CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Monday, 31 October 2011

Profesor Yang Berusia 19 Tahun



Profesor Yang Berusia 19 Tahunhttp://www.malaysiasensasi.net/2011/10/profesor


Alia Sabur masih muda, hanya berumur 19 tahun. Namun namanya mengejutkan dikalangan golongan cerdik pandai setelah dinobatkan sebagai profesor termuda oleh Guinness World Record. Dia kini menjadi profesor di Konkuk University Korea Selatan. Lahir pada 22 Februari 1989, Alia menjalani waktu belajarnya dalam waktu yang amat singkat. Dari kelas IV sekolah menengah, gadis ini terus diterima masuk ke universiti dan lulus BA dengan kepujian Sum Cum Laude dari Universiti Stony Brook di New York ketika usianya baru menginjak 14 tahun.

Dia melanjutkan pendidikan di Universiti Drexel. Di universiti itu dia mendapatkan anugerah master of science dan PhD. Tiga hari menjelang ulang tahunnya yang ke-19, dia secara rasmi menjadi profesor di Universiti Konkuk, Seoul, Korea Selatan. Buku Rekod Dunia Guinness menobatkannya sebagai profesor termuda dalam sejarah. Dia berjaya menumbangkan rekod sebelumnya yang dicatat oleh Colin MacLaurin, mahasiswa Isaac Newton pada tahun 1717.

Masa depan cemerlang terbentang luas di hadapan remaja Northport, New York itu. Tetapi dia telah memilih untuk mengajar. “Saya sangat selesa untuk mengajar. Kerana di bidang itulah kita boleh melihat perbezaan. Dengan mengajar, kita tidak cuma menunjukkan yang boleh lakukan tetapi juga melihat kemampuan orang lain untuk membuat perbezaan,” katanya.

Alia tidak cuma cemerlang di bidang akademik. Dia sudah tampil memainkan klarinet bersama Rockland Symphony Orchestra pada usia 11 tahun. Di bidang muzik ini, dia sudah mendapat berbagai penghargaan. Seni bela diri juga dikuasainya dengan menyandang tali pinggang hitam dalam seni bela diri Tae Kwon Do.

Sunday, 30 October 2011

KEHIDUPAN MAKKAH DALAM KHABAR HAJI


VIDEO BLOGGER KEHIDUPAN MAKKAH DALAM KHABAR HAJI ASTRO OASIS

Ummiross dan Mr Hubby selalu berkunjung ke blognya, melihat suasana di Mekah dari semasa ke semasa. Ramai peminat blog ni, maklumlah, dapat melihat gambar2 di sekitar Masjidil Haram dan corat-coret kehidupan di Mekah dapat mengubat kerinduan terhadap Tanah Suci Mekah.

Malam ni rakan blogger, Tuan Haji Arshad, tuan punya blog KEHIDUPAN MAKKAH muncul dalam Rancangan Khabar Haji 2011 terbitan Astro Oasis. Tumpang bangga dan seronok sangat dengan kejayaan dan pencapaian anak Malaysia  ni, yang berjaya dalam banyak bidang perniagaan, salah satunya mengusahakan hotel Manazel Al-Waleed di Kota Mekah. So kalau ada sesiapa yang berminat nak menginap di sana bolehlah contact Tuan Haji Arshad nanti ye. Tahniah THA, nak minta kerja dengan tuan haji boleh?, kami nak tinggal di Mekah jugaklah,hehe..

