DEMOKRASI MELAHIRKAN HEDONISME
http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/4626-sn380-demokrasi-melahirkan-hedonisme
[SN380] Tatkala seluruh negara masih dirundung kesedihan dan sedang mendoakan dijumpainya MH370, pesawat Malaysia Airlines yang hilang dalam perjalanannya dari Kuala Lumpur menuju Beijing, pada masa yang sama Bukit Jalil gegak gempita dengan pesta maksiat yang diraikan dengan penuh kebesaran secara terbuka.
Pesta Future Music Festival Asia (FMFA) yang dikatakan dibuat secara senyap itu telah menggemparkan negara apabila 6 orang disahkan mati akibat pengambilan dadah yang berlebihan. Lebih memalukan dan mendukacitakan, antara yang meninggal dan yang menyertai festival muzik antarabangsa itu adalah dari kalangan anak-anak muda Muslim.
Sungguh memalukan dan mendukacitakan juga apabila pihak polis hanya bertindak untuk membatalkan konsert yang penuh dengan maksiat itu pada hari ketiga, setelah berlakunya kematian sehari sebelumnya. Umum mengetahui bahawa pesta seumpama itu memang tidak sah jika tidak disertai dengan arak dan dadah, malah perzinaan juga.
Di manakah letaknya maruah Malaysia yang pemerintahnya mengaku sebagai sebuah “Negara Islam”? Apakah konsert liar ini bertepatan dengan konsep wasatiyyah (sederhana) yang dicanangkan oleh Perdana Menteri sehingga pesta maksiat ini dibenarkan oleh kerajaan? Apakah sudah tidak ada mufti dan alim ulama dalam kerajaan yang berani menegur tindakan maksiat pemerintah ini? Atau semuanya lebih memilih untuk menjadi syaitan bisu dek pendapatan lumayan yang diperolehi setiap bulan?
Liberalisme, Hedonisme Dan Penjajahan
Sesungguhnya tragedi yang berlaku itu tidak dapat lepas dari budaya liberalisme yang sudah parah di Malaysia. Muncul dan menyebarnya budaya liberalisme di tanah air kita ini bukanlah proses yang berlaku secara semula jadi, tetapi merupakan hasil dari proses liberalisasi budaya yang dijalankan secara terorganisasi dan sistematik dan proses ini sudah semestinya tidak terlepas dari perancangan Barat ke atas umat Islam.
Agama Islam yang dianut oleh majoriti penduduk negeri ini tidak pernah mengajar semua ini. Budaya liar itu merupakan budaya Barat yang dibawa masuk seiring dengan penjajahan sama ada dalam bentuk fizikal mahupun mental di negeri kaum Muslimin. Jadi, masuk dan berkembangnya budaya liberalisme di Malaysia ini memang tidak dapat dipisahkan dari konspirasi Barat yang licik dan rapi ke atas umat Islam.
Konspirasi liberalisasi budaya oleh Barat terhadap negeri Muslim berjalan selari dengan motif penjajahan. Dengan liberalisasi budaya itu, masyarakat di negeri-negeri Muslim, termasuk Malaysia, akan kehilangan identiti Muslim mereka, lalu memakai baju Barat, malah dengan bangga melakukannya, tanpa mempertimbangkan lagi halal atau haram.
Inilah yang dikehendaki Barat yakni agar umat Islam menjadi pengekor mereka dan kalau boleh, masuk ke dalam agama mereka. Akhirnya, penjajahan dan pengekoran terhadap Barat tidak lagi dipandang sebagai suatu masalah, malah menjadi lambang kemajuan.
Fahaman hedonisme mengajarkan manusia untuk mengejar kenikmatan material dan jasadi serta melakukan apa sahaja yang boleh mendatangkan kenikmatan, termasuk kesenangan yang lahir dari hubungan seks (luar nikah). Fahaman ini tercermin dalam slogan fun (kesenangan/pesta), food (makanan) dan fashion (busana).
