IKUT HUKUM ISLAM
Bermula dari pertemuanku dengan Sultan Idris Shah di rumah Sheikh Abdullah Fahim, di Kepala Batas, Seberang Perai pada tahun 1954, apabila Baginda menduduki takhta Kerajaan Negeri Perak, maka aku sebagai rakyat marhein sentiasa berdampingan dengan Baginda.
Elok aku mencatat pengalamanku di sini, iaitu kira-kira dua tahun sebelum Sultan Yusuf Izzuddin Shah mangkat, aku sering mengadap Baginda dan Raja Perempuan Ta’yah di Istana Iskandariyah, Bukit Chandan. Kadang-kadang aku datang ke Istana Iskandariyah bersama Raja Razman dan Raja Hanif Shah. Mereka adalah pensasihat kebudayaan dan hal ehwal rakyat kepada Sultan Yusuf.
Sultan Yusuf seorang Raja memerintah yang kuat berpegang
pada semangat kebangsaan Melayu. Dalam percakapan denganku, Baginda lebih cenderung kepada parti-parti politik yang telah diharamkan oleh Kerajaan Inggeris, iaitu kesatuan Melayu Muda (KMM), Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Mengenai UMNO, Sultan Yusuf telah menerangkan kepadaku sama dengan yang telah diterangkan oleh Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz bekas Setiausaha Agung UMNO Malaya.
BRITISH RASA TERGUGAT
Menurut Sultan Yusuf, apabila parti Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya(PKMM) telah ditubuhkan, Kerajaan British rasa tergugat dan sentiasa mencurigai parti-parti itu. Pada satu malam Ahad, akhir bulan Disember 1945, Penasihat-penasihat British (British adviser) Negeri-negeri Pahang, Perak, Kedah, Selangor, Negeri sembilan dan Johor telah mengadakan majlis jamuan makan malam dan tari menari, di sebuah hotel, di Cameron Highlands, iaitu sempena menyambut perayaan Hari Christmas.
Di antara orang-orang kenamaan Melayu yang telah diundang ke majlis itu, ialah Raja Muda Yusuf, Onn bin Jaafar, Panglima Bukit Gantang, Haji Ab dul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz, Raja Kamaruzzaman bin Raja Mansor (Raja Kecil Tengah), Zainal Abidin bin Haji Abas, Raja Haji Shahar bin Raja Harun dan Raja Azam bin Raja Kamaruzzaman.
Dalam majlis itu, para Penasihat British tersebut telah mengingatkan Onn Jaafar, Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab dan mereka yang hadir, bahawa ’bahaya dari gunung’ akan tiba, iaitu Parti Hizbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar al Baqir, Gunung Semanggul, Perak, bahaya kepada orang-orang Melayu yang mendapat pendidikan England atau London Orientation dan masa depan mereka akan menjadi kabur.
Cerita Sultan Yusuf lagi, bahawa penasihat-penasihat British itu telah menjelaskan, iaitu Hizbul Muslimin adalah membawa ideologi Islam seperti yang dianut oleh parti Ikhwanul Muslimin Mesir. Kalau parti itu berjaya memerdekakan Tanah Melayu, masalah besar akan timbul, di antaranya mereka yang berpendidikan England atau London Orientationakan tidak ada tempat atau peluang memerintah Tanah Melayu kerana mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan Islam.
PARTI KEBANGSAAN MELAYU
Penasihat-penasihat British itu telah menasihatkan pemimpin-pemimpin Melayu itu supaya menubuhkan sebuah parti politik nasionalis Melayu untuk membunuh Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Menurut Sultan Yusuf, para menasihat British itu menentang konsep perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), iaitu Satu negara:Negara Melayu, satu bangsa:Bangsa Melayu, satu bahasa: Bahasa Melayu dan agama Islam menjadi agama Negara Melayu.
Dalam perjumpaan itu, Onn Jaafar telah memaklumkan kepada penasihat-penasihat British itu, iaitu orang Melayu sukar untuk disatukan dalam sebuah parti politik, kerana mereka mempunyai sikap kenegerian yang kuat. Penasihat-penasihat British itu telah memberi jaminan, bahasa pihak Pejabat Setiausaha Tanah Jajahan British ada isu yang boleh menyatukan orang-orang Melayu.
