Ramadhan bulan yang dipenuhi "keberkatan" adalah bulan REHAT bagi umat Islam. Ramai juga yang keliru dan tidak memahami ungkapan ini. Rehat juga bermaksud bersenang-senang, tiada kepayahan, tenang dan selesa. Fenomena pada hari ini tidak lagi menggambarkan situasi tersebut kerana bulan Ramadhan telah tidak mempunyai sebarang kelainan dari lain-lain bulan sepertimana selayaknya.
Tidak dinafikan, Ramadhan adalah bulan yang cukup penting dalam kalendar Islam. Ia juga dikenali sebagai bulan pembersihan diri dari noda dan dosa. Kita wajar lupakan apa sahaja hal berkaitan dengan keduniaan terutama yang bersifat negatif. Lupakan perbezaan antara kita supaya dapat kita tumpukan kepada agenda yang lebih besar iaitu memerangi hawa nafsu yang sekian lama menghuru harakan hidup kita.
Bersih kali ini amatlah dituntut. Bertepatan pula peristiwa "BERSIH" yang berlaku dalam negara kita sedikit masa dahulu. Lupakan bersih yang itu, dan capailah bersih yang ini. Pastikan kali ini musuh dapat dibersihkan sebersih-bersihnya sebelum mencapai "fitrah".
Saya masih ingat ketika saya masih kanak-kanak, kehidupan ramadhan sangatlah jernih dan bahagia. Seluruh ahli masuarakat berusaha menghidupkannya dengan mengenepikan soal keduniaan. Saling membantu dalam hal kebajikan.
Pada ketika itu jenerasi tua memberi bimbingan kerohanian kepada jenerasi yang lebih muda. Saya pernah dimaklumkan bahawa kehidupan masyarakat Melayu suatu masa dahulu amatlah ternanti-nanti kedatangan bulan berkah ini. Tidak sabar menantikan kahadiran Ramadhan dan bersedih hati bila berada di penghujungnya. Aneh tetapi benar.
Pada masa lalu (sebelum negara ini merdeka dan juga pada zaman-zaman sebelumnya), masyarakat Islam negara ini menjalani kehidupan penuh kenikmatan dan harmoni sepanjang Ramadhan. Rata-rata orang Melayu ketika itu hidup bertani dan hanya sedikit sahaja yang bekerja makan gaji.
Pada bulan ini, mereka memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah dan menguruskan kehidupan lain secara ala kadar. Setelah sebelas bulan mereka bekerja, pada bulan ini mereka bercuti dan kaum lelaki kebanyakannya bermukim di masjid dan surau untuk iktikaf pada siang dan selakukan sunat tarawih dan lainnya pada waktu malam. Berjaga malam (Qiamul Ramadhan) beramal membaca alQuran dan berzikir dengan penuh khusuk.
Jika ditakdirkan menjadi rezeki mereka, mereka akan mendapat hadiah yang tidak ternilai harganya iaitu Lailatul Qadar. Betapa bahagianya mereka yang berjaya mendapat rahmat Malam Penuh Hikmah ini. Segala dosa mereka terlucut dan doa mereka dimakbulkan Allah SWT.
Disiang hari mereka merehatkan perut dari makanan dan memelihara pancaindera mereka dari perkara haram dan subhah. Tidak berbual kosong atau berkata sia-sia jauh sekali dari berkata dusta dan fitnah. Fikiran mereka dikosongkan dari "ghairullah" atau dengan kata mudah "dunia dan seisinya". Semuaya telah direhatkan sepenuhnya.
Wajah mereka sentiasa tenang, disinari cahaya serta berseri-seri penuh keimanan. Sering berkumpul disudud masjid membincangkan soal agama dan dibantu oleh para alim ulama.
Seluruh penduduk bergilir-gilir menyediakan makanan untuk mereka yang iktikaf dan yang bermukim di masjid atau surau. Kini ia dikenali sebagai "Moreh". Itulah makanan mereka dari berbuka hingga sahur. Bersedia menerima apa sahaja yang disajikan. Redha dengan rezeki mereka.
Segalanya direhatkan. Jiwa dan raga diserah sepenuhnya kepada Allah. Perkataan "rehat" ini amat berpadanan dengan aktiviti dan cara hidup mereka. Umat Muhammad berusaha menghidupkan Ramadhan sesuai dengan namanya bulan penuh keberkatan.
Bertepatan pula dengan solat sunat yang hanya diamalkan pada bulan ini iaitu solat sunat "Tarawih" yang tiada pada lain-lain bulan. Tarawih bermaksud duduk bersenang-senang atau beristirehat. Maksudnya solat tarawih ini ialah melakukan solat dengan senang hati dan lapang fikiran.