Dengan fahaman hedonisme ini manusia didorong untuk mengejar kenikmatan dengan jalan bersenang-senang tanpa memandang lagi halal atau haram, termasuk di dalamnya dengan berpesta, melakukan seks bebas demi mendapatkan kenikmatan dan diikuti dengan makanan/minuman arak dan dadah serta berpakaian (berfesyen) yang gila-gila, malah ada yang hanya menutup bahagian-bahagian tertentu sahaja.
Pendek kata, budaya kufur ini mengajar manusia untuk melakukan apa sahaja demi mencapai kemuncak kepuasan dan kenikmatan dalam hidup. FMFA hanyalah secebis dari manifestasi budaya kufur hedonisme yang diamalkan di negara ini.
Sama ada sedar atau tidak, budaya hedonisme telah lama ditanamkan dan diizinkan oleh kerajaan melalui media elektronik mahupun media cetak, melalui program-program yang bernuansakan hiburan, muzik, fesyen, festival dan lain-lain, termasuklah dengan kewujudan pub, disko, kelab-kelab malam dan sebagainya. Kebanyakan program dan suasana seumpama ini merupakan ‘salinan dan tiruan’ dari program dan suasana yang sama di Barat.
Kita dapat saksikan bagaimana anak-anak kecil sudah dididik dengan pertandingan muzik, nyanyian, tarian, fesyen dan terkinja-kinja di pentas. Malah berapa ramai dari kalangan ibu bapa yang bangga anaknya begitu.
Rancangan televisyen dan juga festival yang berlangsung di dalam masyarakat juga seolah-olah tidak sah jika tidak disertai dengan muzik, nyanyian dan tarian. Jadi tidak hairanlah kalau anak-anak muda Islam terbius dengan hedonisme dan terlibat dengan konsert liar seperti FMFA, kerana segala-galanya sudah ‘disediakan’ secara sistematik sejak dari kecil lagi.
Itu dari satu aspek. Dari aspek lain yang lebih penting, sesungguhnya budaya hedonisme itu tidak wujud dan tidak akan boleh berkembang kecuali dalam sistem demokrasi! Budaya kufur itu tidak akan boleh berkembang kecuali di dalam sistem kufur juga.
Budaya liar itu sesungguhnya berjalan seiring dengan proses pendemokrasian (democratisation) yang sedang diamalkan di negeri-negeri Muslim, termasuklah Malaysia. Semakin liberal sesuatu negeri itu, maka ini bermakna semakin baiklah proses pendemokrasiannya di mata dunia dan inilah apa yang cuba dicapai oleh Malaysia.
Punca Kemaksiatan Merajalela
Fenomena hedonisme dengan segala akibat buruknya dari tahun ke tahun cenderung semakin meningkat baik secara kuantitatif mahupun kualitatif. Kerosakan sistematik ini tentu tidak terjadi begitu sahaja tetapi mesti ada penyebabnya. Allah SWT berfirman,
“Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan (perbuatan) manusia, kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian balasan daripada perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) [TMQ ar-Rum (30):41].
Menurut ayat ini, pangkal penyebab semua kerosakan di seluruh muka bumi ini adalah hasil perbuatan manusia. Para mufasirin menjelaskan bahawa “perbuatan tangan” yang dimaksudkan adalah perbuatan “dosa dan maksiat” yang dilakukan oleh manusia.
Al-Jazairimenafsirkannya: bi zhulmihim wa kufrihim wa fisqihim wa fujurihim(kerana kezaliman, kekufuran, kefasikan dan kejahatan mereka). Al-Baghawi menyebutnya bi su’ dzunubihim(kerana keburukan dosa-dosa mereka).
Tidak jauh berbeza, Ibnu Katsir memaknainya dengan bi sabab al-ma’asi(kerana kemaksiatan-kemaksiatan). Al-Zamakhsyari dan Abu Hayyan menuturkan bi sababma’asuhim wa dzunubihim (kerana perbuatan maksiat dan dosa mereka). Menurut al-Alusi, kesimpulan tersebut sejalan dengan firman Allah SWT,
“Musibah apa saja yang menimpa kalian adalah akibat perbuatan tangan kalian sendiri” [TMQ asy-Syura (42):30].