”...ape isunye..., mike tau?’ Sultan Yusuf bertanya kepadaku.
”Ampun, Tuanku, patik ..., Tuanku...,”aku menyembah kata.
”...Malayan Unionle..., deme udah susun...,”titah Sultan
Yusuf.
Sultan Yusuf memberitahu lagi, setelah British mengadakan Malayan Union, maka Onn Jaafar dan Haji Abdul Wahab serta rakan-rakan mereka telah menubuhkan parti kebangsaan Melayu, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu – PEKEMBAR atau UMNO.
DAYANG – DAYANG ISTANA
Raja Perempuan Taayah suka membuat kuih muih tradisional Melayu dan almarhumah juga suka santap kuih muih tersebut. Kuih muih itu di antaranya, ketayap, anak dara dua sebilik, lepat pisang, buah Melaka, badak berendam dan lepat ubi. Tetapi kebanyakan kuih muih itu dibuat oleh tukang-tukang masak (perempuan) atau dayang-dayang Istana.
Aku sering dijemput oleh Raja Perempuan Taayah untuk makan kuih muih di istananya. Baginda memerintahkan pemandu kereta istana, Chu Saad mengambilku dengan kereta istana (Morris Minor) dan membawaku ke Istana Iskandariyah.
Pada satu hari, Raja Perempuan Ta’ayah telah bertanya kepadaku mengenai hukum orang menyiksa anak yatim. Aku telah menerangkan kepadanya mengenai Allah menegah melakukan tidak baik kepada anak yatim. Almarhumah telah memberitahu kepada aku, bahawa dia telah menyiksa seorang anak yatim di istana, di Batu Gajah, iaitu dengan menggosok kepala anak yatim itu dengan seterika yang menggunakan arang kayu. Tidak lama kemudian kepala Allahyarhamah telah menjadi botak.
Sultan Yusuf menceritakan kepadaku akan hal-hal mengenai kehidupan rakyat jelata, karenah para politikus Melayu yang berselisih faham sesama mereka. Ada di antara mereka menyertai perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, tetapi mereka itu menjadi orang-orang harapan penjajah Inggeris.
KISAH PUTUS CINTA
Almarhum Sultan Yusuf juga telah menceritakan kisah ’putus cinta’nya dengana bekas kekasih dan isterinya Nurizan. telah bercerai dengan Nurizan kerana perempuan itu telah jatuh cinta kepada seniman P.Ramlee. Perkahwinan Norizan dengan P.Ramlee berakhir dengan perceraian juga.
Sepanjang tahun-tahun aku berdampingan dengan Sultan Perak, Al marhum Sultan Idris Shah,aku telah melibatkan diriku dengan Baginda sebagai:
1 Juru foto.
Pada waktu-waktu mengikut Baginda melawat ke kawasan luar bandar, aku telah diminta menggunakan kameranya untuk mengambil berbagai-bagai objek.
1 Pemburu binatang liar.
Mengikut Baginda memburu haiwan-haiwan liar seperti rusa
dan kijang dengan dikawal oleh anggota-anggota Pasukan Keselamatan dalam rimba raya Banding, Hulu Perak.
2 Tukang motorbot.
Pada waktu-wakut Baginda bertukang motorbotnya, bila aku tiba, baginda berbincang denganku mengenai botnya, seperti huluan dan buritan, perut, lantai bot dan sebagainya.
3 Pelukis.
Baginda sering melukis gambar-gambar pemandangan dan abstract. Pada waktu-waktu aku berada di sisi Baginda sedang melukis,
Baginda telah bertitah tentang keindahan lukisan-lukisannya yang abstract itu. Kadang-kadang kami ketawa melihat gambar gadis berbogel lukisan karya Baginda.
4 Bomoh.
Pada masa Baginda baru pulang dari Keroh (Pengkalan Hulu), iaitu setelah bertemu dengan perempuan cantik – isteri seorang lelaki petani Siam di Teluk Ayam, Betong, Selatan Siam-
Baginda telah menunjukkan kepadaku gambar perempuan itu yang diambil dengan kameranya. Baginda telah meminta aku menjampi gambar prempuan itu supaja dia jatuh hati kepada
Baginda.Mahu tidak mahu aku telah menjampi gambar perempuan itu dengan al Fatihah dan ayat-ayat Quran. Kemudian perempuan itu telah menganut agama Islam dan berkahwin dengan Baginda, memakai Satira.
