CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Monday, 9 May 2011

IMAM Solat Wajib Faham Hak Makmumnya.


Kemusykilan Agama

Bersama
Mohd. Farid Ravi Abdullah
Pengarah Jabatan Al-Quran dan Sunnah
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

SOALAN
ADAKAH dibolehkan makmum membaca surah al-Fatihah sebelum imam habis membaca surah al-Fatihah tersebut? Ini kerana kebiasaannya apabila makmum membaca surah al-Fatihan selepas imam tamat membaca surah tersebut menyebabkan makmum tidak sempat untuk menghabiskan bacaan untuk rukuk bersama-sama dengan iman. Oleh itu, apa perlu dilakukan dan apakah hukumnya?

JAWAPAN
Adab menjadi imam ialah memahami hak makmum dalam solat. Dalam Mazhab al-Syafie imam hendaklah memberi sedikit masa kepada makmum selepas membaca surah al-Fatihah untuk membolehkan makmum membacanya. Ini kerana solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak dikira solat seseorang itu melainkan dengan adanya al-Fatihah”. (Ibn Hibban).

Dalam riwayat yang lain Baginda bersabda yang bermaksud: “… sessungguhnya aku dapati kalian membaca di belakang imam? Sahabat menjawab : Ya Rasulullah kami membaca, lantaran Baginda bersabda: Jangan kalian lakukan yang demikian melainkan kamu boleh membaca surah al-Fatihah”. (Ibn Abdul Bir, hadis sahih, sanad yang bersambung).

Seperti soalan yang dikemukakan di atas jelas imam tidak memahami hak makmum. Ini menyebabkan perjalanan solat berjemaah tidak teratur, kerana imamnya sempat membaca al-Fatihah dan surah al-Ikhlas, manakala makmum tidak sempat habis. Makmum akan berada dalam keadaan yang serba salah sebab pertamanya makmum tidak boleh sama sekali membaca bersama atau mendahului imam dalam bacaan.

Maksudnya makmum wajib mendengar dan menghayati surah al-Fatihah yang dibaca oleh imam. Setelah imam selesai barulah makmum boleh membaca surah al-Fatihah. Sekiranya imam tidak memberi ruang untuk makmum membaca surah al-Fatihah malahan terus membaca surah al-Ikhlas, maka bila masanya makmum akan membaca surah al-Fatihah?

Sedangkan makmum tidak boleh membaca apa-apa sekiranya imam sedang membaca. Namun makmum perlu membaca al-Fatihah walaupun imam sedang membaca surah al-Ikhlas. Imam wajib memahami hak makmum.

SOALAN
Apakah hukum membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas sahaja tanpa berhenti?

JAWAPAN
Harus membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas. Bacaan seperti ini dikira bacaan wasal antara ayat dengan ayat yang berikutnya. Ulama yang pakar dalam bacaan al-Quran mengharuskannya. Namun membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas ada syarat-syaratnya. Jika syarat-syaratnya dipenuhi bacaannya sah dan jika dibaca dalam solat dengan satu nafas, solatnya juga sah.

Syaratnya ialah;

*Memahami makna wasal (bacaan sambung antara satu ayat dengan ayat yang berikutnya)
*Memahami makna wakaf (bacaan yang diberhentikan terutamanya di hujung ayat)
*Memelihara hukum tajwid hukum tanwin dan nun mati, hukum mim *Memelihara panjang pendek
*Memelihara fasahah, makraj huruf dan sifat huruf.

Persoalan yang timbul adalah adakah orang membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas?

Kalau ada cukup luar biasa, terutamanya nafas yang cukup panjang. Secara normal bila seseorang membaca surah al-Fatihah dengan wakaf pada setiap penghujung ayatnya akan mengambil masa lebih kurang hampir satu minit. Jika baca sambung mungkin juga tak sampai setengah minit. Seterusnya kita ditegah daripada membaca al-Quran dengan bacaan yang laju, sehingga tidak cukup harakat panjang pendek atau tidak cukup kadar harakat bagi gunnahnya. Sebenarnya orang yang membaca al-Quran dengan kadar cepat berkemungkinan melanggar hukum-hukum tajwid.

Falsafah solat adalah demi menghayati solat dari mula hingga akhirnya. Ini termasuklah menghayati bacaan dalam solat. Bacaan yang laju tidak dapat dihayati maknanya. Selalu disebut contohilah bacaan syeikh-syeikh Arab yang muktabar dalam bacaan al-Quran. Perlu diingat bahawa setiap ayat daripada surah al-Fatihah bila wakaf padanya maka akan dipuji oleh Allah s.w.t. Ini jelas dalam tafsir Ibn Kathir menyebut yang bermaksud: “Selepas membaca al-Hamdulillahi rabbil alamin, Allah akan menjawab: Sesungguhnya hambaku telah memuji aku…begitulah Allah s.w.t. akan menyebut-nyebut akan hamba yang memujinya, apatah lagi surah al-Fatihah sarat dengan doa dan harapan (Ibn Kathir, jld:1, hlm:43).

Justeru itu, yang afdalnya ialah membaca surah al-Fatihah dengan wakaf pada setiap penghujung ayatnya, wakaf di penghujung ayat juga dikenali dengan wakaf tam (berhenti kerana sempurna maknanya). (Husniy Syeikh Uthman, Haqq al-Tilawah, hlm:48-49)

Wakaf ini adalah mengikut cara al-Quran diturunkan, bermaksud ketika Jibril menyampaikan al-Quran, Jibril berhenti di situ. Maka penghujung ayat itu diberi tanda wakaf. Berdasarkan wakaf itu jugalah ayat-ayat itu dikira. Sebab itulah setiap kali Jibril wakaf pada ayat, bermaksud makna bagi ayat itu sempurna. Adapun wakaf Jibril lain perbincangannya. Perlu ingat juga tidak semestinya ayat pertama dengan ayat kedua membincangkan topik yang sama. Kadang-kadang berlaku perubahan topik dalam satu surah walaupun ayatnya berurutan. Ini tidak bermaksud topiknya berurutan. Bukan sahaja surah al-Fatihah malahan surah-surah yang lain juga adalah lebih baik dibaca dengan wakaf di penghujungnya, melainkan ayat-ayat daripada beberapa surah yang tertentu.

SOALAN
Jika seseorang makmum yang sembahyang berjemaah membaca dalam sembahyang dengan suara perlahan akan menimbulkan keraguan kepadanya sama ada bacaannya itu sampai makhraj atau tidak, betul atau salah. Dengan itu dia membacanya dengan suara yang agak tinggi. Apakah bacaannya akan menimbulkan gangguan kepada makmum yang lain? Jika mengganggu apa hukumnya?

JAWAPAN
Bacaan orang yang solat berjemaah kadarnya hanya didengari oleh telinganya sahaja. Jika lebih kuat daripada itu boleh mengganggu orang lain atau mengganggu jemaah di sebelahnya. Mengganggu orang makmum yang lain dengan menguatkan bacaan hukumnya makruh.

