SUKATAN
PELAJARAN ILMU TAUHID TRADISIONAL DI DUNIA MELAYU
Dalam
dunia pendidikan moden, kita mengenal istilah sukatan pelajaran atau kurikulum.
Walaupun istilah tersebut dalam pendidikan tradisional tidak diperkenalkan
secara meluas, namun dari karya-karya peninggalan mereka dapat kita mengerti
bahawa hal itu telah berlaku sejak lama di Dunia Melayu.
Kurikulum
pelajaran tauhid secara tradisional dapat dibahagi kepada berikut, iaitu:
Peringkat Awal/Permulaan, Peringkat Menengah dan Atas dan Peringkat Pembahasan
dan Penyelidikan. Peringkat-peringkat tersebut dapat dibicarakan satu persatu
bahagiannya sebagai berikut:
I.
Peringkat Awal/Permulaan
Dimaksudkan
dengan Peringkat Awal / Permulaan ialah orang-orang yang baru memasuki
pelajaran Ilmu Tauhid dan tidak terikat dengan umur.
Adakalanya
seorang kanak-kanak yang berumur tujuh tahun atau seorang yang telah tua hingga
melebihi 40 tahun mereka wajib diberi pengertian asas tauhid dengan cara
menghafal.
Bezanya
hanyalah cara menyampaikannya sahaja, tentu saja tidak sama menerapkannya
antara seorang kanak-kanak dengan seorang yang telah berumur.
Untuk
peringkat ini Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani sekurang-kurangnya telah
menyusun dua kitab Ilmu Tauhid iaitu Irsyadul Ithfal dan ‘Iqdatul Jawahir.
‘Iqdatul
Jawahir tersebut selain merupakan asas akidah, dapat juga digunakan sebagai
penolong ke arah sastera klasik kerana ia ditulis dalam bentuk syair dua bait,
dua bait tak ubahnya seperti ‘Gurindam Dua Belas’ gubahan Raja Ali Haji dari
Riau.
Barangkali
gaya bahasa
sastera Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti tersebut telah mempengaruhi
sasterawan yang berasal dari Riau itu. Ini kerana tidak dapat dinafikan Sheikh
Daud bin Abdullah al-Fathani adalah termasuk salah seorang guru kepada Raja Ali
Haji sewaktu dia ke Mekah dalam tahun 1245 H (kira-kira 1831 M), iaitu tahun
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan karya beliau ‘Iqdatul
Jawahir.
Selain
mengarang dua kitab dalam bahasa Melayu untuk peringkat ini, Sheikh Ahmad
al-Fathani juga menekankan supaya kanak-kanak digalakkan menghafal akidah
berbentuk dalam bahasa Arab.
Hal
ini disedari beliau kerana untuk pengiktirafan menjadi seorang ulama peringkat
antarabangsa adalah dimestikan menguasai bahasa Arab dalam pelbagai bentuk
keilmuannya.
Judul
kitab dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid dan Munjiatul ‘Awam.
Kedua-duanya ditulis di Mesir dan telah diuji oleh pengarangnya mengajar
kedua-dua kitab itu di Masjid Jamek Azhar, Mesir kepada orang-orang yang bukan
berasal dari Dunia Melayu.
Dua
karya Sheikh Ahmad al-Fathani untuk Peringkat Awal dalam bahasa Melayu pula
ialah An Nurul Mubin dan ‘Aqidah Ushuluddin Pendek.
Dalam
kedua-dua kitab kecil tersebut, beliau menyimpulkan seluruh akidah Ahlus Sunnah
wal Jamaah untuk kanak-kanak dan orang awam adalah meliputi beberapa perkara
berikut, antaranya: tentang rukun Islam, rukun iman, Sifat Kamalat yang wajib
bagi Allah ada 13 sifat, demikian juga lawannya, kemudian ditambah lagi tujuh
sifat yang dinamakan Sifat Ma’nawiyah dan sebagainya yang banyak tidak dapat
dimuatkan keseluruhannya di sini.
