Umat Yang Kehilangan Jenama
UMAT YANG KEHILANGAN JENAMA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Sering kali apabila bersolat di al-Masjidil Haram ataupun Masjid Nabi s.a.w, perasaan saya tersentuh, penuh rasa kagum kepada umat ini. Apa tidak, ratusan ribu, bahkan jutaan manusia datang dari pelbagai negara dan bangsa, latar pendidikan dan budaya yang berbeza, tidak mengenali antara satu sama lain namun tetap mampu untuk membentuk saf-saf salat yang penuh teratur. Tidak pernah sama sekali sebelum itu mereka melakukan apa-apa rehearsal membentuk saf untuk jumlah yang demikian besar, melainkan practise solat berjemaah di negara masing-masing.
Namun, apabila sahaja iqamah dilaungkan, jutaan manusia pelbagai bangsa, pelbagai latarbudaya, pelbagai gaya, pelbagai negara bangun berdiri mengambil tempat dalam saf-saf solat dengan penuh disiplin. Tiada siapa berhak bertanya apakah awak layak berada di sebelah saya ataupun tidak? Tiada siapa berhak menghalau orang lain keluar dari safnya tanpa sebab yang diizinkan syarak. Tiada saf khas untuk golongan bangsawan yang diharamkan golongan bawahan berada sebaris dengan mereka. Betapa agama ini telah menghimpunkan dan mendisiplinkan manusia.
Demikianlah ibadah-ibadah lain dalam Islam ini. Haji, perlambangan keserataan manusia. Tiada hak sesiapa menghalang orang lain bertawaf kerana orang bangsawan ingin bertawaf. Tiada siapa yang berbeza dalam beribadah kepada Allah. Tiada raja ataupun sultan yang boleh menyeru Allah dengan kesombongan diri atau bahasa yang berbeza kerana dia raja atau presiden ataupun sultan. Maha Suci Allah dari membezakan hamba-hambaNYA disebabkan kedudukan dunia mereka. Bahkan, Allah menerima mana-mana doa yang penuh kerendahan jiwa dan menolak doa yang dilafazkan dengan kesombongan diri.
Demikian puasa, zakat dan pelbagai ibadah lain dalam Islam jika dihayati banyak nilai-nilai mulia dalam kehidupan individu dan masyarakat muslim dapat dibina. Bab taharah ataupun kebersihan dan penyucian diri, pakaian dan tempat ibadah mempunyai banyak nilai yang Islam didik penganutnya.
Manakah Kesannya?
Namun, malang sekali negara-negara orang muslim itu kebanyakannya kotor. Ambil sahaja Kaherah yang orang Islam bangga kerana adanya University al-Azhar. Ia dianggap sebagai kota ilmu oleh sesetengah pihak. Namun, Kaherah juga merupakan kota sampah-sarap. Kekotaran seakan menjadi budaya. Tiada disiplin dalam hidup bermasyarakat. Rasuah dan salah guna kedudukan bermula dari tukang sapu sampah sehingga ke presiden negara.
Jalanraya tiada peraturan. Bunyi hon kereta rukun wajib dalam memandu. Sehingga saya pernah bergurau:“Orang Mesir, boleh pandu kereta tanpa tayar tetap tidak boleh pandu kereta tanpa hon”. Asap dan bau busuk adalah aroma kehidupan mereka. Di manakah perginya golongan agama dan ilmuwan kota itu?! Di mana perginya segala perbahasan ilmu yang dilaung-laungkan itu?!! Apakah pula disiplin dan nilai baik yang manusia dapat kutip dari mereka?
Dua minggu lepas saya berada di Irbid, Jordan. Bandar yang mengelilingi University Yarmouk. Malang sekali, sampah sarap bagaikan bunga-bunga yang menghiasi bandar itu. Menyedihkan. Saya bukan ingin memuji Oxford berlebihan kerana saya berada di sini sekarang. Namun ini suatu realiti. Bandar ilmu ini bersih. Sukar sama sekali mendengar hon kenderaan. Juga tiada pencemaran asap bas ataupun kenderaan biasa. Orang tahu menggunakan tong sampah, bahkan tahu membezakan jenis sampah.
Gereja memang banyak di bandar ini, namun ia tidak semakmur masjid-masjid di tempat kita. Bahkan kebanyakan mereka tidak percayakan agama, sekalipun mereka percaya wujudnya Tuhan. Saya percaya nilai-nilai baik itu tiada kaitan dengan agama, tetapi kejayaan pendidikan yang mantap dan berkesan. Sehingga nilai-nilai baik menjadi budaya. Sementara kita, golongan agama ramai yang sibuk dengan teori itu dan ini, ataupun sibuk mengisi dan menggemukkan poket masing-masing melebihi usaha mendidik dan membentuk umat yang berkualiti. Sibuk menghukum orang lain sehingga terlupa mengemaskan diri, rumah dan negara sendiri.
Umat Contoh
Kita membaca firman Allah: (maksudnya)
“Demikian Kami jadikan kamu umat yang wasat supaya kamu menjadi saksi ke atas manusia dan al-Rasul itu menjadi saksi ke atas kamu” (Surah al-Baqarah: 143).
