CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Sunday, 31 July 2011

Sukan Islam wajar dipopularkan


Sukan Islam wajar dipopularkan
Topik : 
Sukan, Riadah & Ekspedisi

Oleh:WartawanMuda Semua kita sedia maklum akan kepentingan sukan untuk kesihatan. Apa yang mengekang penglibatan umat Islam terutamanya wanita dalam sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa ialah kod pakaiannya yang tidak menutup aurat. Islam menggalakkan umatnya bersukan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w, Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih kasih kepada Allah daripada mukmin yang lemah... (riwayat Muslim)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, HAYAT SUEET menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Badlihisham Mohd. Nasir bagi mengupas isu ini.

UM: Apakah hukum bersukan dalam Islam? 

DR. BADLIHISHAM: Dalam Islam, sukan adalah harus dan digalakkan. Ini berdasarkan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. Antaranya, ajarkan anak-anak kamu memanah dan menunggang kuda. Dalam hadis yang lain, baginda turut menyebut tentang berenang.Mengikut sejarah Islam, Dr. Ahmad Shalaby membahagikan sukan kepada dua iaitu yang melibatkan pergerakan tubuh badan seperti berlari dan berenang. Kategori kedua ialah yang membabitkan mental seperti catur, sahibba dan karom.


Baginda juga pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy, Rukanah bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizatnya. Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah menang, Rukamah akan memeluk Islam. Akhirnya, Rasulullah memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu. Dalam peristiwa lain, Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya, saidatina Aishah. Semua ini membuktikan yang Islam mengharuskan kita bersukan. Pepatah Arab juga menyebut ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’. Ini semua semenangnya selaras dengan kajian saintifik yang menganjurkan kesihatan melalui sukan.

UM:Kejayaan Ruqaya Al Ghasara dalam Sukan Asia di Doha tahun lalu membuktikan pakaian menutup aurat bukan penghalang kejayaan dalam sukan. Apakah langkah yang patut diambil oleh pengeluar fesyen tempatan dalam hal ini?

DR. BADLIHISHAM: Masyarakat kita pada amnya sudah melepasi fobia takut dengan sesuatu yang dikaitkan dengan Islam. Kita telah melalui fasa kaget ini apabila berjaya memperkenalkan Bank Islam dulu. Masyarakat kita kini secara amnya telah terdedah dengan pendekatan dualisme.Perkembangan dalam Sukan Asia 2006 itu perlu diambil peluang oleh pengeluar fesyen tempatan. Mereka wajar merebut peluang ekonomi ini dengan menghasilkan pakaian menutup aurat untuk manfaat masyarakat Muslim terutama wanita bersukan. Oleh itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan-persatuan pengguna Muslim perlu bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi merealisasikan hasrat ini. Dalam masa yang sama, para penyelidik dan pihak seperti Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mengkaji secara mendalam supaya menghasilkan pakaian yang bukan sahaja menutup aurat tetapi dari segi saintifiknya tidak menjejaskan mutu larian.

UM:Sukan kini mengandungi nilai ekonomi dan hubungan sesama manusia. Bagaimana umat Islam boleh memanfaatkan hal ini untuk berdakwah?

DR. BADLIHISHAM: Sememangnya sukan kini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Islam sebagai agama yang lengkap meraikan unsur ekonomi bagi pembangunan manusia. Namun ia masih mengandungi unsur syubhat dari segi penontonnya yang bercampur lelaki dan perempuan serta dasar sukan yang berkiblatkan Barat. Ini mendatangkan masalah besar kepada umat Islam untuk bergiat serius dalam sukan, di samping kelemahan memajukan bidang sukan. Bagaimanapun, umat Islam yang melibatkan diri dalam sukan secara profesional perlu mempunyai jati diri. Jangan hanya mengikut acuan Barat. Dalam semua keadaan, ibadat wajib seperti solat dan puasa perlu ditunaikan walaupun bagi atlet yang bertanding di peringkat Olimpik sekali pun.

Dari segi dakwah, sukan boleh membantu. Contohnya, kejayaan cemerlang petinju terkenal Muhammad Ali sedikit sebanyak menaikkan moral orang Islam di dunia. Beliau kini melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan dalam Nations of Islam di Amerika.  Dari segi dakwah di Malaysia, sukan boleh digunakan sebagai ice breaker bagi menyelami kehidupan mad’u dengan lebih mendalam. Pengalaman jabatan saya di perkampungan orang asli membuktikan hal ini. Kita berjaya merapatkan jurang antara peserta dan penduduk kampung melalui sukan bola sepak dan sukaneka.

