CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Friday, 19 August 2011

Wanita..Menutup 'AUROH.


Apabila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.


Jika dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, sebab wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.


Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Sama ada dari pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja pejabat.


Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.


Sepatutnya pakaian seorang wanita mukmin itu bukan sahaja menutup aurat, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita, iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan dan tidak berhias yang mana akan menjadi daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya.
Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sophisticated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. 


Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila memakai tudung?


Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki. Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya. 


Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.


Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin mengikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.
Jika kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula daripada diri kita sendiri.


Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.
Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Sama ada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Dan dalam kehidupan berumah tangga, suami bertanggungjawab memastikan isterinya menurut perintah Allah SWT. Suami wajib memerintahkan isterinya menutup aurat dengan sempurna.


Hak terutama dan yang tertinggi adalah hak Allah SWT, sama ada suka atau tidak sesuatu hukum yang ‘putus’ seperti larangan zina, riba, solat, menutup aurat dan lain-lain adalah tidak boleh berubah mengikut peredaran zaman. Ia dinamakan hukum hakam yang bersifat ‘muhkamat’ atau ‘qat’iyyat’, tatkala itu, sebarang idea dan logik akal manusia tidak boleh masuk campur dalam hal urusan hukum sebegini untuk mengubahnya menjadi harus dan halal.


Adakah Islam memberikan umatnya hak kebebasan berpakaian walaupun seksi sesuka hati? Tubuh yang kita miliki ini bukan hak milik kita, ia mesti digayakan menurut kehendak pemiliknya iaitu Allah SWT. Islam memberikan kebebasan dalam pakaian tetapi tidak terbuka begitu sahaja, ia terikat dengan hak dan ketetapan yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya.


Justeru bagi sesiapa yang punyai iman, hak kebebasannya untuk memilih apa jua jenis pakaiannya adalah tertakluk kepada displin pakaian yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya.


Berdasarkan hak tersebut, wanita dan lelaki yang masih ada keimanan terhadap Allah dan Rasul-Nya serta hari balasan, mereka tidak boleh melanggar hak Allah ini.


Hancur ikatan suami isteri, musnah ikatan keluarga hanya dengan pakaian ‘seksi’ . Manusia tidak sedar dan sering mengganggap ia perkara kecil. Semua perkara yang termasuk dalam hak Allah dan Rasul-Nya sudah pasti tidak akan hanya melibatkan perkara kecil, ia pasti memberi impak yang besar kepada ketidakstabilan hidup secara umum.


Sudah tentu bukan kerana pakaian seksi itu semata-mata tetapi ia adalah pelengkap dan sebagai ‘medium’ menggabungkan nafsu lelaki yang tidak terkawal dengan nafsu wanita yang ‘gila’ seksi dan juga liar. Ia juga sebagai jambatan dan ‘iklan’ untuk berlakunya zina, rogol dan seumpamanya.


Yakinilah, masyarakat yang aman bermula dari rumah tangga yang aman. Rumah tangga aman pula bermula dari pakaian yang sempurna. Keluarga yang terdidik dengan akhlak Islamiah melahirkan masyarakat aman harmoni.

No comments:

Post a Comment