Saturday, 29 October 2011

Kanser Usus dan Dubur


Kanser Usus dan Dubur



Pengenalan

Usus besar terdiri dari kolon dan rektum yang memainkan peranan penting dalam proses pembuangan najis. 5 hingga 6 kaki pertama dan dubur terdiri dari usus besar adalah kolon dan rectum 6 inci panjang yang berakhir di dubur. Kanser kolon dan rektum adalah salah satu satu daripada kanser yang kerap berlaku di dunia. Di Malaysia Barat pada tahun 2002, ia merupakan kanser tertinggi di kalangan lelaki dan ketiga di kalangan wanita. Bangsa Cina mencatatkan bilangan tertinggi pesakit kanser kolon dan rektum. Kanser kolon dan rectum biasanya bermula dengan polip (unjuran berbentuk jejari) dan berubah kepada kanser. Pengesanan awal amat penting bagi membolehkan pembuangan polip dengan segera

Faktor Risiko

Penyebab kanser kolon dan rektum tidak diketahui. Faktor mendorong kepada kanser kolon dan rektum :
  • Usia: lebih 90% kes di Malaysia berlaku pada usia lebih 40 tahun.
  • Polip: polip jenis adenoma boleh menyebabkan kanser 
  • Penyakit radangan usus : seperti "ulcerative colitis"(luka dan radangan pada usus) dan "Crohn's disease" (radangan pada usus,usus menebal dan luka) membentuk radangan yang berpanjangan. 
  • Sejarah kanser: wanita yang mendapat kanser ovari, rahim atau payudara berkemungkinan mendapat kanser kolon dan rektum. 
  • Sejarah keluarga kanser: ahli keluarga mendapat kanser kolon dan rektum, terutama sekali bila kanser didapati pada usia sebelum 60 tahun. 
  • Pemakanan: makanan tinggi lemak dan kurang serat. 
  • Merokok: kajian menunjukan perokok lebih ramai mati akibat kanser kolon dan rektum berbanding dengan individu yang tidak merokok. 
  • Ubat penahan sakit bukan steroid: contoh aspirin boleh kurangkan risiko pembentukan kanser kolon dan rektum hasil dari sesetengah kajian. 
  • Permakanan dan ubatan: makanan kaya dengan buah-buahan, sayuran dan kurang daging merah mungkin mengurangkan risiko kanser usus dan dubur. Sesetengah kajian mendapati pengambilan ubatan folic acid dan kalcium boleh mengurangkan risiko kanser kolon dan rektum. 
  • Berat badan dan aktiviti fizikal: individu dengan cara hidup yang tidak aktif dan individu lebih berat badan atau obesiti meningkatkan risiko kanser kolon dan rektum. 

Gejala

Berikut adalah gejala kanser kolon dan rektum. Jika anda mendapat gejala berikut, sila berjumpa doktor untuk pengesahan.
  • Abdomen tidak selesa, termasuk kerap kembung, sebu dan kejang.
  • Turun berat badan tanpa sebab
  • Kerap penat atau letih lesu 
  • Perubahan habitat pembuangan najis.
  • Cirit birit, sembelit atau perasaan usus tidak dapat dikosongkan sepenuhnya.
  • Najis berwarna merah atau terlalu gelap dalam najis.
  • Najis kelihatan bersaiz kecil atau leper dari biasa.

Diagnosa

Ada beberapa ujian yang perlu dilakukan untuk membuat diagnosa kanser kolon dan rectum dan untuk mengesan samada berlaku perebakan ke organ lain dan untuk mengambil keputusan cara rawatan yang baik.

Sigmoidoskopi/ kolonoskopi

Tiub dimasukkan untuk melihat polip/ketumbuhan di dalam kolon dan rektum. Jika ada polip akan dibuang.

Biopsi

Pengambilan sedikit tisu di usus untuk pemeriksaan di bawah mikroskop, diambil semasa kolonoskopi atau semasa pembedahan.Ujian darah
Kesan kurang darah akibat kerap berlaku perdarahan ke dalam usus yang boleh menyebabkan penyakit kurang darah.
Ujian imejan
  • CT scan - kesan perebakan kanser ke paru paru, hati dan organ lain.
  • Ultrasound - prosedur menggunakan gelombang bunyi untuk hasilkan imej jika kanser telah merebak kehati, atau organ lain.
  • X-ray - untuk kesan perebakan ke paru paru.
Tahap kanser adalah cara menerangkan tentang situasi kanser contoh lokasi, perebakan dan adakah ia melibatkan fungsi organ lain. Dengan mengetahui tahap, ia memberi panduan kepada doktor untuk menentukan rawatan dan meramalkan peluang untuk sembuh.
  • Tahap I : Kanser terletak di lapisan dalam usus atau dubur
  • Tahap II: Kanser merebak melalui dinding usus atau dubur
  • Tahap III : Kanser merebak ke nodus limfa berhampiran
  • Tahap IV : Kanser merebak ke bahagian badan yang jauh seperti hati dan paru paru.

