CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Wednesday, 16 April 2014

29 Mei 1453M..Sultan Muhammad Al Fatih MENAWAN Kota ISTANBUL




Link Video di bawah ini...Sultan Muhammad Al Fatih





https://www.youtube.com/watch?v=bgFiStHTg48

Sebelum kita bercita-cita menjadi pengikut atau tentera al-Mahdi, kita lihat dulu tentang kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih yang berjaya menawan kota Constantinople. apakah kita mempunyai sifat-sifat tentera al-Fatih? Dimana pengikut al-Mahdi nanti pasti mempunyai amalan yang tidak kurang dari amalan tentera al-Fatih.


Ini merupakan kandungan khutbah dari sebuah masjid di Shah Alam..


السلام عليكم


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …


Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Khalifah Umar al Khattab pernah mengibaratkan taqwa seperti seseorang yang berjalan di atas jalan yang berduri. Seseorang itu akan berhati-hati untuk mengatur setiap langkah agar tidak terpijak duri. 

Begitulah juga kita sepatutnya berhati-hati dalam mengatur aktiviti seharian hidup kita agar kita sentiasa mengerjakan amal soleh dan tidak melakukan perkara-perkara maksiat. Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau menurun. Sayidina Umar al Khattab sentiasa berpesan kepada tenteranya yang keluar berjihad “ aku mengingatkan kamu dan orang-orang bersama kamu supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah dalam setiap keadaan. Takut kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan dalam menghadapi musuh dan strategi terhebat dalam peperangan.”

Sidang jumat yang di rahmati Allah swt

Sekiranya kita menyusuri sejarah kegemilangan Islam kita akan dapati ramai raja-raja yang soleh dan berjiwa rakyat seperti al Najashi di Ethopia, Khalifah Umar Abdul Aziz, Salahuddin al Ayyubi, Sultan Murad II di Turki, Aurangzeb di India dan juga beberapa sultan di alam Nusantara. Namun, sejarah juga memaparkan golongan bangsawan yang bersultan di mata, bertuhan di hati seperti Firaun, Namrud dan raja-raja pada abad ke-20 seperti Raja Farouk di Mesir dan Shah Iran di Iran.

Pada zaman kegemilangan Islam, raja-raja sering di dampingi oleh ulama-ulama yang ikhlas. Ulama-ulama sering memberi peringatan, nasihat dan amaran kepada raja-raja untuk melaksanakan suruhan Allah swt. Salah seorang raja yang sentiasa mendampingi ulama dan sering mendapatkan pandangan ulama ialah Sultan Muhammmad al Fatih, sultan yang ke-7 dalam pemerintahan khalifah Uthmaniyyah. Sultan Muhammad al Fatih juga adalah pembuka kota Constantinople atau pun Istanbul. Pembukaan kota Constantinople membenarkan sabda Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud:

“ Constantinople pasti akan ditawan. Sebaik-baik pemerintah adalah pemerintah penaklukan tersebut dan sebaik-baik tentera adalah tentera tersebut. (Riwayat Ahmad)

Hadis yang di ucapkan oleh Rasulullah saw ketika sedang menggali parit dalam peperangan Khandak ini telah menimbulkan keinginan dan keghairahan para khalifah dan pemimpin Islam sebelum Muhammad al Fatih lagi. Mereka telah berusaha dan berjuang untuk menawan kota Constantinople. Usaha pertama telah di lancarkan pada 44Hijrah iaitu di zaman Mu’awiyah. Tetapi usaha tersebut di bawah pimpinan Yazid bin Mu’awiyah menemui kegagalan. 

Seorang sahabat nabi yang bernama Abu Ayub al Ansari telah menyertai pasukan Yazid, walaupun usianya sudah menjangkau 80 tahun kerana ingin berada di dalam pasukan tentera yang terbaik. Beliau syahid di dalam peperangan dan berwasiat agar jasadnya di kuburkan di bawah kubu-kubu Constantinople. Apabila ditanya kenapa beliau ingin di kuburkan di situ maka beliau menjawab ”kerana aku ingin mendengar hentakan tapak-tapak kaki kuda dari pasukan tentera yang terbaik semasa mereka membebaskan Constantinople.” 

Beberapa kempen lagi untuk menawan Constantinople di zaman Umayyah menemui kegagalan. Di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyah, beberapa usaha di teruskan tetapi masih menemui kegagalan termasuk usaha di zaman Khalifah Harun ar Rashid. Ramai lagi raja-raja dan pemimpin Islam berlumba-lumba untuk menawan kota Constantinople untuk menjadi sebahagian daripada tentera terbaik. Tetapi kira-kira 800 tahun kemudian pada 1453M, Muhammad al Fatih telah membenarkan dan merealisasikan hadis Rasulullah tersebut.

