CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Monday, 4 July 2011

KAPITALISME vs SOSIALISME : Apa Bezanya???



SAYA meneruskan tulisan minggu ini dalam usaha saya untuk menerangkan kosep dan falsafah Negara Kebajikan. Saya berharap tulisan ini dapat memberi sadikit pencerahan kepada pembaca yang budiman tentang ekonomi dan politik Negara Kebajikan.

Saban hari kita semua ada membaca, ada mendengar dan mungkin melihat di kaca TV bagaimana parti-parti politik bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia cuba mengajukan dasar ekonomi kepada warga. Justeru perjuangan politik adalah  pejuangan untuk  merebut peluang ekonomi. Perjuangan politik ialah perjuangan agihan punca-puca ekonomi. Khalas.

Ada dua sistem ekonomi telah diwujudkan dalam dunia ini – sistem ekonomi kapitalis dan sistem ekonomi sosialis. Dua bentuk sistem ekonomi ini bertentangan antara satu sama lain. Akidah sistem ekonomi  kapitalis ialah: keuntungan maksima sebagai pemandu. Manakala akidah sistem ekonomi sosialis ialah kebajikan ramai menjadi kemudi.

Sistem ekonomi inilah yang melahirkan budaya, yang melahirkan nilai dan mewujudkan lembaga-lembaga daulah. Di hadapan mata kita sekarang – yang berlaku di sekeliling kita, budaya kehidupan dalam negara kita ini – semuanya  diwujudkan  dari sistem ekonomi kapitalis.
Sistem ekonomi adalah enjin ketamadunan negara bangsa. Di zaman Firaun – sistem ekonomi feudal telah memaksa warga Mesir untuk menjadi hamba abdi mendirikan Pyramid. Di Tanah Melayu sistem feudal telah membenarkan Raja memungut cukai atau mengambil anak dara yang cun untuk dijadikan gundek.

Sistem ekonomi kapitalislah yang melahirkan budaya konsumer yang kita lihat di Amerika, di negara Arab, di Eropah, di Jepun dan diikuti di Kuala Lumpur. Tidak ada budaya bangsa atau sosok individu yang akan terlepas bebas dari hegemoni sistem ekonomi. Sistem ekonomi merangkumi semua sudut cabang kehidupan manusia moden.

Di Malaysia, kita tidak ada peluang memahami agar dapat menilai apakah dia sistem ekonomi sosialis yang dikatakan ada potensi untuk melahirkan Negara Kebajikan. Kekurangan pemahaman kita terhadap sistem elternatif kepada sistem kapitalis ini memiliki sebab-sebab sejarah. Di zaman Perang Dingin, kuasa Anglo-Amerika terutama Amerika Syarikat negara imperial yang unggul telah menaburkan propaganda untuk memburuk dan menakut-nakutkan rakyat dunia tentang sistem ekonomi sosialis.

Propaganda buah catur mereka licik dan menarik. Propaganda berjalan secara tersusun dan dirancang. Untuk umat Islam telah dikatakan bahawa sistem ekonomi sosialis ini ‘tidak bertuhan’. Kepada kaum tani, pesawah dan peladang dihujahkan jika mereka menyokong kelahiran ekonomi sosialis maka satu ketika nanti bukan sahaja mereka kehilangan tanah ladang malah bajak, kerbau dan isteri mereka juga wajib dikongsi.

Untuk pekedai kecil atau tuan tanah yang memiliki saekar dua kebun getah – mereka ditakut-takutkan dengan  kehilangan mata pencarian. Tanah sekangkang kera atau kedai runcit mereka akan dimilik negarakan jika ekonomi sosialis ingin diwujudkan.

Kepada kaum buruh pula, mereka ditakut-takutkan yang mereka akan hilang pekerjaan dan hanya akan menjadi ‘kuli batak’. Tenaga kerja mereka akan hilang dan hanya memburuh untuk memboncitkan perut para birokrat daulah yang tidak melakukan apa-apa pekerjaan.

Propaganda, fitnah dan pembohongan ini dijalan dengan perancangan media yang tersusun. Dengan wujudnya  jaringan pendakwah kapitalis yang diberi upah lumayan. Dengan para kang kong di universiti yang terus besedia untuk menerima upah bersuara. Maka propaganda anti-Negara Kabajikan ini meluas dan melebar.