Saudara tidak perlu risau, baca perlahan atau baca kuat tiada kaitannya dengan betul atau salah makhraj seseorang. Ramai yang baca kuat tetapi makhraj masih salah, dan tidak semestinya yang baca kuat itu betul makrajnya. Dan tidak pula orang yang membaca perlahan salah makhrajnya Ketepatan makhraj adalah berdasarkan kepada ilmu, seseorang itu mesti tahu di mana tempat keluarnya huruf qaf, mim, kho dan sebagainya daripada huruf-huruf hijaiyyah. Bila kita pasti makrajnya dan tepat maka kita baca perlahan pun sah, kerana makhrajnya kena pada tempatnya. Janganlah sampai demi mencari kesempurnaan solat kita, kita mengganggu solat orang lain.

http://grenbara.bravejournal.com/entry/49258

Sunday, 8 May 2011

Musyid Kamil dengan Salikin.


Mencari guru Feqah..guru zohir..mengisi otak, 'Aqal fikiran..mudah dan RAMAI....namun mencari guru Mursyid..mengisi dada JIWA QOLBU...sukar dan perit...selagi hidup perlu dicari...kerana Nabi Muhammad SAW itu guru zohir dan batin...Rosul dan Nabi memang sudah tiada lagi...namun WALI dan guru / alim ulamak...warisatul anbia' tetap ada himgga akhir zaman...usaha / cari dan berdoalah untuk menemuinya...sempurna BATIN, sempurna ZOHIR..insyAllah...

Ciri-ciri seorang mursyid yang kamil adalah:

Pertama: Mengetahui ilmu-ilmu fardu 'ain atau ilmu-ilmu agama (alim dalam ilmu syariat).

Kedua: Mengenal Allah s.w.t., sifat-sifatNya dan nama-namaNya bersesuaian dengan aqidah mazhab ahlus-sunnah wal jamaah.

Ketiga: Berpengalaman dalam tarbiah (pernah mengambil tarbiah dari seorang mursyid yang kamil), mengetahui seluk-beluk nafsu, tipu dayanya serta cara-cara untuk mentarbiahnya.

Keempat: Mendapat izin irsyad (membimbing dalam bab kerohanian) untuk mentarbiah daripada mursyid beliau yang sebelumnya, di mana mursyid tersebut juga mempunyai izin irsyad yang bersambung silsilah izin irsyad tersebut kepada Rasulullah s.a.w..

2)      Wali Mastur/ Majzub

Mereka juga adalah orang-orang yang sudah mengenal Allah s.w.t. dengan sebenar-benar kenal, tenggelam dalam lautan tauhid dan musyahadah Allah s.w.t. dengan mata hatinya. Cuma, mereka tidak diberi izin untuk memberi tarbiah dan irsyad oleh mursyid mereka yang terdahulu, kerana mereka ini adalah suatu kelompok yang dikhususkan oleh Allah s.w.t. untuk menumpukan kehidupan mereka hanya kepada Allah s.w.t. (ahli tajrid) di samping turut memberi nasihat-nasihat umum kepada sesama muslim.

Mereka adalah wali-wali Allah s.w.t. yang tersembunyi di sebalik pakaian orang-orang awam, sehingga tidak mampu dikenali oleh orang lain kecuali orang tersebut juga merupakan wali yang sepertinya.

Ada juga dalam kalangan mereka yang tenggelam dan terus fana' (lebur) dalam lautan tauhid (bahru at-tauhid), sehingga mereka tidak lagi menyedari kewujudan diri mereka di samping musyahadah mereka kepada Allah s.w.t.. Mereka adalah golongan yang mutalawwin (berubah-ubah), bukan mutamakkin (mantap atau kukuh) hatinya dalam musyahadah dengan baqo' biLlah (kekal musyahadah dengan bantuan Allah s.w.t.).

 Ilmu Tasawwuf: Riwayah dan Diroyah

 

Seseorang yang ingin mempelajari ilmu tasawwuf, atau melalui jalan para sufi, hendaklah memahami bahawasanya, ilmu tasawwuf itu bukan suatu ilmu yang dapat dipelajari semata-mata melalui buku-buku tasawwuf dan sebagainya, tetapi ianya perlu dipelajari secara talaqqi daripada seorang mursyid yang kamil, yang mewarisi tasawwuf secara riwayah dan diroyah.

Ini kerana, ilmu tasawwuf pada hakikatnya, bukan untuk dipelajari sekadar untuk mendapatkan makumat, tetapi ilmu tasawwuf itu dipelajari untuk direalisasikan ke dalam diri melalui proses tarbiah di bawah bimbingan seorang mursyid yang kamil.

Sheikhuna (guru kami) Sheikh Yusuf Al-Hasani berkata: "Sesiapa yang mahukan maklumat (tentang tasawwuf) semata-mata, maka silakanlah carinya dalam buku-buku tasawwuf. Tetapi, sesiapa yang mahukan Allah s.w.t., maka kami mengalu-alukan kedatangannya."

Tasawwuf itu dipelajari agar seterusnya dapat diterjemahkan dalam kehidupan kerana ianya merupakan ilmu perjalanan menuju Allah s.w.t.. Tiada manfaat bagi orang yang belajar seluk-beluk perjalanan menuju Allah s.w.t tetapi tidak mahu melaluinya. Tiada manfaat bagi orang yang cuba memahami sifat-sifat Allah s.w.t. tanpa berusaha untuk mengenaliNya dengan jalan tarbiah tersebut.

 Oleh yang demikian, secara ilmiahnya, ilmu tasawwuf itu ada dua bahagian iaitu:

 1)      Riwayah

2)      Diroyah

 

1)      Riwayah

Riwayah adalah berkaitan dengan talqin zikir (La ilaha illaLah) dari seorang mursyid kepada muridnya, dengan silsilah talqin yang bersambung kepada Saidina Ali r.a. yang mengambil talqin tersebut dari Rasulullah s.a.w.. Begitu juga dengan zikir-zikir yang mathur daripada Rasulullah s.a.w., yang diwarisi melalui rantaian silsilah zikir tersebut.

Ia selalunya berkaitan mengambil riwayat zikir secara bersanad sehingga sampai kepada Rasulullah s.a.w., dan juga sampai kepada para sahabat r.a., tabi'in, para penghulu tarikat (seperti Hizbul Bahr oleh Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli) dan sebagainya. Dalam silsilah tersebut mengandungi keberkatan para masyaikh yang terkandung dalam rantai silsilah tersebut bahkan keberkatan Saidina Rasulullah s.a.w. yang menjadi penghulu bagi silsilah zikir tersebut. Dalam rantai tersebut juga memberi pahala kepada para masyaikh yang terkandung dalam rantai silsilah tersebut seperti yang dimaksudkan dalam hadith: "Sesiapa yang mengadakan sesuatu amalan yang baik, maka baginya pahala terhadap amalannya, dan baginya juga pahala mereka yang mengikutinya sehingga hari Kiamat" (Hadith riwayat Muslim).