Sabda Rasulullah saw "Sesiapa yang mendirikan solat pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu" riwayat Bukhari.
Solat yang dimaksudkan oleh Baginda ialah solat Tarawih. Satu keistimewaan yang hanya ada pada bulan Ramadhan al Mubarak ini.
Timbul pula pertanyaan mengenai nama Tarawih ini atau maknanya "bersenang-senang". Adakah keadaan yang wujud pada era moden ini dapat menzahirkan maksud tersebut? Adakah masyarakat Islam sekarang berupaya melakukannya dengan bersenang hati dan merehatkan minda dari hal keduniaan?
Keadaan kehidupan kaum Muslimin terdahulu itu sudah tiada lagi dalam masyarakat moden hari ini. Inilah antara fitnah zaman yang terpaksa telan oleh umat Islam hari ini. Ditambah pula penghayatan agama yang longgar serta kurang ilmu. Mengagungkan peradaban dan kemodenan hidup ala Barat telah menjerat dan menyebabkan umat hari ini jauh tertinggal kebelakang dalam soal peribadatan berbanding masyarakat terdahulu
Ada sebahagian kecil yang masih mengamalkannya dengan tekun tetapi sebahagian besar lebih mengutamakan "keperluan dunia" berbanding "keikhlasan" beribadah pada bulan mulia ini. Ada juga yang berkerja lebih kuat pada bulan ini berbanding sebelumnya mendapatkan bekal untuk memeriahkan "hari raya". Tidak jauh bezanya dengan kaum Nesrani dan seangkatan dengannya.
Sesungguhnya mereka keliru dan hilang petunjuk setelah lemas dalam tuntutan hidup yang semakin mencengkam. Hambatan ekonomi serta persaingan mengejar kesenangan menjadi punca kepada kecelaruan tersebut. Tuntutan cara hidup sekular menambahkan lagi kekeliruan mereka. Mereka sentiasa sibuk. Bulan Ramadan bukanlah bulan "rehat" bagi mereka dan jauh dari menjadikannya bulan "bersenang-senang" atau "istirehat".
Dalam pada itu, mereka masih mengharapkan "Lailatul Qadar" datang kepada mereka tanpa mereka berusaha mendapatkannya. Suatu yang agak ganjil dalam pemikiran umat masa kini.
Perubahan fenomena ini bermula sejak negara kita ditadbir oleh penjajah Barat. Minda kita turut terjajah perlahan-lahan dan dipalingkan ke kiblat yang salah. Menerima pakai sistem anjuran mereka iaitu sekularisma dengan mengasingkan agama dari seluruh cara hidup.
Permata yang telah hilang dari masyarakat Melayu. Sesuatu yang sungguh malang.
Selamat memasuki pintu gerbang "BERSIH" sebenarnya
SALAM RAMADHAN UNTUK SEMUA
Islamnya Zaid bin Sanah seorang Pendita Yahudi
Post pada Ahad, 24 Julai 2011
Diriwayatkan oleh At-Thabrani dari Abdullah bin Salaam r.a bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w keluar bersama sahabat-sahabat baginda, di antaranya Ali bin Abi Thalib r.a.
Tiba-tiba datang menemui beliau seorang Badwi dengan berkenderaan, lalu berkata; "Ya Rasulullah. di kampung itu ada sekumpulan manusia yang sudah memeluk Agama Islam dengan mengatakan bahawa jika memeluk Islam, mereka akan mendapat rahmat dan rezeki dari Allah. Tetapi sesudah mereka semua peluk Islam, terjadilah musim kering dan panas yang bersangatan sehingga mereka ditimpa bahaya kelaparan.
Saya khuatir ya Rasulullah jika mereka kembali kufur meninggalkan Islam kerana soal perut, kerana mereka memeluk Islam juga adalah kerana soal perut. Saya ingin agar kepada mereka engkau kirimkan bantuan untuk mengatasi bahaya kelaparan yang menimpa mereka itu."
Mendengar keterangan itu. Rasulullah s.a.w lalu memandang Ali bin Abu Thalib. Ali mengerti maksud pandangan itu sambil berkata, "Ya Rasulullah, tidak ada lagi bahan makanan pada kita."
Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi yang turut mendengarkan laporan orang Badwi dan jawapan Ali bin Abu Thalib lalu mendekatkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w dan berkata, "Wahai Muhammad, kalau engkau suka, akan saya belikan kurma yang baik lalu kurma itu dapat engkau beli padaku dengan hutang dan dengan perjanjian begitu, begini."