Dalam negara kita ini – sebut sahaja satu sistem alternatif kepada sistem yang ada sekarang ianya akan menjemput pelbagai tuduhan dan momokan. Warga akan  ditakut-takutkan, warga akan diancam dengan pelbagai ancaman jika warga  berani memikirkan tentang satu sistem ekonomi yang berkemungkinan melahirkan Negara Kebajikan.

Sistem ekonomi kapitalis yang sedia wujud hari ini telah dan sedang sama-sama kita rasai. Kita juka melihat bagaimana hegemoni sistem kapitalis ini bergerak dan memperngaruhi seluruh kehidupan kita. Pembohongan demi pembohongan telah diwujudkan untuk mengkaburi mata kita. Kita dilalaikan dengan pelbagai bentuk budaya konsumer – dari kasut Prada hingga ke program Imam Muda. Semua dilahirkan agar kita semua akan tunduk menyembah sistem ekonomi kapitalis ini.

Bagaimana agaknya sistem alternatif kepada sistem kapitalis ini?

Awal wahid – sistem yang akan melahirkan Negara Kebajikan ini adalah sistem ekonomi di mana semua punca-punca pengeluaran akan dimilik negarakan. Punca-penca pengeluaran ini bukan tanah Felda sepuluh ekar, bukan kedai runcit Ah Lek di Bongek. Bukan tanah sawah Lebai Kassim di Kuala Kedah. Bukan sangkar  ikan patin Ripin Ali di Temerloh. Juga bukan teksi Maniam dari Cheras.

Kalau semua ini bukan jadi apa dia punca punca pengeluaran ekonomi?

Apa yang dimaksudkan punca-punca pengeluaran ini adalah aktiviti ekonomi yang menjadi tulang belakang ekonomi negara kita. Tulang belakang ekonomi membawa maksud apa sahaja aktiviti ekonomi yang asas mata pencarian majoriti penduduk negara ini. Mata pencarian dimana majoriti warga bergantung. Punca-punca pengeluaran yang dianggap tulang belakang ekonomi ini akan melahirkan aktiviti ekonomi yang mempengaruhi kepentingan majoriti dan keseluruhan negara.

Untuk memahami dengan jelas, biar saya beri contoh apakah dia punca-punca ekonomi yang mempengaruhi kehidupan majoriti warga negara ini. Contoh terbaik ialah kuasa tenaga api elektrik, jalan raya, jalan udara, hospital, sistem pengangkutan, telaga minyak dan lombong gas, bank dan lembaga kewangan, lombong galian, hutan dara, danau dan paya. Semua ini adalah punca-punca ekonomi.
Untuk melahirkan sebuah Negara Kebajikan semua punca-punca pengeluaran ini wajib dimilik negarakan. Lalu timbul persoalan – bukankah ini harta persendirian?

Memang betul dan tepat ladang sawit  Lebai Sudin 10 ekar di Senaling adalah contoh harta persendirian. Lebai Sudin mengerjakan tanah sawit ini anak beranak. Tetapi Ladang Sawit Hock Leng 30 ribu hektar di Kuala Selangor  mustahil di kerjakan oleh Hock Leng dan kaum keluarganya. Ladang ini ditakrif sebagai aktiviti ekonomi punca pengeluaran kerana beratus-ratus pekerja ladang dan keluarga mereka bergantung hidup dengan ladang ini.

Dalam Negara Kebajikan amat jelas tujuan asasnya ialah menobatkan dan merajakan kebajikan ramai bukan kebajikan individu. Dalam Negara Kebajikan yang ditentang bukannya harta persendirian tetapi yang akan dilawan ialah hidup diatas titik peloh dan tenaga kerja orang lain.

Justeru, jika Hock Leng anak beranak boleh menebas menebang dan menanam sawit di tanah seluas 30,000 hektar tanpa menggunakan tenaga kerja orang lain maka ahlan wasahlan – silakan buka tanah sebanyak itu. Itu adalah hak persendirian.
Begitu juga dengan kilang-kilang dan pabrik-pabrik. Dalam Negara Kebajikan, kilang didirikan untuk  mengeluarkan barangan yang diperlukan oleh orang ramai. Sebuah kilang memilik ratusan pekerja. Bukan sahaja kaum buru yang bergantung hidup dengan kilang ini malah negara juga bergantung pendapatan melalui barangan yang dikeluarkan dari  kilang ini. Justeru kilang-kilang yang besar dan strategik seperti kilang, gula, beras, minyak dan gandum wajib di milik negarakan.