Sidang jumaat yang di rahmati Allah

Apakah kehebatan Sultan Muhammad al Fatih dan tentera-tenteranya sehingga dirujuk sebagai sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera oleh Rasulullah saw? Apakah ciri-ciri dan sifat-sifat istimewa yang ada pada Muhammad al Fatih? Mengapa kejayaan ditakdirkan berlaku di tangan Muhammad al Fatih walaupun sudah ada percubaan yang pernah dilakukan oleh para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin? Kemunculan Muhammad al Fatih dan kejayaan menawan kota Constantinople bukan satu kebetulan. Ia di rancang dan di programkan oleh pemimpin sebelumnya lagi.

Sultan Murad II, iaitu ayah kepada Muhammad al Fatih sangat menitikberatkan didikan agama terhadap anaknya. Ayahnya telah memanggil beberapa ulama terkenal di zamannya seperti Sheikh Shamsuddin al Wali dan Sheikh Ahmad Ismail al Kurani untuk mentarbiyyah anaknya. Muhammad al Fatih telah ditarbiyyah dengan jiwa jihad dan sifat tawaduk sejak kecil lagi. Ayahnya begitu perihatin dalam pembentukan keperibadian Muhammad al Fatih sehinggakan beliau memilih sendiri gadis yang hendak dijodohkan dengan anaknya. Beliau sedar bahawa seorang pemimpin yang baik mesti mempunyai isteri yang baik juga.

Di samping ilmu agama, Muhammad al Fatih juga di ajar ilmu peperangan, pentadbiran dan pemerintahan. Beberapa kali beliau diberi latihan praktikal dengan memangku jawatan ayahnya walaupun di usia yang masih muda. Muhammad al Fatih juga mampu menguasai tujuh bahasa iaitu Turki, Arab, Greek, Latin, Serbia, Parsi dan Hebrew. Dengan menguasai tujuh bahasa, Muhammad al Fatih mampu mengkaji dengan lebih teliti kelemahan-kelemahan musuh-musuhnya dan dapat berkomunikasi dengan baik dengan bangsa-bangsa tersebut.

Muhammad al Fatih sangat menjaga diri dan pegawai-pegawainya daripada melanggar hukum Allah. Oleh sebab itu, pegawai-pegawai, pentadbir dan panglima-panglima tentera beliau terdiri daripada orang-orang-orang yang mematuhi syariat. Sultan Muhammad al Fatih pernah berpesan bahawa ulama adalah nadi kekuatan yang harus ada dalam negara, maka hormatilah mereka. Jadi tidak hairanlah sekiranya Muhammad al Fatih di kelilingi oleh para ulama yang sentiasa menasihati beliau tentang permasalahan negara.

Sultan Muhammad al Fatih bukan sahaja menjaga amalan-amalan yang wajib, tetapi konsisten dalam melakukan amalan-amalan yang sunat. Peristiwa pemilihan imam solat jumaat pada hari jumaat pertama selepas kota Constantinople ditawan mendedahkan sesuatu yang menarik. Muhammad al Fatih dan tenteranya masuk ke Hagia Sophia, sebuah gereja yang ditukar menjadi masjid untuk mendirikan solat jumaat. Pada mulanya, Sultan Muhammad al Fatih mencadangkan gurunya; Sheikh Shamsuddin sebagai imam. Namun, gurunya menolak cadangan tersebut. Untuk mencari siapa yang layak, baginda telah memerintahkan seluruh pegawai dan tenteranya berdiri.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu sejak baligh walaupun sekali, sila duduk” kata Sultan Muhammad al Fatih. Tiada seorang pun yang duduk.

“Siapa antara kita yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib sejak baligh walaupun sekali, sila duduk” Ada sebahagian daripada tentera yang duduk.

“Siapa di antara kita yang pernah meninggalkan solat sunnat tahajud sejak baligh walaupun satu malam, sila duduk” Kini, semua tentera duduk kecuali Sultan Muhammad al Fatih. Inilah peristiwa yang berlaku ketika pemilihan imam untuk solat jumaat yang pertama di masjid Hagia Sophia. Peristiwa ini menunjukkan betapa istiqamahnya Sultan Muhammad al Fatih dalam beribadat kepada Allah swt dan terserlah bahawa baginda sendiri adalah orang yang paling layak menjadi imam.