    Rawatan

    Rawatan bergantung kepada lokasi tertentu
  • Pembedahan 

    Rawatan yang kerap dilakukan. sebahagian dari kolon dan rektum yang sihat dan nodus limfa juga akan dibuang. Sebahagian kecil pesakit perlu kolostomi (sebahagian usus dibawa keluar untuk pengeluaran najis) samada sementara atau pun kekal. Kesan sampingan pembedahan adalah rasa sakit, sakit bila disentuh pada kawasan pembedahan, sembelit atau cirit birit tetapi buat sementara waktu sahaja. Individu yang menerima kolostomi mungkin akan alami radangan sekeliling stoma.
  • Terapi radiasi
Guna tenaga radiasi yang tinggi untuk membunuh sel kanser. Mungkin digunakan sebelum pembedahan untuk kecutkan ketumbuhan supaya senang dibuang atau selepas pembedahan untuk musnahkan sel yang tertinggal. Kesan sampingan - letih lesu, ganguan pada kulit dan kerosakan pada kulit tempat rawatan diberikan, hilang selera makan, loya dan cirit birit dan ia juga menyebabkan perdarahan di dalam najis atau penyumbatan usus.

  • Terapi kimo
Gunakan ubat untuk bunuh sel kanser selepas pembedahan untuk buang sel yang tertinggal. Kesan sampingan - loya, muntah, cirit birit atau rekahan di mulut.

Jemaah Haji Mekah 2011


Saturday, 29 October 2011http://manzlie-makkah.blogspot.com/

" Ahlan WaaShahLan...."

Jemaah dari Bangladesh....
Jemaah dari negara Turki...
Jemaah dari negara Indonesia...
Jemaah yang paling di senangi oleh Kerajaan Saudi..Jemaah dari Negara Malaysia...


Bertaqlid Dengan Mazhab Maliki Dalam Perkara Wudhu Ketika Mengerjakan Tawaf

Soalan:
Bagaimanakah cara berwudhu yang sebaik-baiknya sewaktu melakukan tawaf haji atau umrah bagi mengelakkan berulang-ulang mengambil wudhu kerana keadaan sekeliling Ka’bah yang sentiasa bersesak-sesak dan ramai? Adakah sebarang rukhshah mengenainya atau dibolehkan bertaqlid kepada mazhab lain?

Jawapan:

الحمد لله حمدا يوافى نعمه ويكافئ مزيده ، يا ربنا لك الحمد كما ينبغى لجلال وجهك وعظيم سلطانك ، اللهم صل وسلم على سيدنا ومولانا محمد وعلى آل سيدنا محمد صلاة تحيينا بها حياة طيبة ترضاها وتجعلنا بها هداة مهديين غير ضآلين ولا مضلين، وبعد

Masalah batal wudhu ketika tawaf kerana tersentuh kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah isu yang sering kali ditimbulkan oleh para jemah haji atau umrah. Perkara ini menjadi rungutan sebilangan jemaah khususnya lelaki terutama pada musim haji atau pada bulan ramadhan kerana ia sangat sukar dielakkan.

Mengikut al-qaul al-azhar dalam mazhab asy-Syafi’e bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram merupakan antara perkara-perkara yang membatalkan wudhu kedua-dua pihak sama ada yang disentuh atau yang menyentuh. Maka sebagai langkah ke arah itu orang yang tawaf hendaklah berusaha supaya tidak menyentuh orang yang boleh membatalkan wudhu, kerana menurut al-qaul al-muqabil li al-azhar wudhu orang yang menyentuh sahaja yang batal sementara orang yang disentuh itu tidak batal wudhunya.

