CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Thursday, 11 August 2011

QURAN dan ROMADHON.



1. Sesungguhnya al-Qur’an yang menjadi kitab petunjuk dan keterangan adalah seumpama ruh bagi jasad, dan elektrik bagi alam ini, yang perkara-perkara ini hanya diketahui atau dirasai melalui tanda dan kesan-kesannnya. Sukar untuk diterangkan dan didefinisikan ruh dan elektrik, apatah lagi hakikatnya. Tetapi kita akan mengetahui kewujudannya apabila melihat manusia yang hidup, mampu berjalan dan berkata-kata. Begitu juga dengan alatan elektrik yang dapat berfungsi dengan baik adalah tanda wujudnya elektrik. Demikianlah al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah SWT yang maha mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi, akal manusia sangat lemah untuk mengetahui semuanya melainkan dengan pemerhatian, kajian dan tadabbur.


2. Ayat-ayat al-Qur’an adalah gabungan lafaz yang mempunyai rahsia dan pengertian yang hebat. Kelembutannya menjadikan kita asyik dan menikmatinya. Jika ia meceritakan perihal neraka dan azab Allah SWT pula menjadikan kita takut, gementar dan bimbang. Terdapat lafaznya yang lebih segar dan sedap daripada air sejuk yang menghilangkan dahaga orang yang kehausan. Cahaya hidayahnya bagi seorang mukmin agar melalui jalan menuju kebaikan dan keamanan, lebih terang daripada pancaran cahaya matahari. Seorang alim bernama Jarir bin Abdullah berkata:
Aku berpesan kepada kamu semua agar takutkan Allah SWT. Aku juga berpesan agar kamu sentiasa dengan al-Qur’an, sesungguhnya ia adalah cahaya pada waktu malam yang gelap, petunjuk pada waktu siang. (Ibn ‘Asakir, Siyar A’lam al-Nubala’)

3. Dengan al-Qur’an, Allah Azza wa Jalla mengangkat dan meninggikan satu kaum, dan dengan al-Qur’an juga Dia merendahkan yang lain. Diriwayatkan bahawa Nafi’ bin Abd al-Harith meminta maula Abd al-Rahman bin Abza menggantikannya menjaga kota Mekah sewaktu dia keluar ke ‘Usfan untuk bertemu dengan khalifah Umar al-Khattab, lalu dia ditanya:
Siapakah yang engkau lantik menggantikanmu terhadap penduduk Mekah? Dia (Nafi’) menjawab: Ibn Abza. Umar berkata: Siapakah Ibn Abza? Dia menjawab: Maula daripada maula kami. Umar bertanya: Kamu lantik seorang maula? Dia menjawab: Dia (Ibn Abza) adalah seorang yang alim tentang kewajipan yang difardhukan, dan dia adalah seorang yang sentiasa membaca al-Qur’an. Umar berkata: Sesungguhnya nabi kamu bersabda: Sesungguhnya al-Qur’an ini, Allah mengangkat dengannya satu kaum, dan merendahkan dengannya yang lain. (Riwayat Muslim)  

4. Percakapan yang paling indah dan mulia, dan majlis yang paling baik adalah yang terdapat di dalamnya ayat-ayat al-Qur’an. Ia akan menjadi lebih baik dan indah jika dilakukan tadabbur, kerana ia adalah tujuan utama al-Qur’an diturunkan. Firman Allah SWT dalam surah Sod ayat 29 bermaksud:
(Al-Qur'an ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad). Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti (tadabbur) kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal mengambil iktibar.

5. Allah Azza wa Jalla juga meminta kita memerhati, meneliti dan tadabbur setiap ayat al-Qur’an untuk menolak keraguan bahawa ia bukan datang daripada Allah, kerana manusia tidak akan mampu mencipta seumpamanya walau satu ayat sekalipun. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 82 bermaksud:
Adakah mereka tidak mahu memikirkan (tadabbur) isi al-Qur’an? Kalaulah al-Qur’an itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan (pertentangan fakta) yang banyak di dalamnya.

