CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Monday 20 August 2012

Manusia...KONSEP EMPAT UNSUR


KONSEP EMPAT UNSUR


بسم الله الرحمن الرحيم

Konsep empat unsur yang dibincangkan di sini adalah berdasarkan Perubatan Ibnu Sina atau Perubatan Unani, ia juga dibincangkan secara jelas dalam falsafah Yunani dan falsafah Islam.

Unsur atau arkan (أركان) merupakan struktur paling kecil di alam dunia ini. Ia tidak boleh dibahagikan atau dipecahkan lagi kepada bahagian atau juzuk yang lebih kecil. Walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa partikel elemen(elementary particle) seperti kuark, lepton dan boson merupakan struktur yang paling kecil, saya merasakan bahawa partikel-partikel tersebut akan berjaya dipecahkan kepada struktur yang lebih kecil.

Saintis terdahulu menyatakan bahawa atom merupakan struktur terkecil, namun hari ini perkara tersebut terbukti salah, menyatakan partikel elemen sebagai struktur paling kecil merupakan satu kesimpulan yang agak melulu.

Sains moden belum menemui arkan, boleh jadi terdapat berpuluh-puluh atau beratus-ratus peringkat lagi selepas partikel elemen sebelum saintis berjaya menemui arkan atau unsur ini, atau mungkin juga unsur ini akan terus menjadi misteri dan tidak ditemui oleh sesiapapun, hanya mampu dibincangkan secara konsep tanpa dibuktikan secara empirik.




JENIS UNSUR

Terdapat empat jenis unsur yang menjadi asas bagi segala struktur lain yang lebih besar, penggabungan dan kepelbagaian jumlah keempat-empat unsur ini menghasilkan pelbagai struktur yang lebih besar dan saling berbeza. Empat unsur tersebut ialah unsur tanah, air, angin dan api.

1. Unsur tanah merupakan unsur yang berada di tengah-tengah atau bulatan pertama. Ia bersifat sejuk    dan kering.

2. Unsur air merupakan unsur yang berada pada bulatan kedua iaitu di antara unsur bumi dan angin. Ia bersifat sejuk dan basah.

3. Unsur angin merupakan unsur yang berada pada bulatan ketiga iaitu di antara unsur air dan api. Ia bersifat panas dan basah.

4.Unsur api merupakan unsur yang berada pada bulatan keempat iaitu selepas unsur angin. Ia bersifat panas dan kering.

Setiap unsur ini mempunyai kedudukannya yang tersendiri pada bulatannya yang dikenali juga dengan nama falak atau orbit, sebarang perubahan kedudukannya yang disebabkan oleh tenaga daripada luar akan menyebabkan unsur itu kembali ke tempat asalnya menurut susunan berat bagi setiap unsur. Susunan berat bagi unsur-unsur mengikut tertib paling ringan dimulakan dengan unsur api, kemudian unsur angin, unsur air dan akhirnya unsur tanah sebagai unsur paling berat.


Unsur Kelima

     Selain daripada empat unsur yang telah disebutkan, terdapat konsep unsur yang kelima, iaitu satu unsur yang sangat seimbang dan tidak mengalami perubahan atau kemusnahan. Disebabkan keseimbangannya itu, ia tidak diambil kira secara khusus dalam Perubatan Unani, sebaliknya ia dikaitkan dengan alam atau makhluq lain yang bersifat mulia dan tinggi (ajram ‘alawiyyah / أجرام علوية). Unsur kelima ini lebih dikenali sebagai “aeter” (aether). Ia sering dikaitkan dengan kesempurnaan, roh dan semangat.

Dalam Perubatan Ayurveda (Ayurvedic Medicine), terdapat juga konsep lima unsur. Unsurnya adalah sama seperti unsur dalam Perubatan Unani dan ditambah dengan unsur akasha (aeter) sebagai unsur yang kelima. Dalam Fizik Partikel, sifat keseimbangan ini sering dikaitkan dengan boson Higgs yang dikenali juga sebagai Partikel Tuhan (God Particle),boson ini dikatakan seimbang dan tiada caj atau neutral, walau bagaimanapun boson ini belum berjaya dibuktikan.