 Ada orang yang meriwayatkan zikir ini secara umum (seperti meriwayatkan selawat-selawat dan zikir-ziki mathur (dari Rasulullah s.a.w.), hizb an-nawawi, ratib al-haddad, hizbul bahr, dalail khairat dan sebagainya) sedangkan talqin zikir pula diambil secara khusus daripada seorang mursyid yang bersambung silsilah talqin tersebut daripada Saidina Hasan Al-Basri r.a. yang mengambilnya daripada Saidina Ali r.a. yang mengambilnya daripada Saidina Wa Maulana Rasulullah s.a.w..

 

2)      Diroyah

Dalam ilmu tasawwuf, diroyah daripada ilmu tasawwuf adalah berkenaan dengan perasaan hati (zauq), akhlak-akhlak terpuji melalui contoh-contoh teladan, yang mana ianya diwarisi dari seseorang guru yang mewarisinya daripada gurunya terdahulu, sehingga bersambung silsilah warisan tersebut kepada para sahabat r.a. yang mewarisinya daripada Rasulullah s.a.w..

Diroyah dalam erti kata lain, dalam ilmu tasawwuf adalah, tarbiah daripada seorang guru mursyid kepada muridnya, yang mana silsilah tarbiah tersebut bersambung kepada Rasulullah s.a.w. yang mentarbiah para sahabat Baginda r.a..

Rasulullah s.a.w. bukan sekadar menyampaikan pesanan dan nasihat serta mengajarkan zikir-zikir kepada para sahabat r.a. semata-mata, bahkan Baginda s.a.w. juga mentarbiah para  sahabat dengan memperbaiki akhlak mereka secara individu, menunjukkan contoh akhlak yang terpuji sebagai qudwah kepada mereka, dan memindahkan kefahaman-kefahaman zauqi kepada para sahabat r.a. dengan proses mujahadah tersebut.

 Rasulullah s.a.w. adalah suatu simbol akhlak yang terpuji buat para sahabat bagi merealisasikan akhlak tersebut dalam hidup mereka. Rasulullah s.a.w. adalah doktor yang sentiasa tidak jemu memperhatikan penyakit-penyakit hati mereka lalu memberi penawarnya dengan izin Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. adalah simbol kemanisan iman yang menghayati segenap makna iman lalu diterjemahkan dalam kehidupan dengan akhlak-akhlak hati yang tinggi, seperti redha kepada Allah s.w.t.dan sebagainya.

Seterusnya, para sahabat r.a. yang agung mewarisi manhaj tarbiah Nabawi tersebut lalu menyebarkannya dengan mentarbiah para tabi'in sehingga warisan manhaj tarbiah itu terus diwarisi sehingga hari ini, oleh mursyid-mursyid yang kamil, dalam sebuah madrasah yang dikenali setelah itu sebagai, madrasah sufiyah.

Mereka ini mewarisi silsilah zikir-zikir daripada Rasulullah s.a.w., mewarisi tarbiah yang pernah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat, melalui silsilah tarbiah yang meraka ambil daripada guru-guru mursyid mereka terdahulu.

Mereka bukan sekadar mewarisi hadith-hadith Nabi s.a.w. secara riwayat, tetapi juga mewarisi kefahaman-kefahaman yang tinggi daripada hadith-hadith tersebut melalui jalan tarbiah, mujahadah dan bimbingan daripada para mursyid mereka yang juga turut melalui jalan yang sama, sepertimana jalan yang pernah dilalui oleh para sahabat r.a., yang mendapat bimbingan daripada Rasulullah s.a.w..

Ahli riwayat semata-mata, yang meriwayatkan kisah-kisah para sufi khususnya, yang meriwayatkan ungkapan-ungkapan mereka semata-mata, namun tidak mewarisi kefahaman dan zauq (perasaan) kerohanian mereka, melalui proses mujahadah melawan hawa nafsu dan proses tarbiah, akan menyebabkan samada mereka menghukum ke atas para sufi melalui kefahaman salah mereka terhadap ungkapan para sufi, atau ada yang akan salah faham lalu mengikut kesesatan kefahamannya yang salah terhadap ungkapan para sufi tersebut.

Ilmu tasawwuf adalah ilmu praktikal, bukan ilmu berbahas. Para ulama' sufi menyusun ilmu tersebut daripada sejumlah hadith-hadith Nabi s.a.w. berkenaan dengan akhlak dan tarbiah Nabi s.a.w., untuk seterusnya diamalkan oleh para murid yang ingin sampai kepada Allah s.w.t. dan inginkan keredhaanNya.

Jalan untuk menterjemahkan ilmu tasawwuf ke dalam kehidupan adalah dengan melalui proses tarbiah dan bimbingan seseorang mursyid yang kamil, agar segala teori berkenaan akhlak-akhlak mulia dapat direalisasikan dalam dirinya. Nabi s.a.w. adalah murobbi teragung yang turut mentarbiah para sahabat r.a. dan seterusnya para tabi'in pula mengambil tarbiah daripada para sahabat r.a. dan begitulah kesinambungan silsilah tarbiah sehingga hari ini, terutamanya melalui madrasah sufiyah.

Tarbiah, suhbah (bersahabat dengan seseorang guru mursyid), mulazamah (sentiasa bersama-sama dengan mursyid), khidmat (berkhidmat kepada para guru dan para ikhwan) dalam ilmu tasawwuf adalah diroyah sedangkan riwayat-riwayat zikir, bai'ah tabarruk, talqin zikir tabarruk (sekadar mengambil berkat), menghadiri majlis-majlis zikir secara umum dan sebagainya hanyalah sekadar riwayah dalam ilmu tasawwuf.

Orang yang ingin sampai (wushul) kepada Allah s.w.t. perlu mengambil ilmu tasawwuf (akhlak, tarbiah atau tazkiyah an-nufus) secara riwayah dan diroyah sekaligus, dengan mengambil seorang mursyid yang kamil sebagai pembimbing khusus baginya dalam perjalanan menuju Allah s.w.t., kerana pada suhbah (bersahabat dengan mursyid) dan khidmah (berkhidmat kepada para guru dan ahbab) inilah rahsia kejayaan pembentukan jiwa mulia para sahabat r.a. yang dahulunya suram dengan noda jahiliyyah.

Di sinilah letaknya kepentingan mendapat bimbingan daripada seseorang mursyid yang kamil, iaitu dalam rangka ingin mempermudahkan jalan untuk sampai kepada Allah s.w.t.. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita dalam kalangan orang-orang yang menujuNya dengan menyampaikan kita kepada orang-orang yang boleh membawa kita kepadaNya dengan bantuanNya.

Apa yang baik itu dari Allah s.w.t. dan apa yang buruk itu dari kelemahan diri penulis itu sendiri. Semoga Allah s.w.t. mengampuni segala dosa dan kesalahan penulis yang serba jahil lagi hina ini.

 Wallahu a'lam…

Mohon maaf banyak banyak...tajuk ini...hanya untuk mereka yang telah berGURU kerohanian...telah biasa BERSULUK dan BERTAWAJJUH bersama GURU masing masing...insyAllah dapat memahami dan MERASAI/zauq...kerana orang belum kahwin takkan tahu MERASAI nikmat kahwin itu...walaupun diceritakan tujuh hari tujuh malam..