Dengan kata lain, kerosakan yang berlaku adalah disebabkan oleh pelanggaran manusia terhadap deen Allah, baik akidah mahupun syariah, itulah yang menjadi punca kerosakan. Kesimpulan ini amat jelas jika dikaitkan dengan ayat sebelum dan sesudahnya, serta nas-nas lainnya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Jika zina dan riba telah tampak di suatu negeri, maka sesungguhnya mereka telah menghalalkan diri mereka dengan azab Allah [HR at-Thabrani dan al-Hakim].
Sejak runtuhnya Khilafah pada 3 Mac 1924, seluruh aturan hidup kita sekarang sudah tidak lagi diatur oleh wahyu tetapi diatur oleh sistem buatan manusia. Sistem Khilafah yang berasal dari Islam telah digantikan dengan sistem demokrasi.
Sekularisme yang merupakan akidah kepada demokrasi telah dijadikan aturan hidup. Baik sekularisme mahupun demokrasi, kedua-duanya adalah hasil dari produk tangan-tangan manusia. Demokrasi merupakan sistem kufur yang datangnya dari Barat.
Demokrasi meletakkan kedaulatan di tangan manusia. Ia mengajar dan memberikan hak kepada manusia untuk membuat undang-undang dengan mengenepikan undang-undang Allah SWT.
Demokrasi menjunjung empat jenis kebebasan yakni kebebasan berakidah, bertingkah laku, berpemilikan dan bersuara. Idea kebebasan inilah yang telah mewujudkan kerosakan yang amat parah di dalam tubuh umat Islam dan seterusnya melahirkan kerosakan yang tidak boleh dibaiki lagi di dalam negara.
Liberalisme dan hedonisme adalah lahir dari idea kebebasan di bawah sekularisme. Sekularisme adalah idea dasar yang memisahkan peranan agama dari pengaturan kehidupan. Sekularisme menuntun manusia untuk menempatkan agama hanya pada skop individu dan wilayah spiritual sahaja.
Sekularisme mengajar bahawa manusia bebas mengatur hidupnya dan Tuhan tidak boleh campur tangan di dalamnya. Dalam penetapan baik-buruk, ideologi ini mendasarkan pada asas manfaat material (materialisme), mengikut hawa demi mencapai kesenangan (hedonisme). Konsep halal dan haram tidak ada dalam kamus penganut sekularisme.
Kerana itulah, oleh pemerintah yang mengamalkan sekularisme, FMFA bukannya dilihat dari sisi halal-haram, tetapi manfaat yang dapat diraih seperti pendapatan dari sewa tapak stadium, harga tiket, aspek keuntungan dari sudut pelancongan dan lain-lain. Inilah antara punca kerosakan apabila manusia menghalalkan apa yang Allah haramkan!
Tanggungjawab Dan Penyelesaian
Tidak dinafikan bahawa setiap individu yang terlibat di dalam kemaksiatan akan menanggung dosa atas apa yang dilakukannya. Namun, perlu diingat bahawa dosa turut ditanggung oleh mereka yang membiarkan (apatah lagi membenarkan) kemaksiatan itu berlaku.
Pihak polis yang mengetahui akan hal ini, malah pergi berkawal di tempat maksiat tersebut, namun tidak menghalangnya, maka mereka juga menanggung dosa. Pihak Jabatan Agama, yang mengetahui akan hal ini, tetapi tidak mengambil tindakan, baik sebelum mahupun sesudah penganjuran pesta maksiat tersebut, adalah turut berdosa.
Ini kerana, pihak polis dan Jabatan Agama adalah pihak yang berkuasa untuk menghalang (dan mengambil tindakan terhadap) maksiat tersebut tetapi mereka tidak melakukannya. Sungguh ajaib dengan sikap pihak berkuasa ini kerana berapa banyak dari program-program agama yang mereka pantau dan batalkan, tetapi program maksiat sebesar ini dibiarkan!