6. Oleh sebab itu Allah SWT mencabar mereka yang menolaknya, agar mendatangkan seumpama al-Qur’an jika mereka mampu. Cabaran ini terbuka sejak al-Qur’an diturunkan ketika manusia hidup dalam keadaan sederhana, sehinggalah sekarang yang kehidupan manusia sudah kompleks dengan kecanggihan teknologi maklumat, globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 38:
Ataukah mereka mengatakan: Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan al-Qur'an menurut rekaannya. Katakanlah (wahai Muhammad): Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang seumpama dengan al-Qur'an itu, dan panggillah sesiapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar.

Terdapat di dalam al-Qur’an segala ilmu yang bermanfaat
7. Al- Qur’an sifatnya adalah sebagai kitab petunjuk, tidak seperti buku-buku sejarah, catatan perjalanan dan buku sains. Namun kita dapati ketepatan fakta sejarah dan kebenaran sains wujud dalam al-Qur’an. Diriwayatkan bahawa Masruq menyatakan kepada sesiapa yang ingin mengetahui ilmu tentang generasi dahulu dan yang kemudian, begitu juga dunia dan akhirat maka hendaklah membaca surah al-Waqi’ah. Imam al-Zahabi (748H) memberikan komentar tentang pernyataan ini, katanya:
Apa yang diperkatakan oleh Masruq ini adalah mubalaghah (ada makna tersirat), kerana hebatnya kandungan surah tersebut yang menghimpunkan perkara-perkara dunia dan akhirat. Adapun maksud kata-katanya ‘maka hendaklah membaca surah al-Waqi’ah’ ialah dengan tadabbur, tafakkur dan menghadirkan hati, bukannya seperti keldai yang membawa kitab. (Ibn ‘Asakir, Siyar A’lam al-Nubala’)

8. Terdapat pelbagai disiplin ilmu wujud di dalam al-Qur’an. Secara umumnya ia terbahagi kepada tiga kategori yang besar iaitu akidah, syariah dan akhlak. Semuanya diterangkan dalam al-Qur’an guna menjadi pedoman dan rahmat, anugerah Allah SWT kepada seluruh makhluk. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Nahl ayat 89:
Dan Kami turunkan kepadamu al-Qur'an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam.

Kaedah dan langkah-langkah untuk tadabbur
9. Allah SWT menyuruh kita untuk melakukan tadabbur terhadap al-Qur’an. Inilah peluang yang perlu kita rebut sempena bulan Ramadhan, bulan al-Qur’an ini. Sambil membacanya ketika bertadarus, teliti dan amat-amatilah setiap ayat, hujjah, ilmu dan kebenaran yang terkandung di dalamnya. Jadi’tadabbur ayat al-Qur’an adalah dengan meneliti maknanya, memikirkan yang tersurat dan tersirat, prinsip-prinsip utama, sebab dan akibat serta kemestian dan kesinambungannya. Kita perlu bimbang dengan hati yang terkunci yang tidak mahu untuk tadabbur ayat-ayat al-Qur’an. Firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 24:
Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan (tadabbur) isi al-Qur'an? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Qur'an)?

10. Di samping itu, al-Qur’an yang kita baca ini diturunkan dalam bahasa Arab yang mempunyai kaedah nahu dan gaya bahasanya yang tersendiri. Tidak dapat tidak kita perlu memahaminya terlebih dahulu sebelum melakukan tadabbur. Sesiapa yang tidak memahami bahasa Arab, maka sukar untuk melakukan tadabbur dengan baik. Oleh itu, beberapa langkah yang boleh membantu untuk tadabbur selepas ilmu bahasa Arab, adalah seperti berikut:
Langkah 1: kosongkan hati daripada selain Allah dan fokus
11. Ketika kita membaca al-Qur’an hendaklah dalam keadaan fokus, hati yang tidak sibuk dan hendaklah dikosongkan daripada semua perkara selain Allah Azza wa Jalla. Hati juga mesti merindui dan mengasihi al-Khaliq serta mempunyai keinginan yang kuat untuk memahami setiap ayat yang dibaca. Firman Allah SWT dalam surah Qaf ayat 37:
Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar ketika membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadaNya.