Dua
karya yang beliau tulis dalam bahasa Arab yang berbentuk syair pula.
Kandungannya jauh lebih lengkap daripada yang ditulis dalam bahasa Melayu. Hal
ini dapat dimaklumi kerana kedua-dua kitab bahasa Arab itu adalah untuk diajar
di pondok-pondok yang bercorak pengkaderan bukan untuk orang awam.
Dari
segi akidah jelas mencerminkan suatu ajaran yang dapat dipertanggungjawabkan.
Ditinjau dari segi bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani nampaknya berusaha
supaya dari peringkat kanak-kanak lagi perlu diajar bahasa Arab yang begitu
tinggi hingga sampai kepada gaya
bahasa sasteranya.
Ditinjau
dari segi kelengkapan kandungan, sebagai contoh seperti tertulis dalam
Jumanatut Tauhid pada bait pertama (tidak dapat dipaparkan contoh dalam bahasa
Arab) iaitu, maksudnya, “bahawa wajib memelihara kulliyat lima atau enam perkara, iaitu: agama Islam,
diri, harta, nasab, kehormatan, dan akal”.
Pada
bait yang lain antaranya ditinjau dari sudut politik, bahawa untuk memelihara
yang tersebut itu adalah “menghendaki kepada pentadbiran yang baik pula”.
Politik
yang baik dan pentadbiran yang baik menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam
karyanya yang lain ialah menurut yang telah diperintahkan Allah kepada para
RasulNya. Diakui atau tidak ketokohan ulama kita ini mengkaderkan tokoh-tokoh
politik di Dunia Melayu melalui akidah Islamiah yang berkesinambungan
memerlukan analisis, pengkajian dan pandangan secara jujur secara saksama dan
mendalam.
Sebagai
bukti, sehingga tertulis dalam buku Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
Sejarah Tingkatan 2 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian
Pendidikan Malaysia tahun 1989, halaman 182 sebagai yang berikut: “Di Tanah
Melayu pada masa itu, telah ada tokoh yang menganjurkan agar negeri Kelantan
dan Patani membentuk sebuah negara Islam. Tokoh tersebut ialah seorang ulama
terkenal di Mekah. Beliau ialah Sheikh Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Muhammad
Zain yang berasal dari Patani. Beliau menganjurkan agar negeri Kelantan dan
Patani bersatu untuk menentang Siam
dan membentuk sebuah kerajaan Islam yang akan dilindungi oleh Empayar Turki”.
Di
bahagian akhir kitab Jumanatut Tauhid diperlengkapkan dengan beberapa bait
pengertian akidah yang bersangkut paut dengan tasauf. Untuk melengkapi akidah
Ahlus Sunnah wal Jamaah di peringkat awal sebagai pengkaderan di pengajian
pondok tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani menulis di dalam Munjiyatul ‘Awam li
Manhajil Huda minaz Zhalam dengan beberapa bait tentang tanda-tanda kiamat.
Penutup
Seterusnya
untuk dua peringkat yang tidak dibicarakan lagi iaitu peringkat Menengah/atas
dan peringkat perbahasan/ penyelidikan dalam sukatan ilmu tauhid tradisonal di
Alam Melayu ini akan disambung perbicaraannya pada ruangan yang sama pada
minggu hadapan.
Untuk
bahagian pertama ini, dapat disimpulkan bahawa ulama-ulama silam Dunia Melayu
yang dapat dipercayai dan dipertanggungjawabkan ilmunya di bidang akidah
Islamiah telah berhasil mengarang ilmu tersebut dalam banyak judul kitab, sama
ada dalam bahasa Melayu mahupun dalam bahasa Arab.
Malahan
terdapat beberapa judul kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Arab dapat
diajarkan di luar Dunia Melayu, termasuk orang-orang Arab sendiri menggunakan
karya ulama Melayu tersebut.
No comments:
Post a Comment