5 Penggubah lagu.
Pada waktu Baginda sedang menggubah lagu untuk pancaragamnya, “Rashah Combo’, Baginda telah bertanya kepadaku tentang kata-kata puitis untuk lagunya. Sepanjang bulan-bulan ‘cinta dan rindu’ Baginda kepada Satira, Baginda telah minta aku menulis sajak atau lirik lagu-lagunya yang berunsur cinta dan rindu. Di antaranya ’Gunung Kenerong’ Lagu itu telah dimainkan oleh ‘Rishah Combo’ dan Radio Malaysia stesen Ipoh.
6 Orang bijak Raja.
Pada masa Tan Sri Ghazali Jawi menjadi Menteri Besar Perak kali yang kedua (1974 – 1977) dan Datuk Seri Wan Mohamed bin Haji Wan Ten (1977 –1982) telah berlaku krisis antara Baginda dengan Menteri Besar dan pihak UMNO, maka aku telah diminta oleh Baginda menjadi ’orang bijak raja’ penasihat hal ehwal politik peribadi Baginda.
Pada satu malam dalam bulan Puasa, telah berlaku satu kejadian menggemparkan penduduk-penduduk di sekitar Bukit Chandan, kerana seorang remaja anak jirannya yang masih menuntut di sekolah menengah, terkena peluru dari senapang adik kepada Sultan Idris, Raja Ahmad Saifuddin atau Tengku Tam.
MAHKAMAH MENENTUKAN HUKUMANNYA
Perkara itu telah menjadi perkara atau kes polis. Sultan Idris Shah, adalah seorang raja pemerintah yang tegas dan berpegang kepada falsafah dan adat Melayu, iaitu, ’biar mati anak jangan mati adat’. Baginda tidak mahu campur dalam perkara itu, seperti menggunakankan kuasa Baginda membatalkan perkara tersebut.
Adinda Baginda sendiri telah melakukan kesalahan, maka dia mesti dibicarakan dan terpulang mahkamah menentukan hukumannya. Berikut ini adalah tulisanku untuk sebuah surat khabar Melayu:
”Aku tak campur, cederakan orang, ...bunuh orang, aku tak boleh ampun, kerja Allah Taala...,” titah Sultan Idris Shah kepada adindanya, Raja Ahmad Saifuddin atau Tengku Tam.
”Raja lain boleh ampun, tapi aku tak, ...hee, tak sior nganggun dosa oghang weh, dosa aku sendighi pun tak tertanggung.” titah Sultan lagi.
Sultan telah bertitah kepada adindanya pada hari yang kedua setelah polis menjalankan penyiasatan ke atas Raja Tam kerana sabit dengan satu kejadian dia telah menembak seorang penuntut yang menjadi jirannya.
Kejadian itu telah berlaku dalam bulan puasa dalam tahun 1970-an, iaitu pada satu malam yang hampir dengan malam tujuh likur, penuntut itu bersama rakan-rakannya sedang bermain mercun dan panjut di halaman rumah mereka di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Pada Malam itu Raja Tam sedang mengalami kerunsingan..... Dia telah mempunyai isteri pertama dari keturunan raja juga dan mempunyai beberapa orang anak.
MEMBERI PENGAMPUNAN DIRAJA
Setelah polis menjalankan penyiasatan, Raja Tam telah pergi ke Istana Iskandariyah untuk mengadap kekandanya, Sultan Idris Shah dan dia telah memohon kekandanya memberi pengampunan diraja sekiranya pada hari perbicaraan dalam Mahkamah Tengah dia didapati bersalah.
Memang telah menjadi kelaziman kepada Sultan-Sultan di Tanah Melayu memberi pengampunan kepada saudara mara dan keluarga mereka kalau mahkamah mendapati mereka bersalah melakukan sesuatu perbuatan jenayah.
Sultan Johor, Sultan Ismail pernah mengampunkan anaknya. Hakim yang membicarakan kes itu ialaha Hakim Raja Azlan Shah (kini Yang Dipertuan Agong) dan pendakwaan dijalankan oleh Pendakwa Raya Tan Sri Salleh Abas (sekarang Tun).