Langkah 2: baca dengan tartil
12. Kita hendaklah membaca al-Qur’an dengan tartil, memperelokkan suara, dan datangkan perasaan sedih. Kita dapat merasakan suatu kelainan jika mendengar bacaan al-Qur’an daripada seorang qari’ yang mahir dan mempunyai suara yang baik. Rasulullah SAW sendiri beberapa kali mendengar bacaan al-Qur’an oleh Abu Musa. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda kepada Abu Musa yang bermaksud:
Sesungguhnya engkau dianugerahkan seruling daripada seruling-seruling keluarga Daud. (Riwayat Tirmizi)

13. Mengetahui tajwid dan memperbetulkan bacaan kita di hadapan syeikh yang pakar adalah sangat penting untuk mendapatkan kemahiran bacaan tartil. Ini kerana tajwid berfungsi memberikan hak kepada setiap huruf hak-haknya.  

Langkah 3: datangkan rasa kebesaran Allah
14. Ia boleh berlaku dengan mewujudkan rasa bahawa Allah Azza wa Jalla sedang berbicara dengan kita melalui al-Qur’an, seolah-olah kita sedang mendengarnya daripada Allah SWT sekarang. Jika sampai di peringkat ini, maka kita akan merasai kelazatan al-Qur’an. Terdapat sedikit perbezaan dengan solat, kerana dalam solat kita mengadu, memohon, bercakap dan berdialog dengan Allah. Sebaliknya ketika kita membaca al-Qur’an, maka Allah SWT sedang bercakap dan berdialog dengan kita. Salmi al-Khawas berkata:
Aku berkata kepada diriku: Bacalah al-Qur’an seakan-akan engkau mendengarnya daripada Allah secara langsung, maka akan datang kelazatan. (Ibn ‘Asakir, Siyar A’lam al-Nubala’)   

Langkah 4: cuba memahami maknanya
15. Iaitu dengan merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar. Terdapat pelbagai jenis tafsir, utamakanlah yang bi al-ma’thur (berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith) daripada  bi al-ra’yi(berdasarkan pandangan). Dalam peringkat pertama ini mungkin kita fokuskan tafsir yang menekankan kefahaman makna, tanpa perincian yang mendalam dalam aspek bahasa. Contohnya tafsir al-Qurtubi (671H) dan Ibn Kathir (774H). Namun, jika kita ada kemampuan untuk merujuk kitab-kitab tafsir lain, ia lebih baik.

Langkah 5: kaitkan dengan keadaan kita
16. Iaitu dengan melihat segala peringatan yang ada dalam ayat al-Qur’an dan kisah-kisah yang diketengahkan. Begitu juga dengan faktor kehancuran kebanyakan umat yang disebabkan oleh pendustaan dan penolakan ajaran yang dibawa oleh para nabi yang diutuskan kepada mereka. Akibat dan balasan ini akan menimpa kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sifat pendustaan dan penolakan yang sama, walau sekuat dan sehebat mana seseorang itu.

17. Kita juga hendaklah mengamalkan segala hukum yang terkandung di dalamnya. Sebagai contoh, kita hendaklah berhenti daripada bercakap yang tidak betul dan tiada manfaat kerana semuanya akan dicatat, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Qaf ayat 18 bermaksud:
Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menulisnya).

18. Inilah yang dilakukan oleh para sahabat, mereka akan membaca al-Qur’an dan memahaminya. Tidak akan berganjak kepada ayat berikutnya melainkan selepas mengamalkan ayat yang sebelumnya. Diriwayatkan daripada ‘Ato’ bin al-Sa’ib bahawa Abu Abd al-Rahman al-Sullami berkata:
Kami mengambil al-Qur’an daripada satu kaum yang memberitahu kami bahawa apabila mereka mempelajari sepuluh ayat, mereka tidak akan melewatinya kepada sepuluh ayat yang lain, sehinggalah mereka mengetahui maknanya. Adapun kami mempelajari al-Qur’an dan mengamalkannya. (Ibn ‘Asakir, Siyar A'lam al-Nubala’)

Langkah 6: mengetahui sebahagian kajian ilmiah berkaitan
19. Kita juga perlu mengetahui sebarang kajian ilmiah yang berkaitan, yang menggunakan kaedah eksperimen dan pembuktian untuk mendapat faedah yang lebih. Dapatan secara emparikal ini dapat membantu menambahkan lagi kefahaman terhadap makna ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 53 bermaksud:
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas nyata kepada mereka bahawa al-Qur'an adalah benar. Belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

