CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Thursday 10 November 2011

ILMU FEQAH..mengenai HAJI


Fiqh Hajj : Sebuah Catatan..



Bercakap tentang Fiqh Hajj, ia sedikit sukar tanpa pengalaman ataupun sekurang-kurangnya praktikal. Ia adalah sebuah fiqh yang sangat teliti dan realiti dari sudut waktu, tempat dan tatacaranya. Alhamdulillah saya antara yang pernah menjadi pilihan Allah untuk menziarahi rumah agungnya. Insyallah, saya akan cuba kongsikan pengalaman tersebut beserta hukum-hakam secara ringkas.

Jika dilihat setiap agama mempunyai tempat suci beserta ritualnya yang tersendiri seperti masyarakat Hindu memuliakan sungai Indus, penganut Buddha memuliakan pohon Bodhi yang dikatakan tempat turunnya 'wahyu' kepada pengasas agama ini. Begitu juga Kristian yang meng’taqdis’kan sungai Jordan yang didakwa sebagai tempat Jesus dibaptiskan. Yahudi pula umum mengetahui bercita-cita tinggi ingin merobohkan baitul maqdis untuk membina Haikal Sulaiman mereka.

Islam pula menjadikan dua tanah suci lagi bersejarah buat ummatnya sebagai tanah haram yang dikhaskan untuk mereka sahaja. Timbul reaksi negetif, islam bukan agama terbuka apabila melarang penganut agama lain memasuki kedua-dua bumi haram itu. Untuk apa datang kalau enggan mengikut syaratnya kelayakkannya. Hanya syahadah sahaja untuk anda memasukinya. Bukannya susah pun.

Apa yang membezakan dengan agama lain, Islam tidak menyucikan segala bentuk objek di tanah haramnya samada ka'bah, hajar aswad ataupun air zam-zam. 

Jika ka'bah roboh, ummat islam tetap bertawaf di situ.

Jika air zam-zam kering sekalipun, Mekah tetap dikunjungi.

Jika hajar aswad dicuri,ia langsung tidak akan menjejaskan ibadat haji.

Ini bezanya ummat islam dengan ummat lain. Kita ada prinsip tersendiri dalam agama terutamanya akidah. Ibadat adalah ketaatan kita kepada Allah berdasarkan apa yang diajar oleh baginda s.a.w.

Seterusnya, ibadat haji bermatlamat secara tidak langsung sebagai perhimpunan tahunan ummat. Ibadat dalam islam mementingkan jemaah seperti solat dan kemuncaknya adalah haji, jemaah seluruh dunia.

Yang menarik juga hukum-hakam berkaitan haji sangat tidak ketara perbezaan pendapat antara ulama. Semuanya melaksanakan tatacara ibadat yang satu. Ihram, Tawaf, saie, wuquf. 

Samada Sunnah, Syiah, Ibadhi, Salafi, Wahabi, Asyaerah, Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali masih kiblat yang sama. ( tak taulah kalau syiah taqiyyah )

Sebelum Haji
Haji adalah ibadat yang diwajibkan kepada ummat islam dengan syarat kemampuan. Ia terdiri daripada 3 perkara:-
1.Keperluan musafir hingga tiba dengan selamat di tanah suci serta perjalanan pulang.
2.Keperluan ketika ibadat haji termasuk makan, minum, pakaian dan penginapan.
3.Bagi perempuan, disyaratkan mahram di sisi jumhur ulama. Ini juga adalah syarat kerajaan Arab Saudi sendiri untuk mendapatkan visa.

Cuma, bagaimanakah isu bagi mereka yang berhutang?

Haji itu tetap sah, cuma perbuatan tersebut adakah diharuskan atau dilarang? Sebenarnya sunnah baginda tidak menggalakannya maka itulah sebabnya haji disyariatkan hanya sekali seumur hidup serta diharuskan melewatkannya sehingga berkemampuan.

Namun, di zaman kini, jika ingin mengumpul duit mungkin melambat ataupun mengaburkan matlamatnya dan dalam masa yang sama mampu membayar hutang secara berkala seperti pinjaman kereta dan rumah, maka tidak menjadi masalah memilih cara begini. Siapa tahu masa hadapan kita? Sempat atau tidak, larat atau tidak.

Saya pula daripada ditanggung oleh keluarga memandangkan kosnya hanyalah sekitar RM 1,750 ( pekej murah dari Jordan ). Semoga Allah memberkati dan permudahkan urusan mereka untuk menunaikan haji sesegera mungkin.