Berkata Rasulullah s.a.w, "Jangan dibeli kurma itu sekiranya kau berharap aku berhutang kepadamu tetapi belilah kurma itu dan berilah kami pinjam dari engkau."
"Baiklah." jawab Zaid bin Sanah.
Zaid bin Sanah pun membeli buah kurma yang baik-baik lalu menyerahkan kepada Rasulullah s.a.w dengan perjanjian-perjanjian tertentu dan akan dibayar kembali dalam jangka waktu yang tertentu pula. Sebaik saja Rasulullah s.a.w menerima kurma itu, lalu diarahkan supaya buah kurma tersebut diserahkan dan dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung yang ditimpa bencana itu.
Berkata Zaid bin Sanah, "Dua atau tiga hari sebelum tiba tempoh perjanjian pengembalian pinjaman seperti yang ditetapkan dalam perjanjian itu, Rasulullah s.a.w keluar menziarahi orang mati bersama Abu Bakar, Umar, Usman dan beberapa orang sahabat yang lain.
Setelah selesai menyembahyangkan jenazah tersebut, Rasulullah s.a.w pergi ke suatu sudut untuk duduk lalu saya menghampirinya dengan memegang erat-erat bajunya dan berkata kepadanya dengan sekasar-kasarnya. "Hai Muhammad, bayar hutangmu kepadaku, aku tahu bahawa seluruh keluarga Abdul Mutalib itu selalu melengah-lengahkan masa untuk membayar hutang!"
Mendengar kata-kataku yang kasar itu, saya lihat wajah Umar bin Khattab merah padam kemarahannya, lalu berkata, "Hai musuh Allah, engkau berkata begitu kasar terhadap Rasulullah dan berbuat tidak sopan. Demi kalau tidak kerana rasa hormatku terhadap Rasulullah s.a.w yang berada di sini, sungguh tentu akan ku potong lehermu dengan pedangku ini."
Rasulullah memandang kepadaku dalam keadaan tenang dan biasa saja, lalu berkata kepada Umar, "Hai Umar, antara saya dengan dia ada urusan hutang piutang yang belum selesai. Sebaik-baiknya engkau menyuruh aku membayar hutang itu dan menganjurkan kepadanya untuk berlaku baik menuntut hutangnya. Hai Umar, pergilah bersama dia ke tempat penyimpanan kurma, bayarlah hutang itu kepadanya dan tambahlah 20 gantang sebagai hadiah untuk menghilangkan rasa marahnya."
Setelah Umar membayar hutang itu dengan tambahan tersebut, lalu Zaid bin Sanah pun bertanya kepada Umar, "Kenapa ditambah hai Umar?" Berkata Umar, "Diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w tambahan ini sebagai imbangan kemarahan engkau."
"Hai Umar, kenalkah engkau siapa aku?" Tanya Zaid bin Sanah. "Tidak." Jawab Umar.
"Akulah Pendita Zaid bin Sanah."
"Engkau ini Pendita Zaid bin Sanah?" Tanya Umar agak terkejut. "Ya." Jawab Zaid bin Sanah ringkas.
"Kenapa engkau berlaku demikian rupa terhadap Rasulullah s.a.w? Engkau berlaku begitu kasar dan begitu menghina?" Tanya Umar lagi.
Zaid bin Sanah menjawab, "Hai Umar, segala tanda kenabian yang aku dapati dalam kitab Taurat sudah aku temui pada diri Rasulullah itu. Selain dua perkara yang aku sembunyikan dan tidak aku sampaikan kepada Rasulullah iaitu bahawa perasaan santunnya selalu mengalahkan perasaan marahnya. Makin marah orang kepadanya, makin bertambah rasa kasih sayangnya terhadap orang yang marah itu.
Dengan kejadian itu hai Umar yang sengaja diatur, aku sudah tahu dan lihat sendiri kedua sifat itu terdapat pada diri Muhammad itu. Aku bersumpah di depanmu hai Umar, bahawa aku sungguh-sungguh suka dan redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai nabi dan ikutanku."
Umar dan Zaid bin Sanah pun kembali mendapatkan Rasulullah s.a.w. Sebaik saja berhadapan dengan Rasulullah s.a.w, lalu berkata Zaid bin Sanah, "Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan rasulNya."
Zaid bin Sanah turut berjuang dan bertempur bersama Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin hampir di setiap medan perang dan akhirnya mati syahid di medan Perang Tabuk.
Demikianlah caranya bagaimana Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi menganut Agama Islam , beriman dengan Rasulullah s.a.w dan bersumpah akan membela Islam sehingga akhir hayatnya. SubhanAllah .......
[Tulisan oleh: Farah Hanan Abd. Wahid - Majalah Dakwah, Julai 1993]
No comments:
Post a Comment