UM:Ada umat Islam apabila bersukan lupa akan batas aurat dan pergaulan dengan bukan mahram. Bagaimana hendak membetulkan keadaan ini?

DR. BADLIHISHAM: Batas aurat lelaki dan perempuan yang bukan mahram perlu sentiasa dijaga. Kecuali kita meliberalkan asas atau prinsip itu demi kononnya mencapai matlamat sukan yang dikehendaki dunia moden kini. Justeru, kita memerlukan gabungan kepakaran antara para atlet dengan alim ulama bagi mengharmonikan dua jurang yang besar dalam perkara ini. Persoalan yang mungkin wajar diberi perhatian ialah adakah perlu diasingkan kedudukan penonton lelaki dan wanita. Adakah perlu dibataskan acara renang wanita kepada kaum wanita sahaja?

Dalam peristiwa Nabi Muhammad berlumba lari dengan Aishah, secara logiknya ia dilakukan di kawasan terbuka. Ia mungkin disaksikan orang ramai kerana yang berlari itu adalah Rasulullah. Tetapi logik ini perlu diimbangi dengan prinsip yang menitikberatkan soal akhlak dan lain-lain. MSN boleh memainkan peranan dalam hal ini dengan turut menitik beratkan pembinaan dan pelaksanaan polisi sukan menurut Islam. 

UM:Sebagai sebuah negara Islam, sudah tiba masanya Malaysia mempelopori temasya sukan berlandaskan adab Islam. Apa pandangan Dr?

DR. BADLIHISHAM: Kita seharusnya mengambil peluang ini. Sebabnya negara kita terbukti hebat dan berjaya menganjurkan pelbagai persidangan mahu pun sukan peringkat antarabangsa. Islamnya sesuatu pertandingan itu bukan diukur dari menutup aurat tetapi juga harus dilihat dari mengekang aspek pembaziran dalam mengendalikan sukan. Buat permulaan, Jakim sekali lagi perlu mempelopori dari segi menyediakan polisi adab sukan menurut Islam. Mungkin kerajaan boleh menganjurkan seminar melibatkan ahli-ahli sukan, MSN dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Antara tokoh yang boleh dilibatkan ialah seperti bekas wanita besi negara, Zaiton Othman dan Prof. Datuk Dr. Khoo Kay Kim mewakili bukan Islam. Kita perlu menggerakkan usaha ini supaya umat Islam mempunyai identiti sukannya sendiri. Ini penting agar kita tidak terus dikongkong dalam kerangka sukan yang dipelopori oleh Barat. Ingatlah pesanan Rasulullah dalam hadisnya, Sesungguhnya kamu akan mengikut jejak langkah mereka sebelum kamu sejengkal-sejengkal dan sehasta-sehasta. Sehingga kalau mereka memasuki lubang biawak, kamu akan ikut sama. Kata kami (sahabat), wahai Rasulullah! Adakah mereka Yahudi dan Nasrani? Sabdanya, siapa lagi? (riwayat Syaikhan)

UM:Bagaimana pula kedudukan kesederhanaan dalam bersukan?

DR. BADLIHISHAM: Pertamanya, jangan meletakkan sukan sebagai segala-galanya. Ini bercanggah dengan prinsip kesederhanaan dalam Islam yang meminta takrifan sederhana itu dilihat dari kaca mata Islam itu sendiri. Dalam melaksanakan apa juga yang dibenarkan dalam Islam, kita hendaklah meletakkan hukum mengatasi segala-galanya. Kita juga jangan terlalu taksub dengan sukan. Jangan meniru perlakuan ganas yang sering ditunjukkan oleh penyokong bolasepak England. Sesuai dengan matlamat sukan untuk menyihatkan badan, jangan kita mengambil barang larangan termasuk dadah seperti steroid. Atlet atau pemain juga perlu mengelak daripada terlibat dalam rasuah.

Bolasepak negara misalnya masih belum mencapai tahap kegemilangan seperti pada zaman Allahyarham Mokhtar Dahari walaupun kini para pemain diberi pelbagai insentif dan elaun yang tinggi. Akhirnya, dalam setiap perlakuan atau detik hidup ini jangan kita lupa tanggungjawab kepada Allah. Sukan adalah wasilah atau mekanisme bukan matlamat.

Sumber: http://www.selatanonline.net/v1

Cpj: Dalam keadaan sekarang bolehkah dilaksanakan? Kalau tidak sekarang Bila?

No comments:

Post a Comment