Pekej Haji
Alhamdulillah, Islam memang mudah, sudahlah hanya diwajibkan sekali. Ibadat haji juga boleh dilakukan dengan tiga cara. Haji Ifrad ( hanya haji ), Haji Tamattu’( dahulukan umrah, kemudian haji ) dan Haji Qiran ( gabungkan ibadat haji dan umrah dalam satu masa ).

Hampir 80% daripada ummat islam melaksanakan haji Tamattu’ kerana dua sebab:-
1.Jemaah boleh bertahalul ( bebas daripada larangan ihram ) setelah menunaikan umrah apabila tiba di Mekah sehinggalah hari ke 9 zulhijjah.
2.Nabi s.a.w melaksanakan haji secara tamattu’ dan haji ini disebut dalam Al-Quran.

Saya bersama beberapa orang sahabat, kami memutuskan untuk melaksanakan haji Ifraq setelah memikirkan haji tersebut tidak dikenakan dam dalam keadaan kewangan kami yang terhad.

Setelah beberapa hari di Madinah, 5 zulhijjah kami bertolak ke Zulhulaifah, pinggir Madinah untuk memulakan ibadat haji. Di sanalah perlu niat untuk memilih pekej haji mana yang ingin dilakukan serta bermulanya pantang larang ( ihram ).



Apa yang membezakan ibadat haji dengan ibadat lain, tatacaranya terdiri daripada rukun dan perkara yang wajib. Jika meninggalkan rukun menjadikan ibadat tersebut tidak sah, meninggalkan perkara yang wajib pula masih sah namun bakal dikenakan dam ( denda ). Ini menjadikan haji sebagai ibadat pantang larang dan memerlukan kecermatan.

Ia bukan isu kesulitan, ia adalah kualiti ibadat. Ibadat yang mungkin dilakukan sekali seumur hidup ini mestilah dilakukan dengan sesempurna mungkin. Di saat ini, semua rukun, wajib, dan sunnat semuanya dilaksana.

Setelah berihram, perjalanan ke Mekah yang mengambil masa sekitar 6 jam, terdetik di hati saya alangkah baiknya jika saya melaksanakan Haji tamattu’. Haji tersebut dimulakan dengan ibadat umrah, setelah selesai jemaah boleh bertahallul iaitu bebas dari pantang larang hinggalah tibanya tarikh haji 9 zulhijjah, barulah berihram kembali untuk ibadat haji pula.

Namun atas sebab ihtiyat ( berhati-hati ), saya membatalkan hasrat tersebut tatkala saya tidak mengetahui hukumnya. Sebenar pada pendapat fuqaha, menukar niat haji Ifrad dan Qiran kepada Tamattu’ tidak menjadi masalah, namun jika sebaliknya tidak dibenarkan ( ruj : Dr Fathullah ) 

Tiba di Mekah sekitar jam 8 malam dalam keadaan berihram, jemaah-jemaah lain semuanya melaksanakan ibadat umrah untuk ‘bebas’ daripada larangan ihram. Kami pula hanya menunaikan sa’ie haji. Yang masih berbaki hanyalah Wuquf, Mabit, Lontar Jamrah, dan Tawaf.

Pada 8 Zulhijjah, para jemaah sudah pun meninggalkan Masjidil Haram menuju ke Mina. Sunat berada di sana. Mekah lengang buat beberapa hari. Namun, disebabkan keadaan yang sesak saya memilih untuk berada di Mekah lagi. Alhamdulillah, hujan turun. Saya berada dalam situasi masa dan tempat yang paling mustajab untuk berdoa. Saya berdoa dua perkara dalam hidup ini dan Alhamdulillah diqabulkan Allah dalam masa tidak sampai setahun.

9 zulhijjah
Inilah detik haji yang sebenar, semua mazhab bersepakat bahawa berwuquf di Arafah adalah rukun haji, siapa yang terlepas waktu dan tempat maka tidak sah haji. Tempohnya antara Zohor hingga ke Maghrib. Dengan menyewa van kami tiba di Arafah sebelum pukul 11.

Arafah sangat padat, bayangkan sekitar 3 juta ummat islam berada disebuah kawasan yang hanya sebesar sebuah pekan. Bukit Rahmah yang dikatakan pertemuan antara Nabi Adam dan Siti Hawa, bertukar menjadi putih setelah diliputi oleh jemaah haji.