Sultan Idris tetap tidak mahu mengampun adiknya jika didapati bersalah.
DEWAN UNDANGAN NEGERI
Pada masa itu Raja Arif Shah menjadi majistret Mahkamah Rendah Kuala Kangsar.
Kerana perbicaraan atas Raja Tam akan diadakan di Mahkamah Tengah, maka Mahkamah Rendah Kuala Kangsar akan bertukar (sementara) menjadi Mahkamah Tengah dan Presidennya seorang Cina dari Pulau Pinang.
Kira-kira seminggu sebelum perbicaraan dijalankan, Kadi Mahkamah Syariyah Kuala Kangsar, Allahyarham Haji Zakaria bin Mat Dohor menjemput saya datang ke pejabatnya kerana menurutnya ada perkara mustahak nak dibincangkan.
(Allahyarham Haji Zakaria, setelah bersara dari jawatan kadi,
dia telah bertanding sebagai calon PAS dalam kawasan Dewan Undangan Negeri- Belanja - , Parit, Perak).
Saya telah tiba di pejabatnya dan saya mendapati Allahyarham Raja (Dato’) Hanif Shah bapa saudara Sultan Idris, Raja Arif Shah majistret (bapa mertua Sultan Idris) dan Allahyarham Ustaz Najmuddin bin Haji Ahmad (Guru Pelawat agama sekolah-sekolah Kebangsaan daerah Kuala Kangsar).
KAMI CARI JALAN
Sebaik-baik sahaja saya memberi salam dan mengambil tempat duduk di sisi Raja (Dato’) Hanif Shah, Haji Zakaria berkata, ” Ha, dia ni boleh beri fikiran.”
Saya telah merenung wajahnya dan wajah-wajah di kiri kanan
saya. Mereka merenung kepada saya.
”...apa, apa hal ni?” Saya bertanya.
”Begini...,”Raja Arif Shah bersuara.
“...Tuanku titah kami cari jalan, macam mana nak buat,...ialah Teng
ku Tam yang nak bicara seminggu lagi,” katanya lagi.
“Dia tu akan dituduh tembak orang, …mike bukan tak tau, kan mike yang tulis beritanya…?” celah
Raja (Dato’) Hanif Shah.
” Macam mana, bicaralah..., kalau didapati bersalah Sultan boleh ampun,” saya berkata dengan merendahkan suara.
”Itu benor, tapi Tuanku tak mau ampun...,Baginda titah, kalau Baginda ampun, dosa adindanya kepada Allah dan orang itu tak lepas juga,” kata Raja Arif Shah.
”Ia, itu betul, Engku,”saya membetulkan cakap majistret tua itu.
Saya melihat Raja (Dato’) Hanif Shah menggaru-garukan kepalanya dan Haji Zakaria menggelisah.
“Ini Sultan titah, Mokhtar...,”kata Raja (Dato’) Hanif Shah.
”Begini, kita sembahkan kepada Baginda, biar perbicaraan tu dijalankan ikut Mahkamah Islam, ...kalau diyat, bayar sajalah...”kata saya.
”
Ia, ia, ...jalan tu sangat baik, “kata Haji Zakaria.
Raja Arif Shah Mengangguk. Raja (Dato’) Hanif Shah mengangguk dan merenung saya.
“Tapi bolehkah mahkamah sekarang ni dijadikan Mahkamah Islam buat sementara” saya bertanya kepada Raja Arif Shah.
“...itu, saya agak boleh, kita boleh berunding dengan Tuan Presiden, ...kalau Sultan mau, tentu boleh kerana Baginda Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negeri ini,” kata Raja Arif Shah.
Pendapat saya itu telah diterima sebagai pendapat yang hak untuk menentukan kehendak Sultan Idris Shah.
BICARA MENGIKUT ISLAM
Esoknya kami telah mengadap Sultan Idris Shah.Setelah Baginda mendengar pendapat kami itu, Baginda setuju kes adindanya itu dibicarakan
mengikut Islam dalam Mahkamah yang tidak bercorak Islam.
Apabila perbicaraan berjalankan, Haji Zakaria telah menjadi penasihat hukum Islam – qisas dan diyat -, kepadaPresiden Mahkamah Tengah, manakala aku berada dalam kamar hakim untun membantu Haji Zakaria.