Sebuah Ringkasan

Pada Menjelaskan Peringkat-peringkat Salikin

Menuju Allah Rabbul 'Alamin

 Murid:

Seseorang yang ingin berjalan di atas perjalanan menuju Allah s.w.t. dengan mengambil seorang mursyid yang kamil (sempurna) untuk membimbingnya menuju Allah s.w.t.. Golongan ini juga dikenali sebagai salik  iaitu: orang yang berjalan menuju Allah s.w.t..

 Ada dua peringkat murid iaitu:

 1)      Murid li ajli Al-Jannah

2)      Murid li liLlah

 1) Murid li ajli al-jannah

Adapun murid li ajli Al-Jannah bermaksud, seseorang murid yang memulakan perjalanannya menuju Allah s.w.t. di bawah tarbiah seorang mursyid yang kamil, dengan niat kerana ingin mendapat syurga Allah s.w.t. dan terselamat daripada nereka.

Ini merupakan peringkat permulaan bagi seorang salik (orang yang berjalan menuju Allah s.w.t.). Ada empat jenis murid li ajli al-jannah ini iaitu:

 1.1: Khodim

1.2: Abid

1.3: Faqir

1.4: Zahid

 1.1: Khodim (orang yang berkhidmat)

Murid pada jenis ini akan diberi tarbiah oleh seorang mursyid yang kamil untuk berkhidmat kepada ikhwan (sesama murid yang lain) dan mursyid tersebut. Ini suatu peringkat terawal dan terpenting bagi seorang salik, dalam membentuk persediaan seseorang untuk seterusnya berkhidmat kepada umat Islam seluruhnya, dan menjadikan seluruh kehidupannya untuk berkhidmat di jalan Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t..

Khidmat ini juga membentuk sifat tawadhuk dalam diri seseorang murid, yang mana, sifat tersebut amat penting bagi seseorang murid, untuk terus mengambil manfaat daripada sesebuah tarbiah.

Telah tersebut dalam banyak hadith-hadith dan dalam lembaran sirah para sahabat r.a., di mana, mereka sentiasa berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w. dan kepada sesama mereka.

 1.2: 'Abid (Orang yang Banyak Beribadah)

Ada juga dalam kalangan murid yang seterusnya mencapai tahap abid', di mana dia sentiasa memperbanyakkan amal ibadah kerana sudah merasai kelazatan ibadah itu sendiri. Pada tahap ini, seseorang murid akan terhibur dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunat setelah ibadah-ibadah fardhu, sentiasa memperbanyakkan zikir-zikir, sentiasa mengikuti majlis-majlis zikir dan majlis-majlis selawat, gemar melazimi bacaan-bacaan qasidah dan sebagainya.

Pada peringkat ini, mursyid yang kamil yang membimbing murid tersebut akan membantu murid tersebut dalam memotivasikannya sekiranya murid tersebut dihinggapi hal-hal seperti malal (kebosanan), futur (putus asa) dan sebagainya.

Pada ketika ini juga, mursyid akan sentiasa memberi galakan kepada murid tersebut untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat agar murid tersebut dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan nawafil (ibadah-ibadah yang sunat) setelah ibadah-ibadah fardhu (seperti yang disarankan dalam hadith riwayat Imam Al-Bukhari).

1.3: Faqir (Tidak Memiliki Harta)

Ada juga dalam kalangan murid yang memilih untuk menjalani hidup dalam kefaqiran, sesuai dengan jalan hidup Saidina Rasulullah s.a.w. yang memilih untuk menjalani kehidupan dalam bentuk yang tersebut.

Mereka hidup ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Dalam tarbiah, seseorang murid selalunya menjalani kehidupan sebegini dalam usaha untuk membasmi perasaan cinta dunia daripada dirinya. Tetapi, manhaj tarbiah kebanyakkan para sufi zaman ini tidak lagi melalui peringkat ini, kerana kemaslahatan murid-murid zaman ini juga.

Tetapi, murid-murid yang sememangnya membesar dalam kefaqiran, maka mereka inilah yang akan terus dibimbing oleh mursyid agar lebih menghayati makna sebuah kehidupan secara lebih luas. Ini kerana, kekayaan sebenar adalah kekayaan jiwa, seperti sabda Nabi s.a.w..

 1.4: Zahid (Orang yang Zuhud)

Peringkat tertinggi dalam jenis murid li ajli al-jannah ini adalah golongan zuhhad (orang-orang zuhud), yang mana, mereka mengosongkan hati mereka daripada kecintaan kepada dunia samada mereka memiliki dunia di tangan mereka ataupun tidak.

Zuhud itu sendiri dalam pandangan kaum sufi adalah, suatu sifat membuang kecintaan terhadap dunia daripada hati, bukan membuang dunia daripada tangan (iaitu: bukan menolak usaha untuk mencari harta keduniaan secara mutlak). Boleh jadi sahaja, seseorang itu miskin, tetapi hatinya penuh kecintaan kepada dunia, maka dia juga bukan seorang yang zuhud seperti yang dimaksudkan oleh kaum sufi.

Pada peringkat ini, seseorang mursyid atau murobbi akan membimbing murid tersebut dalam usaha untuk melepaskan hatinya daripada kecintaan kepada dunia. Faktor membawa kepada zuhud ini adalah, di mana murid tersebut lebih menutamakan nikmat dan kesenangan yang dijanjikan di syurga berbanding di dunia yang sementara ini.

 Murid liLlah

Murid jenis kedua adalah murid yang berjalan menuju Allah s.w.t. di bawah bimbingan seorang mursyid yang kamil, hanya semata-mata mengharapkan Allah s.w.t., keredhaan dan kasih sayangNya. Murid jenis kedua ini lebih tinggi martabatnya daripada murid jenis pertama yang hanya sekadar mengharapkan syurga Allah s.w.t..

Murid peringkat kedua ini ada dua jenis iaitu:

 2.1: Malamatiyyah

2.2. Mutasawwifah

 

2.1: Malamatiyyah

Malamatiyyah adalah orang yang sentiasa menyembunyikan kebaikan dan ketaatannya kerana ingin menjaga niat dan keikhlasannya dalam beramal, kerana yang dia harapkan hanyalah Allah s.w.t.. Dia tidak akan melakukan sesuatu kecuali dia dapati ada ikhlas dalam dirinya terhadap ketaatan tersebut. Jadi, dia sentiasa berusaha untuk menutup pintu-pintu riyak dengan menyembunyikan amalan-amalannya sebaik mungkin, demi menjaga keikhlasannya kepada Allah s.w.t.. Menjadi kemuncak kegembiraannya adalah apabila sesuatu amalan tersebut berjaya dilakukan secara bersembunyi tanpa di ketahui oleh makhluk yang lain.

Ini adalah peringkat pertengahan dalam perjalanan seseorang salik menuju Allah s.w.t., kerana sudah sampai tahap permulaan ikhlas kepada Allah s.w.t.. Dia sudah merasai kelazatan iman, menghayati cinta dan keredhaan Allah s.w.t. dalam dirinya serta tidak lagi tergantung hatinya kepada selain Allah s.w.t..

2.2: Mutasawwifah

Mutasawwifah adalah orang yang sudah menguasai lapangan ilmu tasawwuf, sudah mewarisi zauq-zauq (perasaan) daripada mursyidnya yang kamil, sudah mulai mengenal Allah s.w.t. melalui af'al­-af'alNya, ataupun sifat-sifatNya, dan sudahpun memiliki pengalaman yang luas dalam pentarbiahan. Yang dia mahukan dalam segenap hidup mahupun matinya hanyalah ALLAH s.w.t.. Mereka sudah diberi futuhat oleh Allah s.w.t. untuk memahami pelbagai hakikat-hakikatNya.

Mutasawwifah adalah murid mutaqoddim (murid yang hampir dengan sheikh) yang mana, para khalifah seseorang mursyid selalunya adalah dari kalangan mereka. Hanya mereka yang sudah sampai kepada peringkat ini yang selalunya akan mengganti tempat seseorang mursyid dalam memberi tarbiah kepada para ahbab, ketika ketiadaan sheikh tersebut.  Dia sudah mempunyai keserasian kehendak dengan mursyidnya khususnya dalam melibatkan urusan dakwahnya. Inilah peringkat terakhir murid dan peringkat awal bagi seseorang yang sampai kepada Allah s.w.t..

Washil (Orang yang Sampai kepada Allah s.w.t. dengan AnugerahNya)

Washil ialah seseorang yang telah sampai kepada Allah s.w.t. dengan bantuan dan kemurahanNya. Makna sampai kepada Allah s.w.t. adalah, seseorang mengenal Allah s.w.t. dengan sebenar-benar kenal, yang mana, makrifat tersebut tidak ada penghujungnya kerana tiada penghujung bagi hakikatNya. Setiap orang mengenal Allah s.w.t. sekadar yang diizinkan oleh Allah s.w.t., dan tiada siapa yang dapat menjangkaui keseluruhan hakikat Allah s.w.t..

Adapun maksud mengenal Allah s.w.t. dengan sebenar-benar kenal adalah, seseorang itu mengenal Allah s.w.t. dengan tahaqquq (perealisasian) terhadap apa yang difahami tentang Allah s.w.t. dalam bentuk penghayatan, iaitu dengan kehadiran hati yang berpanjangan kepada Allah s.w.t., dan menyaksikan (musyahadah) Allah s.w.t. dengan mata hatinya (bashirah). Adapun wahsil ini ada dua jenis iaitu:

 

1) Mursyid Kamil/ Sheikh/ Waris Muhammadi/Murobbi/ Sufi/ Wali

Mursyid atau Sheikh adalah seseorang yang sudah melepasi perjalanan menuju Allah s.w.t. (sair ila Allah) dan sudah berada di kemuncak perjalanan pada Allah s.w.t. (as sair fi Llah) di mana, dia sudah fana' makhluk dan basyariah, dan sudah baqo' denganNya (kekal dalam musyahadah Allah s.w.t.).

Para mursyid adalah golongan yang telah tenggelam (istighroq) dalam lautan tauhid, sehingga menyaksikan wujud Allah s.w.t. tanpa kaifiat dan tanpa tamsil, tasybih dan tanpa bentuk, kerana penyaksian (musyahadah) ini adalah pada mata hati (bashiroh). Mereka telah sampai pada hal tamkin (mantap) dalam merai dua thorof (sudut) iaitu sudut musyahadahnya (yang melihat tiada wujud hakiki kecuali Allah s.w.t.) dan sudut kewujudannya da seluruh makhluk denganNya (dalam kekuasaanNya). Dengan merai sudut musyahadahnya, maka dia sentiasa tahaquq (merealisasikan) dan menjaga hak-hak ketuhanan Allah s.w.t. dan beradab di hadrahNya. Adapun dengan meraikan sudut menyaksikan seluruh makhluk denganNya, maka dia terus melakukan kehambaan dan ketaatan kepadaNya.

Mereka diberi izin oleh mursyid-mursyid mereka yang kamil, akan izin-izin untuk memberi tarbiah, irsyad (bimbingan kerohanian), menyebarkan aurad (zikir-zikir sesuatu madarasah tarbiah) dan memberi bai'ah kepada para murid yang baru ingin memulakan perjalan menuju Allah s.w.t..

Tugas mereka adalah untuk memimpin ahbab sheikhnya terdahulu atau mencari ahbab-ahbab baru dalam memperkembangkan lagi manhaj tarbiah dan dakwah madrasah tarbiah mereka demi berkhidmat kepada umat Islam.

Mereka juga terkenal dengan waris muhammadi kerana mereka adalah pewaris-pewaris Rasulullah s.a.w. secara zahir mahupun batin (ilmu zauqi), sesuai dengan hadith Nabi s.a.w. yang berbunyi: "Ulama' pewaris nabi". Mereka mewarisi tugas Rasulullah s.a.w. dalam memberi tarbiah kepada umat Islam dan menyucikan jiwa mereka (tazkiyah an-nafs) daripada belenggu syahwat dan hasutan syaitan serta kecintaan kepada dunia.