Sidang jumaat yang di rahmati Allah

Sultan Muhammad al Fatih dan tenteranya menjadi raja dan tentera yang baik bukan kerana ketaqwaan mereka sahaja. Mereka juga mempunyai kekuatan, kebijaksanaan dan keberanian. Untuk menembusi pertahanan kota Constantinople yang kebal di segenap penjuru perancangan yang rapi dan strategi serangan yang kreatif sangat diperlukan sesuai dengan firman Allah swt.


وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّ‌بَاطِ الْخَيْلِ تُرْ‌هِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّـهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِ‌ينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّـهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠


“Dan bersiap sedialah kamu dengan kekuatan dari tentera berkuda untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” ( al Anfal:60)

Selepas menaiki takhta, Muhammad al Fatih mengkaji pelan kota Constantinople untuk mengenal pasti kelemahannya. Bentuk muka bumi, keadaan topografi, musim dan cuaca diambil kira dalam menentukan permulaan serangan dan kepungan. Beliau juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang strategi yang sesuai untuk diguna pakai. 

Beliau melantik jurutera yang terbaik untuk membina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak peluru seberat 300kg melebihi 1km. Sayidina Ali pernah berpesan bahawa “kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.” Mengambil iktibar dari pesanan ini, Muhammad al Fatih melakukan beberapa langkah strategik lagi dalam persediaan untuk menawan Constantinople.

Sultan Muhammad al Fatih mengambil langkah memencilkan kerajaan Rom Byzantin dengan mengikat perjanjian-perjanjian damai dengan kerajaan-kerajaan di sekitar wilayahnya seperti Serbia dan Hungary. Benteng-benteng pertahanan di bina di tempat-tempat yang strategik untuk mengawal laluan kapal di Selat Bosphorus sekaligus mengawal bantuan dari luar untuk kerajaan Byzantin. Langkah ini memberi kesan yang lebih ke atas kepungan yang akan dilancarkan kemudian.

Pada 6 April 1453 Sultan Muhammad al Fatih mengetuai pasukan tentera yang terlatih seramai 250,000 orang untuk mengepung kota Constantinople. Tentera ini terdiri dari orang-orang yang soleh, sangat menjaga solat mereka, berani dan bersedia untuk syahid. Muhammad al Fatih juga membawa bersama tenteranya para ulama untuk memotivasikan barisan tenteranya dengan ayat-ayat al Quran dan hadith-hadith Rasulullah yang menceritakan tentang kemuliaan orang-orang yang gugur di jalan Allah. Setelah segala persiapan siap diatur, Sultan Muhammad al Fatih menghantar utusan kepada Raja Rom Byzantin meminta beliau menyerah kalah. Keengganan Raja Rom mengakibatkan kota Constantinople dikepung dan serangan dimulakan.

Pope di Rom menghantar bantuan lima buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi oleh tentera Rom untuk menghalang kemaraan kapal-kapal tentera Muhammad al Fatih. Kapal-kapal Muhammad al Fatih tidak dapat meneruskan perjalanan menuju ke bahagian belakang benteng pertahanan kota Constantinople. Mereka di serang dengan hebat dan terpaksa berpatah balik.

Sultan Muhammad al Fatih diberikan ilham yang luar biasa oleh Allah swt untuk mengatasi halangan rantai besi ini. Muhammad al Fatih mendapat idea untuk memindahkan kapal-kapal perangnya melalui jalan darat. Beliau telah memanggil tenteranya dan mengarahkan mereka membawa kapal-kapal merentasi bukit pada waktu malam dan dilucurkan ke perairan di belakang kubu pertahanan kota Constantinople. 

Pada malam tersebut penduduk Constantinople dikejutkan dengan gema takbir dan nasyid serta lagu-lagu iman yang bersahutan dari tentera Muhammad al Fatih. Dengan semangat dan kekuatan yang luar biasa tentera Muhammad al Fatih berjaya mengangkut 70 buah kapal merentasi bukit sejauh 5km dalam satu malam sahaja. Apa yang berlaku ini menunjukkan kebijaksanaan sultan, kesungguhan dan kegigihan tentera-tenteranya, dan juga kehebatan mutu kejuruteraan kerajaan Uthmani. 