Suatu masa dahulu, misteri unsur kelima ini pernah juga dikaitkan dengan tenaga “orgon” (orgone energy). Sistem Perubatan Cina Tradisional (Traditional Chinese Medicine) juga menggunakan konsep lima unsur, tetapi ada sedikit perbezaan dengan konsep lima unsur dalam Perubatan Unani atau Ayurveda.




SIFAT UNSUR

     Seperti yang telah dijelaskan, setiap unsur mempunyai dua sifat. Dua sifat yang ada pada unsur dinamakan sebagai “kualiti primer”, iaitu panas, sejuk, kering dan basah. Sifat panas dan sejuk dikenali juga sebagai sifat aktif, makala sifat kering dan basah dikenali juga sebagai  sifat pasif. Hal ini adalah kerana sifat aktif menghasilkan sifat pasif, sifat panas menghasilkan sifat kering, manakala sifat sejuk menghasilkan sifat basah. Jadi sifat panas dan sejuk merupakan sifat yang paling utama dan paling memberi kesan kepada tubuh.

Apabila unsur bergabung dan menghasilkan struktur baru yang lebih besar, maka struktur baru itu akan mempunyai sifatnya yang tersendiri. Namun sifat struktur baru itu bergantung kepada sifat unsur-unsur yang membentuk struktur baru itu. Sifat struktur baru yang lebih besar ini dinamakan sebagai “mizaj” (مزاج).

Kepelbagaian bilangan unsur dalam membentuk struktur baru yang lebih besar menghasilkan kepelbagaian jenis mizaj, terdapat sembilan jenis mizaj yang boleh terhasil iaitu;

1. Seimbang
2. Panas
3. Sejuk
4. Kering
5. Basah
6. Panas Dan Kering
7. Panas Dan Basah
8. Sejuk Dan Kering
9. Sejuk Dan Basah

Keseimbangan mizaj bukanlah bererti wujud satu sifat baru yang dinamakan “seimbang” tanpa mempunyai sifat panas, sejuk, basah atau kering. Tetapi ia bermaksud keseimbangan antara keempat-empat sifat tersebut. Walau bagaimanapun, menurut Aristotel, unsur kelima iaitu aeter mempunyai mizaj “seimbang” tanpa mempunyai salah satu sifat yang empat.

Keseimbangan mizaj bagi manusia dari sudut perubatan tidak semestinya bermaksud keseimbangan mutlak antara keempat-empat sifat tersebut, bahkan keseimbangan mizaj bagi manusia secara umum ialah panas dan basah. Kerana itulah dikatakan bahawa penduduk di kawasan khatulistiwa yang mengalami cuaca panas dan lembap sepanjang tahun sebagai golongan yang paling seimbang mizajnya jika dibandingkan dengan penduduk-penduduk di kawasan lain.

Selain faktor kawasan dan cuaca, keseimbangan seseorang individu juga ditentukan oleh jantina, pekerjaan, bangsa, umur, akhlaq dan pelbagai perkara lain. Oleh itu, perawat perlu peka dengan semua aspek diri pesakit agar perawat tersebut dapat memberikan rawatan yang sesuai menurut keadaan dan keperluan semasa.

     Menurut Imam Az-Zahabi dalam kitabnya At-Tibb An-Nabawi, beliau menyatakan bahawa mizaj yang paling seimbang dalam kalangan haiwan ialah manusia (haiwan natiq / speaking animal). Mizaj yang paling seimbang dalam kalangan manusia ialah para mukmin, kemudian para nabi, kemudian para rasul, kemudian para rasul Ulul ‘Azmi yang lima, kemudian Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W, Baginda memiliki sebaik-baik mizaj tubuh kerana mizaj tubuh dipengaruhi oleh akhlaq seseorang itu. Jadi, Baginda yang memiliki sebaik-baik akhlaq, maka selayaknya Baginda jugalah yang mempunyai sebaik-baik mizaj dalam kalangan makhluq-makhluq Allah.



Surah Nau’iyyah

Selain daripada sifat-sifat ini, gabungan pelbagai unsur juga boleh menghasilkan karakter (‘aradh) jenis lain iaitu “surah nau’iyyah” (صورة نوعية)Surah nau’iyyah ialah bentuk susunan unsur. Analoginya adalah seperti penyusunan ketulan-ketulan bata dengan cara yang berbeza. Perbezaan bentuk susunan ini mungkin melibatkan sama ada gabungan unsur-unsur yang berbeza dari sudut jenis dan bilangan dengan bentuk susunan yang juga berbeza, atau mungkin juga melibatkan gabungan unsur-unsur yang sama dari sudut jenis dan bilangan, tetapi dengan bentuk susunan yang berbeza.

