CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Sunday, 15 April 2012

Islam lebih tinggi daripada bangsa


Nota SHAHi: Islam lebih tinggi daripada bangsa

ISLAM LEBIH TINGGI DARIPADA BANGSA.
Tetapi ingatlah bahawa Islam itu dipertahankan di muka bumi oleh majoriti sesuatu bangsa manusia yang menganuti agama Allah.


AKIBAT daripada usaha demotivate [rujuk arkib Umat Terakhir di laman Abatasa di link:http://abatasa2.blogspot.com/2011/10/mind-game-demotivate.html] yang digerakkan oleh sebilangan pemimpin politik untuk menghakis semangat kebangsaan Melayu - demi mencapai cita-cita politik - kelompok orang Melayu yang mengikuti jalan politik itu akhirnya mengalami konflik jati diri.
Mungkin istilah konflik jati diri itu kurang tepat untuk menggambarkan situasi ini, namun orang-orang Melayu yang mengikut jalan politik itu kelihatan tidak terdetik rasa bangga dan kecintaan terhadap perjuangan bangsa mereka sendiri yang tidak pernah letih berjuang demi agama yang dijadikan kompas kehidupan.
Islam hadir ke bumi Melayu pada ketika negeri-negeri Melayu berada di ambang kegemilangan perdagangan dunia. Sejak raja-raja Melayu menerima Islam sebagai ad-deen, orang-orang Melayu sentiasa berjuang demi agama mereka sehingga melangkau ke beberapa generasi seterusnya. Selama beratus tahun sejak sebelum zaman imperial, orang Melayu yang majoriti di bumi Malaysia moden sangat setia mempertahankan Islam.
Islam tidak mensyaratkan bangsa bagi para penganutnya kerana agama wahyu yang terakhir itu bersifat universal. Namun, bangsa-bangsa manusia secara kolektif melibatkan bilangan majoriti penganut yang menganut agama itulah yang bertindak mempertahankan agama Islam.
Memang Islam tidak mensyaratkan bangsa bagi penganutnya, tetapi bangsa-bangsa manusialah yang bertindak mempertahankan agama itu. Ia kerana Allah menciptakan manusia berlainan bangsa, dan, bangsa-bangsa yang menganut agama itulah yang wajib mempertahankan agama-Nya.
Di rantau Timur Tengah atau Asia Barat, orang Arab menjadi bangsa majoriti yang mempertahankan Islam meskipun ada sebilangan Arab yang menganut Nasrani. Terasnya ialah orang Arab mempertahankan Islam di rantau sebelah sana. Maka, survival bangsa Arab yang beragama Islam dari segi maruah mereka, ekonomi, politik dan sosial harus dipertahankan oleh orang Arab sendiri.
Manakala di rantau sebelah sini, orang Melayu (induk bangsa di Asia Tenggara) menjadi bangsa majoriti yang menganut dan mempertahankan Islam. Maka, survival orang Melayu beragama Islam dalam segala aspek termasuk maruah, politik, ekonomi dan sosio-kehidupan juga harus dipertahankan oleh orang Melayu sendiri.
Bangsa-bangsa manusia sentiasa meletakkan maruah di tempat pertama, melibatkan maruah agama dan maruah bangsa, maruah itulah yang wajar dipertahankan supaya tidak dipandang hina dan supaya tidak mudah dihina sewenang-wenangnya. Dalam sejarah manusia, siri peperangan dalam tamadun-tamadun besar selalunya berpunca daripada rasa tercabar maruah mereka oleh sesuatu bangsa. Tamadun-tamadun besar itu akan melancarkan perang apabila maruah dan kedaulatan mereka diperlekehkan atau tidak dihormati oleh tamadun lain.
Kalau disingkap sejarah Perang Salib, bangsa Eropah memasuki Palestin dan menyembelih orang Arab Palestin yang beragama Islam. Laskar-laskar Eropah bertindak sedemikian selepas seorang pembesar agama Nasrani (ulama Nasrani) mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa orang Arab adalah seperti ‘roh yang tersesat’ (lost souls) yang tercari-cari erti ketuhanan Jesus. Akibat daripada fatwa itu, laskar-laskar Eropah memburu semua orang Arab di Palestin dan sekitar Jerusalem untuk dibunuh, ia kerana langkah berkesan untuk mencari orang Islam ialah mereka harus mencari orang Arab terlebih dahulu kerana majoriti orang Arab adalah Muslim. Di rantau sebelah sana, orang Arab adalah majoriti bangsa yang menganut dan mempertahankan Islam, maka mereka dicari untuk dibunuh pada ketika era Perang Salib.
Akibat daripada itu, tentera Arab beragama Islam (majoriti adalah tentera Arab, ada juga tentera Islam dari lain-lain bangsa) pimpinan Salahuddin al-Ayoubi melancarkan serangan balas demi mempertahankan agama yang dianuti oleh majoriti bangsa mereka di rantau sebelah sana. Andai hilang bangsa Arab di rantau sana, maka lemahlah Islam di rantau itu. Maruah bangsa itu diangkat semula oleh Salahuddin demi survival agama Islam.
Di rantau sebelah sini pula, hanya orang Melayu (bersama sub-sub bangsanya: Bugis, Jawa, Palembang dan sebagainya) yang mempertahankan Islam, jika semangat orang Melayu dilemahkan dalam kewajipan mempertahankan maruah mereka, maka tiada bangsa lain yang akan menolong mengembalikan maruah orang Melayu.
Andai maruah itu dipermain-mainkan oleh orang Melayu sendiri di halaman rumah mereka sendiri, maka tiada bangsa lain yang akan menolong mempertahankan maruah mereka. Jangan harap ada bangsa lain yang akan membantu kita untuk mempertahankan maruah kita. Jangan harap.
“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” - (Quran, ar-Raad: 11)
Allah berkata dengan jelas bahawa Dia tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah diri mereka sendiri. Allah juga berkata dengan jelas bahawa Dia akan mendatangkan bencana kepada mereka andai melakukan kesalahan terhadap diri mereka sendiri. Jadi, apakah kesalahan yang sedang orang Melayu lakukan kepada diri mereka sendiri?
Antara kesalahan itu ialah tidak berusaha mengubah nasib, maruah agama dan maruah bangsa ke arah yang lebih tinggi selari dengan tuntutan agama-Nya. Allah memerintahkan supaya sesuatu kaum itu berubah jika mahu berjaya di jalan-Nya. Itu perintah.
Kalau orang Melayu bertindak mempertahankan Islam di rantau ini, maka taatilah perintah itu. Bangsa yang disegani dalam apa jua tamadun ialah bangsa yang bangga dengan semangat kebangsaan mereka, simpan dulu ayat penyata ini. Itu dari segi semangat kebangsaan politikal perang zaman tamadun besar awal.
Namun kita diterangi Islam, walaupun begitu, Allah memerintahkan supaya sesuatu kaum itu mengubah diri mereka dan Allah akan menurunkan bencana apabila sesuatu kaum itu melakukan kesalahan kepada diri mereka sendiri. Ingat perintah itu. Ulang soalan tadi, apakah kesalahan yang sedang orang Melayu lakukan kepada diri mereka sendiri?
Orang Melayu tidak harus malu menjadi Melayu, ia kerana Melayu itu ditakdirkan mempertahankan Islam di rantau sebelah sini. Wajarkah malu kepada diri sendiri kerana ditakdirkan untuk mempertahankan agama Allah? Orang Melayu sewajarnya bersemangat dan berbangga menjadi Melayu, ia kerana semangat itulah yang akan mendorong kita supaya lebih tabah mempertahankan agama-Nya. Andai kita dalam keadaan rendah maruah, adakah kita akan mampu berhadapan dengan musuh yang bangga dengan bangsa mereka sendiri?
Kalau dipelajari daripada sejarah-sejarah perang, panglima perang akan berucap di hadapan ribuan askar untuk menaikkan semangat askar-askarnya. Semangat askar wajar disemarakkan terlebih dahulu sebelum anak panah pertama dilancarkan terhadap musuh. Itulah pentingnya semangat. Kalau orang Melayu malu kepada diri sendiri, berasa rendah diri terhadap bangsa lain, tidak bersemangat, agak-agaknya boleh berjayakah orang Melayu dalam menempuh cabaran?
Namun, jangan pula orang Melayu lupa kepada perintah Allah dalam ayat-Nya yang lain.
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Quran, al-Maedah: 8)
Di sebalik ayat di atas, difahami secara langsung bahawa Allah memerintahkan kepada kita supaya berlaku adil kepada bangsa lain. Untuk berlaku adil, orang Islam terlebih dahulu harus mempunyai kelebihan iaitu kelebihan dalam pemerintahan. Bagi menepati terhadap maksud ayat itu, orang Melayu beragama Islam wajar sentiasaberada dalam kategori dominan pemerintahan di Malaysia. Dengan menjadi bangsa yang bermaruah dan mendominasi pemerintahan, maka baharulah orang Islam boleh menjalankan keadilan. Andai orang Islam tidak menjadi pemerintah yang menjalankan keadilan, maka selarikah perintah Allah kepada orang Islam terhadap ayat itu?
