CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Thursday 27 October 2011

PUASA SUNAT (HARI 'ARAFAH)


PUASA SUNAT (HARI 'ARAFAH)

Bilakah hari ‘Arafah? Apa dalil bagi kelebihan puasa hari ‘Arafah?

Hari ‘Arafah ialah hari sembilan Zulhijjah. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun disunatkan berpuasa pada hari tersebut, dalilnya ialah; hadis dari Abu Qatadah r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim).

Adakah sunat berpuasa pada hari ‘Arafah itu ada pengecualian?

Ya. Dikecualikan dari jamaah haji. Mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut sebagai mencontohi Nabi s.a.w. dan juga untuk menjaga kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari itu.

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w. berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya (Riwayat Imam Muslim).

Malah terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah” (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim). 

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Add starShareShare with noteKeep unreadSend to

    PUASA SUNAT (HARI-HARI AWAL ZULHIJAH)

    Apakah dalil bagi galakan berpuasa di awal Zulhijjah?

    Hafsah r.a. menceritakan; “Empat amalan yang tidak ditinggalkan Rasulullah s.a.w. iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘asyr, puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai)

    Menurut ulamak hadis; maksud puasa al-‘asyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Zulhijjah hingga hari ke sembilannya.
    [1] Disunatkan berpuasa pada hari-hari tersebut terutamaya pada hari ke sembilan iaitu hari ‘Arafah berdasarkan dalil yang akan kita sebutkan nanti.[2]

    Selain berpuasa, kita juga digalakkan beramal dengan amalan-amalan kebaikan pada hari-hari tersebut kerana Nabi s.a..w bersabda dalam hadis yang lain; “Tidak ada hari yang paling disukai Allah untuk melakukan amal soleh melebihi hari-hari tersebut (yakni hari-hari awal Zulhijjah tersebut)” (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.)[3]

    Nota kaki;[1] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, kitab al-I’tikaf, bab Shaumi ‘Asyri Zilhijjah.[2] Lihat Nailul-Authar, 4/239.[3]
     Nailul-Authar, 3/312. 
    Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
    Add starShareShare with noteKeep unreadSend to

      Persoalan Aurat Wanita

      Oleh: Husna Hassan ( husna@telagabiru.net.my )

      Dunia fesyen andai dilihat dari kaca mata Barat kelihatan glamor, anggun dan menawan. Namun andai dilihat dengan kaca mata yang dibimbing oleh syariat, dunia fesyen itu lebih menjanjikan “azab” di akhirat kelak. Apa tidaknya, setiap helai pakaian yang direka, majoritinya tidak mencapai standard yang telah digariskan Islam. Akhirnya demam berpakaian mengikut trend terkini itu merebak dalam kalangan wanita Muslimah, hingga kadangkala sukar dibezakan antara wanita Muslimah dengan yang lain.

      Allah berfirman dalam surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menjaga pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan 
      hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya.”

      Ayat ini begitu sinonim dengan wanita. Namun penulis percaya ramai wanita yang belum lagi betul-betul mengenali dan mendalami ayat ini bagi menghayati syariat yang berkaitan dengan wanita. Dalam ’Ahkam al-Quran, Ibn al-Arabi berpendapat bahawa ayat ini terdapat beberapa permasalahan berikut:

      Menundukkan Pandangan dan Menjaga Kehormatan

      Ayat ini walaupun ditujukan khas buat wanita, namun anjuran ini termasuk juga lelaki. Ummu Salamah meriwayatkan: “Aku, Aisyah dan Maimunah berada di hadapan Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba putera Ummu Maktum meminta izin masuk kepada baginda. Lalu Rasulullah berkata kepada kami (maksudnya): ‘Pakailah hijab kalian.’ Mereka berkata: ‘Bukankah dia buta?’ Rasulullah menjawab: ‘Apakah kalian buta?’” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

      Jangan Zahirkan Perhiasan

      Wanita ditegah sama sekali daripada menzahirkan perhiasan kecuali yang biasa terlihat. Menurut ulama kontemporari, Syeikh Yusuf al-Qaradawi, yang dimaksudkan dengan “perhiasan perempuan” dalam ayat ini ialah apa sahaja yang dipakai untuk berhias dan mencantikkan tubuh sama ada berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut, potongan badan ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya. Seorang penyair pernah berkata:

      “Mereka (wanita) memakai perhiasan seindah yang engkau lihat.Apabila mereka berlalu meninggalkanmu,maka mereka adalah orang yang paling baik untuk pergi.”

      Tutup Belahan Leher Baju

      Anjuran ini juga terkandung dalam surah al-Nur ayat 31 ini. Imam al-Bukhari ada meriwayatkan daripada Aisyah r.ha. bahawa beliau berkata: “Allah telah menyayangi wanita yang berhijrah kerana waktu itu bertepatan dengan turunnya ayat, ‘Hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.’ Kemudian mereka mengoyak sebahagian kain yang mereka miliki untuk dijadikan tudung. Begitu juga mereka yang mempunyai sarung. Itu semua menunjukkan kewajipan menutup leher dan bahagian dada seorang perempuan.”

      Bagaimana menutupnya? Jawapan cukup mudah dan amat praktikal, labuhkan sedikit tudung anda hingga menutup bahagian dada dan jangan sekali-kali memakai tudung yang nipis yang masih menampakkan belahan baju walaupun bertudung.

      Siapa Muhrim Wanita?
      1. Suami.
      2. Ayah.
      3. Bapa mertua.
      4. Anak lelaki.
      5. Anak-anak suami (anak tiri).
      6. Saudara kandung lelaki.
      7. Anak daripada saudara lelaki.
      8. Anak lelaki daripada saudara perempuan.
      9. Perempuan yang beragama Islam.
      10. Budak (hamba sahaya).
      11. Lelaki yang tidak mempunyai syahwat.
      12. Anak-anak yang belum mengerti aurat wanita.
      13. Lelaki tua yang tidak lagi mempunyai keinginan kepada wanita. 
      Membunyikan Perhiasan
      Dan firman Allah dalam ayat yang sama, maksudnya: “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka.”

      Tujuan menghentakkan kaki di sini ialah supaya orang lain tahu perhiasan yang dipakai oleh wanita tersebut seperti gelang kaki yang bergemerencing, kasut bertumit tinggi atau bertumit keras hingga menghasilkan bunyi hentakan setiap kali berjalan dan sebagainya yang boleh menarik perhatian insan lain terutamanya lelaki ajnabi.

      Wallahua'lam.

      sumber: SOLUSI 

      No comments:

      Post a Comment