Apabila melihat jumlah jemaah haji daripada bukit tersebut, akan mengingatkan kita sabda baginda bahawa ia adalah keadaan padang mahsyar yang kecil. Itu baru 3 juta. Penduduk bumi kini dianggarkan 6 bilion. Itu di zaman kini, bagaimana pula usia bumi yang dihuni manusia sekitar 15 ribu tahu. Semua manusia beratur untuk dihisab. Moga kita mendapat lindungan arash Allah di sana kelak.

Jamak Taqdim dan Takhir.
Di sini kami solat zohor dan asar secara jamak setelah mendengar khutbah Arafah, Semua sepakat bahawa di Arafah dilaksanakan jamak taqdim antara Zohor dan Asar kemudian Jamak Ta’khir Magrib dan Isyak di Muzdalifah 

Setelah maghrib, ramai orang berpusu-pusu meninggalkan Arafah, ada yang berjalan kaki, yang menaiki bas dan ada juga dengan coaster menuju ke Muzdalifah kira-kira 7 km daripada Arafah. Berbeza dengan wuquf di Arafah yang dianggap sebagai rukun, Mabit di Muzdalifah pula dianggap sebagai perkara wajib.

Muzdalifah kawasannya agak berbukit-bukit. Syaratnya hanyalah berada di sana walaupun beberapa detik dan disunnatkan bermalam. Kami pilih bermalam, sebahagian besar jemaah ada yang terus ke Masjidil Haram untuk Tawaf rukun. 



10 Zulhijjah.
Pagi esok kami bertolak ke Mina, lokasi yang ketiga yang merupakan syarat wajib bagi urusan haji. Dengan manusia yang berpusu-pusu, kami diarahkan dengan laluan yang satu oleh petugas kerajaan. 

Hanya satu tempat perlu dilontar pada hari pertama manakan tiga tempat pada hari berikutnya. Setelah itu kami mencari khemah di Mina. Bayangkan khemah mencecah ratus-ratus ribu, mustahil boleh dicari dengan panduan no 42 ( pada gelang plastik bewarna hijau tua ditangan yang diberikan sewaktu masuk ke Mekah). Setelah puas berjalan, dihalau polis dan tidur dibawah trak bagi mengelak kepanasan, akhirnya kami terlihat sebuah peta yang bewarna warni.

Dengan ijtihad kami, gelang yang bewarna hijau itu mungkin kawasan perkemahan yang dilukis dengan warna hijau yang terletak di atas bukit. Akhirnya benar 'ijtihad' tersebut. Kini kami sudah tahalul awal ( separuh bebas ), ia cukup nikmat dapat mandi dan bersabun serta menanggalkan ihram setelah hampir 6 hari memakainya.



11, 12 dan 13 Zulhijjah
Tempoh ini, para jemaah perlu berada di Mina untuk melontar bagi 3 hari lagi atau 2 hari ( dengan syarat meninggalkan Mekah pada hari tersebut ). Setelah itu barulah boleh bebas sepenuhnya. Cuma bagi kami masih tertinggal satu lagi rukun iaitu tawaf ifadhah terus bergegas ke Mekah melaksanakannya. Setelah itu, kami melaksanakan tawaf wida’ yang juga merupakan perkara wajib sebelum pulang.


Kesimpulan..
Setiap ibadat disebut kesannya kepada mukmin.

Sesungguhnya solat itu mencegah fahsa’ dan mungkar (Surah al-Ankabut: 45)
Solat itu mencegah mungkar, lihatlah kesannya.

Diwajibkan ke atas kamu puasa seperti ummat-ummat terdahulu moga-moga kamu bertaqwa ( Al-baqarah, ayat 183 )
Puasa itu menjadikan manusia lebih takut dalam perintah Allah.

Ambillah zakat daripada harta mereka untuk membersihkan harta tersebut ( At-Taubah : 103 )
Zakat itu menjadikan harta lebih berkat.

Maka haji? Apa yang disebut oleh Allah?

Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu Dengan berjalan kaki, dan Dengan menunggang berjenis-jenis unta Yang kurus Yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) Yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara Yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari Yang tertentu ( Al-Hajj : 27 )

Jika kesan solat mungkin boleh dilihat beberapa minit selepas menunaikan solat.

Jika kesan puasa mungkin boleh dilihat beberapa hari selepas Ramadhan.

Kesan haji pula?

Jika tidak berkesan.. Ada yang tak kena..

No comments:

Post a Comment