Walau bagaimanapun, dosa yang lebih besar ditanggung oleh pemerintah yang membenarkan kemaksiatan itu berlaku!!! Tindakan pemerintah ini bukan sahaja mengundang dosa ke atas mereka, malah sebenarnya mengundang azab Allah ke atas kita semua. Na’uzubillah min zalik. Sabda Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak akan mengazab segolongan umat kerana perbuatan (dosa) segelintir orang dari kalangan mereka, sehinggalah apabila mereka melihat kemungkaran dilakukan secara terang-terangan di hadapan mereka, yang mereka mampu untuk mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya.
Maka, jika itu terjadi, Allah pasti akan menurunkan balasan (azab) kepada segelintir pelaku dosa itu dan keseluruhan umat tersebut” [HR Ahmad].
Apa pun, kaum Muslimin secara keseluruhannya tidak boleh hanya berpeluk tubuh menyaksikan apa yang berlaku. Sesungguhnya siapa sahaja yang berdiam diri dari kemaksiatan yang berlaku di sekelilingnya turut mendapat saham dosa yang dikerjakan oleh orang lain. Justeru, apakah yang seharusnya dilakukan oleh setiap Muslim?
Oleh kerana kekufuran, kemaksiatan, dan perbuatan dosa merupakan penyebab terjadinya kerosakan, maka penyelesaiannya adalah dengan cara mencegah atau menghilangkan segala kemaksiatan tersebut dan seterusnya mengembalikan semula perjalanan kehidupan sesuai dengan tuntunan syariah.
Selama kemaksiatan terus merajalela, jangan berharap pula kerosakan di muka bumi ini akan berhenti. Itulah mafhumnya secara ringkas.
Ibnu Katsir mengutip paparan Abu al-Aliyah ketika menjelaskan Surah 30:41 di atas yang menerangkan bahawa siapa sahaja yang bermaksiat kepada Allah di muka bumi, sungguh dia telah melakukan kerosakan di muka bumi.
Baiknya bumi dan langit disebabkan kerana penerapan hukum Allah, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud di mana Rasulullah SAW bersabda, “Had (hukum hudud) yang ditegakkan di muka bumi lebih baik bagi penduduk bumi daripada turunnya hujan selama 40 hari.”
Hal itu kerana jika hudud ditegakkan, ia dapat membuatkan manusia - sebahagian besar atau kebanyakan manusia - meninggalkan perbuatan yang diharamkan. Sebaliknya, jika manusia melakukan maksiat, maka itu menjadi sebab bagi lenyapnya berkah dari langit dan bumi.
Seperkara lagi yang perlu diingat adalah bahawa berhenti dari maksiat dan kembali kepada syariah Islam itu mestilah secara kaffah (total) sebagaimana perintah Allah di dalam Surah al-Ma’idah ayat yang ke-3.
Jika belum total, bererti masih ada ruang untuk kemaksiatan dan mengundang kehinaan serta azab Allah sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat ke-85. Maka, setiap Muslim wajib berusaha untuk menerapkan syariah dan mendirikan semula Daulah Khilafah, bukan sahaja bagi mencegah segala kemaksiatan ini, malah bagi mengeluarkan mereka dari saham-saham dosa pelaku maksiat tersebut.
Khatimah
Wahai pemerintah! Sesungguhnya HizbutTahrir ingin menyatakan dengan tegas bahawa kamu bertanggungjawab di atas segala kemaksiatan dan kerosakan yang berlaku di muka bumi ini yang terhasil dari sistem sekular yang kamu terapkan.
HizbutTahrir sudah banyak kali mengingatkan kamu dan kami tidak akan berhenti mengingatkan kamu walaupun kamu tidak pernah mendengar nasihat dan peringatan yang kami sampaikan.
Kamu boleh terus memekakkan telinga kamu dari nasihat kami dan kamu boleh terus membenarkan segala kemaksiatan berlangsung…ya kamu boleh melakukan semahu kamu di dunia ini kerana kuasa ada pada kamu.
Jika kamu masih ingin mendengar, kami dengan ini mengingatkan kamu kepada hari di mana kamu tidak akan mempunyai kuasa dan keupayaan walaupun sedikit.
Pada hari itu, Allah tidak akan melupakan sedikit pun apa yang kamu telah lakukan di dunia ini dan neraka ketika itu terbentang luas di hadapan kamu. Nauzubillah min zalik.