Perbicaraan itu berakhir dengan mahkamah mendapati Tengku Tan tidak sengaja atau tertembak pemuda itu, maka dia telah dijatuhkan hukuman mengikut hukum Islam yang berdasarkan hukum dalam Quran, iaitu Tengku Tam dikenakan membayar diyat. Pertimbangan yang telah dilakukan oleh Presiden dengan nasihat Kadi Haji Zakariah, Tengku Tam didiyatkan dengan tiga ekor atau sembilan ekor lembu atau wang tunai sebanyak nilai sembilan ekor lembu itu.
Sultan Idris telah menolong adindanya, iaitu dengan wang Baginda sendiri telah membayar diyat yang telah dikenakan ke atas adindanya.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir Mokhtar Petah – Patah
Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)
SUMBER : http://tukartiub.blogspot.com/2011/07/al-kesah-kita-dan-dia.html?zx=2a1f0b4a5e075224
SUARA KEADILAN TERBARU
BERSIH DAN KENTUT-KENTIT PANAS
Maka pada pagi yang mulai ini hamba pun pergilah mengambil bulu ayam dan dakwat untuk mencatatkan surah ini agar anak cucu cicit kita nanti tidak akan tertanya-tanya ; agar cucu cicit dan piut kita tahu apa yang telah berlaku pada hari Sabtu 9 Julai 2011 di Kurun Masehi ke 21 ini. Biarlah hamba menjadi Tok Perawi yang saheh membawa kesah dari mulut ke mulut agar menjadi ajaran dan pedoman kepada cucu cicit kita yang akan datang. Yang busuk kita tanamkan hendaknya dan yang bersih kita kesahkan lah hendaknya. Amin.
Wahai anak cucu cicit sekelian; kesahnya bermula dari sini:
Kalau di negeri Arab Palestine telah berlaku Nakba pada 15 Mei 1948 apabila kaum Zionis dari Eropah datang dan menghalau Arab Palestine dari tanah air mereka. Meleleh air mata orang Palestine melihat tanah-tanah mereka dirampas dan diduduki oleh kaum Zionis.
Kesedihan orang Palestine itu kita rasakan sama kerana kita pula di Tanah Melayu ini telah juga mendapat Nakba atau Malapetaka pada 31 Ogos 1957 apabila penjajah British meninggalkan tanah air kita ini kepada gerombolan United Malays National Organisation dan suku sakatnya.
Inilah Malapetaka kita. Inilah Nakba orang Melayu. Inilah Malapetaka dan Nakba yang telah menimpa anak semua bangsa di Malaysia ini. Semenjak Malapetaka ini sampai; hampir setengah kurun yang lampau, orang Melayu telah di bodoh-bodohkan. Orang Melayu telah di gula-gulakan. Orang Melayu telah ditakut-takutkan. Ya ampoon ini lah Malapetaka. Inilah Nakba.
Adalah hendak dijadikan cerita; hamba hanyalah Tok Perawi yang membawa kesah dari mulut tuan yang empunya ceritera. Dapatlah hamba diberitahu bahawa telah ramailah rakyat seluruh negeri ingin berhimpun kepalang peri. Telah terdengar kesah yang amat ngeri tentang orang ditipu ketika mengundi. Diketahui umum seluruh negeri duit dipakai untuk membeli undi. Maka marahlah rakyat seluruh negeri kerana selama ini mereka ditipu dalam pilihanraya setiap kali.
Maka nujum dan pawang pun di panggil datang untuk menetapkan tarikh dan ketika. Memilih saat memilih masa ketika bulan tidak mengambang. Ketika matahari condong ke batang. Ketika panas mula menghilang. Hari hari terus dihitung dan dibilang. Hari yang baik dan bulan yang baik diikat dengan saat dan ketika. Saat itulah saat gumbira. Saat yang hendaknya rakyat seluruh negara akan turun beramai-ramai ke jalan raya agar kita semua dapat bercempera. Hari yang Bersih disalut oleh hati yang Bersih.