Kitab Hikam 41: DIRI YANG TERHIJAB, ALLAH S.W.T TIDAK DIHIJAB


41: DIRI YANG TERHIJAB, ALLAH S.W.T TIDAK DIHIJAB

AL-HAQ (ALLAH S.W.T) TIDAK TERHIJAB OLEH SESUATU APA PUN, SEBALIKNYA KAMULAH YANG TERHIJAB DARI MELIHAT KEPADA-NYA. JIKA ALLAH S.W.T DIHIJAB OLEH SESUATU TENTU SESUATU ITU DAPAT MENUTUP ALLAH S.W.T. JIKA ADA SESUATU YANG MENUTUP  ALLAH S.W.T BERMAKNA WUJUDNYA DAPAT DIKURUNG OLEH SESUATU. SESUATU YANG MENGURUNG ADALAH LEBIH BERKUASA DARI YANG DIKURUNG, SEDANGKAN ALLAH S.W.T BERKUASA ATAS SEMUA HAMBA-NYA.
Dunia dan akhirat dan semua yang ada di antara kedua-duanya adalah makhluk yang memenuhi alam. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah makhluk dan mengambil tempat masing-masing di dalam alam. Makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan setakat manusia, jin, malaikat, Kursi dan Arasy sahaja bahkan kehendak, cita-cita, angan-angan, khayalan, bahasa, ibarat dan ilmu pengetahuan juga termasuk dalam istilah makhluk yang Allah s.w.t ciptakan. Oleh sebab Allah s.w.t tidak serupa dengan sesuatu maka Dia tidak boleh dibahasakan, diibaratkan, disifatkan, dikhayalkan dan lain-lain. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah hijab yang menutup pandangan mata hati dari melihat Allah s.w.t, walaupun Allah s.w.t tidak memakai tutupan. Nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan adalah juga hijab.
Sekiranya ada orang yang mampu berkenderaan menjelajah ke seluruh alam maya untuk mencari Allah s.w.t nescaya Allah s.w.t tidak akan ditemuinya kerana Dia bukan anasir alam. Sekiranya mereka mencari dengan menggunakan bahasa maka Allah s.w.t juga tidak akan ditemui kerana Dia tidak ditakluki oleh hukum bahasa dan ibarat. Ilmu pengetahuan juga tidak sanggup mencapai Yang Esa kerana ilmu masih terikat kepada menyaksikan dan disaksikan iaitu suasana serba dua. Ilmu tidak mampu sampai kepada Yang Esa, yang sama menyaksikan dan disaksikan. Nama-nama juga hijab kerana tidak mampu menzahirkan Yang Empunya nama. Sifat-sifat juga tidak mampu menzahirkan zat. Sifat hanyalah sekadar memperihalkan bagi menggerakkan pemahaman sahaja, sedangkan Dia Maha Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang disifatkan. Setelah gagal mencari dalam semua itu seseorang akan sampai ke puncak pencariannya iaitu kejahilan tentang zat Ilahiat dan inilah yang dinamakan makrifat. Orang yang sampai di sinilah yang dipanggil orang yang mengenal Allah s.w.t.
 Sekiranya ilmu  mampu melepaskan kita dari medan ilmu, kita akan sampai kepada medan makrifat. Jika kita bersatu dengan ilmu, kita akan terhijab. Ilmu mesti dijadikan kenderaan menuju kepada makrifat. Diri kita tidak boleh disatukan dengan ilmu. Apabila kita tiba kepada makrifat kita akan tercengang-cengang menghadapi hijab kejahilan. Kita terpaksa mengakui bahawa zat Ilahiat tidak dapat diperkatakan dan tidak dapat disifatkan. Orang yang sampai kepada perhentian ini tidak ada jalan lagi baginya untuk sampai kepada Allah s.w.t melainkan menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t dengan menanggalkan apa sahaja yang dianggapnya boleh menyampaikannya kepada Allah s.w.t. Maka keluarlah dia dari apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Dibuangnya segala hijab-hijab yang menutupi mata hatinya. Dia keluar dari ilmunya, amalnya, makrifatnya, sifatnya, namanya, bahasa dan ibarat. Pelepasan yang menyeluruh ini adalah pintu masuk ke Hadrat-Nya dan dia masuk dengan kekuatan Nurullah, iaitu tarikan yang langsung dari Allah s.w.t.
Nur berlapis nur, Allah memimpin sesiapa yang di kehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
 Makhluk tidak akan zahir jika tidak ada Nur-Nya. Makrifat tidak mungkin dicapai tanpa suluhan Nur-Nya. Ilmu tidak mungkin diperolehi tanpa penerangan Nur-Nya. Mata hati tidak mungkin boleh melihat tanpa pancaran cahaya Nur-Nya. Allah s.w.t memimpin kepada Nur-Nya siapa yang Dia kehendaki. Orang yang dipimpin kepada Nur-Nya adalah orang yang mampu keluar dari hijab nafsu dan akal. Nafsu ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada keinginan dan cita-cita melainkan mahu bertemu dengan Allah s.w.t. Akal ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada yang difikir dan direnungi melainkan Wajah Allah s.w.t jua yang menyata pada semua arah. Walau ke arah mana pun dihalakan pandangan akal dan pandangan hati, Wajah Allah s.w.t jua yang kelihatan.
Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )

Tajuk 42
KANDUNGAN

Friday, 6 May 2011

HINA NABI MUHAMMAD SAW..dalam Facebook.


Seperti biasa bila ada profile yang menghina Rasulullah, menghina Islam, MiLo SuaM akan mengajak semua para pembaca untuk melaporkan profile ini kepada pihak pengurusan Facebook secara berjamaah.

Kali ini bukan satu tetapi dua profile harus dilaporkan kepada pihak pengurusan facebook. Pengguna facebook ini meletakkan gambar seorang lelaki Arab dengan hidung babi bagi menggambarkan wajah Rasulullah. Malah menggunakan nama Muhammad SAW sebagai profile. Memang celaka!


Apabila kita melaporkan sesebuah profile secara berjamaah dengan alasan yang sama, maka lebih cepat pihak pengurusan facebook akan menutup sesebuah halaman itu. Sebagai contoh, sebelum ini tidak sampai 24 jam selepas MiLo SuaM siarkan sebuah profile Anti Islam, profile tersebut telah ditutup oleh Facebook dan tidak lagi dapat diakses rujuk sini [Profile anti Islam].

Maka di bawah ini, disertakan alasan yang patut kita gunakan untuk melapor. Sila ikuti langkah-langkah yang ditunjukkan.


Dah faham? Baiklah untuk melapor sila klik [Facebook] jangan lupa melaporkan sebuah lagi profile menghina Islam rujuk sini [Facebook]

Sekiranya anda mempunyai maklumat profile-profile yang menghina Islam seperti ini sila hantar ke facebook MiLo SuaM rujuk sini [Facebook MiLo SuaM].

ReJaM© "Terima kasih banyak atas sokongan anda semua, hanya Allah yang dapat membalasnya"

Thursday, 5 May 2011

Medan-Banda Aceh 8..ibnuhasyim.


CATATAN PERJALANAN: Medan-Banda Aceh 8
Masjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh.

SUDAH beberapa kali saya bersembahyang di Masjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh Darussalam. Suatu pengalaman bersejarah pada saya, berlaku beberapa tahun lepas, iaitu semasa saya ramai-ramai menyambut kepulangan Tengku Hasan Tiro. Beliau pulang dari Sweden singgah di Malaysia dan saya turut juga bersama-sama beliau di masjid itu.

Hal ini berlaku selepas tsunami dan perjanjian Helsinki yang mententeramkan Aceh dari gejolak berdarah. Entah kenapa sekarang saya baru menulis mengenai masjid ini. Sebenarnya, Masjid Baiturrahman dibangunkan oleh pemerintah Belanda sebagai pengganti masjid yang sama namanya telah dihancurkan oleh Belanda sebelumnya pada tahun 1874.

Jadi dalam rangka mengambil hati rakyat Aceh, masjid ini dibangunkan kembali. Peletakan batu asas pertamanya pada bulan Oktober 1879 dan selesai pada Desember 1881.

Akiteknya adalah seorang Belanda yang bernama Bruins dari Departemen PU. Bahan bangunannya banyak yang di impor dari luar negera seperti batu pualam dari China dan besi jendela dari Belgium.

Pembangunan Masjid Baiturrahman ini dilaksanakan oleh seorang pemborong atau kontraktor Tionghoa atau China bernama Lie A Sie. Bukan saja kontraktornya seorang China, pekerjanya pun hampir sebahagian besar terdiri dari pekerja China yang memiliki ketrampilan khas.

Dikatakan kerana bangunan konstruksi dan detailnya cukup rumit. Orang Aceh yang diharapkan dapat bekerja disana ternyata sangat mengecewakan bouwherrnya. (Lihat Sejarah Daerah Propinsi Daerah Istimewa Aceh, Depdikbud, 1991). 

Pada peristiwa tsunami tahun 2004, bangunan masjid ini berdiri dengan ajaib, kokoh dan tidak mengalami kerusakan, walaupun diterjang oleh pasang air laut yang dahsyat.

Laksamana Muhammad Cheng Ho & Lonceng Besar Cakra Donya


Lonceng Besar Chakra Donya (gambar atas) & Laksamana Muhammad Cheng Ho (bawah)

Catatan sejarah paling tua dan yang pertama mengenai kerajaan-kerajaan di Aceh, didapati dari sumber-sumber tulisan sejarah China. 

