HUKUMAN MENCEGAH DAN MENAKUTKAN
by anhar
1. Manusia pada hari ini sudah tidak takut melakukan jenayah. Terbaru kita membaca tentang jenayah pembuangan bayi di dada akhbar. Bagitu juga dengan jenayah-jenayah lain sama ada yang dilaporkan oleh akhbar atau tidak dilaporkan sangat mencemaskan. Rompakan, pecah rumah, rogol dan pembunuhan berlaku di sana-sini. Semakin maju dunia ini semakin banyak kemajuan dalam jenayah. Kita yang hidup dalam masyarakat seumpama ini pula yang takut kepada penjenayah, sedangkan penjenayah tidak langsung mempunyai rasa takut kepada hukuman sedia ada.
2. Bukti mereka tidak merasa takut adalah meningkatnya kadar jenayah. Bukan sedikit yang telah ditangkap dan dihukum bahkan digantung mandatori hingga mati. Namun semuanya seperti tidak berkesan untuk mencegah dan tidak mampu untuk menakutkan mereka daripada melakukan jenayah. Sebagai masyarakat awam yang hidup bersama dengan orang ramai, kita sangat bimbang kerana sampai tahap mereka berbangga dengan menceritakan jenayah dan maksiat yang telah mereka lakukan semalam hari dengan rakan-rakan lain di warung-warung dan laman sosial sedia ada. Sedangkan segala maksiat dan dosa mesti disembunyikan daripada pengetahuan orang lain. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Semua umatku adalah dimaafkan kecuali mereka yang bercerita secara terang-terangan. Sesungguhnya termasuk daripada bercerita secara terang-terangan adalah seseorang yang melakukan sesuatu pada waktu malam, Allah telah menutupnya hingga waktu pagi, kemudian dia berkata: Wahai si fulan, aku telah melakukan itu dan ini semalam. Sedangkan Allah telah menutupnya, tetapi dia telah menyingkap apa yang telah Allah tutup baginya. (Riwayat Muslim)
3. Dalam banyak aspek kehidupan, manusia sudah mula untuk kembali kepada syari’at Islam. Usaha yang perlu dipuji terhadap kempen kekeluargaan Islam termasuk rumahku syurgaku. Dalam bab harta pusaka dan wasiat juga sangat memberangsangkan. Juga dalam sistem ekonomi yang dunia pada hari ini sedang beralih kepada ekonomi Islam atau muamalat yang jauh lebih adil dan tidak menindas. Namun aspek jenayah dan kaedah menanganinya menurut Islam masih belum mendapat tempat dan tiadanya keyakinan daripada masyarakat bahkan umat Islam itu sendiri. Sedangkan firman Allah SWT yang menyebut tentang hukuman bagi sesuatu jenayah adalah daripada sumber yang sama yang juga menyebut tentang kewajipan solat, puasa dan haji. Tetapi mengapakah kita beriman dengan nas kewajipan solat, tetapi tidak dengan nas hukuman jenayah? Apakah undang-undang jenayah yang dicipta oleh manusia lebih adil daripada undang-undang yang ditetapkan oleh Allah Azza wa Jalla?
4. Syari’at Islam lebih awal daripada undang-undang manusia. Ketika manusia mengenal peruntukan undang-undang secara beransur-ansur dengan perkembangan kehidupan mereka sedikit demi sedikit, syari’at Islam pula tidak berkembang begitu. Ia bukan lahir daripada masyarakat dan perkembangannya, kecil dan membesar, tetapi syar’iat Islam datang dalam keadaan sempurna dan matang, kerana ia datang daripada Allah Azza wa Jalla. Sangat menyeluruh, langsung tiada kekurangan dan kecacatan. Undang-undang Islam bukan untuk satu kaum, atau kabilah, atau negara tertentu sebagaimana undang-undang ciptaan manusia, tetapi adalah sebagai rahmat kepada sekalian manusia. Ketetapan yang Allah SWT tetapkan inilah yang disebut secara umum sebagai hudud, tiada sesiapa yang boleh menolak dan mempertikaikannya. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Baqarah ayat 229 bermaksud:
Itulah ketetapan-ketetapan hukum (hudud) Allah maka janganlah kamu melanggarnya. Dan sesiapa yang melanggar ketetapan-ketetapan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
5. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Melaksanakan ketetapan daripada ketetapan-ketetapan (hudud) Allah lebih baik daripada hujan selama empat puluh malam. (Riwayat Ibn Majah)
6. Perkataan hudud bermaksud hukuman yang telah ditetapkan oleh syara’ sama ada hak Allah SWT atau hak manusia. Tujuannya adalah untuk menjaga maslahat kepentingan manusia seluruhnya, guna memastikan hidup mereka sentiasa dalam keadaan aman dan tenteram. Tiada manusia yang ingin hidup dalam keadaan ketakutan dan kebimbangan. Apabila kita takut, kita tidak akan boleh berbuat apa-apa. Bagaimana ingin keluar rumah jika kita takut terhadap nyawa kita? Bagaimana kita dapat pergi bekerja jika kita bimbang terhadap harta dan ahli keluarga kita yang ditinggalkan di rumah? Maka apakah faedahnya kita hidup sebenarnya jika kita tidak merasa aman terhadap kepentingan kita?
7. Undang-undang jenayah Islam ditetapkan dan dicipta oleh Allah SWT. Ia adalah sempurna, adil dan sesuai untuk semua. Ia juga sesuai untuk menangani jenayah yang wujud di semua tempat dan pada sebarang zaman. Salah satu sifatnya adalah tidak ada pindaan dan perubahan. Banyaknya pindaan dan peruntukan undang-undang ciptaan manusia membuktikan ia sudah tidak sesuai dan relevan lagi pada saat ia dipinda. Tidak ada undang-undang ciptaan manusia di dunia ini yang tiada pindaan. Berbeza dengan peruntukan undang-undang jenayah yang Allah SWT tetapkan, ia kekal dan sentiasa sesuai. Sebagaimana ia pernah dilaksanakan pada zaman nabi SAW lebih 1400 tahun yang silam, begitulah ia akan tetap sama pada hari ini. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 64 bermaksud:
Tidak ada sebarang perubahan pada ketentuan Allah.
8. Tentang perkara ini, syeikh Abd al-Qadir ‘Audah berkata:
Adapun syari’at, yang meletakkan asas-asasnya adalah Allah SWT dalam keadaan tetap (kekal) untuk menyusun hal-ehwal orang ramai. Syari’at mempunyai persamaan dengan undang-undang sivil kerana kedua-duanya diwujudkan untuk menyusun orang ramai. Namun syari’at berbeza dengan sivil kerana asasnya adalah tetap, tidak boleh diubah dan dipinda. (Abd al-Qadir ‘Audah, al-Tasyri’ al-Jina’ie)
Mencegah dan menakutkan
9. Allah Azza wa Jalla menetapkan hukuman tertentu bagi kesalahan jenayah tertentu untuk mencegah manusia daripada cuba untuk mendekati atau melakukannya. Ini kerana larangan terhadap sesuatu perbuatan tidak cukup untuk membawa manusia agar menjauhi larangan tersebut. Jika tiada hukuman maka sia-sialah larangan tersebut. Apabila Allah Azza wa Jalla melarang manusia daripada membunuh orang lain tanpa hak maka Allah SWT menyediakan hukuman kepada pembunuh ini. Hatta jika tidak sengajapun tetap ada hukumannya, firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Nisa’ ayat 92 bermaksud:
Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar diat (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya).
10. Undang-undang jenayah ini juga telah dijelaskan lagi oleh nabi SAW dalam banyak hadith. Bagi yang mencederakan anggota badan orang lain, maka wajib membayar pampasan. Nabi membezakan bagi anggota badan yang sepasang dengan anggota badan yang tidak sepasang. Termasuk juga dalam jenayah jika menghilangkan fungsi anggota badan tersebut, contohnya membutakan mata seseorang sedangkan matanya masih kekal, begitu juga menghilangkan manfaat mendengar bagi telinga dengan menyebabkannya pekak. Untuk jenayah mencederakan mata dan menghilangkan fungsinya, penjenayah dikenakan membayar pampasan sebanyak lima puluh ekor unta, manakala bagi sebatang gigi pula hendaklah dibayar lima ekor unta. Bayangkan jika kita mencederakan kesemua gigi seseorang yang jumlahnya bagi seorang dewasa biasanya tiga puluh dua batang. Inilah undang-undang jenayah Islam yang memuliakan keinsanan manusia, semuanya bernilai. Adakah penjenayah yang tidak menghargai nilai kemanuisaan ini akan dilepaskan begitu sahaja?
11. Begitu juga dengan kesalahan-kesalahan jenayah lain, tuduhan qazaf, berzina, minum arak, murtad dan sebagainya, Allah SWT melarang kita melakukannya dan Allah SWT menyediakan hukuman bagi sesiapa yang melanggar larangan ini. Firman Allah SWT tentang larangan dan hukuman mencuri dalam surah al-Maidah ayat 38 bermaksud:
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegahan daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah maha berkuasa, lagi maha bijaksana.
12. Hukuman ini yang mampu mencetuskan ketakutan dan kegerunan. Apabila jiwa dan perasaan sudah takut maka ia mampu mencegah dan menghalang seseorang daripada cuba melakukannya. Oleh itu, jika sesuatu larangan tidak ada hukuman, manusia tetap sahaja akan berani melakukannya. Tidak dinafikan terdapat manusia yang tidak melakukan suatu larangan atau melakukan suatu suruhan semata-mata menjunjung perintah Allah SWT. Mereka tidak lakukan maksiat bukan kerana takut hukuman dan azab. Namun kumpulan ini sangat sedikit jumlahnya. Yang ramai adalah mereka yang hanya meninggalkan suatu larangan kerana takut hukuman berat yang menanti. Allah Azza wa Jalla yang lebih maha mengetahui tentang makhluk yang bernama manusia yang diciptaNya.
13. Memang hukuman yang disyari’atkan oleh Allah SWT memberi kesan buruk kepada penjenayah, iaitu boleh jadi tangannya dipotong dan belakang badannya dirotan, namun ia bertujuan untuk menjaga maslahat kepentingan ramai. Bagi penjenayah ia bukan kebaikan, sedangkan ia pula merupakan kebaikan dan maslahat kepada masyarakat. Sama juga jenayah yang dilakukan adalah kebaikan bagi penjenayah untuk kepentingannya tetapi bagi masyarakat ia bukan kebaikan dan maslahat.
14. Dalam sesuatu perbuatan memang akan bercampur di antara kebaikan dan keburukan, cuma kita di pihak yang mana ketika melihat kebaikan dan keburukan tersebut. Islam mengutamakan maslahat kepentingan ramai. Hukuman yang mengancam lagi menakutkan bagi perbuatan jenayah mampu mencegah manusia daripada melakukan perhitungan yang salah seperti mencuri dengan alasan ia untuk kebaikan ekonominya, sedangkan ia mendatangkan keburukan kepada masyarakat. Maka ia menjadikan diri seseorang bersabar dan menahan dirinya daripada mencuri harta orang lain. Jadi hukuman menjadikan seseorang takut melakukan jenayah, dan memalingkannya daripada mengikut hawa nafsunya. Ini menepati hadith nabi SAW yang bermaksud:
Syurga dikelilingi oleh sesuatu yang menyakitkan, manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara syahwat menyeronokkan. (Riwayat Tirmizi)
15. Hukuman yang mampu mencegah dan menakutkan ini pula, berbeza-beza mengikut kesalahan jenayah yang dilakukan. Hukumannya bukan satu jenis sahaja bagi semua kesalahan. Kesalahan yang ringan hukumannya ringan, dan bagi kesalahan yang berat maka hukumannya lebih berat. Berlainan dengan hukuman sivil, kebanyakan hukumannya adalah penjara walapun kesalahan yang berbeza. Bahkan boleh pula ia diampunkan oleh pemerintah dalam beberapa kes jenayah tertentu. Dalam hukum jenayah Islam, yang melibatkan hak Allah SWT, maka tidak ada ruang pemgampunan terhadapnya.
16. Dalam mencapai objektif menjaga kemaslahatan masyarakat awam agar keharmonian terpelihara dengan hukuman yang mankutkan, terdapat manusia yang tidak berjiwa besar tiba-tiba menjadi pembela kepada penjenayah. Golongan ini menjadi kasihan kepada penjanayah dan menganggap hukuman jenayah Islam sangat zalim dan tidak berperikemanusiaan. Mereka juga menuduh undang-undang ini tidak adil dan tidak bertamadun. Dr. Wahbah al-Zuhaili menolak tuduhan ini menyatakan:
Mereka memfokuskan pandangan mereka kepada beratnya hukuman, sedangkan mereka melupakan kejamnya jenayah dan kesan buruknya kepada masyarakat. Mereka menangis ke atas satu tangan pesalah yang dipotong, sedangkan mereka tidak menghiraukan berleluasanya jenayah curi. Berapa banyak jenayah yang telah berlaku dalam kes curi, berapa banyak pertumpahan darah dan pencabulan hak manusia yang tidak bersalah dengan sebab curi, dan berapa banyak harta yang telah dirompak, barang yang dilarikan, manusia yang merempat kerana harta dan rezeki mereka menjadi sasaran pencuri? Semua ini langsung tidak penting bagi mereka yang kasihan ke atas tangan yang dipotong yang jumlahnya sedikit untuk menjaga kemanan dan ketenteraman semua. (Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu)
17. Kesimpulannya, undang-undang jenayah Islam adalah sebahagian daripada syari’at yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk manusia. Ketenteraman dan keamanan hakiki hanya tercapai jika penjenayah tidak wujud dalam masyarakat. Namun, mereka akan terus wujud dan bermaharajalela dengan hukuman yang tidak mencegah dan langsung tidak menakutkan.
Anhar Opir
20 Zul-Hijjah 1432H
Sweileh, Amman
by anhar
1. Setiap daripada kita ingin agar segala amalan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT. Bagi yang menunaikan fardhu haji, mereka ingin hajinya adalah haji mabrur dan diterima oleh Allah SWT. Bagi yang melakukan ibadah korban juga baru-baru ini mengharapkan agar korban dan pengorbanannya diterima oleh Allah SWT. Amalan dan ibadah harian yang kita lakukan saban hari, sudah pasti kita ingin agar Allah SWT menerimanya. Tiada gunanya amalan jika tidak diterima olehNya. Kerana amal ibadah kita memang semata-mata untukNya.
gambar hiasan
2. Kita disuruh untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah Azza wa Jalla. Kita juga disuruh untuk memastikan ibadah dan amalan yang kita kerjakan adalah dalam bentuk yang paling sempurna, iaitu cukup rukun dan syarat-syaratnya. Pada waktu ini, baharulah kita boleh mengharapkan segala amalan kita diterima. Fudhail bin ‘Iyadh (187H) pernah menyatakan bahawa Allah SWT tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan yang paling ikhlas dan tepat. Adapun yang paling ikhlas adalah yang dilakukan semata-mata kerana Allah, manakala yang paling tepat adalah yang menepati sunnah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 27 bermaksud:
Sesungguhnya yang Allah terima hanyalah daripada orang-orang yang bertakwa.
3. Taqwa menjadi syarat penerimaan sesuatu amalan. Tanpa taqwa amalan kita tidak akan diterima oleh Allah SWT. Al-Razi (606H) di dalam tafsirnya menyebut tentang ayat ini:
Sesungguhnya wujudnya taqwa merupakan syarat dalam penerimaan amalan. (Fakhruddin al-Razi, al-Tafsir al-Kabir)
4. Cuma kita tidak tahu secara pasti adakah amalan dan ibadah kita diterima oleh Allah SWT atau tidak? Ia bukan seperti berurusan dengan mana-mana kaunter serahan borang atau dokumen yang kita akan tahu ia telah diterima dengan cop yang jelas tertulis ‘received’. Bukan juga seperti membuat pembayaran bil yang kita akan dapat resit pembayaran sebagai bukti ia telah diterima. Walaupun demikian kita tetap akan merasa hampa jika segala dokumen dan pembayaran kita ditolak dengan cop yang tertulis ‘refused and rejected’ kerana tidak lengkap atau tidak cukup syarat. Biasanya kita terus akan bertanya untuk mendapatkan kepastian dan dengan segera mengambil langkah pembetulan serta merta. Ini tindakan kita dalam urusan sesama manusia, bagaimana pula dengan amal ibadah kita, adakah sepantas dan secepat itu tindakan kita untuk memastikan ia diterima oleh Allah SWT?, Sedangkan tiada sebarang ‘cop’ atau ‘resit’ yang kita dapat sebagai bukti penerimaan.
5. Namun demikian, kita tetap boleh mengetahui amalan kita diterima oleh Allah Azza wa Jalla dengan beberapa tanda. Jika tanda-tanda ini wujud ia menandakan yang amalan dan ibadah kita diterima olehNya, maka bergembiralah seseorang hamba dengannya. Di antaranya sebagaimana yang disebut oleh sebahagian para ulama’:
Ketaatan bertambah
6. Di antara tanda-tanda amalan diterima ialah ketaatan dan amalan kebajikannya semakin bertambah. Tidak cukup dengan ibadah yang lama, tetapi terus melakukan ibadah dan sentiasa dalam ketaatan. Hasan al-Basri (110H) menyatakan:
Sesungguhnya di antara balasan kebaikan adalah kebaikan selepasnya, dan di antara balasan kejahatan adalah kejahatan selepasnya. Apabila Allah menerima hambaNya, maka Dia akan memandunya kepada ketaatan dan menjauhkannya daripada maksiat.
Berterusan dalam taat
7. Jika kita sentiasa dan berterusan melakukan ketaatan kepada Allah SWT, maka hasilnya cukup besar dan menguntungkan. Ibn Kathir (774H) berkata:
Allah SWT dengan kemurahanNya akan menjadikan bagi sesiapa yang biasa hidup dengan sesuatu perkara maka dia akan mati dalam perkara tersebut, dan sesiapa yang mati dalam suatu keadaan maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan tersebut pada hari kiamat. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur'an al-'Azim)
8. Oleh itu, bagi yang berterusan dalam keadaan taat kepada Allah SWT, maka Allah SWT enggan untuk menjadikan matinya dalam maksiat. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa terdapat seorang lelaki yang menunaikan ibadah haji bersama dengan nabi SAW, lalu terjatuh daripada untanya ketika wukuf di Arafah dan meninggal dunia. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Kafankanlah dengan kedua-dua pakaiannya (kain ihram), jangan gunakan wangian dan jangan kamu tutup kepalanya, sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan bertalbiah. (Riwayat al-Bukhari)
Tidak mengulangi dosa
9. Jika seseorang benci kepada dosa dan tidak mahu mengulanginya, maka ia merupakan tanda amalannya diterima. Apabila mengenang dosa-dosanya hatinya akan merasa sedih dan menyesal. Perasaannya menjadi tidak menentu mengingatkan azab Allah Azza wa Jalla yang sangat pedih. Jiwanya merintih memohon rahmat dan keampunan daripada Rabb al-Izzah. Berazam dan berjanji untuk tidak melakukannya buat kali yang kedua. Ibn al-Qaiyyim (751H) menyatakan:
Adapun jika seseorang mengingat dosa-dosanya tetapi tetap bergembira dan masih berseronok maka tidak diterima (amalannya) walaupun dia menantinya selama empat puluh tahun. (Ibn al-Qaiyim, Madarij al-Salikin)
10. Maka kita perlu memastikan yang zahir kita selari dengan yang batin. Jangan sampai lidahnya mefazakan istighfar tetapi hatinya masih keras tidak insaf, dan anggota badannya pula tetap kekal melakukan dosa dan maksiat. Keazaman untuk tidak kembali melakukan maksiat perlu direalisasikan oleh tindakan. Jika masih mengulangi dosa dan maksiat, ertinya keazamannya kosong dan bohong. Maka pada waktu ini, amal ibadahnya belum tentu diterima oleh Allah SWT.
Hati yang bersih
11. Di antara tanda-tanda amalan diterima juga ialah hati yang bersih daripada sebarang penyakit dan suci daripada sebarang kekotoran. Hati dan jiwa ini kembali kepada kecintaan kepada Allah Azza wa Jalla yang melebihkan keredhaanNya daripada keredhaan selain daripadaNya. Selepas itu kecintaan kepada nabi SAW dengan melakukan segala sunnahnya. Kemudian baharulah kepada makhluk daripada keluarga, harta, tempat tinggal dan perniagaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 24 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
12. Jika dia mengasihi sesama hamba Allah maka kasihnya adalah kerana Allah SWT. Seterusnya akan meninggalkan segala bentuk hasad dengki. Yakin dan percaya bahawa segala-galanya adalah milik Allah, lantas hatinya menjadi tenang dan redha terhadap segala ketentuan qadha’ dan qadarNya.
13. Kesimpulannya, memastikan setiap amalan dan ibadah kita diterima oleh Allah SWT adalah sangat penting. Pastikan kita tidak melakukan suatu amalan sambil lewa, sebaliknya hendaklah memerhatikan tanda-tanda penerimaan amal agar kita tidak menyesal kemudian.
Anhar Opir
18 Zul-Hijjah 1432H
Sweileh, Amman
No comments:
Post a Comment