Maka dalam permasalahan tawaf yang menyebabkan kesulitan kepada para jemaah untuk mengambil wudhu kerana kepadatan yang amat sangat di kawasan tawaf itu, maka bolehlah beramal dengan qaul yang mengatakan tidak batal wudhu orang yang disentuh sebagai jalan masyaqqah atau kesulitan kerana terpaksa mengambil wudhu berulang-ulang kali jika beramal dengan qaul yang azhar. Bahkan jika secara amalinya pendapat berkenaan itu pun susah juga untuk diamalkan, maka dalam hal ini adalah diharuskan bagi jemaah bertaqlid dengan mazhab Imam Malik yang mengatakan tidak batal jika bersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa diiringi nafsu syahwat. Akan tetapi perlu difahami bahawa keharusan bertaqlid dengan mazhab-mazhab lain itu terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi supaya perkara yang ditaqlidkan itu sah dan boleh damalkan.

Jika seorang yang bermazhab Syafi’e bertaqlid dengan mazhab Imam Malik, maka terlebih dahulu hendaklah dia mengetahui perkara-perkara yang hendak ditaqlidkan itu. Umpamanya jika bertaqlid dalam perkara tidak membatalkan wudhu jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan, maka hendaklah dia mengetahui syarat-syarat sah wudhu dan mengamalkan perkara-perkara wajib dalam wudhu yang terdapat dalam mazhab Imam Malik seperti yang akan dihuraikan kemudian, baharulah bertaqlid dalam perkara yang tidak membatalkan wudhu iaitu dalam perkara bersentuh dengan wanita bukan mahram tanpa syahwat.

Oleh yang demikian secara terperinci dijelaskan, bagi jemaah yang hendak mengikut mazhab Maliki dalam perkara ini hendaklah dia mengambil wudhu sebagaimana cara berwudhu dalam mazhab Maliki iaitu:
1. Niat.
2. Membasuh muka.
3. Membasuh dua tangan serta dua siku.
4. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).
5. Membasuh dua kaki serta dua buku lali.
6. Berturut-turut dengan tidak berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota wudhu yang dibasuh.
7. Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu yang dibasuh.
Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu hendaklah dilakukan berturut-turut tanpa bertangguh dari satu anggota ke satu anggota yang lain dan menggosok atau menyental dengan tapak tangan setiap anggota wudhu. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di dalam fardhu atau rukun wudhu dalam mazhab Maliki.

Sementara perkara-perkara yang membatalkan wudhu dalam mazhab Maliki adalah seperti berikut:
1. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubul (kemaluan) dan dubur, iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihadhah, tahi, dan angin.
2. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur yang lena. Antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur itu tidak lagi mendengar suara di sekelilingnya, mengalir air liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu daripada genggamannya.
3. Apabila seorang yang baligh menyentuh lawan sejenis (antara lelaki dan perempuan) dengan perasaan nikmat (syahwat). Adapun mengucup pada mulut juga membatalkan wudhu walaupun tanpa perasan nikmat.
4. Apabila seorang lelaki baligh menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu seorang perempuan yang menyentuh kemaluannya (farj).
5. Murtad.
6. Merasa ragu setelah berwudhu adakah masih suci atau sudah batal.

Sehubungan dengan ini kita sarankan pihak yang bertanggungjawab dalam urusan haji sewajarnyalah menyampaikan maklumat di atas kepada jemaah haji supaya pengetahuan jemaah tentang bertaqlid dengan mazhab lain dalam masalah wudhu ketika tawaf akan lebih jelas dan sempurna dilakukan mengikut sebagaimana yang dikehendaki dalam mazhab berkenaan. Dengan demikian tidaklah bertaqlid dalam perkara wudhu itu dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang betul.


والله أعلم بالصواب

Bahasa Asal: Melayu
Negara Asal: Brunei
Tahun: 2004
Pengarang: Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid
Rujukan: Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Nota: Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam 2004

SYARIAT,TARIKAT,HAKIKAT DAN MAKRIFAT


ANTARA SYARIAT,TARIKAT,HAKIKAT DAN MAKRIFAT

Islam adalah iman , ilmu dan amal .