Analogi bagi surah nau’iyyah yang melibatkan unsur yang sama jenis dan juga bilangan tetapi berbeza bentuk susunan ialah seperti dengan menggunakan 100 000 ketul bata, seseorang tukang rumah boleh menghasilkan 1000 jenis bentuk rumah yang berbeza melalui perbezaan cara susunan bata. Konsep surah nau’iyyah jenis ini juga wujud dalam kimia moden dan dinamakan sebagai “isomerisme”, iaitu gabungan atom yang sama jenis dan bilangan, tetapi dengan bentuk susunan yang berbeza.

Perbezaan bentuk susunan unsur atau atom, sama ada yang sama jenis dan bilangan, atau yang berbeza jenis dan bilangan, memainkan peranan yang sangat penting dalam ilmu perubatan khususnya dalam bidang farmakologi, farmakognosi dan herbologi, kerana setiap perbezaan bentuk susunan memberikan kesan yang berbeza kepada tubuh.



KAITAN ARKAN DAN MIZAJ DENGAN BEBERAPA PERKARA

Dalam Perubatan Unani, kefahaman mengenai keempat-empat unsur ini memainkan peranan yang sangat penting dalam merawat, kerana konsep struktur yang paling kecil pada masa dahulu bergantung sepenuhnya pada konsep arkan ini. Setelah muncul ilmu sains moden khususnya ilmu kimia, maka peranan konsep unsur semakin kurang mendapat perhatian, sebaliknya proses merawat banyak bergantung pada konsep kimia, khususnya berkaitan struktur kimia ubat-ubatan.

Walaubagaimanapun, konsep unsur masih relevan untuk digunapakai kerana banyak persamaan konsep ini dengan beberapa konsep sains moden. Antaranya ialah konsep panas-sejuk dan basah-kering.

Sifat panas boleh kita gantikan dengan konsep tenaga (energy)atau caj negatif manakala sifat sejuk boleh digantikan dengan konsep daya (force)atau caj positif. Basah dan kering pula merujuk kepada konsep kepadatan, ketumpatan atau tekanan, sifat basah mewakili ketumpatan (dense), sifat kering mewakili kelonggaran (loose).

     Konsep empat unsur menepati konsep keadaan jirim (states of matter) iaitu keadaan pepejal mewakili unsur tanah, keadaan cecair mewakili unsur air, keadaan gas mewakili unsur angin dan keadaan plasma mewakili unsur api.



      Konsep empat unsur juga menepati konsep keperluan tubuh manusia iaitu haba dan sinaran UV mewakili unsur api, oksigen mewakili unsur angin, air minuman mewakili unsur air dan nutrien mewakili unsur tanah.

Wallahu'alam.

KOMPONEN MANUSIA



بسم الله الرحمن الرحيم

     Manusia terdiri daripada beberapa komponen. Komponen disebut juga sebagai struktur, manakala kajian berkaitan struktur dinamakan morfologi. Dalam pandangan sekular dan material, morfologi manusia hanya melibatkan komponen manusia yang bersifat material iaitu jasadnya. Jadi, urusan hidup manusia hanya tertumpu untuk memenuhi keperluan komponen material iaitu makanan dan minuman, maka manusia belajar untuk mencari kerja dan dengan pekerjaannya itu dia mendapat duit untuk membeli makanan dan minuman untuk dirinya atau keluarganya. Kehidupan yang sebegini tidak ubah bagai haiwan yang belajar memburu kemudian memburu dan makan hasil buruannya itu.

     Hakikat komponen manusia adalah melangkaui batasan material, bahkan komponen material manusia iaitu jasadnya boleh dianggap sebagai komponen yang kurang penting kerana ia memiliki komponen lain yang jauh lebih penting, mulia dan tinggi daripada jasadnya. Komponen yang mulia dan tinggi itu ialah roh. Jadi, manusia yang normal mempunyai dua komponen iaitu roh dan jasad.