Kejayaan ini adalah kejayaan yang hebat dan di luar bayangan manusia hingga ke hari ini. Semuanya ini adalah anugerah daripada Allah swt kepada hambanya yang bertakwa, yang mengharapkan pertolongan Allah semata-mata setelah segala perancangan, usaha dan tenaga di gembeling dan di curahkan.

Setelah pertempuran berlarutan selama 53hari, pada 29Mei 1453M kota Constantinople jatuh ke tangan orang Islam. Di atas kemenangan dan kejayaan menawan kota Constantinople inilah Sultan Muhammad di beri gelaran al Fatih yang membawa maksud pemenang atau pembuka yang berjaya membebaskan Constantinople dari pemerintahan Rom. Constantinople dijadikan ibukota yang baru Empayar Uthmani. Beliau telah menukar nama Constantinople kepada Islam Bol (atau Istanbul sekarang ini) yang bermaksud kota Islam.

Sultan Muhammad al Fatih mencapai kemenangan bukan kerana kepandaian dan kepintaran sahaja. Beliau dikurniakan kemenangan apabila tenteranya berjaya meninggalkan dosa-dosa. Beliau dan tenteranya berjaya memenuhi syarat-syarat untuk mendapat pertolongan dari Allah swt. Allah swt berjanji akan memberi pertolongan kepada manusia yang bersungguh-sungguh dan beristiqamah menegakkan syariat Allah. Allah berfirman di dalam surah al Haj ayat 40:


الَّذِينَ أُخْرِ‌جُوا مِن دِيَارِ‌هِم بِغَيْرِ‌ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَ‌بُّنَا اللَّـهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّـهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ‌ فِيهَا اسْمُ اللَّـهِ كَثِيرً‌ا ۗ وَلَيَنصُرَ‌نَّ اللَّـهُ مَن يَنصُرُ‌هُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠


Iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman mereka dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata “ Tuhan kami ialah Allah.” Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja, dan tempat-tempat ibadat dan juga masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa.

Sidang jumaat yang di rahmati Allah swt

Inilah dia tokoh yang seharusnya menjadi idola kepada anak muda zaman sekarang kerana Muhammad al Fatih baru berusia 25tahun ketika beliau mengetuai tentera untuk menawan Constantinople. Inilah dia tokoh yang sepatutnya berada di dalam silibus pendidikan sejarah di sekolah-sekolah di negara kita.

Sejarah telah memberitahu kita bahawa Salahuddin al Ayyubi telah membebaskan Baitul Maqdis dari tentera Kristian Rom pada 27 Rejab 1187H dan beliau berbangsa Kurdis. Muhammad al Fatih telah membebaskan kota Constantinople dari tentera Kristian Rom pada 29 Mei 1453M dan beliau berbangsa Turki.

Tidak mustahil pada suatu hari nanti seorang pemimpin dari kalangan bangsa Melayu Islam yang akan membebaskan Palestin untuk kali ketiga. Peristiwa ini akan menjadi kenyataan sekiranya bangsa Melayu Islam mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang sama dengan tentera Muhammad al Fatih ataupun tentera Salahuddin. 

Tentera Melayu Islam yang beriman dan bertaqwa yang mendaulatkan al Quran dan sunnah di dalam kehidupan dan perjuangan mereka semata-mata untuk mencari keredhaan Allah swt. Salahuddin al Ayyubi menyatukan bangsa-bangsa dan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari Mesir, Iraq hingga ke negeri-negeri di Syam di bawah payung Islam sebelum memulakan langkah untuk pembebasan Baitul Maqdis. 

Muhammad al Fatih mengemaskini pentadbiran dalam negeri, menyelesaikan masalah dalaman, memeterai perjanjian dengan negara-negara sekitar sebelum melancarkan serangan ke atas Constantinople. Untuk mengikuti jejak langkah mereka, bangsa Melayu Islam harus bersatu dan menyelesaikan masalah dalaman di negeri-negeri di Nusantara serta menjadi bangsa yang di segani sebelum bercita-cita melangkah ke peringkat antarabangsa. 

Kita mesti kembalikan izzah dan jatidiri bangsa Melayu dengan kembali kepada ajaran Islam sepenuhnya. Kita perlu ingat bahawa satu masa dahulu iaitu di waktu pemerintahan kesultanan Melayu Melaka bangsa Melayu adalah satu bangsa yang di segani dan dihormati oleh bangsa Eropah di Barat dan Cina di Timor. Dan tidak menjadi mustahil sejarah akan berulang kembali.


1 comment:

  1. Al ham dulilllah smoga jadi inspirasi muslim nusantara yang tercerai berai

    ReplyDelete