Allah memerintahkan (melalui kata hendaklah seperti dalam ayat 8 surah al-Maedah) supaya orang Islamsentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan. Jadi, apa syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum keadilan dapat ditegakkan? Mestilah terlebih dahulu orang Islam perlu menjadi orang bermaruah tinggi yang mentadbir keadilan, setuju?
Masih tidak faham? Untuk berlaku adil, orang Islam harus menjadi pemerintah yang bermaruah, bukan menjadi ‘orang melukut di tepi gantang’ yang tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan keadilan. Pemerintah adalah orang yang menjalankan keadilan, bukan menjadi orang yang tertakluk kepada keadilan yang ditetapkan oleh orang bukan Islam.
Untuk menjalankan keadilan, seseorang harus menjadi pemerintah yang menjalankan keadilan. Andai orang Islam tidak menjadi pemerintah, bagaimana orang Islam mahu menjalankan atau memberi keadilan? Untuk menjalankan keadilan, orang Islam harus menjadi dominan terlebih dahulu, dalam erti kata lain ialah mempunyai maruah dan disegani. Itu dari segi konteks negara, bukan dari konteks individual.
Untuk berlaku adil, orang Islam harus mempertahankan maruah mereka sebagai pemerintah andai berada di sebuah negara yang bermajoriti orang Islam seperti negara anda ini. Kalau sesebuah negara yang majoriti orang Islam diperintah oleh orang bukan Islam dari segi penetapan dasarnya, di manakah maruah orang Islam? Siapa pula orang Islam di negara ini kalau bukan majoriti orang Melayu?
Jangan hanya membaca al-Quran tanpa memahami pengertian perintah-Nya. Jangan pula ambil ayat itu sekerat-sekerat seperti yang biasa diucapkan di pentas-pentas politik, fahamilah keseluruhan ayat itu dan taatilah perintah itu. Allah memerintahkan supaya sesuatu kaum itu berlaku adil kepada kaum yang lain. Maka berfikirlah mengenai syarat-syarat yang diperlukan sebelum mampu menjalankan keadilan. Antara syaratnya ialah menjadi pemerintah yang berkuasa terhadap sistem keadilan. Bukan menjadi pak turut yang tidak bermaruah, malu menjadi Melayu yang ditakdirkan mempertahankan Islam di rantau ini, tidak bermaruah sehingga tanpa segan menunduk taat di hadapan orang bukan Islam.
Orang Melayu harus mengembalikan semangat mereka, berbangga menjadi Melayu yang beragama Islam dan ditakdirkan mempertahankan Islam di rantau ini. Semangat memperjuangkan agama yang dianuti oleh orang Melayu, semangat itu harus disemarakkan, bukan dilemahkan dengan sentimen tidak bermaruah sehingga berasa malu dilahirkan sebagai orang Melayu.
Memang, Islam itu lebih tinggi daripada bangsa. Tetapi ingat, bangsa-bangsa yang menganut Islam itulah yang mempertahankan Islam. Andai lemah semangat bangsa yang mempertahankan agama Allah, maka lemahlah umat Islam di rantau ini. Bangsa-bangsa itulah yang mempertahankan ketinggian agama Allah. Di Malaysia, bangsa itu adalah Melayu.
Untuk memahami perkara yang mana perlu didahulukan, wajar kita mengingati satu riwayat hadis. Saya tidak ingat keseluruhan susunan ayat hadis itu secara tepat bagi tiap-tiap pemilihan perkataan, cukuplah sekadar mengimbas kisah yang terdapat di dalam hadis itu.
Penceritaan hadis itu berbunyi seperti ini (bukan dari segi susunan ayat hadis, tetapi dari segi penceritaan):
Fatimah bertanya kepada Rasulullah (ayahandanya) mengenai siapakah wanita pertama yang akan memasuki syurga kerana taat kepada suami dan agama Allah. Rasulullah menjawab, ia adalah seorang wanita yang tinggal di sebuah rumah di Madinah. Mendengar jawapan daripada baginda, Fatimah pun pergi ke rumah wanita itu dan melihat bagaimana wanita itu taat kepada suaminya dan perintah Allah. Setelah menyaksikan sendiri ketaatan wanita itu, Fatimah kembali menemui Rasulullah dan bertanya adakah dia akan menjadi wanita pertama memasuki syurga andai melakukan perkara yang sama. Baginda menjawab, tidak, baginda memberitahu bahawa Fatimah akan menjadi wanita kedua memasuki syurga selepas wanita itu masuk. Fatimah kemudian menangis kerana tidak menjadi wanita pertama masuk ke syurga. Rasulullah tersenyum melihat tangisan puterinya dan berkata, wanita itu masuk ke syurga terlebih dahulu kerana dialah yang akan menyambut dan meraikan kehadiran Fatimah ke dalam syurga Allah. Fatimah kemudian tersenyum.
Ia bermaksud, wanita itu masuk ke syurga terlebih dahulu kerana dia akan menyambut dan meraikan Fatimah yang masuk selepas itu.
Melalui kisah antara Rasulullah dengan puterinya, fahamkah kita terhadap pengertian yang mana satu di-kemudiankan dan mengapa ia tidak didahulukan?
Diulangi, memang Islam itu lebih tinggi daripada bangsa. Tetapi ingat, bangsa-bangsa yang menganut Islam itulah yang mempertahankan Islam. Andai lemah semangat bangsa yang mempertahankan agama Allah, maka lemahlah umat Islam di rantau ini. Bangsa-bangsa itulah yang mempertahankan ketinggian agama Allah. Di Malaysia, bangsa itu adalah Melayu.
Allah sentiasa memelihara Islam, tetapi Islam juga akan terus terbela jika ada kelompok manusia yang mempertahankannya. Di Malaysia, siapakah kelompok itu? Andai Melayu adalah bangsa yang majoriti mempertahankan Islam, maka orang Melayu wajar diperkuatkan semangat mereka, bukan diperlemahkan oleh doktrin politik yang dicanang bangsa mereka sendiri. Tanpa semangat yang kental iaitu berselaput rasa malu dalam diri dengan tidak bangga menjadi Melayu, adakah orang Melayu beragama Islam akan mampu menghadapi cabaran yang sengit daripada bangsa lain?
Cuba lihat bangsa lain di Malaysia. Adakah mereka menghina bangsa sendiri dan berasa malu dilahirkan dalam kelompok bangsa mereka? Tidak, mereka tidak menghina bangsa mereka dan mereka berbangga dengan kebangsaan mereka. Apabila ada orang Melayu yang menghina bangsa sendiri dan malu menjadi Melayu, adakah bangsa lain melahirkan simpati kepada bangsa Melayu? Jawapannya juga tidak. Mereka langsung tidak ambil peduli kalau orang Melayu berasa begitu.
Tetapi apabila bangsa lain berasa terhina akibat sesuatu perbuatan kaum-kaum lain, apakah yang bangsa itu akan lakukan terhadap kaum-kaum yang disifatkan menghina mereka apabila mereka berasa seperti dihina? Mereka akan segera bangkit mempertahankan maruah bangsa mereka. Mereka akan tegas mengatakan bahawa kaum yang membuat mereka berasa terhina itu sebagai racist. Tetapi apakah yang orang Melayu lakukan kepada bangsa lain apabila orang Melayu dihina? Orang Melayu hanya duduk diam tanpa berbuat apa-apa, kerana apa? Kerana orang Melayu berasa malu kepada diri sendiri, apatah lagi untuk mempertahankan maruah bangsa sendiri.
Apabila Melayu melaungkan semangat kebangsaan, orang Melayu akan segera dilabel sebagai racist. Orang Melayu seperti tidak boleh langsung berbuat apa-apa untuk membangkitkan semangat kecintaan terhadap bangsa mereka yang ditakdirkan mempertahankan Islam di bumi Malaysia ini. Apa sahaja yang orang Melayu lakukan demi survival agama dan bangsa, orang Melayu akan sentiasa segera dilabel sebagai racist. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Semua serba salah jadinya.
Untuk memahami keadaan sedemikian kita wajar meneliti sikap orang Yahudi yang sangat mudah melabel seseorang sebagai anti-Semitik apabila bangsa mereka dikritik, ditempelak atau mengeluarkan sesuatu kenyataan yang membuat mereka berasa seperti dihina.
Namun apabila ada orang menghina bangsa Arab, tidak pula orang Yahudi terhegeh-hegeh melabel orang itu sebagai anti-Semitik kerana orang Arab juga adalah dari keluarga bangsa Semitik. Hanya apabila bangsa Yahudi dikritik, maka orang yang mengkritik itu akan segera dilabel sebagai anti-Semit, tetapi tidak berlaku perkara yang sama apabila keluarga bangsa Semitik lain yang dikritik.