Bila berita pecah terbuka. Maka menyingalah Najib mukanya marah mukanya berpuaka. Najib pun lantanglah menjerit bersuara. Ke hulu ke hilir membawa berita. Najib mengarahkan adinda sepupu agar tangkas bersiap sedia kerana rakyat telah berani bangun bergegak gempita.
Maka dirancangkah satu rancangan. Maka disusunlah satu susunan. Maka dikumpulkan lah soldadu upahan. Lalu dipanggil para pemikir. Maka Gerombolan pun bekerja dan berpakat seperti biasalah. Menggunakan cara lama yang telah biasa. Pemikir dan soldadu mendapat upah mendapat imbuhan. Sepakatlah mereka bersatu pendapat. Rakyat yang telah mula berani bangun wajib ditakut-takutkan. Rakyat yang mula sedar ini perlu di bodoh-bodohkan.
Mengikut orang dalam yang empunya berita semua saluran media telah diberitahu tentang akan munculnya satu berita yang paling baru. Mengikut tuan yang empunya ceritera dikatakan pada suatu malam yang gelap gelita ada seorang Mamat masuk ke pusat kota. Datang membawa bom dan segala bentuk senjata. Adalah mengikut surah ini si Mamat ini bangang lagi lah bodoh bukan kepalang. Datang membawa senjata memakai topeng; mukanay pula disapu arang. Memakai baju dan seluar yang compang lagi camping hinggakan nampak perut terbarai dan bontot tersadai.
Si Mamat ini di surahkan hendak menyimpan semua senjata ini ditempat yang sulit. Bukan di celah kangkang atau didalam parit tetapi ditepi busut disebalah kedai Kentucky tak jauh dari tempat Mat Pet berjual beli. Seantero negara seluruh negeri diberitahu bahaya datang kepalang peri. Senjata menunggu masa dan ketika untuk meletup sendiri. Parang dan bom ini menunggu isyarat untuk terbang melayang layang memenggal leher ibu dan abang.
Tidak cukup dengan kesah bom dan parang di tepi Sogo datang pula kesah seorang Mamat sudah tertangkap. Bukan di rumah dan bukan di kebun. Bukan di Kerinchi bukan di Pandan tapi di Keramat yang jauh tidak jauh dari jalan. Tempat terletak disebelah kuil China. Mengikut kesahnya si Mamat ini sedang berusaha menanamkan parang , bom dan senjata.
Wahai adik abang dan kakak, biar hamba kesahkan lagi ; inilah cara inilah gaya; inilah teknik, inilah strateji untuk menakut-nakutkan rakyat seluruh negeri agar jangan berani turun ke jalan raya. Adalah bom adalah parang dipasang sendiri oleh soldadu upahan. Adalah jelas adalah nyata tidak ada sesiapa turun ke jalan raya Bersih membawa senjata.
Inilah tipu inilah helah. Inilah rupa kerja manusia diwaktu siangnya dia menipu diwaktu malamnya dia menjarah. Biarlah disini hambo memanjangkan surah. Wahai abang abang dan kakak kakak sila lihat sila perhatikan gambar parang dan gambar molotov. Aduhai bodoh lah polis yang makan upah. Aduhai SB yang membeli parang. Ushalah sikit. Bergeaklah sikit.Jangan beli parang dari kedai yang sama. Nampak sangat malas bekerja. Parang ini sepesen sepesol. Serumpun macam baru dibeli borong dari Kedai Aked Mara di Kuala Kangsar.
Tidak cukup dengan ini tipu helah Gerombolan terbonggenglah sudah. Hendak menipu pun kita wajib pandai di sekolah. Tanyalah Lebai Google dari rumah orang sebelah. Nak tahu tentang molotov cocktail carilah surah. Wahai Rosmah hambo nak beritahu, isteri tuan hamba bangang terserlah mengarahkan SB membuat molotov memakai botol plastik yang salah. Kenapalah bangang wahai menteri Hishammuddin Hussein; molotov cocktail perlu botol kaca, botol plastik tempat menyimpan kencing sehingga haring.
Aduhi segala hamba Allah berita yang dirancang oleh Gerombolan semua menjadi berita salah. Kenapalah tidak difikir dan tidak ikut usrah. Kenapa tutup botol plastik semuanya warna merah jambu macam kain tudung Sang Puteri. Apakah otak apakah yang salah. Adalah SB bangang atau tak cukup kena tarbiah. Hambo yang menjadi Tok Perawai kini jadi serba salah – nak menangis pun ada nak tersenyum pun salah.