Iman adalah persoalan aqidah atau ketuhanan.
Ilmu dan amal pula, ada yang berbentuk lahiriah dan ada yang berbentuk
batiniah atau rohaniah.

Bertolak dari aqidah, maka timbullah keperluan untuk beribadah sama ada ibadah lahir mahupun ibadah batin. Setelah Tuhan dikenali,
dicintai dan ditakuti, maka akan terdoronglah kita untuk menyembah dan mengagungkan- Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Akan
terdoronglah kita untuk melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Akan terdoronglah kita untuk patuh dan taat
kepada-Nya. Akan terdoronglah kita untuk berjuang dan berkorban kerana-Nya.

Ilmu lahiriah ialah ilmu feqah yang bersangkut paut dengan amalan
lahir. Ilmu batiniah atau rohaniah pula ialah ilmu tasawuf yang
bersangkut paut dengan amalan hati. Amalan sama ada yang lahir atau
yang batin mestilah didorong oleh aqidah. Ia mesti didorong oleh rasa
cinta dan takut kepada Allah . Barulah amalan itu akan bermakna dan
akan mempunyai erti dan maksud yang betul. Amalan adalah jalan, kaedah
atau cara untuk membukti dan merealisasikan rasa cinta dan rasa takut
kita kepada Allah.


Bila Allah sudah dikenali, barulah kita betul-betul boleh
mempraktikkan atau melaksanakan agama. Barulah Allah itu menjadi
matlamat dan tumpuan ibadah dan pengabdian kita. Barulah amalan kita
itu ada tempat tujunya. Barulah akan terjalin dan tercetus hubungan
antara hamba dengan Tuhannya. Dalam beragama, kenal Allah itu perkara
pokok yang mesti didahulukan. Selepas itu baru timbul soal amalan. Ini
sesuai dengan hadis yang bermaksud : "Awal-awal agama mengenal Allah"


Amalan agama yang tidak didahului oleh rasa cinta dan rasa takut
kepada Allah sudah tentu tidak akan membawa kita kepada-Nya. Sudah
pasti ia didorong oleh perkara-perkara dan kerana-kerana yang lain.
Mungkin kerana mahukan Syurga. Mungkin kerana takutkan Neraka. Mungkin
kerana mahukan pahala dan fadhilat. Walaupun tujuan-tujuan ini tidak
salah kerana ianya sebahagian dari janji-janji Tuhan, tetapi maqamnya
terlalu rendah. Justeru itu hasil dan manfaat dari ibadah seperti ini
juga adalah rendah.

Ibadah yang didorong oleh perkara-perkara seperti ini, walaupun
banyak, tidak akan dapat mengubah akhlak dan peribadi kita. Ia tidak
akan menimbulkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam hati kita.
Kerana itu, ia tidak akan mampu menyuburkan sifat-sifat mahmudah dan
membakar sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita. Ini kerana
Tuhan tidak dilibatkan dan tidak dijadikan matlamat dalam ibadah kita.
Kalau Tuhan tidak dilibatkan, maka hati akan kurang berperanan kerana
hati itu wakil Tuhan. Ibadah yang tidak ada Tuhan ini sudah tentu
tidak ada rohnya, tidak ada rasanya dan tidak ada khusyuknya. Bila
hati tidak berperanan, maka tidak akan ada penghayatan dan penjiwaan
dalam ibadah.