Yahudi dan Arab adalah dari kelompok bangsa Semitik dari keturunan Sem iaitu salah seorang daripada puteraNabi Nuh selepas peristiwa Banjir Besar. Namun, apabila dirujuk kepada istilah anti-Semitik, ia diistilahkan kepada anti-Yahudi semata-mata tanpa merujuk kepada pengertian Semitik yang sebenarnya. Malah di Amerika, seseorang yang mengeluarkan kenyataan anti-Semitik akan segera dihadap ke mahkamah untuk dibicarakan dan diberi hukuman kerana bersikap racist.
Keadaan yang berlaku di Malaysia pula hampir sama, namun hukumannya pula adalah dari segi tekanan kepada bangsa Melayu. Hal ehwal agama, budaya dan hak orang Melayu sentiasa dipersoal, ia bukan sahaja dipersoal oleh bangsa lain, tetapi ada di kalangan bangsa Melayu sendiri yang melakukannya. Namun apabila ada orang Melayu yang mempersoal kebiadapan bangsa lain, maka orang Melayu akan segera dilabel sebagai racist. Bangsa lain boleh mempersoalkan, tetapi orang Melayu tidak boleh mempersoalkan mereka. Hampir sama dengan situasi masalah istilah anti-Semitik.
-----
Orang Melayu menghadapi konflik identiti yang kronik dalam sudut semangat kebangsaan mereka. Ia menjadi lebih parah apabila ada orang Melayu sendiri yang melemahkan semangat itu sebagai alasan supaya berlaku adil kepada bangsa lain sebagaimana diperintahkan Allah. Cuba renungkan kembali pengertian ayat 8 dalam surah al-Maedah, apakah yang kita faham mengenai syarat-syarat yang diperlukan sebelum boleh menjalankan keadilan?
Pertama sekali ialah orang Islam wajar menjadi pemerintah yang bermaruah, mempunyai kuasa membuat keputusan dalam menjalankan keadilan, berperanan dominan dalam hal ehwal yang teras demi kepentingan semua pihak terutama umat Islam, tidak malu menjadi diri sendiri untuk mengubah nasib diri, tidak berasa rendah diri, tetapi tidak pula bongkak di atas muka bumi. Apabila sudah cukup syarat-syarat itu, baharulah orang Islam yang majoritinya orang Melayu di negara ini akan dihormati dan menghormati diri sendiri serta berupaya menjalankan keadilan seperti yang diperintahkan Allah.
Andai orang Melayu beragama Islam yang rendah maruah dirinya tidak mempunyai kuasa dalam membuat keputusan dan rendah maruah diri, adakah orang Melayu akan dihormati? Tidak, tidak dan tidak. Kalau orang Islam tidak menghormati diri sendiri, jangan harap akan ada orang lain yang akan menghormati kita. Jangan harap.
Kalau syarat-syarat itu tidak dipenuhi, bagaimana orang Islam mahu menjalankan keadilan terhadap kaum lain? Untuk menjadi bapa yang baik, seseorang lelaki harus berkahwin dan mempunyai anak terlebih dahulu sebagai langkah pertama. Itulah syarat pertama yang wajar dipenuhi untuk menjadi bapa yang baik. Bagaimana untuk menjalankan keadilan kepada kaum-kaum lain? Syarat pertama ialah menjadi dominan dalam pemerintahan terlebih dahulu supaya semua urusan keadilan tertakluk di bawah keputusan orang Islam. Bukannya menjadi orang Islam yang melukut di tepi gantang mengharapkan ehsan supaya diberikan sedikit kuasa oleh orang bukan Islam. Faham?
Bagi memenuhi syarat itu, langkah pertama ialah orang Melayu wajar kembali bersemangat mempertahankan maruah, bukan terus hidup terhimpit bagai ditelan mati emak dan diluah mati bapa. Bangsa-bangsa lain tidak pernah merendah-rendahkan bangsa mereka sendiri, tetapi mengapa mesti ada orang Melayu yang berasa malu dengan bangsa sendiri sedangkan orang Melayu adalah ditakdirkan untuk menjaga maruah Islam di rantau sebelah sini? Allah memilih orang Melayu untuk menjadi bangsa majoriti di rantau ini untuk menganut agama-Nya. Andai semangat bangsa Melayu makin lemah disebabkan oleh lidah-lidah pemimpin yang melemahkan jati diri mereka, bagaimana orang Melayu mahu terus kuat dalam mempertahankan Islam?
Ada yang berkata, mereka tidak bangga menjadi Melayu tetapi berbangga menjadi Islam. Tetapi ingatlah bahawa Islam itu dipertahankan di muka bumi oleh bangsa-bangsa manusia yang menganuti agama Allah. Manusia dijadikan berbilang bangsa, agama Allah pula adalah untuk seluruh manusia, manakala bangsa-bangsa manusia yang menganut agama Islam itulah yang mempertahankan agama Allah.
Sama juga kalau diibaratkan seperti: Hanya roh yang kekal, tetapi bukan jasad. Tetapi ingatlah bahawa jasad itulah yang menjadi alat kepada roh untuk melakukan kebaikan. Islam diibaratkan sebagai roh, jasad itu pula adalah Melayu. Andai jasad itu mati, maka jasad akan hanya tinggal jasad yang akan musnah reput di dalam tanah. Maka roh akan kembali kepada Tuhannya. Apabila Melayu menjadi lemah dan tidak bersemangat dalam mempertahankan bangsanya yang majoriti Islam, maka Islam akan terkapai-kapai di Malaysia.
Mungkin akan ada yang mengatakan Umat Terakhir sebagai racist apabila berbicara mengenai Melayu. Kita tidak menghina bangsa lain, tetapi sebaliknya kita menjelaskan bahawa bangsa lain sangat berbangga dengan diri mereka. Kita tidak menghina bangsa lain, tetapi kita menceritakan mengenai ada orang Melayu sendiri yang malu dilahirkan sebagai Melayu sehingga luntur semangat jati dirinya. Malu tidak bertempat di tempat sendiri seperti sudah tiada tempat untuk memahkotakan maruah di bumi sendiri.
Kalau mahu berperang, pilihlah panglima yang mampu menaikkan semangat para laskar-laskarnya. Bukan memilih sang pengecut yang luntur semangatnya dan galak pula melemahkan semangat orang lain supaya menjadi pengecut dan pemalu sepertinya. Orang tidak menunduk malu di medan juang kerana kepala yang tunduk itu lebih mudah dicantas pedang pihak lawan. Orang berperang dengan penuh semangat juang, berbangga menjadi bangsa bermaruah di medan juang untuk agamanya. Itulah caranya orang pergi berperang.
Maruah orang Melayu diperlekeh selama 457 tahun. Sepanjang 457 tahun, orang Melayu berusaha mengembalikan maruah mereka sehingga mengecap merdeka. Sesudah merdeka pula, orang Melayu terus cekal berusaha mengembalikan maruah mereka supaya tidak lagi dipermain-mainkan di tanah air mereka sendiri, gigih memartabatkan bangsa serta agama dan institusi raja-raja Melayu. Malangnya, ada orang Melayu sendiri yang memperlekeh perjuangan bangsa sendiri disebabkan bantal dan tilam empuk yang menghadirkan mimpi-mimpi politik, kuasa membuat keputusan dalam berpolitik pula tidaklah sehebat mana, hanya seperti hidup berpoligami dalam politik. Wajarkah orang seperti itu yang diangkat menjadi panglima bagi orang Melayu beragama Islam?
Melayu dan Islam itu tidak sama. Islam itu lebih tinggi daripada Melayu. Tetapi ingatlah bahawa Islam itu dipertahankan di muka bumi oleh bangsa-bangsa manusia yang menganuti agama Allah. Di Malaysia, bangsa itu adalah Melayu. Berbanggalah menjadi Melayu, bersemangatlah Melayu, bermaruahlah Melayu, demi agama mu.
Aku pula bukan 100 peratus berdarah Melayu. Tetapi aku meminta supaya orang Melayu berbanggalah menjadi Melayu, tanpa rasa malu, bersemangat kental menempuh cabaran dan tidak mudah layu apabila ada di kalangan bangsamu sendiri yang melemahkan jati diri mu, bersemangatlah Melayu demi agama mu, Islam, yang sama dengan agama ku.
Orang-orang Melayu yang memahami maksud aku ini, aku mohon bantuan kamu semua supaya bersegera bangkitkan semangat bangsa kamu tanpa menyakiti bangsa lain, jadikan bangsa kamu sebagai bangsa yang bermaruah dan berbangga dilahirkan Melayu untuk memartabatkan Islam di rantau ini. Ajarkan Islam kepada sesama manusia, jangan terlalu asyik mengajar politik kepada mereka hanya semata-mata mahu sokongan bangsa lain. Jatuh bangun bangsa Melayu berada di atas bahu orang Melayu sendiri. Jangan harap bangsa lain akan membantu kamu melainkan orang Melayu sendiri berusaha mengubah diri sendiri.
-----
Fahamilah ayat Allah, taatilah perintah-Nya:
“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana(disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” - (Quran, ar-Raad: 11)
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil(kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Quran, al-Maedah: 8)