Tidak cukup dengan ini seantero negeri pun mula di beritahu tentang Jepun akan datang menyerang. Macam Belanda sampai di Melaka. Kereta perisai dibawa keluar. Helikopter berligar liar. Jalan di kawal siang dan malam. Bas di tahan kereta dipereksa. Kad pengenalan wajib ada. Beg di buka kereta di geledah macam anjing mencari dadah. Inilah sahaja satu kaedah untuk menakut-nakut rakyat yang sudah bijak bermadah.
Maka akan tercatitlah dalam sejarah tentang tentera yang akan dibawa keluar. Telah didengar khabar berita bagaimana ada jeneral ada yang mula berkata tugas tentera bukan untuk Gerombolan. Bukan untuk membunuh rakyat orang kampong sanak saudara sahabat dan taulan.
Mengikut tuan yang empunya ceritera apabila Najib diberitahu duduk pekara. Dia pun gelabah tak tentu hala. Kejap nak jumpa Bersih kejap berjanji memberi Stadium Negara. Najib berdolak. Najib berdalik. Perangai tak ubah semacam kera yang tercabut ekor di Tasek Bera.
Hambo sebagai Tok Perawi tidak mahu berlagak sombong.Hambo hanya berniat nak menyambung cerita. Ibu bapa adik dan kakak jangan senyum tapi ketawalah terbahak-bahak. Hambo nak royak kesah kumpulan Perkasa yang bukan main ribut melahak-lahak. Bingar bising macam halilintar membelah busut. Beribu anggota akan dijemput. Untuk membuat onar dan bikin kelam kabut. Rakyat terdengar rakyat lalu rakyat pun menyahut. Semua mula berkata ‘ kami tak takut’.
Auta Perkasa sudah teserlah. Maka geng silat pula masuk mencelah. Ini lagi lawak hinggakan kita ketawa mata terbeliak; jangan menuduh hambo ini Tok Perawai yang berat sebelah. Tapi inilah hakikat cerita yang telah menjadi sejarah kita. Perkasa lesap hilang entah kemana muntah kedarah. Geng silat ramai yang datang tetapi sudah tersalah. Perhimpuann Bersih di Kuala Lumpur tetapi geng silat semua berkumpul di Kuala Pilah. Mereka berzikir dan berzakar. Berkelintau memukau memakai akhirnya ghaib hilang ke negeri entah berentah.
Maka tinggal Pemuda Patriot Berbaju Merah. Hambo diberitahu mereka semua datang kerana makan upah. Apabila tak ramai yang datang berkumpul maka Menantu Ayah menjadi gelabah. Lalu Mat Bangla diberiupah pakai Baju Merah. Tak cukup dengan Mat Bangla i si Patriot menghina diri lagi. Demonstrasi belum lagi selesai mereka semua sudah masuk ke dalam kedai Kentuki.
Kepada cucu cicit yang akan datang zaman berzaman ; marilah kita belajar dari al-kesah ini. Hendaknya kesah ini akan turun temurunlah. Hendaknya disurahkanlah dari mulut ke mulut dari laman ke laman dari blog ke blog dari twitter ke twitter.
Diakhirnya ini hambo sebagai Tok Pewari ingin mengundur diri. Hambo disini merakam sejarah untuk anak segala bangsa. Nakba dan Malapetka tidak akan kita tangisi. Rakyat sudah berani bangun untuk melawan. Dengarlah wahai yang zalim dan wahai yang jahat; kita saentero negara tidak akan lagi takut. Datang lah taufan datang lah Perkasa, datanglah silat datanglah Patriot. Semua ini hanya kentut-kentut hangat. Setelah Malapetaka busuk ini pergi Bersih akan menyusun lagi. Kalau lapan tuntutan tidak apa apa jadi Bersih akan turun ke jalan sekali lagi.(TT)
nota:
tulisan ini telah
disiarkan dalam SUARA KEADILAN
yang terbaru dalam pasaran
sesiapa yang ingin melanggan
akhbar cult minggun ini sila
pukul talipon: 03-22-72-40-45
No comments:
Post a Comment