Paling wajib untuk dimilik negarakan ialah  bahan-bahan asas  punca-punca  ekonomi dimana semua warga bergantung hidup dengannya. Contoh terbaik ialah punca air dan punca tenaga elektrik. Air dan api ini tidak boleh dimiliki oleh individu atau syarikat individu. Ianya wajib dimilik negarakan untuk kebajikan dan kepentingan orang ramai.

Lalu timbul persoalan – apa sebenarnya makna memilik negarakan?

Di sini saya akan cuba terangkan sejelas mungkin. Mari kita kembali melihat akidah sistem ekonomi kapitalis yang berpandukan keuntungan maksima. Kita lihat contohnya di  ladang Hock Leng di Kuala Selangor. Saban tahun  ladang ini akan membuat untung. Wajib kita semua  sedar bahawa keuntungan  ini wujud hasil dari  tenaga pekerja ladang ini. Dalam sistem ekonomi kapitalis, keuntungan ini akan masuk ke dalam akaun Bank Hong Leng anak beranak.

Begitu juga dalam kes jual beli beras dan gula yang dimonopoli oleh Syed Mokhtar. Jual beli ini pasti membawa keuntungan besar. Keuntungan ini pasti  dimasukkan ke dalam bank akaun Tuan Haji Syed Mokhtar.

Jelas, kebajikan Hock Leng dan Syed Mokhtar anak beranak akan dijaga dengan baik. Persekolahan, tempat tinggal, makan minum – semuanya ‘the best  money can buy’. Tetapi yang melahirkan kekayaan ini adalah tenaga dan titik peloh kaum buruh dan kaum pekerja yang kebajikannya compang camping.

Kaum buruh dan peladang ini tinggal dikawasan perumahan yang sempit, sesak dan padat. Anak-anak buruh dan peladang ini tinggal dalam iklim budaya yang kasar dan lucah. Budaya kasar dan lucah ini  akhirnya hanya akan berjaya melahirkan generasi baru tenaga buruh murah untuk Syed Mokhtar dan Hock Leng.

Inilah lingkaran syaitan yang hanya dapat dimusnahkan dalam Negara Kebajikan. Lingkaran syaitan hari ini jelas menunjukkan  kaum pemodal, tuan empunya kilang dan syarikat mendapat kebajikan yang terbaik. Manakala  yang memburuh melahirkan harta kekayaan itu hidup menjadi kuli batak.

Di dalam sistem ekonomi Negara Kebajikan, perniagaan jual beli berjalan sperti biasa. Harta-harta yang dimilik negarakan seperti kilang, ladang yang menjadi punca ekonomi ini akan diuruskan sama seperti hari ini. Keuntungan hasil dari jualan sawit, jualan minyak, jualan elektrik, beras, gula – tidak masuk ke dalam akaun Syed Mokhtar atau Hock Leng tetapi masuk ke dalam dana persatuan pekerja kilang atau persatuan ladang sawit itu.

Duit ini adalah hasil dari titik peluh kaum pekerja. Duit ini digunakan untuk kebajikan mereka sendiri bukan untuk Syed Mokhatar menunjuk-nunjuk bahawa dia alim dan boleh menderma untuk buat masjid. Walhal, duit yang didermakan oleh Syed Mokhtar asalnya ialah duit untung dari tenaga keja kaum buruh dan ladang.

Memilik negarakan ini maknanya dikembalikan harta kekayaan dan punca punca ekonomi itu kepada daulah. Daulah itu ialah kita. Kita ialah oranag ramai. Justeru harta persendirin atau harta kaum pemodal itu kita pulang kepada diri kita sendiri. Keuntungan dari usus niaga dan dari tenaga anak semua bangsa dalam negara ini bukan untuk individu tetapi untuk kebajikan ramai.  Kebaikan ramai adalah akidah Negara Kebajikan.

No comments:

Post a Comment