SISTEM PEMERINTAHAN ISLAM IALAH KHILAFAH


SN302 - SISTEM PEMERINTAHAN ISLAM IALAH KHILAFAHPDFPrintE-mail
Jumaat, 13 April 2012 07:27
10

SN keluaran 13 April 2012

  alt
SISTEM PEMERINTAHAN ISLAM IALAH KHILAFAH

[SN302] Khilafah adalah kepemimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di dunia untuk menegakkan syari'at Islam dan mengembang dakwah Islam ke segenap penjuru dunia. Kata lain dari Khilafah adalah Imamah. Imamah dan Khilafah mempunyai makna yang sama. Bahkan banyak hadis sahih yang menunjukkan bahawa dua kata ini memiliki konotasi yang sama. Tidak ada satu nash syara' pun yang menunjukkan adanya konotasi yang berbeza, baik di dalam Al-Kitab mahupun As-Sunnah. Mendirikan Khilafah adalah fardhu bagi setiap Muslim di seluruh dunia. Melaksanakan penegakannya adalah tidak ubah seperti melaksanakan kefardhuan yang lain, yang telah difardhukan oleh Allah SWT bagi kaum Muslimin. Tuntutannya bersifat jazm (pasti), di mana tidak ada lagi pilihan atau penundaan dalam rangka menegakkannya. Mengabaikan pelaksanaannya merupakan kemaksiatan yang paling besar, di mana Allah SWT akan mengazab pelakunya dengan azab yang amat pedih.
  
Dalil tentang wajibnya melantik Khalifah bagi seluruh kaum Muslimin dinyatakan dengan jelas di dalam nas. Dalil dari As-Sunnah antaranya adalah sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari Nafi' yang  berkata,

“Umar pernah berkata kepadaku: 'Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Siapa sahaja yang melepaskan tangannya dari ketaatan kepada Allah, nescaya ia akan berjumpa dengan Allah di hari kiamat tanpa memiliki hujjah. Dan siapa sahaja yang mati sedangkan di lehernya tidak ada bai'at, maka matinya adalah mati jahiliyah”. 


Nabi SAW telah menmfardhukan kepada seluruh kaum Muslimin agar di atas leher mereka terdapat bai'at. Beliau menyifatkan orang yang meninggal sementara di atas lehernya tidak terdapat bai'at, ia mati dalam keadaan mati jahiliyyah (berdosa besar). Dan bai'at itu hanya diberikan kepada Khalifah, bukan kepada yang lain. Hanya dengan adanya seorang Khalifah, maka di atas leher kaum Muslimin akan ada baiat baik mereka membai'atnya secara langsung ataupun tidak. Kerana itu, hadis di atas merupakan dalil atas wajibnya mengangkat seorang Khalifah.