Dalam catatan sejarah dinasti Liang (506-556), disebutkan adanya suatu kerajaan yang terletak di Sumatra Utara pada abad ke-6 yang dinamakan Po-Li dan beragama Budha. Pada abad ke-13 teks-teks China (Zhao Ru-gua dalam bukunya Zhu-fan zhi) menyebutkan Lan-wu-li (Lamuri) di pantai timur Aceh.


Pada tahun 1282, diketahui bahawa raja Samudra-Pasai mengirim dua orang (Sulaiman dan Shamsuddin) utusan ke Tiongkok atau China. Di dalam catatan Ma Huan (Ying-yai sheng-lan) dalam pelayarannya bersama dengan Laksamana Muhammad Cheng Ho, dicatat dengan lengkap mengenai kota-kota di Aceh seperti, A-lu(Aru), Su-men-da-la (Samudra), dan Lan-wu-li (Lamuri). 

Dalam catatan Dong-xi-yang- kao (penelitian laut-laut timur dan barat) yang dikarang oleh Zhang Xie pada tahun 1618, terdapat sebuah catatan terperinci mengenai Aceh moden.

Kerajaan Samudra-Pasai adalah sebuah kerajaan dan kota pelabuhan yang ramai dikunjungi oleh pedagang atau ahli bisnes dari Timur Tengah, India sampai Tiongkok pada abad ke 13 -16. 

Samudra Pasai ini terletak pada jalur sutera laut yang menghubungi China dengan negara-negara Timur Tengah, dimana pedagang-pedagang dari berbagai negara singgah dahulu atau transit sebelum melanjutkan pelayaran ke.. atau dari.. China, Timur Tengah dan India.

Kota Pasai dan Perlak juga pernah disinggahi oleh Marco Polo (abad 13) dan Ibnu Batuta (abad 14) dalam perjalanannya ke/dari China. Barang dagangan utama paling terkenal dari Pasai ini adalah lada dan banyak dieksport ke China. 

Sebaliknya banyak barang-barang China seperti sutera, keramik, dan lain-lan. diimport ke Pasai ini. Pada abad ke 15, armada Cheng Ho juga singgah dalam pelayarannya ke Pasai dan memberikan 'Lonceng Besar Cakra Donya' pada 1409 kepada raja Pasai waktu itu.


Loceng besar itu..


Loceng Cakra Donya ini telah menjadi benda sejarah kebanggaan orang Aceh hingga sekarang. Loceng ini juga juga merupakan bukti dan simbol hubungan bersejarah antara Cina-Aceh sejak abad ke-15. 

Loceng atau genta yang terkenal dan termasyhur (icon kota Banda Aceh) ini sekarang diletakkan di Musium Aceh, Banda Aceh. Ketika Pasai ditaklukkan oleh Aceh Darussalam pada tahun 1524, loceng ini dibawa ke Kerajaan Aceh. Loceng ini bertukar tangan, dari Pasai ke Aceh.

Pada awalnya loceng ini disimpan diatas kapal Sultan Iskandar Muda yang bernama 'Cakra Donya' (Cakra Dunia) ketika melawan Portugis. Maka akhirnya loceng ini pula dinamakan 'Cakra Donya' juga. Begitu sejarah loceng besar itu sampai di Banda Aceh ini.

Samudra Pasai juga dikenal sebagai salah satu pusat kerajaan Islam (dan Perlak) yang pertama di Indonesia dan pusat penyebaraan Islam keseluruh Nusantara pada waktu itu. Ajaran-ajaran Islam ini disebarkan oleh pedagang dari Arab (Timur Tengah) atau Gujarat (India), yang singgah atau menetap di Pasai.

Di kota Samudra Pasai ini banyak tinggal komuniti Cina. Adanya "Kampung Cina", seperti ditulis dalam Hikayat Raja-raja Pasai. Kerana Samudra Pasai ini terletak dalam jalur perdagangan dan pelayaran internasional serta menjadi pusat perniagaan global. 

Maka berbagai bangsa asing lainnya menetap dan tinggal disana, di negara yang bersifat kosmopolitan dan multietnik waktu itu. Jadi jauh sebelum kerajaan Aceh Darussalam berdiri, komuniti Cina telah berada sejak abad ke-13.

Tome Pires, penulis sejarah terkenal, pula menyebutkan bahawa kota Pasai adalah kota penting berpenduduk 20,000 orang. Pada tahun 1524 Samudra Pasai ditaklukan oleh Sultan Ali Mughayat Syah dari kerajaan Aceh Darussalam. 

Dikatakan, sejak itu Samudra Pasai merosot dan pudar pamor untuk selamanya. Puncak kejayaan Kerajaan Aceh Darussalam beralih dari Pasai adalah ketika Sultan Iskandar Muda (1607-36), menjadi negara paling kuat diseluruh Nusantara.

Baginda meluaskan wilayah kekuasaannya dan memerangi Portugis, Kesultanan Johor, Pahang dan lain-lain.Kekuasaan Aceh meliputi Barus, Tiku, Pariaman (Minangkabau), Riau, Siak, sebahagian Bangkahulu dan Semenanjung Malaya (Johor, Pahang, Perak).

Tome Pires juga mengakui, Aceh merupakan sebuah negara maritim dan sebagai salah satu pusat perdagangan global. Pedagang-pedagang asing singgah dan menetap di Aceh, seperti dari Arab, Persia, Pegu, Gujarat, Jawa, Turki, Bengali, Cina, Siam, Eropah dan lain-lain.

Di kota kerajaan ini juga yakni Banda Aceh sekarang banyak dijumpai perkampungan-perkampungan dari berbagai bangsa. Seperti kampung Cina, Portugis, Gujarat, Arab, Pegu, Benggali dan Eropah lainnya.

Kota Aceh ini benar-benar sebuah kota kosmopolitan, berkarakter internasional dan multietnik. Seperti di Samudra Pasai, Aceh juga banyak menghasilkan lada yang dieksport ke Cina. Pada waktu itu orang Aceh juga telah menguasai pembuatan meriam.

Kerana itu tidak semua meriam yang ada di Aceh adalah buatan luar negera, seperti meriam buatan Turki atau Portugis. 

Orang Aceh mendapatkan ilmu pembuatan meriam ini dari orang Cina. (Lihat Kerajaan Aceh, Denys Lombard). Demikian juga dengan penternakan sutera yang sudah dikuasai oleh orang Aceh, juga kemungkinan besar diperkenalkan oleh orang-orang Cina.


Anak-anak Aceh membuat 'Rencong Aceh'.


Pengganti Sultan Iskandar Muda adalah mantunya sendiri yang bernama Sultan Iskandar Thani (1636-41). Periode pemerintahan Iskandar Thani ini adalah awal dari kemerosotan Kerajaan Aceh Darussalam. 

Periode pemerintahannya juga sangat singkat, seperti juga yang berlaku pemerintahan Khalifah Bani Umaiyah di tanah Arab, Umar Abdul Aziz. Iskandar Thani juga seperti Umar Abdul Aziz tidak melakukan politik perluasan wilayah lagi seperti mertuanya, Iskandar Muda.