Tambahan pada itu ibadah kerana hendakkan Syurga, pahala dan fadhilat
dan kerana takutkan Neraka ini ada risikonya. Disebabkan Tuhan dan
hati tidak dilibatkan sama dalam ibadah seperti ini, maka ibadah ini
tidak ada kekuatannya. Lama kelamaan, ia akan dicelahi dengan rasa
bosan dan jemu. Sukar hendak diistiqamahkan. Ia juga mudah dihinggapi
penyakit riyak, ujub dan sum'ah. Ini semua akan memusnahkan pahala
ibadah. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah
untuk dipuji, untuk disanjung, untuk mendapat nama dan glamour, untuk
menunjuk-nunjuk dan kerana sebab-sebab lain yang berbentuk duniawi.
Sudah tentulah ia tidak ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini
akan Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya berserta dengan
laknat-Nya sekali. Ibadah seperti ini tidak akan mendekatkan seseorang
itu dengan Allah. Malahan dia akan bertambah jauh dari Allah. Dia
berbuat maksiat dan kemungkaran dalam ibadahnya. Lagi banyak dia
beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri
mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi
dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna.

Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada urutan dan susunannya. Ada
"progression" nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia
bermula dengan Syariat , kemudian dengan Tariqat , diikuti pula dengan
hakikat dan diakhiri dengan Makrifat .

Syariat.


Ini adalah ilmu sama ada ilmu bagi amalan, lahir (feqah) atau ilmu
bagi amalan hati (tasawuf). Ini adalah langkah pertama dalam tertib
beramal. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal
haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu,
kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan
mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita
terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut
sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak
terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam, kita mesti
belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat
biji benih.


Tariqat .

Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan sama ada amalan
lahir mahupun amalan hati secara istiqamah dan bersungguh-sungguh.
Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Ini dinamakan juga tariqat
wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang
mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan sesetengah
pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih
tadi (syariat) hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok
yang bercabang dan berdaun.


Hakikat.

Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan
syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi
sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup
syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah. Buah tariqat
adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian
maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar , maqam
redha , maqam tawakkal , maqam tawadhuk , maqam syukur dan
berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja
(sebiji buah sahaja) atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam yang
berbeza dari satu pokok yang sama. Hakikat adalah perubahan jiwa atau
perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat
dengan faham dan dihayati.

Makrifat .

Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat
dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang
tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan
rahsia-rahsia- Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al
Arifbillah .


Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari
yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu
terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke
dalam hati dan rohani. Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat
dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah dicapai kerana
ia hanya melibatkan usaha lahir.


Friday, 28 October 2011

Siapa Al Imam Syafie


Siapa Al Imam Syafie

Ramai yang mengatakan bahawa mereka bermazhab (asal perkataan "mazhab"dari perkataan "zahaba" yang bermaksud jalan) Syeikhul Islam Al Imam As Syafie RahimahullahuTaala namun tidak tahu menahu tentang kisah atau pandangan dari Imam mereka sendiri. Aku juga begitu dan ingin mengajak semua mengenal Imam Mazhab kita semua ini. 



Makam Imam Shafie




Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf.

Imam Syafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw.

Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia akibat diracun oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah sewaktu Imam Hanafi berada dalam penjara. Beliau dipenjara , diseksa dan dirotan kerana tidak mahu memberikan kerjasama kepada Khalifah Bani Abbasiyah yang zalim itu dengan menolak tawaran untuk menjadi Hakim kerajaannya.

Imam Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun.Beliau menghafal Kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik (Mazhab Maliki) selama 10 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa.Dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram.

Sebelum melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit.Lalu bintang itu pecah lalu jatuh bertaburan jatuh ke bumi.Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh muka bumi.Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya juga mengalami mimpi yang sama iaitu dia melihat ada sebutir bintang yang keluar dari perut isterinya.

Imam Syafie penentang amalan bidaah. Kata beliau, semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat! Manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun dari kesemua itu adalah bidaah yang terpuji. Imam Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3 orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi,Imam Maliki dan Iman Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali). Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulamak sebelu mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

Imam Syafie juga melarang Taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada sesiapa saja. Beliau selalu berpesan: “Janganlah mereka-reka dalam perkara agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Quran dan hadis”. Beliau juga berpesan : “Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal kata Rasulullah bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti”

NOTE: ( Ramai yang tidak mencatatkan nama mursyid tarbiah ruhani bagi Imam As-Syafie kerana nak menafikan pendapat-pendapat yang memisahkan ilmu fiqah dgn tasauf, guru beliau dalam bidang ini ialah Syuhbban Ar-Raie & Abu Hamzah As-Sufi. Untuk ma'aluman, ketiga-tiga Imam Mujtahid punyai mursyid dlm ilmu tarbiah ruhani.