Perkataan ‘wasata’ yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa kita bermaksud pertengahan (moderation). Ayat ini dibahaskan oleh para mufassirin dengan pelbagai tafsiran yang kesemua memberi makna umat Islam ini dijadikan Allah sebagai umat yang adil, mulia dan contoh kepada umat lain. Al-Syinqiti dalam Adwa al-Bayan menafsirkannya sebagai umat pilihan dan adil. Demikian juga Ibn ‘Ashur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir memberikan tafsiran yang hampir sama. Dalam edisi English Taisirur Rahman ditafsirkan: “a nation which profoundly great and most superior”. Persoalannya, di manakah ini semua pada hari ini. Ya, umat ini telah membuat sejarah pada masa lalu, tetapi apakah realiti hari ini?
Kita mengutuk ataupun mengkritik Barat tetapi kita jangan lupa bahawa banyak nilai yang baik Barat telah bina untuk kehidupan mereka. Di samping perkara-perkara yang kita tidak setuju tentang mereka, mereka mempunyai banyak perkara positif yang kita gagal dalam kehidupan kita. Ambil sahaja soal hak rakyat dalam mempersoalkan sesiapa yang menyalahgunakan harta awam dan taxpayer’s money, mereka miliki hak itu. Surat khabar dan media mereka berhak mempertikaikan baju, cuti dan segala perbelanjaan yang digunakan oleh HM Queen dan istananya. Tiada sebarang hukuman kerana itu.
Belanja Queen dan istana dibentangkan kepada rakyat jelata. Mereka berhak mempersoalkannya. Jadilah mereka bangsa yang bermaruah dalam soal tersebut. Kita tahu pada tahun ini Kerajaan British menolak untuk HM Queen Elizabeth membeli kapal persiaran. Padahal Queen telah 60 tahun berkhidmat. Jurucakap PM David Cameron, Steve Field menyebut: “I don’t think anyone is suggesting public money should be used for this. There is a difficult economic situation, there are scarce public resources, therefore we don’t think it would be an appropriate use of public money”.
HM Queen bawa payung sendiri.
Inilah sikap rakyat yang merdeka dari menjadi hamba penguasa. Malang sekali di dunia muslim; presiden, sultan dan raja boleh menggunakan harta awam tanpa dipersoalkan. Lebih buruk lagi, rakyat yang mempersoalkan itu pula yang dianggap bersalah dan derhaka, sedangkan si penguasa dan raja yang menggunakan harta negara dan awam disanjung mulia. Harta dan belanja mereka tidak dibentangkan kepada awam. Istana, kereta, komisyen projek itu dan ini didiamkan sahaja. Inilah dunia muslim.
Laungan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) hanya di corong pembesar suara, tapi dalam kehidupan rakyat, penguasa juga yang maha besar. Inilah rakyat yang diperhambakan dan tidak merdeka. Bagaimana mungkin rakyat yang seperti ini menjadi umat contoh kepada agama lain? Ini bukanlah ciri wasatiyyah yang dimaksudkan oleh al-Quran. Sama sekali tidak!
Sebab itu, walaupun ‘Arab Spring’ mempunyai kesan negatifnya, tetapi positifnya lebih banyak. Sekurang-kurang umat Islam tidak dilihat menjadi hamba golongan regim dan pemerintah yang zalim lagi korupsi, yang memeras harta dan darah, sedangkan umat ini berdiam saja. Ini mesti dihentikan! Sekurang-kurang dibuktikan pada dunia, umat ini masih hidup!
Saya teringat kisah Khalifah Umar bin al-Khattab yang disebut oleh Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam I’lam al-Muwaqi’in bagaimana satu hari beliau bangun berucap di hadapan rakyatnya sambil berkata:
“Hendaklah kamu dengar dan taat!”. Tiba-tiba sahabat Nabi s.a.w yang lain, iaitu Salman al-Farisi bangun dan berkata: “Kami tidak mahu dengar”. Umar pun bertanya: “Mengapa wahai Salman?”. Jawab Salman: “Engkau membahagikan kepada rakyat pakaian seorang sehelai, sedangkan engkau mengambil sebanyak dua helai”. Jawab Umar: “Sabar wahai Salman!. Lalu Umar berkata kepada anaknya: “Wahai Abdullah (bin ‘Umar), beritahulah dia bahawa pakaian yang aku pakai ini adalah bahagian engkau yang engkau berikan kepadaku”. Jawab Abdullah bin ‘Umar: “Ya, demi Allah”. Jawab Salman: “Kalau begitu, silakan, kami mendengar (taat)”.
Kita perlu mengembalikan jenama kita yang tinggi nilai di mata manusia. Kita umat yang branded pada suatu masa dahulu. Tiada siapa yang wajar membiarkan kemunduran ini. Hanya golongan pengampu ataupun literalist sahaja yang cuba menjustifikasikan kemunduran kita yang gagal menjadi umat contoh. Islam terhijab dalam banyak keadaan disebabkan realiti yang kita alami ini. Kita mesti berubah. Rakyat dan pemerintah mesti bergerak ke arah perubahan. Kembalikan jenama kita. Kita umat yang branded. Kita umatan wasatan.
No comments:
Post a Comment