Baginda lebih memusatkan kepada ilmu pengetahuan dan ajaran Islam. Pernah pada zaman baginda ini, orang Cina dilarang tinggal di wilayahnya, kerana dianggap memelihara babi. Pun begitu, di ibukota kerajaannya telah dibangun sebuah taman yang dinamakan "Taman Ghairah". 

Mungkin berfungsi sebagai pusat hiburan. Didalam taman itu juga, telah dibangun sebuah "Balai Cina" (paviliun) yang dibuat oleh pekerja orang Cina. Seperti yang dikisahkan dalam buku Bustan us-Salatin karangan Nuruddin ar-Raniry. Ar-Raniri adalah orang Gujarat, penasihat Sultan dan ahli tasawuf, bukan anak tempatan

Peranan kaum Cina dalam bidang perdagangan di Aceh bertambah besar pada paruh kedua abad ke-17. Selain ada yang tinggal dan berdagang secara permanen di ibukota Aceh ini, ada juga pedagang bermusim yang datang dengan kapal layar. 10-12 kapal sekali datang, pada bulan-bulan tertentu seperti pada bulan Julai.

Kapal- kapal atau 'jung' Cina itu membawa beras ke Aceh, yang diimport dari Cina. Mereka tinggal dalam perkampungan Cina dekat pelabuhan, yang sekarang mungkin lokasinya disekitar Peunayong atau disebut juga 'Cina Town'. Bersama dengan kapal itu juga datang para 'pengrajin' bangsa Cina seperti tukang kayu, mebel, cat dan lain-lain.

Begitu tiba mereka mulai membuat koper, peti wang, lemari dan segala macam lainnya. Setelah selesai mereka pamerkan dan jual didepan pintu rumah. Maka selama dua atau dua bulan setengah berlangsunglah 'pasar (basar) Cina' yang meriah. 

Toko-toko penuh sesak dengan barang dan seperti biasa orang-orang Cina ini tidak lupa main judi. Pada akhir September, mereka berlayar kembali ke China dan akan datang lagi tahun depan. Barang-barang dari China ini antaranya dieksport ke India.(Lihat Kerajaan Aceh, Denys Lombard)

Kapal Cakra Donya ini bagaikan kapal induk armada Aceh pada waktu itu dan berukuran sangat besar, sehingga Portugis menamakannya "Espanto del Mundo" Ertinya teror atau pengganas dunia, dari kacmata penjajah Purtugis. 

Kemudian loceng (gambar di atas) yang bertulis aksara Cina dan Arab (sudah tidak dapat dibaca lagi aksaranya sekarang), diletakkan dekat mesjid Baiturrahman yang berada dikompleks Istana Sultan. Namun sejak tahun 1915 loceng ini dipindahkan ke Muzium Aceh dan ditempatkan didalam kubah hingga sekarang. Yakni di halaman Muzium.

Apakah rahsia loceng Cakra Donya ini? Ia telah menjadi benda sejarah kebanggaan orang Aceh hingga sekarang. Juga merupakan bukti dan simbol hubungan sejarah antara Cina-Aceh sejak abad ke-15.

Lambang bukan perkauaman dan asobiah antara bangsa dan kaum. Kerana Islam mengajarkan, diijadikan bangsa, kaum dan puak untuk saling kenal mengenal.

Rahsia Loceng Pasca Tsunami..
Pada peristiwa tsunami tahun 2004, banyak warga Cina Aceh yang menjadi korban dan meninggal dunia. Sekitar 6,000 orang Tionghoa telah mengungsi ke Medan dan ditampung di kem Metal.

Di kem pengungsian Medan ini bukan hanya warga Cina saja yang ditampung untuk mendapatkan akomodasi dan perawatan, bahkan warga dari etnik lainpun ditampung di kem-kem pengungsi tersebut, tanpa perbedaan..

Dianggarkan sekitar 1,000 warga Cina meninggal pada waktu peristiwa tsunami itu yang kebanyakan bermukim di "Peunayong" atau pusat perniagaan, perdagangan atau pecinan di Banda Aceh. Ramai mereka mengeluh, bahawa toko-tokonya ada yang dijarah ketika itu.

Waktu itu sekitar 60% toko-toko di Banda Aceh milik warga Cina. Tidak semua warga Cina itu ekonominya baik atau kaya di Banda Aceh. Warga Cina miskin pun ada. Seperti mereka yang tinggal di Kampung Mulia dan Kampung Laksana.. Yang tidak jauh dari Peunayong.

Saya juga menemui seorang Cina yang berubah menjadi Islam di Peunayung selepas tsunami. "Saya masuk Islam kerana memikirkan mengapa masjid-masjid orang Islam tidak musnah dilanda tsunami seperti bangunan-bangunan sekelilingnya.

Bahkan menjadi penyelamat kepada mangsa-mangsa tsunami tidak kira agama. Tentu ada kuasa yang lebih Agung dari tsunami itu sendiri. Itulah 'Allah' seperti kepercayaan orang Islam." Katanya.

Setelah lama berfikir-fikir, tiada berkesudahan, akhirnya dia pilih Islam. Sekarang tinggal di Peunayung, sesiapa saja boleh menjumpainya..

Tidak semuanya juga warga Cina dari Banda Aceh ini mengungsi ke Medan. Beberapa diantaranya tetap bertahan di Banda Aceh, seperti sepasang suami isteri pemilik kedai cermin mata "Joy Optikal", dimana separuh pelanggannya telah meninggal dunia. Pemilik Jay Optikal, Maria Herawati berkata "Hidup atau mati, saya akan tetap tinggal di Aceh" (The Christian Science Monitor, February 18, 2005).

Keprihatin komuniti Cina jelas terserlah pasca tsunami. Bantuan terus mengalir termasuk dari warga Indonesia yang bermukim di Amerika Syarikat seperti ICCA (Indonesian Chinese American Association) di Monterey Park, California, Organisasai- organisasi Cina dari Singapore, Malaysia, Taiwan dan Negara China.

Kerajaan China telah mengirimkan 353 kontainer berisi bahan bangunan untuk membangun sekolah di Aceh. Bantuan 7,000 ton itu untuk membangun 60 sekolah tiap satunya terdiri dari 15 kelas. 

Juga sumbangan 12 juta dolar lebih untuk membangun pemukiman baru, seperti yang saya sebutkan sebelum ini, Kampung Persahabatan Indonesia-China atau Kampung Jacky Chan. Saya juga melihat sebuah masjid yang dibina oleh kaum Cina dari Palembang, di Banda Aceh.

Apakah hal ini semua juga adalah hasil dari rahsia keajaiban 'Lonceng Cakra Donya Aceh?

Sekian. Wallahu 'aklam dan assalamu alaikum..


Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com
 

Peunayong, Cinatown.
Banda Aceh

4 Mei 11.

Lihat keseluruhan catatan perjalanan ini..
E-Buku IH-39: Catatan Perjalanan Medan-Banda Aceh 

E-Buku IH-39: Catatan Perjalanan Medan-Banda Aceh