20. Oleh yang demikian, sebagaimana dituntut kepada kita menghidupkan bulan al-Qur’an ini dengan memperbanyakkan membacanya, maka kita juga diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla untuktadabbur memerhatikan makna isi kandungan ayat al-Qur’an yang kita baca. Dengan tadabbur, menjadikan kita lebih yakin dan menambahkan keimanan kita. Ia juga sebagai medium untuk mendapatkan ilmu yang tulen, lalu menolak dan menghumban segala keraguan, yang akhirnya membawa kepada jiwa yang tenang dan sejahtera insyaAllah.

21. Kesimpulannya, kesan tadabbur al-Qur’an membawa kepada kebaikan yang banyak. Namun, kita yang merasakan telah banyak membaca dan tadarus al-Qur’an, tetapi masih lagi tidak berubah ke arah yang lebih baik. Adakah kita tidak tadabbur al-Qur’an?.


Anhar Opir
7 Ramadhan 1432
Sweileh, Amman



1. Allah SWT maha berkuasa untuk memuliakan suatu tempat berbanding tempat yang lain sebagaimana Dia maha berkuasa memuliakan seseorang berbanding dengan seorang yang lain. Mekah lebih mulia daripada tempat yang lain, begitu juga para nabi dan rasul lebih mulia daripada manusia biasa. Para nabi itu sendiri pula ada yang terpilih untuk bercakap dengan Allah Azza wa Jalla seperti nabi Musa AS.


2. Begitulah juga Ramadhan yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk diturunkan al-Qur’an padanya. Maka Ramadhan menjadi mulia kerana al-Qur’an yang merupakan kitab hidayah petunjuk serta dokumen penting kepada seluruh makhluk terutamanya manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:
Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dengan yang salah).

3. Terdapat dua peringkat penurunan al-Quran; peringkat pertama secara sekaligus daripada Lauh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia, dan peringkat kedua adalah secara beransur-ansur daripadaBait al-‘Izzah di langit dunia kepada nabi SAW. Adapun yang dimaksudkan dengan ayat 185 surah al-Baqarah adalah berkaitan dengan peringkat yang pertama. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa:
Diturunkan al-Qur’an sekaligus keseluruhannya ke langit dunia pada malam al-qadr, kemudian diturunkan selepas itu selama dua puluh tahun. (Riwayat al-Nasa’ie dan al-Hakim)

4. Manakala Imam Ibn Jarir pula menyatakan bahawa:
Al-Qur’an diturunkan daripada Lauh Mahfuz ke langit dunia pada malam al-qadar di dalam bulan Ramadhan, kemudian diturunkan pula selepas itu kepada nabi Muhammad SAW mengikut kehendak Allah SWT kepada nabiNya. (Ibn Jarir, Tafsir al-Tabari)

5. Malam yang diturunkan al-Qur’an digelar sebagai malam al-qadar sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1-5 bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-qadar. Dan apakah engkau mengetahui tentang malam al-qadar itu? Malam al-qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku); Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar.

6. Malam tersebut juga disifatkan sebagai malam yang diberkati oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam surah al-Dukhan ayat 3-4 bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur’an itu pada malam yang diberkati. Pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku..

7. Ia merupakan malam yang sangat mulia. Ia menjanjikan kebahagiaan dan kegembiraan kepada seluruh makhluk di bumi untuk mendapat bimbingan dan petunjuk Rabbani. Maka Ramadhan sangatsinonim dengan al-Qur’an sehingga digelar sebagai bulan al-Qur’an. Tiada nikmat yang lebih besar daripada nikmat al-Qur’an. Tiada pujian yang sempurna untuk mengungkapkan tanda kesyukuran kita terhadap nikmat ini, sehingga Allah Azza wa Jalla telah menunjukkan kepada kita akan pujianNya terhadap nikmat ini. FirmanNya dalam surah al-Kahfi ayat 1 bermaksud:
Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), kitab suci al-Qur’an, dan Dia tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).