Hisyam Bin Urwah meriwayatkan dari Abi Salih dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

"Setelahku akan ada para pemimpin di antara kalian. Maka ada yang baik kemudian berlalu dengan kebaikannya. Begitu pula ada yang jahat kemudian berlalu dengan kejahatannya. Maka dengari dan taatilah (perintah dan larangan) mereka, bila sesuai dengan kebenaran. Bila mereka berbuat baik, maka itu menjadi hak kalian (untuk mendapatkan kebaikannya). Dan apabila mereka berbuat jahat, maka itu adalah hak dan sekaligus kewajiban kalian (untuk mengingatkannya)." 


Imam Muslim meriwayatkan dari Al A'raj dari Abu Hurairah dari Nabi SAW bersabda,

"Sesungguhnya imam itu adalah laksana perisai, di mana orang-orang akan berperang di belakangnya dan menjadikannya sebagai pelindung." 

Imam Muslim juga meriwayatkan dari Abi Hazim yang berkata,

"Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun, pernah aku mendengarnya menyampaikan hadis dari Rasulullah SAW yang bersabda: 'Dahulu, Bani Israel dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi meninggal, digantikan dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada Nabi sesudahku. (tetapi) nanti akan ada ramai Khalifah'. Para sahabat bertanya: 'Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?' Baginda menjawab: 'Penuhilah bai'at yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka." 

Dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda,

"Siapa sahaja yang membenci sesuatu dari amirnya (Khalifah) hendaklah ia tetap bersabar. Sebab, siapa sahaja yang keluar (memberontak) dari penguasa sejengkal sahaja kemudian mati dalam keadaan demikian, maka matinya adalah seperti mati jahiliyyah."


Hadis-hadis di atas antara lain merupakan ikhbar (pemberitahuan) dari Rasulullah SAW bahawa akan ada para penguasa yang memerintah kaum Muslimin dan bahawa seorang Khalifah adalah laksana perisai. Sabda Rasulullah SAW bahawa "seorang imam itu laksana perisai" menunjukkan pemberitahuan tentang adanya makna yang membawa fungsi tertentu dari keberadaan seorang imam dan ini merupakan suatu thalab (tuntutan). Ini kerana setiap pemberitahuan yang berasal dari Allah SWT dan RasulNya, apabila ia mengandungi celaan (adz-dzam) maka yang dimaksud adalah tuntutan untuk meninggalkan (thalabu at- tarki) atau merupakan larangan (nahyi) dan apabila ia mengandungi pujian (al-madhu) maka yang dimaksud adalah tuntutan untuk melakukan perbuatan (thalab al-fi'li). Dan apabila pelaksanaan perbuatan yang dituntut itu menyebabkan tegaknya hukum syara', atau jika ditinggalkan mengakibatkan terabainya hukum syara', maka tuntutan untuk melaksanakan perbuatan itu bererti bersifat tegas (thalab jazim) yakni bermaksud wajib melaksanakannya.
  
Dalam hadis-hadis ini juga disebutkan bahawa yang memimpin dan mengatur kaum Muslimin adalah para Khalifah dan bukan yang lainnya. Ini menunjukkan tuntutan untuk mendirikan Khilafah. Salah satu hadis tersebut ada yang menjelaskan keharaman kaum Muslimin keluar (memberontak) dari penguasa. Semuanya ini menegaskan bahawa kegiatan mendirikan pemerintahan bagi kaum Muslimin statusnya adalah wajib. Selain itu, Rasulullah SAW telah memerintahkan kaum Muslimin untuk mentaati para Khalifah dan memerangi orang yang ingin merebut kekuasaan mereka. Perintah Rasul ini adalah perintah untuk mengangkat seorang Khalifah dan memelihara keKhilafahannya dengan cara memerangi orang-orang yang ingin merebutnya. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda,

"Siapa sahaja yang telah membai'at seorang imam (Khalifah), lalu ia memberikan huluran tangan dan buah hatinya, hendaknya ia mentaatinya jika ia mampu. Apabila ada orang lain yang hendak merebutnya, maka penggallah leher orang itu."

Jadi, perintah mentaati imam (Khalifah) bererti pula perintah mewujudkan sistem keKhilafahannya. Sedangkan perintah memerangi orang yang merebutnya merupakan indikasi (qarinah) yang menegaskan secara pasti akan kewajipan melestarikan adanya pemimpin yang tunggal (Khalifah) di tengah-tengah kaum Muslimin.

Adapun dalil ijma' sahabat menunjukkan bahawa para sahabat telah bersepakat mengenai kewajipan mengangkat seorang pengganti Rasulullah SAW setelah baginda wafat. Mereka juga sepakat untuk mengangkat seorang Khalifah sepeninggalan Abu Bakar, Umar Bin Khattab dan Uthman Bin Affan. Ijma' sahabat yang menekankan peri pentingnya pengangkatan Khalifah, nampak jelas dalam kejadian di mana mereka menunda kewajiban mengebumikan jenazah Rasulullah SAW dan mendahulukan urusan pengangkatan seorang Khalifah, pengganti Nabi. Padahal, menguburkan mayat secepatnya adalah suatu tuntutan dan diharamkan atas kaum Muslimin menunda pengebumian tanpa sebab. Namun, sebahagian sahabat ternyata lebih mendahulukan urusan untuk mengangkat Khalifah berbanding pengebumian jenazah Rasulullah SAW. Sebahagian sahabat yang lain, yang tidak ikut dalam urusan mengangkat Khalifah ternyata tidak membantah penundaan urusan pengebumian jenazah Nabi SAW sampai dua malam, padahal mereka mampu mengingkari hal itu dan mengebumikan jenazah Nabi secepatnya. Fakta ini menunjukkan adanya kesepakatan (ijma’) mereka untuk segera melaksanakan kewajiban mengangkat Khalifah daripada menguburkan jenazah Nabi sendiri. Hal itu tidak akan terjadi, kecuali jika status hukum mengangkat seorang Khalifah lebih wajib dari pada menguburkan jenazah.

Demikian pula bahawa seluruh sahabat selama hidup mereka telah sepakat mengenai kewajiban mengangkat Khalifah. Walaupun sering muncul perbezaan pendapat mengenai siapa yang lebih layak untuk dipilih dan diangkat menjadi Khalifah, namun mereka tidak pernah berselisih pendapat sedikit pun mengenai wajibnya mengangkat seorang Khalifah, baik ketika wafatnya Rasulullah SAW mahupun ketika pergantian masing-masing Khalifah yang empat. Oleh kerana itu, ijma' sahabat merupakan dalil yang tegas dan kuat mengenai kewajiban mengangkat Khalifah.

Selain itu, menegakkan agama dan melaksanakan hukum syara' dalam semua aspek kehidupan dunia mahupun akhirat adalah kewajiban yang dibebankan atas seluruh kaum Muslimin, berdasarkan dalil yang qath'i tsubut (pasti sumber pengambilannya) dan qath'i dalalah (pasti penunjukan maknanya). Kewajiban tersebut tidak mungkin boleh dilaksanakan dengan sempurna kecuali dengan adanya seorang penguasa yang menerapkan Islam. Kaedah syara' menyatakan,

"Apabila suatu kewajiban tidak terlaksana kecuali dengan suatu perbuatan, maka perbuatan itu hukumnya adalah wajib." 

Ditinjau dari kaedah ini, mengangkat seorang Khalifah hukumnya adalah wajib kerana Khalifahlah orang yang berkuasa melaksanakan hukum syara’ dalam seluruh aspek kehidupan.
  
Disamping itu, Allah SWT memerintah kepada Rasulullah SAW agar menerapkan hukum di tengah-tengah kaum Muslimin dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Perintah Allah kepada Rasul tersebut berbentuk tegas (thalaban jaziman). Allah SWT berfirman yang ditujukan kepada Rasulullah SAW,

"Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu”
 [TMQ al-Maidah (5):48]. 

Dalam ayat lain,

"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepadamu" [TMQ al-Maidah (5):49].

Seruan/perintah untuk Rasulullah SAW juga merupakan seruan/perintah untuk umatnya, selama tidak ada dalil yang mentakhsis (mengkhususkan)nya. Dalam hal ini, tidak terdapat satu dalil pun yang mentakhsis perkara ini, maka dalil tersebut juga merupakan seruan/perintah kepada kaum Muslimin agar menegakkan pemerintahan mengikut apa yang diturunkan oleh Allah.

Allah SWT memfardhukan kepada kaum Muslimin untuk mentaati ulil amri atau para penguasa. Hal itu membuktikan bahawa ‘kewujudan’ ulil amri itu adalah wajib bagi kaum Muslimin. Allah SWT berfirman,

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu" [TMQ an-Nisa’(4):59]. 

Allah tentunya tidak memerintahkan untuk kita taat kepada ‘orang’ yang tidak ada. Ini membuktikan bahawa ‘mewujudkan’ waliyul amri (penguasa) itu hukumnya adalah wajib, yang  bererti,  ketika Allah memerintahkan ketaatan kepada waliyul amri, Dia juga memerintahkan agar mewujudkannya (jika ia tidak ada). Sedangkan adanya waliyul amri tersebut memiliki konsekuensi tegaknya hukum syara' dan berdiam diri tanpa mewujudkan waliyul amri membawa konsekuensi lenyapnya hukum syara'. Oleh yang demikian, hukum mewujudkan ulil amri (Khalifah) adalah wajib. Oleh kerana meninggalkannya membawa konsekuensi tidak terwujudnya hukum syara', maka hukum mengabaikannya adalah haram.

Dalil-dalil di atas semuanya menegaskan kewajipan mewujudkan pemerintahan dan kekuasaan bagi kaum Muslimin, sekaligus menegaskan wajibnya mengangkat seorang Khalifah untuk memegang tampuk pemerintahan dan kekuasaan. Kewajipan mengangkat Khalifah tersebut adalah demi melaksanakan hukum-hukum syara', bukan sekadar mewujudkan pemerintahan dan kekuasaan sahaja. Perhatikanlah sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui 'Auf bin Malik,

"Sebaik-baik pemimpin kalian ialah mereka yang kalian cintai dan mereka pun mencintai kalian; mereka mendoakan kalian dan kalian pun mendoakan mereka. Seburuk-buruk pemimpin kalian ialah mereka yang kalian benci dan mereka pun membenci kalian; kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian". Ditanyakan kepada Rasulullah: 'Wahai Rasulullah, tidakkah kita perangi sahaja mereka?' Beliau menjawab: 'Jangan, selama mereka masih menegakkan solat (hukum Islam) di tengah-tengah kalian."

Hadis ini menegaskan akan adanya para pemimpin yang baik dan yang jahat, selain menegaskan keharaman memerangi mereka dengan senjata selama mereka masih menegakkan agama. Ini kerana "menegakkan solat" merupakan kinayah (kiasan) kepada “menegakkan agama dan sistem pemerintahan”. Dengan demikian, jelaslah bahawa kewajiban kaum Muslimin untuk mengangkat seorang Khalifah demi menegakkan hukum Islam dan mengembang dakwah merupakan suatu perkara yang tidak ada lagi syubhat (kesamaran) pada dalil-dalilnya. Di samping itu, hal tersebut termasuk suatu kewajiban yang difardhukan oleh Allah SWT bagi kaum Muslimin, yakni terlaksananya hukum Islam dan terpeliharanya kesatuan kaum Muslimin.

Berdiam diri terhadap kewajiban mengangkat seorang Khalifah merupakan suatu perbuatan maksiat yang paling besar. Ini kerana hal itu bererti berdiam diri terhadap salah satu kewajiban yang amat penting dalam Islam, di mana tegaknya hukum Islam (bahkan eksistensi Islam dalam kancah kehidupan) bertumpu kepadanya. Oleh kerana itu, seluruh kaum Muslimin akan berdosa besar bila berdiam diri terhadap kewajiban mengangkat seorang Khalifah. Namun apabila sebahagian kaum Muslimin melaksanakan kewajiban itu sedangkan sebahagian yang lain tidak melaksanakannya, maka dosa itu akan gugur bagi mereka yang telah berusaha (namun kewajipan itu tetap dibebankan atas mereka sampai berhasil diangkatnya seorang Khalifah). Ini adalah kerana menyibukkan diri untuk melaksanakan suatu kewajiban akan menggugurkan dosa atas ketidakmampuannya melaksanakan kewajiban tersebut. Hal ini kerana mereka telah (dan sedang) berusaha melaksanakan kefardhuan, namun keadaan memaksanya sehingga masih gagal menyempurnakan kefardhuan tersebut.

Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dalam aktiviti menegakkan Khilafah akan terus menanggung dosa sejak tiga hari setelah tidak adanya Khilafah (tiadanya Khilafah bermula sejak 28 Rajab 1342H / 3 Mac 1924). Dosa itu akan tetap dipikulnya hingga ke hari pengangkatan Khilafah yang baru. Ini kerana, Allah SWT telah mewajibkan kepada mereka suatu kewajipan tetapi mereka tidak mengerjakannya, bahkan tidak terlibat dalam usaha-usaha yang menyebabkan terlaksananya kewajipan tersebut. Oleh kerana itu, mereka layak menanggung dosa, layak menerima seksa Allah dan kehinaan baik di dunia mahupun di akhirat. Layaknya mereka menanggung dosa ini adalah suatu hal yang jelas dan pasti sebagaimana seorang Muslim layak menerima seksa kerana meninggalkan kewajipan-kewajipan lain yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Apalagi kewajipan menegakkan Khilafah merupakan punca kepada pelaksanaan kewajipan-kewajipan lain, punca penerapan syari'at Islam secara menyeluruh, bahkan menjadi punca eksistensi tegaknya Islam sehingga panji Allah dapat berkibar di negeri-negeri kaum Muslimin dan seluruh penjuru dunia.

Oleh kerana itu, tidak ada uzur (alasan) apapun bagi seorang Muslim di muka bumi ini untuk berdiam diri terhadap pelaksanaan kewajiban menegakkan agama yang telah difardhukan oleh Allah ini kepada mereka. Kefardhuan ini adalah di dalam bentuk menegakkan Khilafah dalam keadaan muka bumi ini belum ada Khilafah dan dalam keadaan tidak ada orang yang menegakkan hukum Allah dan dalam keadaan tidak ada orang yang menegakkan hukum-hakam agama untuk menyatukan seluruh jamaah kaum Muslimin di bawah panji La Ilaha Illa Allah Muhammadur Rasulullah. Sesungguhnya di dalam Islam tidak ada rukhshah (keringanan) sedikitpun yang membolehkan seseorang Muslim itu berdiam diri terhadap pelaksanaan kewajiban yang telah difardhukan oleh Allah SWT, sehinggalah kewajiban tersebut tertegak dan demi sesungguhnya, sistem pemerintahan Islam itu adalah sistem Khilafah, bukannya sistem demokrasi, republik, monarki, teokrasi, federasi atau yang lainnya [Nidzamul Hukmi Fil Islam, Taqiyuddin an-Nabhani].

Fakta kebenaran Asal usul Melayu


Fakta kebenaran Asal usul Melayu

Sulalatus Salatin
Sulalatus Salatin



Raja kepada segala RAJA di timur ialah empayar agung MELAYU.
Betapa hebatnya raja bagi segala tamadun timur ini apabila mereka terkenal dengan gelaran Raja Lautan & Raja Daratan,
Semuanya terkandung didalam KITAB Sulalatus Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu dikarang oleh Tun Sri Lanang
Ramai sarjana barat telah  mengkaji karya agung ini seperti Winsted dan Shellebear.


Perlu di ingat Sulalatus Salatin (sejarah Melayu) sendiri mempunyai sekurang-kurangnya 29 versi dan versi-versi popular adalah hasil kajian sarjana Barat.dan tidak mustahil sarjana Barat seperti Shellabear yang menambahkan kata ‘Makaduniah’ kepada nama Iskandar Zulkarnain untuk menamatkan jejak bangsa Melayu sekaligus menamatkan teka-teki ini.--Tamat.

Sulalatus Salatin--http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Melayu
Lihat lagi peta di sini.

Permulaan:
Kajian dalam bidang Arkeologi dan Genetik hari ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu-Proto yang mendiami Benua Sunda merupakan nenek moyang kepada populasi manusia hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi Persidangan Asal Usul Melayu : Induknya Di Alam Melayu, Zaharah Sulaiman yang menjelaskan di dalam tayangan video bagaimana penduduk di Benua Sunda terselamat daripada letusan gunung berapi Tobakira-kira 75,000 tahun lalu.

Menurut Zaharah, sekumpulan 10,000 yang terselamat daripada letusan terbabit berpindah dari Afrika ke Benua Sunda (Asia Tenggara)

"Mereka terselamat kerana berlindung di kawasan  Benua Sunda yang tidak dicemari debu radioktif gunung berapi.

"Mereka merupakan asal-usul kepada perjalanan manusia moden hari ini,"

Kumpulan itu bagaimanapun, terpaksa berpindah daripada India, China, Jepun, dan Amerika Syarikat ekoran daripada pemanasan global pada 25,000 tahun lalu yang menyebabkan banjir besar yang merubah Benua Sunda menjadi kepulauan-kepualau, kecil.

Kenyataan tersebut menolak teori sebelum ini yang menyatakan Melayu berasal daripada Yunan atau "express train" yang menyatakan mereka berasal dari Taiwan yang melakukan penghijrahan.

Menyokong teori tersebut adalah Pakar Genetik daripada Oxford Genetic Anthropology, Stephen Oppenheimeryang menyatakan bukti genetik yang menunjukkan orang Melayu dan Orang Asli merupakan penduduk asal Asia Tenggara.

Ia sama ada daripada Kepulauan Indonesia mahupun Filipina, atau tanah besar Asia seperti Vietnam, Kemboja, Thailand, dan wilayah IndoChina.

Menurut kajiannya, termasuk ujian DNA terhadap masyarakat Semang, Senoi, dan kumpulan Orang Asli lain termasuk Melayu, ia menunjukkan 44 peratus mempunyai moyang yang hidup di kawasan ini sejak sebelum 25,000 tahun lagi.

Sementara 36 peratus lagi menunjukkan moyang mereka menetap di kawasan tersebut sejak 5,000 ke 25,000 tahun, manakala hanya sejumlah 6 peratus mempunyai susur galur Taiwan yang berpindah ke sini sejak 5,000 tahun lalu.

Tambahnya, terdapat juga bukti arkeologi yang menyaksikan industry peleburan besi antara 6,500 ke 8,000 tahun lalu yang disebarkan dari Indonesia /Malaysia(benua sunda) ke seluruh dunia.

Kenyataan berkenaan turut disokong oleh kajian yang dibuat oleh Saintis Universiti Sains Malaysia, Zafarina Zainuddin.

Menurut Zafarina, kajiannya menunjukkan DNA yang diambil daripada kumpulan yang hidup di kawasan yang sama mempunyai keturunan Melayu asli sekurang-kurangnya untuk tiga generasi.

"Sekiranya dia seorang lelaki daripada Machang, Kelantan dia boleh mengesan keturunannya untuk tiga generasi, dan sekiranya dia berasa was-was, kita asingkan," katanya.

Tambahnya, dia berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana mengeluarkan geran sebanyak RM1.4 juta untuk tujuan kajian tersebut, yang membuktikan masyarakat Melayu merupakan kominiti tertua di rantau ini.

Menurutnya, pencarian "Melayu berasal daripada Tanah Melayu" akan menyemarakkan kembali semangat Melayu dan seterusnya orang Melayu akan berasa bangga menjadi Melayu.

sumber: cerita

Popout

25,000 tahun dahulu,fikirkanlah.

Saturday, 14 April 2012

Umat Yang Kehilangan Jenama


Umat Yang Kehilangan Jenama

UMAT YANG KEHILANGAN JENAMA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Sering kali apabila bersolat di al-Masjidil Haram ataupun Masjid Nabi s.a.w, perasaan saya tersentuh, penuh rasa kagum kepada umat ini. Apa tidak, ratusan ribu, bahkan jutaan manusia datang dari pelbagai negara dan bangsa, latar pendidikan dan budaya yang berbeza, tidak mengenali antara satu sama lain namun tetap mampu untuk membentuk saf-saf salat yang penuh teratur. Tidak pernah sama sekali sebelum itu mereka melakukan apa-apa rehearsal membentuk saf untuk jumlah yang demikian besar, melainkan practise solat berjemaah di negara masing-masing.

Namun, apabila sahaja iqamah dilaungkan, jutaan manusia pelbagai bangsa, pelbagai latarbudaya, pelbagai gaya, pelbagai negara bangun berdiri mengambil tempat dalam saf-saf solat dengan penuh disiplin. Tiada siapa berhak bertanya apakah awak layak berada di sebelah saya ataupun tidak? Tiada siapa berhak menghalau orang lain keluar dari safnya tanpa sebab yang diizinkan syarak. Tiada saf khas untuk golongan bangsawan yang diharamkan golongan bawahan berada sebaris dengan mereka. Betapa agama ini telah menghimpunkan dan mendisiplinkan manusia.


Demikianlah ibadah-ibadah lain dalam Islam ini. Haji, perlambangan keserataan manusia. Tiada hak sesiapa menghalang orang lain bertawaf kerana orang bangsawan ingin bertawaf. Tiada siapa yang berbeza dalam beribadah kepada Allah. Tiada raja ataupun sultan yang boleh menyeru Allah dengan kesombongan diri atau bahasa yang berbeza kerana dia raja atau presiden ataupun sultan. Maha Suci Allah dari membezakan hamba-hambaNYA disebabkan kedudukan dunia mereka. Bahkan, Allah menerima mana-mana doa yang penuh kerendahan jiwa dan menolak doa yang dilafazkan dengan kesombongan diri.


Demikian puasa, zakat dan pelbagai ibadah lain dalam Islam jika dihayati banyak nilai-nilai mulia dalam kehidupan individu dan masyarakat muslim dapat dibina. Bab taharah ataupun kebersihan dan penyucian diri, pakaian dan tempat ibadah mempunyai banyak nilai yang Islam didik penganutnya.

Manakah Kesannya?

Namun, malang sekali negara-negara orang muslim itu kebanyakannya kotor. Ambil sahaja Kaherah yang orang Islam bangga kerana adanya University al-Azhar. Ia dianggap sebagai kota ilmu oleh sesetengah pihak. Namun, Kaherah juga merupakan kota sampah-sarap. Kekotaran seakan menjadi budaya. Tiada disiplin dalam hidup bermasyarakat. Rasuah dan salah guna kedudukan bermula dari tukang sapu sampah sehingga ke presiden negara.