      Roh merupakan hakikat manusia dan itulah bentuk asal manusia iaitu ketika ia berada di alam roh. Alam dunia merupakan alam yang rendah dan lemah. Roh manusia yang mulia itu  tidak sesuai untuk berada secara langsung di alam dunia yang rendah ini, maka manusia dibaluti dan disarungkan dengan pakaian jasad yang lebih sesuai dengan alam dunia, kerana itulah jasad yang rendah ini boleh mengalami kelemahan dan kemusnahan, sedangkan roh manusia tetap dengan keadaannya walaupun seseorang itu sudah tua. Tidak pelik apabila ada yang mengatakan orang tua lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara berbanding orang muda kerana orang tua melakukan sesuatu dengan semangat rohnya yang bersifat kuat, sedangkan orang muda melakukan sesuatu dengan tenaga jasadnya yang bersifat lemah.

Roh

     Roh manusia diberikan tiga kekuatan melalui akal dan nafsunya. Kekuatan pertama iaitu kekuatan "aqliyyah" terhasil daripada akalnya, kekuatan kedua iaitu kekuatan "ghadabiyyah" terhasil daripada nafsunya, dan kekuatan yang ketiga iaitu kekuatan "syahwaniyyah" juga terhasil daripada nafsunya. Inilah tiga kekuatan yang membantu roh dalam melakukan sesuatu perkara.




Tiga Kekuatan Roh

     Kekuatan aqliyyah membuatkan seseorang manusia itu boleh menerima sesuatu maklumat dalam bentuk sentuhan, bau, rasa, cahaya dan bunyi. Kesemua maklumat ini secara umumnya boleh disebut sebagai ilmu yang mana dengannya manusia mempelajari pelbagai perkara. Kekuatan aqliyyah juga membuatkan seseorang manusia itu boleh berfikir, membuat pertimbangan dan memproses maklumat, begitulah juga dengan kemampuan mengingat sesuatu perkara. Peranan kekuatan ini yang terakhir ialah membuatkan seseorang itu dapat memutuskan sesuatu perkara lalu melakukan perkara tersebut, iaitu setelah ia berfikir  dan memproses maklumat dengan baik. Orang yang mempunyai kekuatan aqliyyah yang tinggi merupakan seorang yang kuat berfikir, rasional dan dapat membuat pertimbangan serta kesimpulan dengan baik.

     Kekuatan ghadabiyyah membuatkan seseorang itu boleh melakukan gerakan-gerakan tertentu menurut kehendaknya setelah ia berfikir atau mungkin juga ia melakukan sesuatu tanpa berfikir dengan baik. Kekuatan ini juga membuatkan seseorang itu dapat mempertahankan dirinya daripada musuh atau sesuatu yang tidak ia  kehendaki. Orang yang mempunyai kekuatan ghadabiyyah yang tinggi merupakan seorang yang pemarah, kuat, tegas, aktif, mesra dan ego.

     Kekuatan syahwaniyyah membuatkan seseorang itu mempunyai keinginan untuk makan dan minum. Selain itu, kekuatan ini juga membuatkan seseorang itu mempunyai rasa suka kepada jantina yang berlawanan serta keinginan untuk melakukan persetubuhan. Orang yang mempunyai kekuatan syahwaniyyah yang tinggi merupakan seorang yang tamak, penyayang, pasif dan pendiam.

     Setiap kekuatan ini mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri, namun semua itu bukanlah hakiki kerana setiap sifat tersebut diperlukan oleh manusia dalam keseimbangan. Apabila Islam dihina, maka sifat marah mesti ada. Apabila melakukan kebaikan, maka sifat tamak perlu ada. Apa yang penting ialah kita pandai menggunakan kekuatan-kekuatan ini pada masa yang sesuai dengan kadar yang diperlukan.

Jasad

     Adapun berkaitan komponen manusia yang kedua iaitu jasad, maka ia dibincang secara lanjut dalam bidang biologi atau perubatan. Walau bagaimanapun, pembahagian komponen jasad tidak banyak bezanya dengan komponen roh, bahkan jasad juga mempunyai bahagian aqliyyah, ghadabiyyah dan syahwaniyyah. Inilah dia komponen-komponen manusia iaitu roh dan jasad, kedua-duanya perlu diberi perhatian dan diberikan makanan yang secukupnya.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment