatuhan moral dan hidup mewah di kalangan pembesar kerajaan yang mengakibatkan pemborosan dalam penggunaan wang kerajaan.

3. Terlampau kasarnya sikap Aurangzeb dalam melaksanakan ide-idenya yang menyebabkan terjadinya konflik antara penganut pelbagai agama dan juga antara orang Syiah dan Sunnah.

4. Semua pewaris takhta kerajaan pada zaman terakhir kekuasaan Moghul adalah orang-orang yang lemah dalam bidang kepemimpinan; mereka tidak mampu menguasai tentangan kumpulan tertentu apatah lagi dengan kemasukan orang Inggeris.

Berlawanan dengan sejarah kisah Aurangzeb yang digambarkan orientalis Barat sebagai pemerintah lemah yang gagal menangani masalah rakyatnya, sesetengah sejarawan Islam menganggap Aurangzeb sebagai seorang raja paling zuhud dan alim.

Kecenderungan Aurangzeb pada Islam menyebabkan orientalis menuduhnya zalim kepada penganut agama lain. Menurut sejarawan Islam, orientalis mengangkat hebat nama Akbar sehingga kisahnya dimasukkan dalam buku teks Tawarikh termasuklah yang menjadi kitab tatapan saya semasa dalam darjah lima dulu.

Aurangzeb adalah tokoh yang tegas, berani dan kuat memegang syariat. Beliau juga adalah ahli sufi yang benar-benar kuat menjalankan mujahadah dan latihan-latihan rohani. Beliau juga mujahid yang tidak teragak-agak mengangkat senjata bila keadaan memerlukan. Sembahyang dan puasanya banyak. Beliau mengharamkan kembali peminuman arak, nyanyi-nyanyian, tarian dan gundik yang telah bermaharajalela dalam istana Dinasti Moghul.

Mungkin ketaksuban Aurangzeb kepada ajaran Islam menyebabkan beliau dibenci British dan puak-puak bukan Islam; menyebabkan tekanan paling hebat dikenakan ke atas pemerintah selepas itu sehingga akhirnya berakhirnya kegemilangan empayar Islam (Moghul) di bumi India pada 1857.

No comments:

Post a Comment