Perbanyakkan dan bersungguh-sungguh
8. Peluang Ramadhan kali ini perlu digunakan untuk memperbanyakkan pertemuan kita dengan al-Qur’an. Pertemuan ini bukan pertemuan biasa, tetapi pertemuan untuk kita membacanya dengan lebih banyak daripada biasa, dan juga memahami isi kandungannya. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa:
Adalah nabi SAW merupakan seorang yang sangat pemurah, dan nabi SAW menjadi lebih pemurah dalam bulan Ramadhan ketika Jibril bertemu dengannya. Adalah Jibril menemuinya pada setiap malam Ramadhan mengulangkaji al-Qur’an bersama nabi SAW. Maka nabi SAW sangat pemurah dengan kebaikan, lebih laju daripada angin yang bertiup. (Riwayat al-Bukhari)

9. Mengulangkaji al-Qur’an sangat dituntut dalam bulan Ramadhan. Ibn Rejab al-Hanbali (795h) menyatakan tentang hadith di atas:
Hadith ini menunjukkan galakan mengulangkaji al-Qur’an dalam bulan Ramadhan serta berkumpul untuk tujuan tersebut, dengan dibacakan al-Qur’an kepada mereka yang lebih hafaz… ia juga menunjukkan galakan memperbanyakkan bacaan al-Qur’an dalam bulan Ramadhan. (Ibn Rejab, Lata’if al-Ma’arif fima Limawasim al-‘Aam min al-Wazo’if)

10. Membaca dan mengulangkaji al-Qur’an ini boleh dilakukan sama ada siang atau malam sepanjang bulan Ramadhan. Cuma waktu malam lebih baik bagi mereka yang sibuk bekerja pada siang hari, kerana waktu malam lebih tenang dan sunyi daripada sebarang bunyi bising. Ini dapat membantu kelancaran bacaan dan lebih khusyu’ untuk tadabbur memahami isi kandungannya. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Muzzammil ayat 6 bermaksud:
Sebenarnya (solat dan ibadat) malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap bacaannya.

11. Kita dapati kesungguhan yang menakjubkan telah ditunjukkan oleh para salafussoleh dalam usaha mereka mengulangkaji al-Qur’an dalam bulan Ramadhan ini. Sebahagiannya dirakamkan oleh Ibn Rejab al-Hanbali (795H) dalam kitabnya, antara lain:
Imam al-Zuhri apabila masuk bulan Ramadhan akan berkata: Sesungguhnya ia (Ramadhan) adalah bacaan al-Qur’an dan memberi makan kepada orang lain. Berkata Ibn al-Hakam pula: Adalah Imam Malik apabila masuk bulan Ramadhan mengelak daripada membaca hadith dan duduk bersama ahli ilmu (fokus kepada al-Qur’an). (Ibn Rejab, Lata’if al-Ma’arif)

12. Apabila mereka banyak membaca al-Qur’an, maka kita bertemu dengan catatan yang menyebut bahawa mereka juga khatam al-Qur’an dalam jangka waktu yang singkat serta berulangkali. Hal ini tidak pelik kerana ia memang berlaku secara talazum. Kekerapan membaca al-Qur’an membawa kepada kekerapan mengkhatamkannya. Imam Shafie (204H) sendiri diriwayatkan mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak enam puluh kali dalam bulan Ramadhan. Ini bererti dua kali khatam dalam masa sehari. Bagaimana dengan kita?. Ibn ‘Asakir mencatatkan bahawa:
Al-Qasim berkata daripada ayahnya Ibn ‘Asakir bahawa dia sentiasa melakukan solat berjemaah dan membaca al-Qur’an, khatam pada setiap hari Jumaat, dan khatam setiap hari dalam bulan Ramadhan. (Ibn ‘Asakir, Siyar A’lam al-Nubala’)

Musykil tentang hadith larangan
13. Terdapat kemusykilan sebahagian dalam kalangan kita di antara dua perkara; iaitu sama ada memperbanyakkan membaca al-Qur’an atau membaca al-Qur’an dengan kadar yang sedikit tetapi dengan tadabbur, manakah yang lebih afdhal? Tambahan pula terdapat hadith yang menyebut larangan mengkhatamkan al-Qur’an kurang daripada tiga hari, sebagimana diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Tidak akan memahami bagi mereka yang membaca al-Qur’an kurang daripada tiga. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi, katanya: hadith Hasan Sahih)

