CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Wednesday, 19 June 2013

LATAIF LATAIF..QOLBI..RUH dan SIR..


by nizam omar

LATAIF adalah kata jamak bagi Latifah yang bererti kehalusan. Allah adalah bersifat Al-Latif iaitu Yang Maha Halus dan Dia telah mengurniakan KehalusanNya kepada sekelian Nur Muhammadiyah. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadikan manusia dengan mengurniakannya sepuluh Lataif yang halus. Ianya boleh disifatkan sebagai anggota dalaman Ruhani bagi manusia atau pancaindera bagi Ruhani. Ianya diibaratkan sebagai juzuk-juzuk bagi diri Ruhani sepertimana otak, jantung, limpa, hati, paru-paru dan anggota dalaman bagi jasad tubuh badan Jasmani. 

Konsep seperti ini juga terdapat dalam sistem kepercayaan sesetengah kaum seperti 
Hindu dan China namun dalam perkembangan Tasawwuf Islam, segala ilmu pengetahuan adalah bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah, manakala penghasilan Ma’rifat mereka adalah menerusi Muraqabah danMusyahadah. Seterusnya Para Masyaikh memperkembangkan ilmu tersebut menerusi pengamatan mereka yang dalam serta tahap Keruhanian yang tinggi. 

Mungkin ada yang mendakwa mereka mengambilnya dari falsafah Yunani ataupun Hindu atau Chinanamun tiada bukti yang jelas tentang tersebut cuma dakwaan yang meleset. Para Masyaikh Naqshbandiyah memperolehi pengetahuan tentang Lataif adalah menerusi pengkajian mereka yang mendalam terhadap Al- Quran dan Al-Hadits serta As-Sunnah dan mengamalkan Syari’at dengan teguh dan mewarisi ilmu pengetahuan dari Guru-Guru mereka dengan pertalian yang kukuh menerusi Silsilah yang benar. 

Perkembangan Tariqat dalam diri seseorang itu secara umumnya melibatkan kesedaran dalam turutan yang tertentu pada latifah-latifah yang menjadi pusat perhentian dalam pemerhatian perjalanan Ruhani dan ianya terdapat dalam diri setiap manusia, amnya bagi sekelian Ummat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. 

Setiap Latifah itu dikaitkan dengan Nabi- Nabi yang tertentu atau warna-warna yang tertentu atau anggota tubuh badan yang tertentu atau alam-alam yang tertentu atau Ma’rifat-Ma’rifat yang tertentu dan ianya berbeza di antara satu Tariqat dengan Tariqat yang lain. Perbezaan ini menunjukkan betapa luasnya Ilmu Allah Subhanahu Wa Ta’ala. 

Tugas Para Masyaikh adalah untuk menghidupkan kesemua latifah-latifah tersebut pada diri Murid agar latifah-latifahnya dapat sentiasa berzikir Kehadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Menghidupkan kesemua latifah-latifah ini dengan Zikirullah adalah merupakan kegiatan sekelian Para Sufi. 

Setelah melalui proses ini, seseorang Salik itu dikatakan sebagai telah
mencapai tingkat kesempurnaan Insan dan menjadi manusia yang sempurna. Seseorang yang menjalani Tariqat Tasawwuf adalah wajib menyucikan kesemua Lataifnya dengan ilmu dan zikir kerana kesemua latifah adalah bersifat Nur dan sesuatu yang bersifat Nur hanya boleh disucikan dengan sesuatu yang bersifat Nur juga. 

Ilmu Syari’at, Ilmu Tariqat, Ilmu Ma’rifat dan Ilmu Haqiqat juga adalah bersifat Nur kerana ianya bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah dan kedua-duanya bersifat Nur. Zikir juga akan menghasilkan Nur, jesteru gabungan ilmu dan zikir dalam diri seseorang itulah yang akan menyucikan dan menghidupkan kesemuaLataif dalam dirinya. 

Para Masyaikh dari Silsilah yang bebeza telah menyelami Lautan Ilmu Kekuasaan Allah di dalam Bahrul Qudrah dan telah meneroka tentang rahsia Lataif ini. Meskipun pengetahuan mereka tentang Lataif adalah berbeza namun ianya merujuk kepada maksud yang satu iaitu kembali kepada Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. 

Guruku yang mulia Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutub Dauran Maulana Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhul ‘Ali telah mengurniakanku dengan kesemua Sepuluh Latifah dan beliau menyatakan kepadaku bahawa lima dari Latifah tersebut adalah dari Alam Amar manakala lima Latifah lagi adalah dari Alam Khalaq. Alam Amar dan Alam Khalaq adalah alam yang berada dalam lingkungan Daerah Imkan. 

Untuk memahami Tariqat Naqshbandiyah Mujaddidiyah ini, amat penting untuk kita memahami tentangSepuluh Latifah Insan. Semoga Allah memberikan kita Taufiq dan Hidayah.


by nizam omar

KETAHUILAH bahawa di sisi Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih dan sekelian para pengikutnya telah tsabit bahawa pada setiap insan terhimpun Sepuluh Latifah. 

Begitulah juga seperti yang telah dikatakan oleh Guruku Hadhrat Khwajah Khawajahgan Maulana Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhul ‘Ali kepadaku bahawa lima Latifah adalah dari Alam Amar dan lima Latifah lagi adalah dari Alam Khalaq. 

Alam Amar dan Alam Khalaq adalah alam yang berada dalam lingkungan Daerah Imkan.  

Lima Latifah Alam Amar itu adalah: 

Qalb 
Ruh 
Sirr 
Khafi 
Akhfa 


Lima Latifah Alam Khalaq itu adalah: 

Nafs 
Angin 
Api 
Air 
Tanah 

Ruhaniah setiap insan telah diciptakan dengan Bayangan Sifat-Sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan ianya berasal dari Alam Amar. Santapan Ruhaniah adalah cahaya Nur Allah yang dapat diperolehi dari Alam Amar menerusi Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mana kedudukannya di Alam Keruhanian adalah seumpama Matahari di dalam sistem cakrawala. 

Ada dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam diibaratkan sebagai cahaya yang terang dan sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’alatelah menjadikan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai suatu sumber keberkatan yang sempurna lagi terpilih. Kesemua Para Nabi dan Rasul menerima limpahan keberkatan dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. 

Sewaktu Allah Subhanahu Wa Ta’ala menciptakan rupa bentuk jasmani bagi insan, dikurniakannya juga lima Lataif Alam Amar di beberapa kedudukan pada badan manusia dan mengurniakannya takluk keasyikan. 

Adapun bagi Alam Amar, kedudukan Latifah Qalb itu terletak pada tetek kiri pada anggaran dua jari di bawah puting dan cenderung sedikit ke arah ketiak. Kedudukan Latifah Ruh adalah di bawah tetek kanan pada anggaran dua jari di bawah puting. 

Kedudukan Latifah Sirr adalah pada tetek kiri pada anggaran dua jari ke arah dada. Kedudukan Latifah Khafi adalah pada tetek kanan pada anggaran dua jari ke arah dada dan kedudukan Latifah Akhfa adalah pada tengahtengah dada. Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan takluk keasyikan pada Lataif Alam Amar ini di tubuh badan manusia. 

Takluk Alam Amar ini akan mencapai peningkatan Ruhani setelah disucikan sehinggalah kita dapat mengenali diri kita dan asal usul kita yang merupakan cahaya Nur yang tersembunyi dalam tubuh jasmani yang gelap dan zulmat ini. 

Adapun bagi Alam Khalaq, kedudukan Latifah Nafs itu adalah di antara kedua-dua kening yang mewakili otak dan akal manusia. Ia juga merujuk kepada nafsu seseorang. Seterusnya adalah Latifah Qalibiyah yang terdiri dari empat anasir iaitu Tanah, Air, Api dan Angin. 

Ia ada pada seluruh bahagian tubuh badan jasmani manusia. Sepertimana Alam Amar, Alam Khalaq juga perlu disucikan kerana dengan menyucikannya akan membawa seseorang itu kepada peningkatan Ruhaniah, pengenalan diri dan asal-usul hakikat kejadian diri. 

Ruhaniah Para Masyaikh adalah suci dan sentiasa hidup di sisi Allah sepertimana hidupnya Para Syuhada di sisi Allah kerana mereka kesemuanya berjuang di Jalan Allah demi menegakkan Kalimah Allah setinggi-tingginya. Mereka adalah orang yang berjaya mencapai hakikat kehidupan yang kekal di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.


by nizam omar

TITIK kedudukannya pada tubuh badan jasmani adalah pada anggaran dua jari di bawah tetek kiri dan cenderung sedikit ke arah ketiak. Latifah Qalb juga disebut Latifah Adami adalah dari takluk Alam Malakutyakni Alam Para Malaikat dan ianya merupakan pusat ‘Arash Mu’alla Allah Ta’ala di dalam diri Insan. 

Latifah Qalb adalah suatu pusat perhentian di Alam Amar. Sifat yang dikurniakan Allah dengan Latifah Qalb ialah pendengaran dan ianya merupakan Tajalli Sifat Allah As-Sami’ iaitu Yang Maha Mendengar. 

Mendengar merupakan suatu sifat utama Para Malaikat kerana mereka dijadikan oleh Allah Ta’ala untuk mendengar segala perintahNya dan taat. Seseorang Salik perlu menggunakan sifat pendengarannya untuk mendengar seruan Agama Islam dan mengamalkan Syari’at Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum memiliki sifat Sami’na Wa Ata’na iaitu mendengar dalam ertikata yang sebenar yang mana apabila mereka mendengar sebarang perintah dari Allah Ta’ala dan RasulNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mereka akan terus mentaatinya. 

Alam Malakut adalah wilayah Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam dan merupakan tingkatan langit pertama di atas ‘Arash. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam terlimpah padaLatifah Qalb Hadhrat Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan terlimpah kepada sekelian orang yang beriman. 

Cahayanya adalah dari langit yang pertama dan warna Nurnya adalah kekuningan. Seseorang Salik yang telah sempurna penyucian Latifah Qalbnya menerusi Tasfiyatul Qalb maka akan terhasillah padanya Kashful Qulub yakni pandangan mata hatinya celik dan memperolehi Basirah serta Kashaf iaitu melihat perkara-perkara 
yang Ghaib menerusi mata hati.


by nizam omar

TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada anggaran dua jari di bawah tetek kanan. Latifah Ruhjuga disebut sebagai Latifah Ibrahimi adalah bertakluk dengan Alam Jabarut yakni Alam Para Ruh atau dikenali juga sebagai Alam Arwah. 

Sepertimana Latifah Qalb, Latifah Ruh ini juga merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar. Sifat yang dikurniakan dengan Latifah Ruh ialah melihat dan ianya juga merupakan Tajalli dari Sifat Allah Al-Basir Yang Maha Melihat dan As- Syahid Yang Maha Menyaksi. Melihat dan menyaksikan adalah sifat-sifat yang Allah Ta’ala kurniakan kepada Ruh ketika berada di Alam Amar. 

Seluruh Para Ruh bersaksi bahawa Allah Ta’ala adalah Rabb, Tuhan Yang Maha Pemelihara. Melihat, memerhati dan menyaksi adalah suatu sifat utama bagi Ruh. Sifat ini ada pada diri zahir iaitu melihat dengan kedua biji mata zahir dan sifat ini juga ada pada diri batin iaitu menerusi pandangan mata hati iaitu Basirah. 

Seseorang Salik perlu melihat tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala dan memerhatikan perjalanan Tariqatnya agar sentiasa selari dengan petunjuk Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, banyak mengucapkan Selawat dan membaca Al-Quran. 

Alam Jabarut adalah wilayah Hadhrat Nabi Ibrahim dan Hadhrat Nabi Nuh ‘Alaihimassalam. Latifah Ruh merupakan tingkatan langit kedua di atas ‘Arash. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Hadhrat Nabi Ibrahim dan Hadhrat Nabi Nuh ‘Alaihimassalam terlimpah pada Latifah Ruh Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. 

Cahayanya adalah dari langit yang kedua dan warnanya adalah kemerahan. Seseorang Salik yang telah sempurna penyucian Latifah Ruhnya akan terhasillah Kashful Qubur yakni terbukanya pandangan ghaib tentang alam kehidupan sesudah mati di dalam kubur. Dia juga akan dapat berhubungan dengan Ruh-Ruh Para Masyaikh yang telah meninggal dunia dan mengambil limpahan keruhanian dari mereka dengan menziarahi maqam-maqam yang menjadi tempat pengkebumian mereka.


by nizam omar

TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada tetek kiri dengan anggaran dua jari ke arah tengah dada.Latifah Sirr juga disebut sebagai Latifah Musawi adalah dari taklukan Alam Lahut yakni Alam Bayangan Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar. 

Sifat yang Allah Ta’ala kurniakan dengan Latifah Sirr adalah menyentuh. Latifah Sirr adalahn suatu alam di mana tersimpannya segala rahsiarahsia tentang Bayangan Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan seharusnya menjadi rahsia bagi seseorang Salik. 

Latifah Sirr merupakan tahap di mana seseorang Salik itu akan mengalami perbualan dengan Hadhrat Zat Yang Maha Suci di dalam hatinya di mana dia akan berinteraksi dengan limpahan cahaya dari Hadhrat Zat dan akan mendengar suara-suara Ketuhanan di dalam dirinya. 

Alam Lahut adalah wilayah Hadhrat Nabi Musa ‘Alaihissalam yang telah dapat berkata-kata dengan Allah dan telah mendengar suaraNya. Alam Lahut merupakan tingkatan langit yang ketiga di atas ‘Arash. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Hadhrat Nabi Musa ‘Alaihissalam terlimpah pada Latifah Sirr Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Cahayanya adalah dari langit yangketiga dan warna Nurnya adalah keputihan. 

Menurut Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf-Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih seseorang Salik akan mengalami Jazbah pada tahap ini iaitu penarikan dan penyatuan dengan CahayaAllah Ta’ala. Apabila dia mengalami Jazbah untuk menuju kepada Rahmat Allah maka dia digelar Majzub. Dan menurut beliau, ini merupakan tahap Sukr yakni Ruhaniah seseorang itu akan mabuk dalam melihat kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

No comments:

Post a Comment