Imam Abu Hanifah gurunya Imam Jaafar Shodiq. Imam Malik pula gurunya Imam Musa Kadzim & Maaruf Al-Khurki manakala bagi Imam Ahmad pula gurunya ialah Abu Hamzah As-Sufi & Bisyru Al-Hafi. Semua Imam-imam agung dari ke empat mazhab ada guru khusus mereka dalam tasawuf...hanya orang orang yg bodoh sahaja menganggap Tasawuf & Tarbiah Ruhani berasal dari Hindu-Buddha. ALLAHU ALIM! )

Antara pujian atau pandangan ulamak-ulamak lain kepada Imam Syafie ialah:

Imam Malik bekas gurunya pernah berkata: 

“Tidak ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie”

Imam Ahmad Bin Hambal berkata: 

“Wahai anakku, Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia dan seperti kesihatan bagi tubuh.”

Beliau juga berkata: 

“Saya belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar dengan Imam Syafie”.

Kata Imam Ahmad lagi: 

“setiap ahli hadis yang memegang tinta adalah terhutang budi kepada Imam Syafie”

Imam Muhammad al-Hakam berkata: 

“Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui, cerdik akalnya,lebih cerdas fikirannya, lebih cermat amalannya,lebih fasih lidahnya daripada Imam Syafie”. 

Beliau berkata lagi: 

“Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui berkenaan usul Fiqah selain dari Imam Syafie”

Menyelusuri perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik sekali.Ayah beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil, ada riwayat yang mengatakan sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya lagi. Gurunya yang pertama secara tidak formal ialah ibunya sendiri. Ibunya mengajar beliau mengenal huruf dan mengaji al-Quran. Setelah berumur 9 tahun beliau sudah dapat menghafal Al-Quran.

Bila ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun.Namun setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Syafie tentang Al-Quraan, beliau amat tertarik dengan daya ingatan dan suara Imam Syafie yang merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi muridnya.Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Syafie pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar disitu!

Imam Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal.Dalam masa 3 bulan saja, Imam syafie mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Pernah suatu kali Imam Syafie memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya, lalu mengalahkan gurunya Mas'ab pula.

Imam Syafie berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga menjadi pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya. 

Selepas itu Imam Syafie berguru pula dengan Imam Muslim al-Zanji dalam bidang Feqah pula.Akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan fatwa pula.Namun Imam Syafie masih merasakan kurang ilmunya lalu dalam diam beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’ yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas pula.

Imam Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera.Selepas itu Imam Syafie terkenal sebagai seorang pemanah yang handal.

Imam Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti Kota Madinah.Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan.

Selepas itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof.Beliau telah menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk menghafalnya.

Imam Syafie juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman. Di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan. Mereka dikurniakan 3 orang anak.

Semasa di Najran, Imam Syafie difitnah oleh Gabenor as-Saud iaitu Gabenor Najran kononnya Imam Syafie sedang menghasut rakyat untuk memusuhi dan menjatuhi kerajaan Bani Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun ar-Rashid. Akibat dari fitnah tersebut Imam Syafie dan anak muridnya telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai .Mereka juga dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah.

Walau bagaimanapun dengan izin Allah swt Imam Syafie terlepas dari hukuman oleh Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal. Diantara ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Imam Syafie, yang membuatkan hati dan jiwa raga Khalifah Harun ar-Rashid terpesona ialah Firman ALLAH swt dari Surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud : 

“Hai orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita,periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”

Itulah diantara liku-liku perjalanan yang ditempuh oleh Imam Syafie dalam menuntut ilmu. Banyak lagi guru dan tempat beliau belajar yang tidak dinyatakan disini. Beliau sangat menyintai ilmu. Pernah suatu masa Imam Malik memuji beliau dengan berkata : 

“Sekiranya ada orang yang bahagia kerana ilmunya, inilah orangnya!” 

sambil merujuk kepada Imam Syafie. Berkaitan dengan kegunaan ilmu pula Imam Syafie pernah berkata: 

“Sesiapa yang mempelajari Quran, besar harga dirinya.Siapa yang mempelajari hadis, tinggi martabatnya.Siapa yang mempelajari bahasa,lembut hatinya.Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tidak bererti ilmunya”. 