Jalanraya tiada peraturan. Bunyi hon kereta rukun wajib dalam memandu. Sehingga saya pernah bergurau:“Orang Mesir, boleh pandu kereta tanpa tayar tetap tidak boleh pandu kereta tanpa hon”. Asap dan bau busuk adalah aroma kehidupan mereka. Di manakah perginya golongan agama dan ilmuwan kota itu?! Di mana perginya segala perbahasan ilmu yang dilaung-laungkan itu?!! Apakah pula disiplin dan nilai baik yang manusia dapat kutip dari mereka?

Dua minggu lepas saya berada di Irbid, Jordan. Bandar yang mengelilingi University Yarmouk. Malang sekali, sampah sarap bagaikan bunga-bunga yang menghiasi bandar itu. Menyedihkan. Saya bukan ingin memuji Oxford berlebihan kerana saya berada di sini sekarang. Namun ini suatu realiti. Bandar ilmu ini bersih. Sukar sama sekali mendengar hon kenderaan. Juga tiada pencemaran asap bas ataupun kenderaan biasa. Orang tahu menggunakan tong sampah, bahkan tahu membezakan jenis sampah.

Gereja memang banyak di bandar ini, namun ia tidak semakmur masjid-masjid di tempat kita. Bahkan kebanyakan mereka tidak percayakan agama, sekalipun mereka percaya wujudnya Tuhan. Saya percaya nilai-nilai baik itu tiada kaitan dengan agama, tetapi kejayaan pendidikan yang mantap dan berkesan. Sehingga nilai-nilai baik menjadi budaya. Sementara kita, golongan agama ramai yang sibuk dengan teori itu dan ini, ataupun sibuk mengisi dan menggemukkan poket masing-masing melebihi usaha mendidik dan membentuk umat yang berkualiti. Sibuk menghukum orang lain sehingga terlupa mengemaskan diri, rumah dan negara sendiri.
Umat Contoh
Kita membaca firman Allah: (maksudnya)
“Demikian Kami jadikan kamu umat yang wasat supaya kamu menjadi saksi ke atas manusia dan al-Rasul itu menjadi saksi ke atas kamu” (Surah al-Baqarah: 143).
Perkataan ‘wasata’ yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa kita bermaksud pertengahan (moderation). Ayat ini dibahaskan oleh para mufassirin dengan pelbagai tafsiran yang kesemua memberi makna umat Islam ini dijadikan Allah sebagai umat yang adil, mulia dan contoh kepada umat lain. Al-Syinqiti dalam Adwa al-Bayan menafsirkannya sebagai umat pilihan dan adil. Demikian juga Ibn ‘Ashur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir memberikan tafsiran yang hampir sama. Dalam edisi English Taisirur Rahman ditafsirkan: “a nation which profoundly great and most superior”. Persoalannya, di manakah ini semua pada hari ini. Ya, umat ini telah membuat sejarah pada masa lalu, tetapi apakah realiti hari ini?

Kita mengutuk ataupun mengkritik Barat tetapi kita jangan lupa bahawa banyak nilai yang baik Barat telah bina untuk kehidupan mereka. Di samping perkara-perkara yang kita tidak setuju tentang mereka, mereka mempunyai banyak perkara positif yang kita gagal dalam kehidupan kita. Ambil sahaja soal hak rakyat dalam mempersoalkan sesiapa yang menyalahgunakan harta awam dan taxpayer’s money, mereka miliki hak itu. Surat khabar dan media mereka berhak mempertikaikan baju, cuti dan segala perbelanjaan yang digunakan oleh HM Queen dan istananya. Tiada sebarang hukuman kerana itu.

Belanja Queen dan istana dibentangkan kepada rakyat jelata. Mereka berhak mempersoalkannya. Jadilah mereka bangsa yang bermaruah dalam soal tersebut. Kita tahu pada tahun ini Kerajaan British menolak untuk HM Queen Elizabeth membeli kapal persiaran. Padahal Queen telah 60 tahun berkhidmat. Jurucakap PM David Cameron, Steve Field menyebut: “I don’t think anyone is suggesting public money should be used for this. There is a difficult economic situation, there are scarce public resources, therefore we don’t think it would be an appropriate use of public money”.

HM Queen bawa payung sendiri.


Inilah sikap rakyat yang merdeka dari menjadi hamba penguasa. Malang sekali di dunia muslim; presiden, sultan dan raja boleh menggunakan harta awam tanpa dipersoalkan. Lebih buruk lagi, rakyat yang mempersoalkan itu pula yang dianggap bersalah dan derhaka, sedangkan si penguasa dan raja yang menggunakan harta negara dan awam disanjung mulia. Harta dan belanja mereka tidak dibentangkan kepada awam. Istana, kereta, komisyen projek itu dan ini didiamkan sahaja. Inilah dunia muslim.

Laungan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) hanya di corong pembesar suara, tapi dalam kehidupan rakyat, penguasa juga yang maha besar. Inilah rakyat yang diperhambakan dan tidak merdeka. Bagaimana mungkin rakyat yang seperti ini menjadi umat contoh kepada agama lain? Ini bukanlah ciri wasatiyyah yang dimaksudkan oleh al-Quran. Sama sekali tidak!

Sebab itu, walaupun ‘Arab Spring’ mempunyai kesan negatifnya, tetapi positifnya lebih banyak. Sekurang-kurang umat Islam tidak dilihat menjadi hamba golongan regim dan pemerintah yang zalim lagi korupsi, yang memeras harta dan darah, sedangkan umat ini berdiam saja. Ini mesti dihentikan! Sekurang-kurang dibuktikan pada dunia, umat ini masih hidup!

Saya teringat kisah Khalifah Umar bin al-Khattab yang disebut oleh Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam I’lam al-Muwaqi’in bagaimana satu hari beliau bangun berucap di hadapan rakyatnya sambil berkata:
“Hendaklah kamu dengar dan taat!”. Tiba-tiba sahabat Nabi s.a.w yang lain, iaitu Salman al-Farisi bangun dan berkata: “Kami tidak mahu dengar”. Umar pun bertanya: “Mengapa wahai Salman?”. Jawab Salman: “Engkau membahagikan kepada rakyat pakaian seorang sehelai, sedangkan engkau mengambil sebanyak dua helai”. Jawab Umar: “Sabar wahai Salman!. Lalu Umar berkata kepada anaknya: “Wahai Abdullah (bin ‘Umar), beritahulah dia bahawa pakaian yang aku pakai ini adalah bahagian engkau yang engkau berikan kepadaku”. Jawab Abdullah bin ‘Umar: “Ya, demi Allah”. Jawab Salman: “Kalau begitu, silakan, kami mendengar (taat)”.
Kita perlu mengembalikan jenama kita yang tinggi nilai di mata manusia. Kita umat yang branded pada suatu masa dahulu. Tiada siapa yang wajar membiarkan kemunduran ini. Hanya golongan pengampu ataupun literalist sahaja yang cuba menjustifikasikan kemunduran kita yang gagal menjadi umat contoh. Islam terhijab dalam banyak keadaan disebabkan realiti yang kita alami ini. Kita mesti berubah. Rakyat dan pemerintah mesti bergerak ke arah perubahan. Kembalikan jenama kita. Kita umat yang branded. Kita umatan wasatan.