14. Dalam hal ini, untuk menghilangkan kemusykilan, Imam Ibn Hajar al-Asqolani telah memberikan komentar, katanya:
Telah thabit daripada ramai generasi salaf bahawa mereka membaca al-Qur’an kurang daripada itu (tiga hari)…Larangan daripada melebihinya (kurang tiga hari) bukanlah mengharamkannya, sebagaimana suruhan terhadap semua perkara tersebut bukanlah sebagai mewajibkan… Imam Nawawi (676H) berkata: Kebanyakan para ulama’ tidak menentukan kiraannya, sesungguhnya ia bergantung kepada kemampuan dan kekuatan, yang demikian itu ia berbeza-beza mengikut keadaan dan mengikut individu, wallahu a’lam. (Ibn Hajar, Fathu al-Bari, jilid 9, hlmn 97)

15. Jadi, ia bergantung kepada diri kita masing-masing, yang penting adalah kesungguhan untuk melakukannya, kerana setiap kita berbeza-beza kemampuan dan pelbagai ‘level’ kesibukannya. Jika dapat memperbanyakkan bacaan dengan menjaga hukum tajwid dan ketepatan makhraj, di samping tadabbur memahami isi kandungannya maka ia lebih baik. Jika tidak sempat tadabbur pula, janganlah lepaskan peluang memperbanyakkan bacaannya. Mungkin itu kesungguhan minimum yang boleh kita tunjukkan.

Perlu tahu
16. Kita juga perlu tahu bahawa dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, dua perkara telah berhimpun dalam satu masa, dalam arti kata lain dua dalam satu; iaitu puasa dan al-Qur’an. Ini juga menggambarkan hubungan yang erat di antara Ramadhan dan al-Qur’an. Mukmin yang ikhlas puasanya dan sentiasa membaca al-Qur’an bakal mendapat dua syafaat pada hari akhirat kelak. Ini berdasarkan janji nabi SAW sebagaimana diriwayatkan sabdanya bermaksud:
Puasa dan al-Qur’an, kedua-duanya memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat, puasa berkata: Wahai Tuhan, aku telah mencegahnya daripada makanan dan syahwat pada siang hari, maka berilah syafaat untukku kepadanya. Al-Qur’an pula berkata: Wahai Tuhan, aku telah mencegahnya daripada tidur pada waktu malam, maka berilah syafaat untukku kepadanya, lalu kedua-duanya memberi syafaat. (Riwayat Imam Ahmad)

17. Terdapat juga riwayat lain daripada Ibn Majah yang hampir sama maksudnya dengan hadith di atas. Yang penting ialah kita merebut peluang dengan bersungguh-sungguh berpuasa pada waktu siang, dan bersungguh-sungguh pula membaca al-Qur’an pada waktu malam. Menghimpunkan dua kesungguhan ini dalam bulan Ramadhan dengan penuh kesabaran mampu meraih dua syafaat yang sangat istimewa ini. Tambahan pula pensyariatan solat Tarawih itu sendiri dengan bilangan rakaat yang banyak menunjukkan banyaknya ayat al-Qur’an yang dibaca pada setiap rakaat. Seakan-akan tujuan disyariatkan solat Tarawih adalah untuk diperdengarkan ayat-ayat al-Qur’an dengan banyaknya kepada manusia.

18. Oleh itu, rebutlah peluang Ramadhan pada tahun ini dengan memperbanyakkan dan bersungguh-sungguh membaca al-Qur’an. Jadilah mulia dengan al-Qur’an, sebagaimana mulianya Ramadhan kerana al-Qur’an. Jauh daripada al-Qur’an bermakna tiada kemuliaan, maka rugilah individu, keluarga, masyarakat atau negara jika jauh dari al-Qur’an.

19. Kesimpulannya, dengan membaca dan tadabbur al-Qur’an menjadikan kita mulia. Semoga kita bukan daripada yang diadukan oleh nabi SAW dalam surah al-Furqan ayat 30:
Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Qur’an ini satu perlembagaan yang ditinggalkan.


Anhar Opir
3 Ramadhan 1432
Sweileh, Amman

No comments:

Post a Comment