Oleh kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap ilmu, jadi tidak hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab semasa hayatnya.

Imam Syafie meninggal dunia selepas waktu isyak, malam jumaat 28 Rejab tahun 204 Hijrah (tahun 820 M) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54 tahun di bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah.

Semasa Abu Ali al-Hasan menjadi perdana menteri Iraq, beliau telah mengarahkan ketua tentera Mesir Badr bin Abdullah menggali dan memindahkan kubur Imam Syafie ke Baghdad. Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun membentengi liang lahad Imam Syafie. Selepas mereka memecahkan batu-bata itu, mereka amat terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari dalam liang lahad itu malah ada beberapa orang dari mereka yang pengsan. Bila perkara ini diketahui oleh perdana menteri Iraq itu, maka beliau pun membatalkan terus usaha memindahkan kubur itu. Pada tahun 608 Hijrah, sebuah Kubah telah dibina .Tidak lama kemudian sebuah masjid didirikan disitu dengan nama Masjid Imam Syafie. Makam Ulama hebat ini terus dikunjungi orang ramai hingga kini.

Antara kata-kata menarik Imam Syafie:

1.Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.Ia juga amalan para Nabi, Rasul dan orang
soleh.

2.Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindari ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

3.Hati adalah Raja dalam diri. Oleh itu, lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebathilan.

[Artikel diatas saya sunting dari buku : Imam Syafie Pejuang Kebenaran; ditulis oleh Abdul latip Talib]

Dibawah ini saya siarkan 10 pesanan Imam Syafie untuk renungan kita bersama :

Sebelum Imam Shafie meninggal dunia, beliau sempat mengajak sahabat-sahabatnya agar membuat perubahan jiwa ke arah yang lebih baik. Beliau menyebut bahawa barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka lakukanlah 10 perkara:

1. Hak kepada diri, iaitu dengan mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2. Hak kepada Malaikat maut, iaitu menqada’kan segala kewajipan yang tertinggal, iaitu dengan memohon maaf daripada orang yang dizalimi, membuat persiapan untuk mati dan merasa cinta kepada ALLAH s.w.t.

3. Hak kepada kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, jangan suka kencing merata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

4. Hak kepada Malaikat Mungkar dan Nakir, iaitu jangan berkata dusta, sering berkata benar, meninggalkan maksiat dan memberi nasihat.

5. Hak kepada Mizan, iaitu menahan kemarahan, banyakkan berzikir, ikhlas dalam amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

6. Hak kepada titian sirat, iaitu buang tabiat suka mengumpat, wara’, bantu orang beriman dan hidup dalam suasana berjamaah.

7. Hak kepada Malaikat Malik, iaitu menangis lantaran takutkan kepada ALLAH s.w.t., membanyakkan sedekah, membuat kebaikan kepada ibubapa dan memperbaiki akhlak.

8. Hak kepada Malaikat Ridwan, penjaga syurga, iaitu redha kepada qada’ ALLAH s.w.t., sabar menerima bala’ dan bertaubat.

9. Hak kepada Rasulullah s.a.w., iaitu dengan sering bersalawat kepada baginda, berpegang kepada sunnahnya dan bersaing mencari kelebihan dalam beribadah.

10. Hak kepada ALLAH, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan, mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran, bencikan kepada sebarang maksiat dan tidak melakukan kejahatan.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus                         mendengar dariku. Saksikanlah Ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-MU kepada hamba-hamba-MU."
              ~ Antara isi khutbah terakhir Rasullah s.a.w.